Baru-baru ini, seorang Menteri mendakwa bahawa kerajaan terpaksa menarik diri daripada menerimapakai Statut Rome dengan alasan coup d’etat boleh berlaku.

Coup d’etat atau rampasan kuasa bukanlah sesuatu yang boleh dimain-mainkan atau dicanang sebegitu sahaja tanpa bukti.

Tuduhan sedemikian sudah pastinya akan menyebabkan pelabur menjadi gemuruh untuk melabur di Malaysia. Apa tidaknya kalau duit yang dilaburkan tidak boleh dibawa keluar pula. 

Tetapi, adakah tuduhan itu berasas?

Statut Rom ditolak kerana Majlis Raja-Raja tidak bersetuju dengan sebahagian daripada Statut tersebut yang dianggap menjadi pintu belakang untuk melemahkan kedudukan Majlis Raja-Raja. 

Majlis Raja-Raja membuat kesimpulan tersebut berdasarkan 2 perkara; yakni keengganan kerajaan Persekutuan membawa usul tersebut kepada Majlis Raja-Raja sebelum menerimapakai peruntukan tersebut, dan hasil rumusan 4 orang ahli akademik tempatan. 

Dalam matapelajaran Sejarah, kita dimomokkan bagaimana Sultan Abdullah telah diperdaya oleh British di Pulau Pangkor. Begitu juga kelicikan Sir Harold MacMicheal dalam memperdayakan Sultan-Sultan untuk menubuhkan Malayan Union. Dalam hal ini, tindakan Majlis Raja-Raja adalah tepat dan betul untuk mengelakkan sejarah hitam berulang.

Sekiranya yang membantah Statut Rom itu adalah Majlis Raja-Raja itu sendiri, apakah kegentaran kerajaan akan rampasan kuasa itu berasas?

Secara asasnya, di peringkat tertinggi kerajaan Malaysia adalah Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong. Baginda adalah ketua negara Malaysia. 

Baginda juga adalah wakil kepada Majlis Raja-Raja dalam hal ehwal pentadbiran negara. Antara tugas baginda adalah:

1. Sebagai ketua agama Islam di negeri-negeri tak beraja.
2. Sebagai pelindung kepada hak orang Melayu dan Bumiputera.
3. Sebagai pelindung kepada hak bukan bumiputera (nota: kerakyatan kepada bukan bumiputera hanya diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja selepas 1948 melalui penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948).

Walaupun Kerajaan Persekutuan dilantik melalui proses demokrasi, yang dilantik cumalah badan legislatif, yakni Parlimen. Daripada Parlimen, badan eksekutif dilantik bagi mentadbir badan pelaksana kerajaan bagi pihak Yang DiPertuan Agong.

Bagi pihak? Kenapa bagi pihak? Bukankah kerajaan itu dari rakyat untuk rakyat? Kata-kata itu tidak sesuai digunapakai dalam konteks Malaysia yang mengamalkan sistem Raja Berpelembagaan. 

Raja-Raja adalah penaung kepada Institusi Kerajaan. Seperti disebut di atas, Yang DiPertuan Agong adalah ketua negara. Perdana Menteri yang merupakan lantikan daripada Parlimen pula cumalah pentadbir kerajaan bagi pihak Majlis Raja-Raja. 

Itu sebab perlantikan PM memerlukan perkenan daripada Yang DiPertuan Agong. Itu sebab kenapa di belakang institusi kerajaan utama, terdapat perkataan Diraja (sebagai contoh, ATM dan PDRM). Itulah sebab di atas sampul surat daripada kerajaan, terdapat perkataan Urusan Sri Paduka Baginda, dan bukannya urusan Perdana Menteri. Itu sebab di dalam Rukun Negara, yang keduanya Kesetiaan kepada Raja dan Negara, bukannya Kesetiaan kepada Perdana Menteri dan Parti.

