Benarkah Ulama Nusantara Tidak Diikitiraf Di Tanah Arab?

0
2632
views

Ada seorang hamba Allah berkata, “Ulama-ulama di nusantara tidak diiktiraf oleh ulama-ulama Arab. Kitab-kitab mereka hanya dibaca di Nusantara. Sebab itu Nusantara menjadi ‘lubuk’ amalan-amalan bid’ah.”

Masya Allah… kata-kata sebegini diucapkan disebabkan tidak membaca sejarah tentang para ulama Nusantara. Hakikatnya, ramai dari kalangan ulama-ulama di Nusantara yang diiktiraf dan menjadi rujukan ulama-ulama Arab. Antaranya:-

1) Syeikh Ahmad Al Fathani, ketika berusia 12 tahun lagi ulama-ulama Mekah telah menggelarkannya sebagai “Sibawaih Shaghir” (pakar ilmu nahu). Dua orang ulama besar Mekah iaitu Sayyid Abu Bakar As Syata dan Syeikh Muhammad bin Sulaiman Al Makki meminta beliau untuk mentahqiqkan kitab I’anah AT-Talibin Syarh Fathul Mu’in. Manakala Sultan Abdul Hamid II mengakui kealiman beliau dalam pelbagai bidang.

2) Syeikh Mahfuz At Tarmasi, ulama kelahiran Tremas, Pacitan Jawa Timur ini diiktiraf oleh ulama-ulama Arab sebagai pakar hadith dan fiqh. Beliau yang juga mursyid tariqat Syathariah di Nusantara dilantik menjadi imam besar dan guru di Masjidil Haram. Mendapat gelaran “Allamah, Al-Muhaddith, Al-Musnid, Al-Faqih, Al Usuliy wal Muqri’. Ramai ulama-ulama Arab yang berguru dengan beliau. Antara yang masyhur ialah Syeikh Umar Hamdan, Syeikh Ash Shihab Ahmad, Syeikh Hasan Al Masysyat Al Makki dan mufti Mumbai iaitu Syeikh Sa‘dullah Al-Maimani. Kitab-kitab penulisan beliau dijadikan rujukan wajib di institusi-institusi pengajian tinggi di Iraq, Maghribi, Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain.”

3) Syeikh Yasin Al Fadanim mendapat gelaran “Musnid Al Asr” (Pemegang Sanad Unggul Zaman) dari ulama hadith di Mekah iaitu Sayyid Abdullah Al Ghumari. Ulama-ulama besar Arab menjadi anak murid beliau antaranya Syeikh Ali Jum’ah (mufti Mesir) dan Syeikh Mahmud Said Mamduh (ulama terkenal di Mesir). Syeikh Mahmud Said Mamduh pernah berkata: “Syeikh kami Allamah Al Fadani bukan hanya sekadar seorang musnid, bahkan beliau adalah seorang alim yang menguasai segenap disiplin ilmu Islam. Beliau menjadi tumpuan manusia meminta fatwa daripada pelbagai ceruk rantau.”

Ramai lagi kalau nak cerita dalam artikel ini seperti Syeikh Ahmad Khatib Al Minankabawi, Syeikh Zainuddin Bawean, Syeikh Abdul Qadir Al Mandili, Syeikh Uthman Tungkal dan banyak lagi. Tetapi cukuplah tiga nama ini penjadi penguat hujah melawan tuduhan-tuduhan tidak berasas kepada ulama nusantara yang silam.