Semua “Japanophile” (peminat budaya Jepun, budaya Jepun yang sebenar bukan weebo waifu dan sewaktunya) pasti menanti-nantikan pengumuman kerajaan Jepun pagi tadi tentang nama era baharu yang bakal menggantikan era “Heisei” (平成) iaitu “Reiwa” (令和).

Nama era atau “gengō” (元号) atau “nengō” (年号) di Jepun ialah nama bagi sesebuah tempoh pemerintahan seorang maharaja. Setiap maharaja mempunyai nama era yang tersendiri. Memandangkan Maharaja Akihito akan turun takhta pada 30 April ini, maka pemilihan nama era baharu dibuat bagi Putera Mahkota Naruhito yang akan menaiki takhta pada 1 Mei.

Orang Jepun lagi biasa memakai gengō berbanding tahun Masihi. “Heisei 1-nen” atau “Heisei Gannen” (平成元年) itu tahun 1989, “Heisei 2-nen” tu tahun 1990. Krisis ekonomi tahun 2009 orang Jepun sebut sebagai “Heisei 21 nendo keizai kiki” (平成21年度経済危機). Kalau minat siri Kamen Rider tahulah ada beza antara “Shōwa Riders” dan “Heisei Riders”.

Sejak tahun 1868 (tahun permulaan Jepun moden), Jepun dah pernah pakai nama era “Meiji” (明治), “Taishō” (大正), “Shōwa” (昭和) dan “Heisei”. Meiji nama era Maharaja Mutsuhito (1868-1912), Taishō nama era Maharaja Yoshihito (1912-1926), Shōwa nama era Maharaja Hirohito (1926-1989) dan Heisei ialah nama era bagi Akihito yang menjadi maharaja Jepun sejak tahun 1989 hingga kini.

Amalan gengō sebenarnya berasal dari China. Kalau kita baca sejarah China, kita akan baca pasal “nama” maharaja seperti “Yongle”, “Kangxi” “Qianlong” dan seumpamanya. Tapi itu semua bukan nama maharaja China tapi nama era mereka. Nama bagi Maharaja Yongle (1404-1424) ialah Zhu Di, nama bagi Maharaja Kangxi (1661-1722) ialah Aisin-Gioro Hiowan-Ye. Maharaja China terakhir bernama Aisin-Gioro Puyi, dan nama eranya ialah Xuantong (1908-1912).

Jepun mula memakai gengō pada tahun 645, apabila Maharaja Kōtoku (孝德) melakukan pembaharuan masyarakat Jepun dengan meniru budaya China. Kōtoku menamakan eranya sebagai “Taika” (大化) dan pembaharuan yang dilakukan olehnya dikenali sebagai “Taika no Kaishin” (大化の改新).

Yang menariknya, Korea walaupun dipengaruhi oleh budaya China tetapi tidak mempunyai nama era pada Dinasti Joseon (1392-1897). Ini kerana Korea dilihat sebagai negara “tributary” kepada China. Pemerintahnya hanya bertaraf “raja”, bukan “maharaja”, jadi tak layak untuk ada nama era. 

Ini berbeza dengan Jepun yang melihat diri setaraf dengan China. Jepun belajar budaya China adalah untuk memajukan diri, bukan menunduk kepada China.

Secara tradisi, gengō diambil daripada perkataan-perkataan dalam kitab klasik tamadun China. “Meiji” diambil daripada ungkapan “嚮明而治” dalam kitab Ekikyō (易經), “Taisho” diambil daripada ungkapan “大亨以正” yang juga berasal dari Ekikyō. “Shōwa” diambil daripada “百姓昭明,協和萬邦” dalam kitab Shōsho (尚書) manakala “Heisei” diambil daripada ungkapan “內平外成” dalam kitab Shiki (史記).

Tapi nama “Reiwa” kali ini berbeza sikit. Buat kali pertama gengō tak ambil daripada kitab tamadun China tapi diambil terus daripada Man’yōshū (萬葉集) iaitu antologi puisi Jepun tertua yang dibukukan pada tahun 759. 

“Reiwa” diambil daripada baris puisi berbunyi “初春令月、氣淑風和” (sho shun REI getsu, ki shuku fū WA) yang membawa maksud “bulan berkat pada awal musim bunga, udaranya nyaman dan anginnya membawa tenang”. Jadi perkataan “Reiwa” dalam konteks ini membawa maksud “berkat” dan “ketenangan”. 

Tapi perkataan “Rei” juga memberi maksud “order” dan “rule”, sementara “Wa” ialah nama klasik Jepun. Bunyinya lebih kurang macam “Shōwa” yang membawa maksud “memasyhurkan Wa”. 

Apabila perkataan “Rei” dan “Wa” ditafsirkan bersama, ia nampak lebih agresif berbanding nama “Heisei” yang seolah-olah membawa maksud “pencapaian (成) yang biasa-biasa (平)”. 

Sekarang orang Jepun dah tak nak biasa-biasa. Era Heisei bagi mereka ialah zaman yang “wasted”: ekonomi merosot, bencana alam yang kerap, politik yang cacamarba. Semua ini membawa kepada kemunculan reformis berhaluan nasionalis seperti Shinzō Abe yang bercita-cita untuk “Make Japan Great Again”. Dan pemilihan gengō berdasarkan kitab tamadun Jepun juga memberi konotasi “nativis” iaitu pemurnian budaya negara berdasarkan warisan tempatan bukan tamadun luar. 

Pendek kata, “Reiwa” menandakan kemunculan Jepun yang lebih nasionalis dan asertif. Lebih “right wing” lah orang kata. 

Tapi yang lebih penting, nampak tak orang Jepun betapa bangga dengan tradisi yang berkaitan dengan raja mereka? Walaupun gengō dah diamalkan selama 1,374 tahun, tapi orang Jepun bukan saja tak rasa ia perkara yang kolot yang perlu dibuang, malah siap buat inovasi. 

Kita pula bagaimana? Kata nak Pandang ke Timur.

**nantikan ulasan tentang sejarah Heisei, Naruhito, Masako dan sebagainya sepanjang April ini.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang Pegawai Tadbir Dan Diplomatik, graduan dalam bidang Hubungan Antarabangsa Dan Pertahanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya.

Comments are closed.