Bermulanya Empayar Safavid Di Bumi Iran

0
628
views

Bumi Parsi merupakan sebuah kawasan geografi yang mempunyai lembaran sejarah yang panjang dan merupakan salah satu daripada tamadun lama yang masih kekal hingga sekarang. Bumi Parsi melahirkan beberapa buah empayar raksasa yang mendominasi dunia seperti Dinasti Akaemeni (550 – 330 S.M), Ashkaniyyan (247 S.M – 224 M), dan Sasaniyyah (224 – 651 M). Selepas di takluk sepenuhnya oleh umat Islam di bawah kerajaan Khulafa ar-Rasyidin pada tahun 651 masihi, bumi Parsi tidak putus-putus melahirkan ilmuwan dan cendekiawan Islam sama ada ilmuwan falsafah mahupun ilmuwan Islam berfahaman ahlus sunnah wal jamaah, yang akhirnya berjaya mengubah dunia Islam dan umat Islam menjadi bangsa yang “superior” di atas muka bumi ini, yang seterusnya membawa arus ketamadun menghala ke dunia Barat sewaktu dunia Islam mengalami sisi kejatuhan sejak penaklukan Kota Baghdad dan bertapaknya Syiah di bumi Parsi.

Gambar 1: kawasan geografi bumi Parsi
Sumber: Google map

Sebelum tersebar luasnya Syiah, bumi Parsi merupakan tanah ilmuwan Islam yang bagaikan sebuah permata yang sangat berharga kepada kaum ahlus sunnah wal jamaah. Bumi Parsi dan bangsanya melahirkan ramai ulama Sunnah seperti Imam Abu Daud, Imam Abu Hanifah, Imam al-Baihaqi, Imam al-Bukhari, Imam al-Ghazali, Imam al-Maturidi, Imam al-Nasai, Imam at-Tirmidzi, Imam at-Tabrani, dan Imam al-Thalabi. Bangsa Parsi juga melahirkan ramai tokoh-tokoh ahli falsafah Islam yang terkemuka seperti Ibnu Sina, Jabir Ibnu Hayyan, al-Biruni, Ibnu Qutaibah, al-Farabi, al-Khawarizmi, Fakhruddin ar-Razi. Ahli politik yang cintakan ilmu pengetahuan iaitu Nizam al-Mulk yang menubuhkan Universiti Nizamiyyah iaitu antara universiti terbesar di dunia ketika itu, dan ahli sejarah yang terkenal seperti Rashiduddin al-Hamadani, al-Fadli Baihaqi, al-Hassan Baihaqi, dan at-Tabari, serta ratusan lagi para saintis, dan ilmuwan Islam adalah sebahagian daripada sejarah Parsi sebelum Safawiyah.

Gambar 2: Ibnu Sina, cendekiawan Islam yang sangat terkenal, yang merupakan orang Parsi
Sumber: https://artforheart.deviantart.com/art/Hakim-Abo-Ali-Sina-66893379

wal jamaah yang tak henti-henti memberi sumbangan kepada pemikiran kaum sunni akhirnya diliputi debu hitam hingga hilangnya sinar yang menerangi dunia kaum sunni apabila bumi Parsi akhirnya berjaya diSYIAHkan secara total oleh generasi dinasti-dinasti Syiah yang menakluk bumi Parsi dari tangan kaum Sunni. Satu berita yang sangat mendukacitakan, dan sangat menyedihkan. Di bawah, penulis menceritakan secara ringkas bagaimana bumi Parsi dan bangsanya yang dulunya majoriti Sunnah berjaya diSyiahkan oleh pemerintah Syiah yang penuh dengan penumpahan darah dan linangan air mata.

SEJARAH SYIAH DI BUMI PARSI

Bumi Parsi yang sejak zaman Khulafa ar-Rasyidan di perintah oleh kerajaan Islam Sunnah seperti Khilafah Abbasiyah, Dinasti Saffariyyah, Samaniyyah, Empayar Turki Ghaznawi, Turki Seljuk, Turki Khawarizmi, Mongol Ilkhan, Turki Aq Qoyunlu dan Mongol Timuriyyah. Ketika itu, tanah Parsi merupakan pusat ilmuwan bagi kaum Sunnah sehingga ramai ulama Sunnah dari Empayar Uthmaniyyah di hantar ke Parsi untuk mendalami ilmu Islam ahlus sunnah disebabkan kekurangan madrasah di dalam Empayar Turki Uthmaniyyah itu sendiri berbanding di Parsi. Walaupun terdapat beberapa kerajaan Syiah oleh bangsa Parsi seperti Kerajaan Buwayh (934-1062) dan Kerajaan Turki Qara Qoyunlu (1375-1468) (jangan tertukar dengan kerajaan Turki Aq Qoyunlu yang berfahaman Sunnah), pengaruh Syiah masih belum kuat lagi di bumi Parsi kerana ketika itu, fahaman Syiah hanya bertapak kukuh di bumi Azeri (Azerbaijan sekarang, Azeri merupakan salah satu dari bangsa Turki Oghuz). Dari tanah Azeri jugalah terbinanya satu pertubuhan sufi Syiah yang dikenali tareqah Safawiyyah pada tahun 1301 oleh Safiuddin Ardabil di daerah Ardabil, Azeri yang ketika itu di bawah kerajaan Mongol Ilkhan. Safawiyyah inilah yang kemudiannya bertanggungjawab mengubah bumi Parsi menjadi bumi Syiah.

