Beruang Gua Zaman Ais: Pupus Akibat Manusia?

643

Berdasarkan analisis terhadap bahan genetik daripada kebanyakan beruang prasejarah menunjukkan bahawa populasi mereka menurun sejajar dengan kedatangan manusia (Homo sapiens) ke benua Eropah. Suatu masa, benua Eropah dihuni oleh pelbagai megafauna zaman ais seperti mamot, badak sumbu berbulu dan harimau bertaring lengkung. Selain manusia moden, benua itu turut dikongsi bersama manusia purba Neanderthal.

Pertembungan di antara manusia (sama ada Neanderthal atau H. sapiens) dan beruang gua (Ursus spelaeus) yang individu dewasanya boleh mencapai sehingga 400kg dan berketinggian 1.7m di paras bahu merupakan perkara biasa ketika itu kerana kedua-duanya bersaing untuk mendapatkan tempat perlindungan yang ideal iaitu gua.

Sehingga hari ini, para saintis masih berdebat mengenai persoalan di sebalik kepupusan haiwan-haiwan besar ini. Ada yang berpendapat glasial maksimum terakhir iaitu waktu di mana wujud lapisan ais di Amerika Utara (Lapisan Ais Laurentide), Lapisan Ais Eurasia yang besar meliputi Britain, Ireland dan Scandivania termasuk utara Eropah, lapisan ais Antartika, Himalaya dan Patagonia telah melenyapkan semua haiwan ini. Suhu pada masa itu terlampau sejuk dan hanya dipenuhi tumbuh-tumbuhan tundra.

Glasial maksimum terakhir yang mencapai kemuncak sekitar 26, 500 tahun dahulu menyaksikan pembekuan ais membentuk glasier menyebabkan paras laut global berada pada 125 m di bawah paras laut global masa kini. Ada juga saintis yang mempertikaikan dengan hujah iaitu kehadiran spesies manusia baru dengan kemahiran memburu yakni Homo sapiens adalah penyebab di sebalik kepupusan haiwan prasejarah tersebut.

Gambaran artis menunjukkan pertembungan di antara manusia dengan beruang gua (Ursus spelaeus).

Pendapat ini dikukuhkan lagi dengan kajian yang dibentangkan dalam jurnal Scientific Reports yang mengusulkan bahawa kepupusan beruang gua adalah berpunca daripada manusia. Hervé Bocherens penulis bersama kajian itu, seorang ahli paleobiologi di Universiti Tübingen, German yang telah mengkaji tinggalan beruang gua selama 30 tahun berkata, “Jika kita tidak tiba di Eropah, saya tidak melihat apa-apa sebab kenapa beruang gua sudah tidak ada hari ini.”

Secara tidak langsung, dapatan kajian memberi bayangan mengenai situasi yang dihadapi oleh beruang perang pada hari ini yang masih mempunyai populasi stabil namun pada masa depan mungkin terancam akibat konflik dengan manusia yang semakin bertambah dan suhu bumi yang semakin panas.

Bocherens dan sepasukan penyelidik diketuai oleh Verena Schuenemann dari Universiti Zürich, Switzerland mengumpul sisa tulang daripada 59 ekor beruang gua yang ditemui di seluruh Eropah untuk mengekstrak DNA mitokondria (mtDNA). Cebisan kecil bahan genetik ini hanya diwarisi daripada seekor ibu haiwan dan akan menyingkap hubungan genetik di antara haiwan-haiwan yang dijumpai di lokasi berbeza. Malah lebih penting lagi, mtDNA boleh memberi petunjuk mengenai saiz populasi lampau.

Model rangka U. spelaeus yang dipamerkan di Muzium Lapangan Sejarah Semula Jadi, Chicago
Sumber: Wikipedia

“Model-model genetik populasi memberitahu kita bahawa lebih banyak kepelbagaian mtDNA dijumpai di dalam fosil dari tempoh yang sama, lebih besar kebarangkalian populasi tersebut, membenarkan kami untuk membuat anggaran bilangan beruang pada tempoh tertentu,” kata Bocherens.

Merujuk kepada analisis saintis, data memberi gambaran bahawa populasi beruang gua berkurang bermula 40, 000 tahun dahulu jauh sebelum zaman ais berakhir. Ini membuktikan bahawa beruang gua masih banyak jumlahnya beberapa tempoh sebelum itu meskipun suhu merendah. Populasi mereka akhirnya semakin menurun pada masa yang sama manusia mula tersebar ke seluruh Eropah.

