Berjemaah: Teras Sosial Masyarakat Melayu Yang Kian Hilang

729

Ada beberapa teras atau elemen terpenting dalam masyarakat Melayu suatu ketika dulu. Salah satunya adalah konsep hidup berjemaah.

Konsep ini walaupun sudah wujud sebelum Islam, tapi ia menjadi lebih kukuh setelah kedatangan Islam memandangkan berjemaah juga adalah ajaran Islam.

Nenek moyang kita dulu, banyak melakukan aktiviti secara berjemaah. Membuat rumah, memindah rumah, menanam dan menuai padi, menggali parit dan terusan, membuat lemang dan dodol menjelang lebaran, memasak kenduri dan pelbagai aktiviti dilakukan secara berjemaah.

Tidak ketinggalan, solat fardu, membaca Yasin dan berzikir juga dilakukan secara berjemaah.
Masjid, surau dan balai menjadi tempat biasa perkumpulan masyarakat.

Sebab itu banyak peribahasa Melayu yang menjunjung konsep hidup berjemaah. Antaranya “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dan “kuat pokok kerana akar, kuat akar kerana tanah”.

Dahulu orang saling mengenali sehingga menjangkau radius 5 km dalam sesebuah kampung atau kejiranan. Jika seseorang anak gadis dalam sesebuah kampung diusik atau dijatuhkan maruahnya, maka satu kampung pemuda akan membelanya.

Sikap anti-sosial dianggap sikap yang tidak baik sehingga digelar ‘kera sumbang’. Sumbang itu sendiri membawa maksud sesuatu yang tercela.

Namun hari ini, akibat gaya hidup dan corak sosial yang semakin berubah menyebabkan jiran sebelah rumah pun tidak dikenali.

Di Jepun sekarang, akibat terlalu mengejar kemajuan duniawi, masyarakat sedang dilanda fenomena ‘kodokushi’ iaitu orang yang mati tanpa disedari oleh jiran.

Tidak mustahil kita juga boleh terkena fenomena tersebut jika kita tidak balik pada teras hidup berjemaah ini.

Insya Allah akan datang saya akan kongsikan pula konsep berjemaah dalam perniagaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu dulu yang kini juga telah hilang.

Hasanuddin Yusof
Maktab Penyelidikan
Tamadun Alam Melayu dan Islam.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.