Tareqat Safawiyyah merupakan salah satu cabang daripada Mazhab Imam Dua Belas atau Imamiyyah. Saifuddin menjadi pemimpin keagamaan yang mendapat sokongan dan pengaruh yang kuat di Ardabil. Selepas kematian Saifuddin, tempatnya di ganti oleh Sadruddin Musa yang berusaha mengembangkan dakyah Safawiyyahnya keluar dari bumi Azeri. Ketika pemerintahan keagamaan Safawiyyah berada di tangan Sheikh Junaid pada tahun 1447 yang ketika itu Azeri di bawah kerajaan Turki Qara Qoyunlu yang berfahaman Syiah, beliau mula mengubah konsep Safawiyyah daripada pergerakan agama kepada pergerakan politik yang lebih radikal tetapi ditentang oleh Kerajaan Syiah Qara Qoyunlu sendiri menyebabkan beliau mendapat perlindungan daripada kerajaan Sunnah Aq Qoyunlu yang berjiran dengan Qara Qoyunlu. Anak Sheikh Junaid iaitu Shaikh Haidar berkahwin dengan anak perempuan Shahanshah Aq Qoyunlu iaitu Uzun Hassan yang berfahaman Sunnah hingga lahirnya Abu al-Ismail yang dikenali sebagai Shahanshah Ismail I (yang kemudiannya menubuhkan Empayar Safawiyyah). Kerajaan Syiah Qara Qoyunlu akhirnya tumbang di tangan Shah Uzun Hassan pada tahun 1469, menandakan keseluruhan Tanah Parsi kembali ke pangkuat kerajaan Sunnah.

Selepas kematian Shah Uzun Hassan, anaknya Shah Ya’kub mula menyedari tentang ancaman daripada pengaruh fahaman Syiah Safawiyyah bertindak menyerang dan membunuh Sheikh Haidar dan menghapuskan pengikutnya yang digelar Qizilbash (tentera penyokong Safawiyyah yang majoritinya terdiri daripada puak Turki Oghuz), tempatnya di ganti oleh anaknya Ali Mirza yang kemudiannya menyerahkan kepada Abu al-Ismail sebagai pemimpin bagi gerakan Safawiyyah. Ismail yang sangat pintar pada zamannya, dan seorang yang sangat berpegang teguh dengan ajaran Syiah dan sangat membenci ahlus sunnah melebihi agama lain. Beliau kemudian melarikan diri dan bersembunyi di Gilan, dan keluar semula selepas 5 tahun bersama pengikutnya yang terdiri daripada bangsa Turki Oghuz dari puak Azeri untuk membalas dendam ke atas Kerajaan Turki Aq Qoyunlu yang membunuh bapanya kerana perbezaan fahaman agama.

Gambar 3: Shahanshah Ismail I, pendiri Empayar Syiah Safawiyyah
Sumber: http://redhairmyths.blogspot.com/2015/04/ismail-i-shah-of-iran.html

BERMULANYA EMPAYAR SAFAWIYYAH

Pada tahun 1501 ketika Shah Ismail baru sahaja berusia 14 tahun, beliau sudah memimpin pengikutnya bertindak menyerang daerah Shirvan (daerah Aq Qoyunlu) dan berjaya menguasainya. Selepas menguasai keseluruhan tanah Azeri, beliau mengisytihar dirinya sebagai Shahanshah dari Azeri dan membina secara rasmi Empayar Safawiyyah dengan agama Syiah Imamiyyah bertareqat Safawiyyah sebagai agama rasmi kerajaan. Terkejut dengan berita itu, Shah Aq Qoyunlu iaitu Alwand Bin Yusuf mengumpul kira-kira 40,000-50,000 orang tentera menyerang Ismail dan askarnya. Dengan hanya kira-kira 10,000 orang tentera Qizilbash, beliau berjaya mengalahkan Shah Alwand dengan strategi dan kepintaran beliau. Beliau terus mara dan berjaya menguasai keseluruhan kerajaan Aq Qoyunlu pada tahun 1508 dan wilayah Khurasan pada tahun 1510. Dengan itu, keseluruhan Bumi Parsi jatuh ke tangan puak Syiah dari Azeri.

