Benarkah Tun Seri Lanang Pengkhianat Islam Dan Dalang Portugis?

2153
views

Saya telah ‘ditag’ dalam satu pos FB yang menyatakan Tun Seri Lanang adalah seorang pengkhianat bangsa dan dalang Portugis . Pada saya tuduhan ini sangat berat, menyimpang dan tidak berasaskan fakta yang kukuh.

Saya bawakan fakta-fakta berikut:-

* Tun Seri Lanang yang dilahirkan pada tahun 1565 di Kota Seluyut, Johor, lahir 54 tahun setelah kejatuhan Melaka pada Portugis. Beliau kemudiannya dilantik menjadi Bendahara kerajaan Johor Lama. Jadi jika ada yang menyatakan beliau punca kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka adalah sangat tidak masuk akal.

* Tun Seri Lanang dibawa Sultan Iskandar Muda ke Aceh dan diangkat menjadi pemimpin Samalanga yang bertaraf Hulubalang. Semua orang tahu bahawa Sultan Iskandar Muda merupakan satu tokoh yang sangat membenci Portugis. Hidupnya dihabiskan untuk memerangi Portugis di Melaka. Mustahil orang yang membenci Portugis akan mengambil dalang Portugis menjadi pegawainya.

* Saya meyakini bahawa Tun Seri Lanang adalah seorang pemimpin yang soleh berdasarkan syarat-syarat pemilihan Pemimpin Wilayah dalam Kanun Syarak Aceh.

* Dalam Fasal 3 Kanun Syarak Aceh, seseorang itu mestilah memenuhi 22 kelayakan berikut untuk menjawat jawatan Hulubalang (Pemimpin Wilayah):-

1) Bukan bekas hamba sahaya
2)Telah berumur 40 tahun
3) Mengetahui selok belok hukum syarak
4) Berasal dari keturunan yang baik
5) Tidak mempunyai musuh di wilayah yang diperintah
6) Bersifat berani pada perkara yang benar
7) Berasa takut pada perkara yang salah
8) Berkemampuan menahan amarah
9) Mengetahui Kanun Syarak Kerajaan Aceh
10) Bersifat pemurah dan penyayang kepada fakir miskin
11) Mengerti melaksanakan fardu ain dan fardu kifayah
12) Mampu menjadi imam solat Jumaat di masjid
13) Mampu menjadi khatib Jumaat di masjid
14) Bijaksana
15) Mempunyai sifat malu dan tidak tamak
16) Penyabar dan rendah hati
17) Membebankan amar makruf dan nahi mungkar
18) Pemilihannya berdasarkan muafakat rakyat
19) Berkeupayaan memelihara kehormatan rakyat
20) Tidak bersifat zalim
21) Berpegang teguh dengan hukum syarak
22) Berpegang dengan Kanun Syarak Aceh

* Jika Tun Seri Lanang musuh Islam, mustahil dapat beliau memenuhi syarat-syarat di atas.

*Adapun penulisan Sulalatus Salatin itu pasti ada kelemahan. Ini kerana berkemungkinan besar Tun Seri Lanang menulis sekadar bersumberkan sekunder dan tertier, bukannya premier’. Kelemahan karya itu tidak dapat menafikan keperibadian Tun Seri Lanang.