Siapa tahu, watak penting disebalik terhentinya kemaraan dan kegilaan bala Monggol ke atas wilayah tamadun Islam itu juga merupakan seorang berketurunan Monggol, anak kepada Jochi dan cucu kepada Genghis Khan. Jochi pula merupakan putera sulung Genghis Khan. Beliau ialah pemerintah kepada Empayar Horde Emas (Golden Horde), empayar pertama dalam kekuasaan Monggol yang menjadikan Islam sebagai agama rasmi empayarnya.

Berke memulakan kariernya dalam bidang perang dan politik apabila mengikuti abang-abang dan pakciknya menyertai beberapa buah pertempuran dan peperangan di bawah kempen penaklukan Monggol. Antaranya ialah menjadi sebahagian daripada 150, 000 ketumbukan tentera yang mara daripada Siberia menawan kerajaan Islam Volga Bulgaria dan juga menundukkan puak Turki Kipchak.

Berke kemudian menjadi watak penting dalam menundukkan sisa-sisa kekusaan puak Kipchak di utara Caucasus lalu mengalahkan keseluruhan puak Kipchak.

Kehebatan Berke Khan ketika zaman sebelum Islamnya adalah kesetiannya bersama Monggol dalam kempen penaklukan Eropah dan salah satu sumbangan terbesar Berke pastinya dalam Pertempuran Mohi di mana ketumbukan askar Hungary yang berjumlah 80 ribu dan dianggotai oleh unit berkuda ringan daripada Knight Templar berjaya dikalahkan begitu sahaja dengan pimpinan Batu Khan, iaitu abang kepada Berke Khan sendiri. Batu Khan merupakan pemerintah kepada Horde Emas yang terbentang luas di bahagian barat laut empayar Monggol.

Selepas kemangkatan Batu Khan, Mongke Khan yang merupakan Khan Agung Kedua Empayar Monggol selepas Genghis Khan telah menabalkan Sartaq yang merupakan anak Batu Khan untuk menjadi pemerintah Horde Emas. Namun, Sartaq dilaporkan meninggal dunia lalu digantikan pula oleh anak lelaki Sartaq yang bernama Ulaghchi. Namun sayangnya, Ulaghchi turut meninggal dunia selepas itu lalu kekuasaan di Horde Emas terus jatuh ke kekuasaan Berke.

Tertabalnya Berke menguasai Horde Emas Monggol sebenarnya merupakan sebuah helaian baru dalam sejarah Islam. Berke Khan kemudiannya memeluk Islam di tangan seorang ulama Sufi daripada wilayah Khawarizm yang bernama Syeikh Saifuddin. Sebaik sahaja pengislaman Berke, maka antara tindakan awal yang dilakukan oleh Berke dalam memperjuangkan agama barunya ialah menghukum komuniti Kristian di Samarkand yang telah memperlakukan komuniti Muslim di sana dengan tersangat teruk dan kejam.

Hikmah disebalik pengislaman Berke Khan ini akhirnya terserlah jua. Siapa tahu, selepas itu Hulagu Khan (sepupu kepada Berke Khan) membawa bala bencana yang tidak pernah terbayangkan dek akal kaum muslimin ketika itu. Bandaraya Baghdad habis dijarah sehingga ke titisan abu dan darah. Nyawa melayang seperti kertas yang dibakar. Apa yang berlaku pada Baghdad dan saudara-saudara seagamanya yang baru itu telah membuatkan Berke naik amuk dan marah dengan tindakan kejam Hulagu Khan dan tenteranya itu.

Sebelum itu, ketika kemangkatan Mongke Khan sebagai Khan Agung Kedua telah membuatkan Hulagu Khan yang sedang menumpukan bala askarnya ke arah wilayah-wilayah Islam di Afrika Utara dan sebahagian wilayah Islam yang bertahan selepas kejatuhan Baghdad terpaksa pulang untuk menghadiri upacara pengebumian Mongke di Mongolia, dan meninggalkan sisa baki kecil tenteranya di bawah kepercayaan jeneral perangnya yang bernama Kitbuga untuk membantai kekuasaan Mamluk yang masih bertahan di Mesir. Namun, ketika ketiadaan Hulagu inilah Pertempuran Ain Jalut yang terkenal itu berlaku pada 3 September 1260 Masihi dan kemenangan ulung dikecapi oleh tentera Islam yang diketuai oleh Saifuddin Qutuz ke atas bala Monggol. Kitbuga pula terbunuh dalam pertempuran itu.