Gambar 4: Empayar Syiah Safawiyyah ketika kemuncak kekuasaan ketika pemerintahan Shahanshah Abbas the Great
Sumber: https://commons.wikimedia.org/wiki/File:Safavid_Empire_1501_1722_AD-es.svg
  • Polisi Shah Ismail

Apabila beliau menaiki takhta kerajaan dan empayarnya berjaya menakluk keseluruhan Tanah Parsi daripada kaum ahlus sunnah wal jamaah, beliau telah memperkenalkan beberapa polisi bagi menghapuskan terus kaum Sunni daripada bertapak di bumi Parsi. Alasannya, beliau ingin membina sebuah kerajaan yang mempunyai identiti sendiri yang berbeza dengan musuh utamanya iaitu Turki Uthmaniyyah, dan Turki Khiva dan Bukhara di Asia Tengah yang berfahaman Sunni. Selain itu, beliau juga ingin rakyat di dalam empayarnya bersatu padu di bawah satu pegangan agama iaitu Syiah kerana beliau bimbang rakyatnya yang berfahaman Sunni akan bersekongkol dengan musuh politiknya iaitu Turki Uthmaniyyah dan Turki Asia Tengah untuk bangkit menentang kerajaannya. Di samping itu juga beliau ingin rakyatnya menunjukkan taat setia kepadanya dan mengelakkan daripada berlakunya ancaman dalam negara. Perkara ini antara alasan utama kenapa beliau melaksanakan polisi yang kejam bagi menghapuskan terus kaum Sunni di bumi Parsi.

Kaedah yang digunakan untuk menSYIAHkan Parsi:

  • Menjadikan agama Islam Syiah mazhab Imamiyyah sebagai agama rasmi yang wajib di anuti oleh semua umat Islam di Parsi, dalam masa yang sama mengharamkan semua tareqah Sunni.
  • Menubuhkan sebuah jabatan yang di gelar Sadri, iaitu sebuah jabatan yang bertanggungjawab mengawasi institusi agama dalam wilayahnya, dengan tujuan untuk menyekat fahaman Sunnah, dan dalam masa yang sama menyebarkan fahaman Syiah Imamiyyah kepada rakyatnya.
  • Mengimport ramai ulama Syiah dari pelosok tanah Arab untuk di bawa masuk ke Parsi bagi menggantikan ulama Sunnah. Beliau juga menawarkan tanah dan wang kepada ulama Syiah untuk datang berdakwah di Parsi. Manakala ulama Sunnah di beri pilihan iaitu jika mahu kekal dalam negara, mesti wajib masuk Syiah, jika enggan, ulama Sunnah di beri pilihan sama ada dibunuh atau keluar dari negara.
  • Memusnahkan semua masjid dan institusi agama kaum Sunni, dan membina banyak masjid-masjid Syiah untuk di jadikan tempat perkembangan ilmu Syiah Imamiyyah.
  • Bertindak menghina, dan memperlekeh tiga orang khalifah terawal Khulafa ar-Rasyidin dalam setiap ceramah dalam setiap masjid-masjid Syiah.
  • Membunuh, memenjara, mengania kaum Sunni yang enggan menukarkan fahaman kepada Syiah. Hasilnya, beratus ribu rakyat dan ulama Sunni di bunuh sepanjang pemerintahan Empayar Safawiyyah yang sangat kejam ke atas rakyatnya yang Sunni.

Polisi di atas di teruskan oleh Shah-shah berikutnya seperti Shah Abbas the Great, Shah Tahmasp, dan Shah Sultan Husain. Selain itu, polisi anti-sunnah turut di gunakan ketika Dinasti Qajar menguasai Parsi yang memerintah dari tahun 1789 hingga 1925.

RESPONS EMPAYAR TURKI UTHMANIYYAH

Mendengar kekejaman yang melampau di lakukan oleh Shah Ismail I terhadap kaum Sunni di Tanah Parsi menyebabkan darah pemerintah Turki Uthmaniyyah mendidih kepanasan akibat kekejaman yang dilakukan terhadap saudara seaqidahnya di Iran. Sultan Turki Uthmaniyyah ketika itu iaitu Sultan Bayezid II menggunakan pendekatan diplomatik telah menulis surat sebagai nasihat kepada Shah Ismail supaya menghentikan keganasannya terhadap kaum Sunni, tetapi di tolak mentah-mentah oleh Shah Ismail, dalam masa yang sama berlaku pemberontakan dalam wilayah Anatolia milik Turki yang ditimbulkan oleh puak Syiah Qizilbash, Alawiyyah, dan Safawiyyah, yang didalangi oleh Shah Ismail.

