Berbahaya Ke Semut Bersayap?

2,671

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Boleh dikatakan hampir semua orang takutkan serangga yang terbang. Salah satu daripada serangga tersebut adalah lipas. Sehingga wujud ungkapan “Bila dia duduk diam dia lipas, bila dia terbang, jadi oink oink.”

Tetapi untuk artikel kali ini, lipas bukanlah subjek yang akan diceritakan. Artikel kali ini adalah tentang… semut. Ya, tentang semut yang terbang. Bayangkan terdapat ratusan, malahan ribuan semut yang sedang terbang di dalam kediaman anda?

Introduksi

Semut yang memiliki sayap dan terbang ini, bukanlah hasil daripada mutasi genetik, terdapat sebab mengapa semut yang bersayap ini wujud. Semut yang bersayap atau “alates”, (*sebut ey-leyt*) sebuah terma yang diberi oleh pakar entomologi (pakar serangga), merupakan semut yang matang secara seksual di dalam sesebuah koloni semut.

Alates ini lah yang bertanggungjawab memastikan kemandirian spesies nya. Alates ini dihasilkan oleh ratu semut dan diberikan makanan oleh semut pekerja. (Boleh dikatakan alates ini “pangkat” dia tinggi sedikit berbanding semut pekerja dan semut tentera). Alates yang belum matang akan tinggal di dalam koloni, sehingga tiba masa yang sesuai ia akan keluar dari sarang untuk meluaskan serta mengembangkan koloni spesiesnya.

Semut bersayap (alates) jantan dan betina ini keluar dari sarang untuk satu tujuan sahaja, iaitu untuk membiak. Penerbangan alates ketika keluar daripada sarangnya dikenali sebagai “nuptial flights” atau “dispersal” yang bermaksud penyebaran.

Adakalanya mereka akan berkelompok bersama-sama menghasilkan formasi yang dikenali sebagai “swarming”. Formasi ini membantu dalam mempertahankan diri daripada pemangsa, (“Strength in numbers”).

Namun begitu, seperti nasib ikan sardin di laut yang berkelompok untuk mempertahankan diri, alates atau semut bersayap ini adakalanya akan dimakan oleh burung-burung dan haiwan lain. Seakan-akan acara bufet di udara.

Masa Yang Sesuai.

Kebiasaannya, alates dari koloni yang berbeza-beza ini, akan berkelompok pada masa yang sama. Ini adalah kerana kondisi-kondisi yang sesuai perlu terjadi sebagai isyarat kepada alates untuk keluar dari sarangnya. Kondisinya adalah seperti berikut;

– Keadaan cahaya matahari yang terang.
– Keadaan angin yang tidak terlalu kuat.
– Kelembapan udara tinggi.
– Suhu yang panas.
– Selepas 3-5 hari berlakunya hujan.

Kondisi-kondisi ini kebiasaannya terjadi pada masa penghujung musim bunga dan permulaan musim panas. Oleh itu, alates atau semut bersayap ini dapat diperhatikan dengan banyak pada tempoh masa tersebut.

Seterusnya, alates jantan dan betina dari setiap koloni akan memilih masa yang serentak atau berdekatan diantara satu sama lain. Ini untuk meningkatkan peluang kebarangkalian untuk menemui pasangan dan berjaya dalam pembiakannya seterusnya menghasilkan bakal “Ratu Semut” yang baru.

Alates-alates ini kemudian akan berhimpun untuk mengawan (seakan orgy serangga), sama ada di sekeliling pokok, semak samun, struktur menara atau mana-mana bangunan yang besar dan tinggi.

Adakah alates ini berbahaya kepada manusia?

Kumpulan semut alates yang besar ini sudah tentunya akan tampak menakutkan. Seolah-olah seperti sumpahan Imhotep yang mengeluarkan kumpulan besar belalang juta dalam filem The Mummy lakonan Brendan Fraser dan Rachel Weisz.

Namun begitu, alates ini tujuannya hanya satu iaitu untuk membiak. Selagi anda berada jauh daripadanya, ia tidak akan membawa mudarat. Selain itu, jika semut bersayap atau alates ini datangnya dari spesies semut yang tidak menggigit, ia tidak akan menggigit anda. Tetapi, jika spesies semut bersayap atau alates ini adalah dari spesies semut yang menggigit seperti semut api, sudah tentu ia akan menggigit apabila diganggu.

Oleh itu, selagi anda tidak berlari kedalam kumpulan-kumpulan alates yang terbang ini, anda tidak akan di apa-apa kan.

Lepas mengawan depa buat apa?

Sejurus selepas mengawan, majoriti daripada semut bersayap atau alates jantan itu tadi akan mati, seakan menandakan bahawa ia telah menyempurnakan tujuan hidupnya. Manakala alates betina yang telah disenyawakan akan terus terbang mencari tapak yang “berkenan di hati” untuk dijadikan sarang, permulaan kepada koloni baru.

Setiap spesies semut mempunyai tapak-tapak “kegemaran” yang tersendiri. Ada spesies yang menjadikan kayu mereput sebagai sarangnya, ada spesies yang gemar berada di celahan batu.

Setelah menjumpai tapak bagi membangunkan koloninya sendiri, alates betina tersebut akan mematahkan sayapnya sendiri dan tidak akan terbang lagi.

Ratu semut yang baru sahaja “ditabalkan”, akan memulakan kerja-kerja membina sebuah koloni baru. Seterusnya, otot sayap yang tidak digunakan lagi itu, akan dijadikan sumber nutrisi bagi ratu semut. Oleh kerana ratu semut tidak akan berganjak dari tempat bertelur.

Walaubagaimanapun, bukan semua ratu berjaya memulakan koloni yang baru. Terdapat pelbagai faktor yang memainkan peranan antaranya adalah lokasi, genetik, ketiadaan pemangsa serta cuaca yang sesuai.

Sebagai penutup, saya kenalkan anda untuk bagaimana mengenali semut bersayap @ alates dengan anai-anai bersayap @ kelkatu.

Terdapat beberapa ciri-ciri yang boleh dikenalpasti menjadi perbezaan kepada semut bersayap dan anai-anai bersayap dan ia adalah seperti berikut:

– Antenna / Sesungut.
Antenna atau sesungut semut bersayap mempunyai lekukan atau bengkok, manakala antenna atau sesungut anai-anai berbentuk lurus.

– Segmen pinggang
Segmen pinggang bagi semut bersayap mempunyai lengkung seakan-akan dipakaikan korset, manakala segmen pinggang anai-anai lurus dan gemuk berisi.

– Sayap
Semut bersayap atau alates mempunyai 2 pasang sayap yang berlainan saiz. Manakala anai-anai bersayap mempunyai 2 pasang sayap, tetapi mempunyai saiz sama kedua-duanya.

Rujukan:

Are Ants With Wings Dangerous: Flying Ants 101. Retrieved from: https://www.terminix.com/pest-control/ants/types/flying-ant/

Why Ants Have Wings Only Sometimes During the Year. Retrieved from:https://www.thespruce.com/why-do-ants-have-wings-2656364

Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.