Benarkah Usia Lelaki Ini Berusia Lebih 200 Tahun?

2,588

Dalam Islam, kita difahamkan pada zaman dahulu terdapat ramai para Anbia yang usianya sangat panjang hingga menjangkaui ratusan tahun, tetapi tahukah anda pada zaman moden juga terdapat dakwaan yang hampir serupa.

Benar atau tidak, tiada sesiapa mengetahuinya hingga sekarang. Tetapi sebagai seorang Muslim kita tiada keraguan mengenai usia nabi-nabi walaupun tiada larangan untuk dibahaskan.

Li Ching Yuen, merupakan seorang pakar herba, guru seni bela diri dan taktika daril China yang telah meninggal pada tahun 1933 tetapi tarikh lahir sebenar beliau telah masih menjadi pertikaian ramai pihak sehingga hari ini.

Artikel New York Times pada tahun 1930 menyatakan bahawa terdapat catatan klasik Cina bertarikh tahun 1827 yang tertera ucapan tahniah dari pihak kerajaan kepadanya pada hari ulang tahunnya yang ke-150 (yang akan menjadikan tahun kelahirannya pada tahun 1677).

Dua tahun sebelum itu, seorang wartawan dari akhbar yang sama telah menemu ramah seorang lelaki tua dari kejiranan yang sama dengan Li, lelaki itu menegaskan bahawa datuk mereka sendiri mengenali Li sebagai pemuda yang pada masa itu sedang membesar menjadi orang dewasa.

Li sendiri mengakui beliau dilahirkan sekitar tahun 1736, hampir enam dekad kemudian daripada apa yang pernah dinyatakan oleh pemerintah China.

Terdapat banyak dokumentasi mengenai kelahirannya yang didakwa seawal tahun 1677. Ini ditegaskan oleh Wu Chung-chieh, seorang profesor di Universiti Chengdu. Sama ada benar atau tidak, kisah Li Ching Yuen memang menarik perhatian ramai.

Bahkan ia menarik para saintis untuk giat berusaha mengkaji tentang kepentingan amalan pengambilan herba tradisional Cina serta teknik pernafasan untuk umur panjang walaupun setakat ini tiada sebarang bukti mampu menjelaskan adakah ia benar atau tidak.

Menurut salah seorang murid Li, gurunya itu mendakwa beliau pernah menemui seorang lelaki berusia 500 tahun yang mengajarnya latihan teknik Qigong dan mengajarkan beberapa teknik bernafas yang membantu memanjangkan usianya hingga mencapai ke tahap rekod dunia.

Antara kata-kata ungkapan Li –

“Jadikan hatimu tenang seperti air, duduk seperti kura-kura, berjalan dengan lurus seperti burung merpati dan tidur seperti anjing.” 

Itu adalah petikan kata-kata terkenal dari Li ketika ditanya mengenai rahsia umur panjangnya. Dia memberikan jawapan ini kepada Wu Pei Fu, seorang panglima perang yang menjemput Li ke rumahnya untuk mengetahui rahsia umur panjang.

Li percaya bahawa ketenangan dalaman dan kedamaian jiwa yang digabungkan dengan beberapa teknik mengawal pernafasan (Qigong) adalah rahsia untuk mendapatkan umur yang panjang.

Dia adalah orang yang berpegang kepada kepercayaan terhadap kuasa dan zat cendawan hingga ke akhir hayatnya. Dia memilih cendawan liar dan reishi merah atau lingzhi. Inilah asas utama herba kesihatan yang berasal dari kepercayaan kaum Cina kuno.

Penduduk di wilayah-wilayah China pinggir kota telah bergantung kepada hasil tumbuhan cendawan seperti cordyceps (fungus) selama ribuan tahun. Mereka mendakwa ia membantu meningkatkan tahap kekuatan tenaga dan boleh membantu meningkatkan prestasi seksual (ED). Ia juga bahkan dianggap mampu melawan barah, menurunkan kandungan gula dalam darah dan bertindak sebagai pengencer darah.

Banyak klaim yang mungkin boleh diambil kira kerana disokong oleh sains moden. Sebagaimana difahamkan bahawa cendawan mempunyai kemampuan antioksidan yang kuat dan kebanyakan cendawan mempunyai kandungan vitamin D yang tinggi.

Pengetahuan tentang pemakanan moden berkenaan apa yang menjadi makanannya dipadankan dengan kesan dari latihan kawalan pernafasan Qigong memberi satu teori dan idea bahawa betapa dia mengamalkan gaya hidup sihat yang tegas.

Dia juga bersenam setiap hari dan tinggal di kawasan luar bandar. Pada dasarnya dia mengamalkan gaya hidup yang lebih bersih berbanding dengan kelaziman manusia yang tinggal di dunia era perindustrian moden.

Difahamkan, pada usia 72 tahun iaitu tahun 1749, dia pernah menyertai pasukan tentera di bawah Panglima wilayah Yeuh Jong Chyi sebagai seorang guru seni bela diri dan sebagai penasihat taktikal. Dia meninggal dunia pada 6 Mei 1933, di Kai Xian, Sichuan, Republik China dan meninggalkan isterinya yang ke-24, seorang wanita 60 tahun.

Li dilaporkan mempunyai 24 orang isteri sepanjang hidupnya, dan melahirkan kira-kira 200 orang anak, sepanjang hayatnya Li telah menguburkan 23 orang isteri hinggalah dia sendiri meninggal dunia.

Li mendakwa dia dilahirkan pada tahun 1736, walaupun beberapa laporan kontroversi menunjukkan tahun kelahirannya bermula pada tahun 1677.

Berdasarkan kedua-dua kes tersebut, dia mungkin hidup sekitar 197 atau 256 tahun, dimana ia mengatasi rekod dan laporan rasmi dan sah ketika ini iaitu 122 tahun, rekod yang dipegang oleh Jeanne Calment, seorang wanita Perancis.

Namun sudah tentu akan terdapat keraguan kerana Li pada akhir usianya dikatakan masih kelihatan seperti seusia 60an, justeru, pakar gerontologi dan pakar sentiasa meragui dakwaan ini.

Menurut mereka, teori untuk mencapai umur yang lebih lama dengan mengikuti falsafah, diet dan amalan spiritual tertentu, yang kebiasaannya hanya sering popular di Asia Timur, kebiasaannya merupakan dakwaan yang tidak berasas dan tidak munasabah.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.