Berhenti Pertikaikan Sumbangan Melayu Kiri Dalam Buku Teks Sejarah!

1,143

Perasan ada yang persoalkan kandungan buku teks Sejarah Tingkatan 4 tentang Hartal, PUTERA-AMCJA dan penentangan mereka terhadap Perlembagaan Persekutuan dan cadangan Perlembagaan Rakyat yang ditolak British dan memihak kepada UMNO.

Pertamanya, silibus tersebut sudah lama wujud dalam buku teks di sekolah, dan bukan hanya wujud selepas PRU14 semata-mata. Agak pelik kerana hanya Sejarah Tingkatan 4 jadi isu sedangkan ia juga dimuatkan dalam buku lain juga, kalau tak silap Sejarah Tingkatan 1 dan 3.

Kedua dan lebih mengejutkan kerana ada pula menyamakan pukul rata bahawa Melayu Kiri, pejuang nasionalis dan sosialis dalam silibus tersebut sebagai k0munis. Ini label yang salah dan tersasar jauh.

Beginilah…

Betul, Hartal pada 20 Oktober 1947 memang disertai banyak kesatuan sekerja di Tanah Melayu ketika itu yang tidak dinafikan telah diresapi ideologi k0munis oleh PKM.

Betul, di dalam PKMM, API, BATAS, AWAS, GERAM dalam PUTERA dan MIC, MDU, PMFTU bersama badan gabungan lain dalam AMCJA ada pengaruh sosialis dan ada antara ahlinya terjerumus dengan k0munis, masuk ke hutan dan menyertai PKM mengangkat senjata melawan British semasa Darurat pasca Perang Dunia Kedua.

Betul, PUTERA-AMCJA menentang Perlembagaan Persekutuan yang dirangka oleh UMNO dan British, merangka perlembagaan mereka sendiri yang dinamakan Perlembagaan Rakyat dan protes kerana British menolak cadangan mereka.

TETAPI, dalam kita melawan pengaruh k0munis dan r4dikal kiri baik sebelum atau selepas Merdeka, kena hati-hati meletakkan bila menyusuri sejarah sekaligus meletakkan label “k0munis” kepada kelompok kiri ini terutama kumpulan Melayu Kiri.

Beginilah, semua K0munis baik dari kalangan K0munis Melayu memang datang dari kelompok kiri seperti yang dinyatakan di atas, NAMUN tidak semua golongan kiri mengangkat senjata masuk ke dalam hutan menjadi k0munis dan hamba PKM, lebih-lebih pimpinan utama dari kelompok kiri Melayu, Cina dan India di Tanah Melayu sebelum dan selepas kemerdekaan Tanah Melayu.

Dr. Burhanuddin Helmy sekalipun mengasaskan PKMM, beliau menemukan laluan baru dengan mengasaskan PAS, antara pembangkang terbesar hari ini, membawa agenda Islam Untuk Semua selaku tulang belakang perjuangan parti.

Ahmad Boestamam sekalipun mengasaskan KMM dan memimpin Pemuda API, beliau menemukan PRM, antara parti terawal yang berjuang secara sah membawa ideologi sosialis dalam pentas politik di Tanah Melayu ketika kegemilangannya.

Aishah Ghani, sekalipun memang pernah menjadi Ketua Wanita PKMM, rakan karib Shamsiah Fakeh yang memang seorang k0munis Melayu dalam PKM, akhirnya berpisah dengan sahabatnya itu ketika keduanya sama memimpin AWAS untuk bersama UMNO.

Aishah Ghani diangkat sebagai ikon pejuang dan veteran UMNO. Beliau merupakan Ketua Wanita UMNO, Senator Wanita yang pertama, malah antara kaum ibu yang menyumbangkan barang kemas buat belanja Tunku Abdul Rahman merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Promosi Buku DTT

Pak Sako, walaupun pernah bersama KMM dan sama mengasaskan PKMM, mengetuai Parti Buruh Malaya, pernah pula dipenjarakan kerananya, beliau merupakan tokoh kewartawanan negara semasa bersama Utusan. Pak Sako adalah pejuang sastera yang menerima anugerah dari Perdana Menteri sendiri pada 1976, menghasilkan karya-karya novel yang diangkat khazanah sastera negara.

Semua tokoh nasionalis dan sosialis yang berhaluan kiri dan menolak doktrin British juga menjauhi UMNO apatah lagi Melayu tidaklah boleh dilabel k0munis secara membabi buta. Ramai lagi yang tak disebutkan di sini.

Jadi hati-hati melabelkan k0munis pada Melayu Kiri, walaupun sebenci mana pun kita kepada ideologi k0munis keparat ini. Dirisaukan kita silap dan terburu-buru menjatuhkan label, dan menjadi fitnah yang sukar dipatahkan dosanya kerana tokoh-tokoh Melayu Kiri ini sudah lama dijemput ke alam abadi.

Sumbangan Melayu kiri ini ada ketikanya memang tenggelam dan dibenamkan kisahnya kerana tidak mahu dianggap sebagai kisah Merdeka yang mainstream, disamping mengelak dari label-label salah sebegini, tetapi ia tidaklah bermakna mereka tidak menyumbang kepada kemerdekaan negara, malah antara yang terawal pula berjuang demi sebuah Tanah Melayu yang bebas dan berdaulat.

Garis sempadan antara ekstremisme ideologi k0munis dan sosialis juga nasionalis kiri memang halus, namun ia tidaklah bermakna langsung tidak dapat dibezakan, malah cara mereka berjuang sama sekali berbeza antara keduanya.

Tun Dr. Ismail Dato’ Abdul Rahman sendiri pernah memanjangkan pengiktirafan kerajaan ketika itu terhadap kelompok kiri ini semasa berucap pada Konvokesyen USM sekitar 1973;

“Bahawa sekalipun kemerdekaan telah dicapai oleh golongan moderate, tetapi sejarah membuktikan bahawa golongan nasionalis radikal juga telah memberikan sumbangan terhadap tercapainya kemerdekaan.”

Semoga nama baik semua tokoh dan pimpinan, kelompok nasionalis kiri dan sosialis ini terhindar dari fitnah dan adu domba dilabel sebagai k0munis yang terang-terang mengancam dan membvnuh rakyat yang menentang ideologi ekstrim mereka.

Pada aku, sebagai rakyat yang semakin matang dalam politik dan sedar dengan banyak perbezaan yang berlaku dalam senario politik negara hari ini, “kesedaran politik” atau “political concious” kena lebih jelas dan tajam. Kita jangan mudah terpengaruh, namun perlu terus kekal sensitif pada senario juga sejarah politik negara.

Tapi tak boleh nak cakap juga, Melayu Kiri ni memang dah biasa kena label. Dengan geng sendiri pun dia biasa kena, macam yang Boes kena kat bawah ni, oleh Kassim Ahmad.

Boes ni masa kena penjara yang kali keberapa entah, UMNO Kuala Pilah pun pernah mohon dengan kerajaan supaya dibebaskan.

Perjuangan mereka, memang penuh liki dan bukan untuk semua faham.

Wallahua’lam.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.