“Ada juga juga bukti bahawa manusia moden berkemungkinan telah tiba di Eropah lebih awal,” kata Bocherens. “Tetapi berdasarkan pengetahuan kami, mereka hanya mula menular di benua itu dalam waktu beruang gua mula berkurangan.”

Walaupun manusia Neanderthal mungkin turut membunuh beruang gua, manusia moden yang mempunyai lebih tinggi kepintarannya dalam menggunakan teknik-teknik memburu yang lebih maju barangkali lebih berani untuk meneroka gua, hujah Bocherens. Kemudian, manusia moden yang semakin bertambah populasi berbanding Neanderthal akhirnya menjadi punca kepupusan beruang gua.

“Kajian itu mewakili jumlah maksimum informasi yang kami dapat melalui data mtDNA,” kata Michael Knapp, seorang ahli paleobiologi dari Universiti Otago, New Zealand. Knapp tidak terbabit dalam kajian terkini, namun beliau telah menerbitkan kertas kajian terdahulu berdasarkan set data yang lebih terhad yang memberikan keputusan serupa.

Gambaran artis menunjukkan seekor beruang gua bersama anaknya
Sumber: pinterest.com

Manusia barangkali telah membunuh beruang gua bukan sahaja untuk dagingnya tetapi juga untuk bulu atau hanya kerana beruang gua dianggap sebagai ancaman buat mereka. Selepas manusia semakin ramai menetap di Eropah, beruang gua menghadapi kesukaran untuk berpindah ke habitat yang suhunya tidak terlalu ekstrem apabila sejuk atau mencari tumbuhan sebagai makanan untuk menampung keperluan badan mereka yang besar. Beberapa populasi yang tersisa hanya mampu hidup di kawasan terpencil di Eropah seperti Alps Itali, di mana fosil terkini berada di sana berusia dalam 24, 000 tahun yang memberi jawapan bila spesies beruang ini pupus.

“Namun begitu, apabila populasi semakin terasing lantaran menyebabkan hakisan genetik di samping meningkatkan kepayahan bagi haiwan ini untuk bergerak di antara populasi mencari pasangan,” kata Bocherens. Ini telah melemahkan anak-anak beruang ini dan mendedahkan mereka kepada penyakit.

Sementara itu, beruang perang berjaya hidup hingga ke era moden, mungkin kerana saiz mereka yang lebih kecil dan diet yang lebih fleksibel termasuk memakan bangkai yang ditinggalkan oleh pemangsa yang lebih besar.

Bocherens menambah, “Pertama sekali, ini menunjukkan bahawa populasi paling terasing berisiko dan kita harus melakukan apa sahaja yang boleh untuk membenarkan pertukaran individu di antara mereka walaupun ia bermaksud harus memindahkan sendiri haiwan itu.”

Beliau berkata lagi yang “iklim sekali lagi telah berubah secara drastik, kali ini disebabkan tangan-tangan manusia dan ini bermakna sudah tidak cukup kawasan simpanan semula jadi untuk dibiarkan haiwan-haiwan tanpa pantauan. Dalam dunia yang semakin bertambah jalan raya, landasan kereta api, pagar dan bangunan, kita harus memulihara keperluan beruang-beruang untuk bergerak bebas dan memastikan populasi mereka sihat dan berbagai.”

“Sesuatu spesies mungkin berjaya menempuh perubahan iklim jika mereka mampu mengesan perubahan suhu,” kata Bocherens. “Namun, seperti contoh yang ditunjukkan oleh beruang gua, perubahan iklim akan mendatangkan masalah besar andai anda tidak boleh bergerak.”

RUJUKAN

Davies B. (2017). The Global Last Glacial Maximum. Retrieved from https://www.antarticglaciers.org/2017/06/global-last-glacial-maximum/

Henriques, M. (2015). The lost beasts that roamed Britain during the ice age. Retrieved from https://www.bbc.com/earth/story/20150722-lost-beasts-of-the-ice-age

Vernimmen, T. (2019). Human, not glaciers, likely doomed Ice Age cave bears. Retrieved from https://www.nationalgeographic.com/science/2019/08/humans-not-glaciers-wiped-out-ice-age-cave-bears-ancient-dna-shows/

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.