Bagi raja-raja Eropah pada zaman penjelajahan, kuasa-kuasa Barat ditonjolkan melalui penerokaan dan penjajahan tanah di luar Eropah. Maka, tidak hairan jika benua Amerika yang dahulunya dipanggil sebagai Dunia Baru menjadi rebutan para penjelajah sehingga British, Sepanyol, dan Portugal menjadikan tanah ini sebagai sebahagian empayar mereka.

Informasi tentang Dunia Baru telah tamadun Barat temui dari catatan-catatan kaum muslim di Afrika dan Andalusia yang pernah melakukan pelayaran ke sana. Ekspedisi yang popular ketika fasa sebelum penemuan Columbus adalah ekspedisi Abubakari II, abang Mansa Musa yang menjadi raja kerajaan Mali paling kaya di dunia.

Namun, mengikut buku karya Jerald F Dirks berjudul Muslims in American History: A Forgotten History, Turki Uthmaniyah dikatakan pernah pergi ke Dunia Baru sezaman dengan fasa kerancakan muslim Andalusia dan Afrika meneroka ke sana. Benarkah dakwaan beliau mengenai penglibatan Uthmaniyah? Jika benar, apakah Uthmaniyah pernah membina koloni di sana?

Jerald F Dirks adalah sarjana AS yang memperoleh sarjana kedoktoran dalam bidang psikologi dari University of Denver. Beliau memeluk agama Islam pada 1993 dan bergraduasi dari program pendidikan Islam di Imam Muhammad ibnu Saud Islamic University pada 1998. Kini beliau menjadi pensyarah dan pendakwah yang mengajar para pelajar di universiti dan kolej AS.

Berbalik kepada buku beliau, Dirks menyenaraikan 3 bukti yang mampu menjelaskan akan keterlibatan Turki Uthmaniyah dalam penjelajahan ke Dunia Baru, iaitu:

1.Kekuatan armada laut
2.Peta Piri Re’is
3.Pengunaan bahasa Turki dalam kalangan orang asal AS

KEKUATAN ARMADA LAUT

Armada laut Uthmaniyah didirikan pada awal abad ke-14 Masihi selepas meluaskan jajahan ke laut pada tahun 1323 dengan menakluk Karamürsel, kemudian menjadi perlabuhan pertama Uthmaniyah. Pada abad ke-15 dan ke-16 Masihi, pada zaman pemerintahan Sultan Mehmed II atau Al-Fateh (1451-1481) dan Sultan Beyazid II (1481-1512), armada laut Uthmaniyah menjadi armada paling berkuasa berbanding armada-armada kerajaan dan empayar lain.

Kerana kekuatan armada ini, Uthmaniyah menguasai bahagian timur Laut Mediterranean dan berjaya berlayar keluar ke Lautan Atlantik. Dari sinilah Uthmaniyah berlayar menyeberangi Lautan Hindi dan mendarat di Aceh, Asia Tenggara kemudian mengukuhkan hubungan diplomatik bersama.

Dirks percaya bahawa Uthmaniyah berkemungkinan besar pernah berlayar menyeberangi Lautan Atlantik, menemui benua Amerika walaupun secara arkeologi tidak ada lagi catatan-catatan yang merekodkan ekspedisi Uthmaniyah ini.

PETA PIRI RE’IS

Peta Piri Re’is yang menjadi simbolik kegeniusan Turki Uthmaniyah kerana ketepatan kawasan geografi dan koordinasi.

Pada bulan Oktober 1929, perpustakaan Serallo Library yang terletak di Istanbul, Turki menyimpan sebuah khazanah yang bernilai. Dalam perpustakaan tersebut terdapat sebuah peta bertarikh bulan Mac 1513 dilukis oleh seorang ahli navigasi Turki bernama Piri Muhyi’ Al-Din Re’is.

Peta itu terdiri dari Afrika Barat, Lautan Atlantik, dan benua Amerika. Yang uniknya peta Re’is adalah kehadiran geografi dalam benua Amerika. Kawasan geografi yang dilukis Re’is seperti Pergunungan Andes dilukis dengan koordinasi yang tepat. Pada waktu ini orang Eropah Kristian tidak tahu lagi akan kewujudan pergunungan itu sehinggalah ekspedisi Pizzaro pada 1527.