Jadi, kalau Majlis Raja-Raja tak perkenan dengan pengiktirafan Statut Rom, dan mereka juga adalah ketua negara sebenar-benarnya, apakah dakwaan rampasan kuasa itu sebenarnya suatu amaran, bukan kerisauan? Kerana sang ketua tak boleh merampas apa yang sudah dipegang, cuma yang gian terhadap kuasa yang akan cuba merampas apa yang tiada di tangannya.

Dengan mengandaikan berlakunya rampasan kuasa dan tuduhan deep state adalah sangat dahsyat malah ia seolah-olah mahu meletakkan keterlibatan Angkatan Tentera Malaysia. Janganlah kerana mahu mengekalkan survival politik, kestabilan negara sanggup diperjudikan. 

Kita seharusnya lihat, keinginan Malaysia untuk meratifikasikan Statut Rom secara autonomi tanpa mendapatkan pandangan pihak pemegang taruh seperti Majlis Raja-Raja dan kalangan rakyat adalah salah pihak pemerintah dan seharusnya, pihak pemerintah lebih bertanggungjawab dengan mengakui kesalahan sendiri dan bukan menuding jari dan menyalahkan pihak lain atau dengan mewujudkan fear mongering supaya pemerintah nampak mulia walhal sebenarnya anda yang silap langkah dalam membentuk satu-satu polisi berdasarkan konvensyen antarabangsa yang negara kita sendiri tidak perlukan.

Suka kami mahu katakan, Malaysia seharusnya menumpukan dan menggembleng tenaga memperkukuh ratifikasi konvensyen sedia ada, khususnya darihal penguatkuasaan maritim dan alam sekitar yang masih lompong dan dilihat tidak mencapai standard pun. Kita telah lihat bagaimana Malaysia yang merupakan negara signatori International Convention In Preventing Pollution at Sea masih tidak tegas dalam menguatkuasa undang-undang anti pencemaran di laut terhadap kapal-kapal asing.

Sedang Singapura kini menguatkuasakan ketetapan Emission Control Area, kita masih belum lagi membawa ke meja PBB penguatkuasaan special area bagi pembuangan sisa pepejal di Selat Melaka seperti mana negara-negara Carribean, masih belum ada kuatkuasa undang-undang zon perairan anti pencemaran dan pelepasan gas Sulfur Oksida dan Nitrogen Oksida sebagaimana yang telah dibuat oleh Kesatuan Eropah sejak tahun 2008.
Kita sudah ratifikasi ketetapan antarabangsa ini tapi kita sibuk nak ratifikasi konvensyen yang tak penting malah pihak agensi penguatkuasa seolah dinafikan lagi aset dan dana untuk mempunyai aset dan sumber manusia untuk menguatkuasa undang-undang tersebut.

Lihatlah dan tanyalah APMM, apakah mereka mempunyai keupayaan mencegah tumpahan minyak? 

Tanyalah Jabatan Laut, adakah kapal mereka memadai untuk menguatkuasa trafik perkapalan?

Nampak macam agak melalut tapi hakikatnya itulah dia. Pemerintah sibuk nak ratifikasi konvensyen baru sedangkan yang lama pun tak dibuat apa-apa dan lepas tu demi survival politik mula menggembar gemburkan cerita-cerita kudeta dan deepstate yang kami anggap bullshit dan mengganggu gugat kestabilan negara amnya.

Cukuplah berpolitik merepek sebegini. Banyak lagi keperluan pasukan keselamatan kita yang harus diutamakan.

Pada masa sama, kami merafak sembah taat setia kami kepada Yang DiPertuan Agong, semoga kekal selamat menjadi payung kepada negaraku Malaysia dan kekal berdaulat selagi bulan dan bintang di langit dan ombak mencecah pantai seluruh negara.

IkanSadinMakanOrang & WarPig

Artikel dinaikkan selepas mendapat izin laman sekutu kami, Malaysia Military Power.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.