Selepas Sultan Selim I menaiki takhta kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1512, baginda menggunakan polisi anti-syiah sebagai tindak balas yang dilakukan oleh Shah Ismail di Iran. Baginda bertindak menghapuskan pemberontak Syiah dan membunuh hampir 40,000 puak Syiah di Turki yang di percayai memberontak melawan kerajaan, dan menghalau ribuan orang Syiah ke Iran. Beliau turut melancarkan kempen ketenteraan menakluk wilayah Empayar Safawiyyah dan memenangi Pertempuran Chaldiran pada tahun 1514 dan hampir berjaya menangkap Shah Ismail yang sempat melarikan diri.

Selepas menakluk Kota Tabriz, iaitu ibu kota Empayar Safawiyyah, Sultan Selim ingin meneruskan kemaraan untuk menguasai keseluruhan tanah Parsi tetapi tidak dipersetujui oleh tentera janissari menyebabkan baginda berundur dan memberi fokus untuk menakluk Kerajaan Turki Mamluk di Mesir. Kekalahan Shah Ismail juga memberi tekanan kepada beliau apabila dua orang isteri dan haremnya di tangkap oleh Turki Uthmaniyyah menyebabkan beliau terpaksa minum alkohol untuk meredakan tekanannya.

Apabila berita tersebut sampai ke pengetahuan Sultan Selim I, baginda berkata “dia yang selalu mabuk menyebabkan hilang pertimbangan dan gagal mengurus masalah dalam negeri”, kata-kata ini dipercayai di tujukan kepada Shah Ismail. Pertempuran tersebut juga membuka mata para pemerintah Safawiyyah selepas itu untuk menggunakan teknologi meriam, dan senapang atau dikenali sebagai senjata “gunpowder”.

Gambar 5: Sultan Selim I, Turki Uthmaniyyah
Sumber: http://www.ancient-origins.net/dulkadir

Selepas pertempuran tersebut, berlaku lagi beberapa siri peperangan antara Uthmaniyyah dengan Safawiyyah yang kebanyakkannya di menangi oleh Uthmaniyyah kecuali ketika pemerintahan Shah Abbas the Great dan Nader Shah. Safawiyyah juga mula bekerjasama dengan Dinasti Habsburg dari Austria bagi menentang Empayar Turki Uthmaniyyah yang ketika itu mengasak hebat empayar Austria sebelum tercetusnya Perang Besar Turki (1683-1699) yang membawa kepada kegagalan Turki Uthmaniyyah menakluk Vienna dan kekalahan dalam perang tersebut.

KESIMPULAN

Kini, setelah dikuasai puak Syiah melebihi 500 tahun, Iran merupakan negara Syiah terbesar di dunia dengan peratusan penganut Syiahnya kira-kira 90-95% yang terdiri daripada bangsa Parsi dan Azeri. Manakala kaum Sunnah pula terdiri daripada kaum minoriti seperti etnik asal Khurasani dan Balochisti. Manakala negara bagi puak Azeri yang kini di kenali sebagai Azerbaijan pula kira-kira 90% menganut fahaman Syiah. Betapa sedihnya bagi kita, tanah Parsi yang dulunya merupakan pusat bagi perkembangan ilmuwan Sunni yang hebat selepas kejatuhan Kota Baghdad di tangan Mongol, yang akhirnya majoriti di sana adalah aliran Syiah sehingga hari ini.

Gambar 6: Peta taburan penduduk Sunnah dan Syiah sekarang.
Sumber: http://www.columbia.edu/itc/mealac/pritchett/00maplinks/overview/sunnishia/sunnishia.html

RUJUKAN

The Azerbaijani Turks: power and identity under Russian rule. Audrey L Altstadt, p. 5.

Savory, Roger (2007). Iran Under the Safavids. Cambridge: Cambridge University Press. p. 30. ISBN 978-0521042512.

The Azerbaijani Turks: power and identity under Russian rule, By Audrey L. Altstadt, pg.5

Melville, Charles Peter, ed. (1996). Safavid Persia: the history and politics of an Islamic society (PDF)

Safavid Iran: rebirth of a Persian empire. Andrew J Newman,

Islam, continuity and change in the modern world, By John Obert Voll