Selain Pergunungan Andes, kawasan geografi lain yang tidak pernah Eropah Kristian temui seperti Pulau Marajo di delta Sungai Amazon dan Sungai Atrato di Columbia juga dilukis pada koordinasi yang tepat. Pokoknya ukuran peta Re’is bertepatan dengan peta kini, sekolah-olah Re’is meneropong dari langit kemudian melukisnya tepat seperti apa beliau nampak.

Re’is memberitahu bahawa beliau merujuk sumber-sumber terdahulu termasuklah maklumat dari Columbus, tetapi Columbus menafikan kerana beliau tidak pernah memasuki hutan Amazon dan beberapa kawasan geografi lain yang begitu aneh baginya. Dari sini kita nampak bahawa sumber-sumber yang Re’is maksudkan adalah sumber dari muslim Afrika atau pelayar Uthmaniyah sendiri yang pernah menjelajah ke benua Amerika.

PENGGUNAAN BAHASA TURKI DALAM KALANGAN ORANG ASAL AMERIKA

Kajian linguistik terhadap bahasa orang asal Amerika adalah penting untuk membuktikan tentang kehadiran pelayar-pelayar muslim seperti Turki Uthmaniyah yang kemudian mengajarkan bahasa mereka kepada orang asal.

Terdapat banyak persamaan kata beberapa kaum orang asal dengan bahasa Turki Lama (sebelum menjadi bahasa Turki kini). Contoh kata bahasa orang Cherokee dari Amerika Utara, iaitu ‘toquo’. Maksud toquo bagi orang Cherokee ialah ayam belanda. Namun bunyinya sama dengan kata dari bahasa Turki Lama iaitu ‘tah-wook’ bermaksud ayam.

Kata orang Cherokee seterusnya ialah ‘yuni-winigiski’ yang bermaksud orang kanibal. Kata ini juga mempunyai persamaan dari segi bunyi dengan suku kata Turki Lama iaitu ‘yana-vaham-necis-ki’ yang bermaksud makanan menjijikan dimasak oleh orang kurang siuman.

Tidak cukup dengan bahasa Cherokee? Kita pergi ke bahasa orang Powhatan, orang asal Amerika yang menetap di timur Virginia, AS. Contoh suku kata Powhatan yang cukup kita kenal ialah ‘tomahawk’. Maksud tomahawk bagi orang Powhatan ialah sejenis kapak. Bunyi kata ini hampir sama dengan kata ‘tam-tomak’ dari Turki Lama. Tam-tomak bermaksud sejenis alatan kayu untuk tujuan memotong.

Satu lagi kata orang Powhatan ialah ‘suckahanna’ bermaksud air, juga bunyinya sama dengan kata ‘su-cag-ana’ yang bermaksud air yang mengalir.

Perbandingan kedua-dua bahasa orang asal Amerika ini saja cukup untuk kita ketahui bahawa Turki Uthmaniyah pernah tiba di benua Amerika, membina koloni dan berhubung dengan orang asal sana. Oleh sebab keakraban Uthmaniyah dengan kaum-kaum asal ini, banyak bahasa Turki Lama diserap masuk dalam bahasa mereka secara tidak sengaja.

Dakwaan-dakwaan Dirks dari buku beliau cukup membuka minda pembaca akan kebarangkalian muslim-muslim Afrika, Andalusia, dan terutamanya Turki Uthmaniyah berlayar ke benua Amerika dan berinteraksi dengan kaum-kaum asal di sana. Kita hanya menunggu kajian-kajian arkeologi yang mampu mengukuhkan dakwaan Dirks ini.

RUJUKAN:

Dirks, Jerald. Muslims in American History: A Forgotten History. Amana Publications.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang ulat buku dan pejuang alam sekitar. Penulis yang rajin tulis tentang flora dan fauna serta sejarah dunia. Dan tak terkecuali peminat Fate.

Comments are closed.