Namun apa yang berlaku pada Pertempuran Ain Jalut hanyalah secebis daripada mimpi ngeri yang dibawa oleh Monggol. Hulagu Khan tidak berada bersama dengan bala dan ketumbukan utamanya untuk membedal wilayah-wilayah Islam di sekitar Afrika Utara ketika itu. Justeru, bagaimana nanti umat Islam mahu menghadapi Hulagu Khan nanti apabila dia pulang dari Mongolia dengan bala askarnya?

Maka ketika inilah betapa perancangan ALLAH itu sangat indah. Berke Khan, sepupu kepada Hulagu Khan sendiri mengambil tanggungjawab mempertahankan saudara seagamanya meskipun terpaksa melawan dan berdepan dengan sepupu dan sebahagian besar bangsanya sendiri. Khabar angin tentang apa yang berlaku pada Baghdad sampai juga pada telinga Berke Khan. Dicatatkan bahawa Berge Khan telah bersumpah dengan sepenuh jiwa raganya.

“Hulagu telah menjarah seluruh kota-kota umat Islam dan telah mendatangkan maut pada khalifah. Dengan bantuan daripada ALLAH, aku sendiri yang akan menebus setiap darah mereka yang tidak berdosa, yang telah ditumpahkan oleh Hulagu!”

Kedatangan Hulagu Khan semula ke Timur Tengah dan tekadnya untuk membalas dendam di atas kekalahan di Ain Jalut terbantut apabila mendapat tahu bahawa sepupunya Berke Khan telah menjalankan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Mamluk di Mesir. Dalam masa yang sama pula, Berke Khan juga telah menyokong Ariq Boke, pesaing Kublai Khan yang merupakan Khan Agung Yang Ketiga dalam berusaha menidakkan pemilikan Kublai Khan ke atas takhta Khan Yang Agung selepas kematian Mongke Khan.

Terjadinya sebuah pertempuran di wilayah Causasus dan sekitar Sungai Terek (terletak di utara Caucasus, kini berada di bawah kekuasan Georgia) pada tahun 1262 antara Ilkhanate yang dipimpin oleh Hulagu Khan serta Horde Emas dibawah pimpinan Berke Khan. Hulagu dan ketumbukan tenteranya terus melancarkan serangan dan mengejar sehingga sampai ke Sungai Terek.

Di Sungai Terek, Nogai Khan yang merupakan orang kanan Berke telah melakukan serangan mengejut ke atas bala ketumbukan tentera Hulagu Khan yang baru sahaja menyeberangi Sungai Terek. Serangan itu membuatkan mereka berundur dan terpaksa melintasi Sungai Terek untuk kali kedua. Lintasan kali kedua membuatkan air Sungai Terek yang sedang membeku itu retak lalu pecah dan menarik kebanyakan tentera-tentera berkuda Hulagu Khan tenggelam dalam air sungai yang sejuk membeku itu.

Meski selepas kematian kedua-dua Berke dan Hulagu (Berke meninggal dunia pada tahun 1266 di Azerbaijan), perseteruan antara Horde Emas dan Ilkhanate tidak pernah tamat begitu sahaja. Tetapi perang saudara antara Berke dan Hulagu Khan terus berlangsung sehingga sampai ke pewaris takhta mereka, berakhir dengan peleraian yang tidak dapat disimpulkan.

Tetapi yang penting, ketika Berke mengisytiharkan Hulagu sebagai musuhnya, kita semua mengetahui bahawa wilayah-wilayah Islam terlindung daripada dilanggar oleh Hulagu laksana Baghdad. Bahkan ada sejarawan mengatakan kalau tidak kerana Berke, mungkin kota suci umat Islam seperti Baitulmaqdis, Makkah dan Madinah pastinya akan menjadi sasaran perlanggaran Monggol yang seterusnya!

RUJUKAN:

Johan Elverskog (2011). Buddhism and Islam on the Silk Road. University of Pennsylvania Press.

Amitai-Preiss, Reuven. (1998). The Mamluk-Ilkhanid War.

Hildinger, Erik. (1997). Warriors of the Steppe: A Military History of Central Asia, 500 B.C. to A.D. 1700


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Merupakan penulis prolifik yang kini sudah memiliki 16 buah buku (setakat Mac 2021). Merupakan pengasas bersama The Patriots, dan memegang jawatan Chief Content Officer untuk Patriots Holding Sdn Bhd. Impian terbesarnya ialah melihat sebuah Baitul Hikmah versi Tamadun Melayu, yang mengumpulkan para genius dari segala bidang, dibawah satu bumbung akademik dan mengabadikan seluruh kehidupan mereka hanya pada ilmu!

Comments are closed.