Benarkah Nero Bermain Alat Muzik Semasa Rom Terbakar?

0
720
views

Pada Julai 64 Masihi, kebakaran besar melanda Rom selama enam hari di mana 70% bangunan musnah dijilat api sementara separuh dari populasi bandar tersebut kehilangan tempat tinggal. Kebakaran ini juga membawa kepada mitos maharaja Rom, Nero bermain biola semasa kebakaran tersebut berlaku. Ekspresi ini mempunyai dua makna; pertama, Nero berhibur tatkala rakyatnya menderita dan kedua, perbuatan ini menunjukkan ketidakcekapan baginda sebagai pemimpin dan maharaja. Nampak mudah untuk menyalahkan Nero atas apa yang berlaku tetapi perlu diingat, setiap maharaja Rom mempunyai ramai musuh dan musuh-musuh mereka tidak teragak-agak menyerang keperibadian mereka bagi menunjukkan sesetengah maharaja ini tidak layak menduduki takhta.

Ada banyak masalah berkenaan ekspresi ini. Pertama, alat muzik yang dikatakan dalam ekspresi tersebut. Berdasarkan catatan sejarah, alat muzik bertali seperti biola tidak wujud dalam tamadun Rom. Sejarawan muzik percaya alat muzik tersebut tidak wujud sehingga abad ke-11 Masihi. Sekiranya Nero ada memainkan alat muzik, ia berkemungkinan cithara, sejenis alat muzik yang dibuat daripada kayu berat dengan empat hingga tujuh tali. Namun tiada sebarang bukti menunjukkan alat muzik tersebut dimainkan semasa kebakaran berlaku. Sejarawan Rom, Tacitus mencatatkan antara khabar angin dalam kalangan rakyat ketika itu ialah Nero dikatakan menyanyi berkenaan kemusnahan bandar Troy semasa melihat kebakaran berlaku. Bagaimanapun khabar angin tersebut dianggap palsu kerana tiada pengesahan daripada saksi-saksi. Ekspresi ini hanya wujud apabila dalam bahagian pertama drama William Shakespeare, Henry VI. Ini disusuli pula dengan ekspresi Mary Francis Gyles yang dinyatakan oleh pelakon teater, George Daniel dalam penerbitan akhbar The Classical Journal, “Let Nero fiddle out Rome’s obsequies.”

Kedua, Nero tidak berada di Rom semasa kebakaran besar melanda bandar tersebut. Sebaliknya, baginda berada di Antium, 35 batu dari Rom. Maka mustahil bagi Nero melakukan perkara yang dikatakan itu tatkala Rom binasa. Ketiga, ramai menggunakan insiden ini untuk menunjukkan baginda sebagai seorang yang zalim dan kejam. Hakikatnya, selepas Nero mendapat berita musibah tersebut, baginda segera bergegas pulang dan mengarahkan Campus Martius dan taman-taman awam dibuka sebagai tempat perlindungan sementara bagi mangsa-mangsa yang kehilangan tempat tinggal. Malahan, Nero juga tidak teragak-agak membangunkan bangunan sementara dan membuka taman istana baginda sendiri untuk memberi perlindungan kepada mereka. Selain itu, Nero turut mengarahkan bekalan makanan diambil dari bandar-bandar berhampiran dan mengurangkan harga jagung bagi memberi makan kepada orang Rom.

Walaupun dengan semua inisiatif ini, rakyat Rom masih tidak mahu mempercayai maharaja mereka. Ini kerana wujud khabar angin Nero mengarahkan kebakaran dicetuskan untuk memaksa penduduk keluar dan menggunakan tanah mereka untuk membina Istana Emas dan taman-taman sekitarnya. Dan ini ditambah dengan tindakan baginda menyalahkan orang Kristian sebagai punca kebakaran. Ini mengakibatkan ramai penduduk Rom yang menganut agama tersebut ditahan dan mati dibunuh. Selain dari semua ini, banyak lagi khabar angin yang sengaja dinaikkan oleh penulis Rom untuk memburuk-burukkan Nero. Tatkala kebakaran besar Rom berlaku, baginda merasa suka melihat orang Kristian dicampak dan dimakan hidup-hidup oleh kumpulan anjing. Nero jua turut menganjurkan pesta-pesta tatkala baginda dan para tamu menyaksikan warga Nasrani/Kristian ini dibakar hidup-hidup pada palang di taman baginda. Kekejaman Nero menyebabkan ramai orang Nasrani/Kristian berdendam dengan baginda. Buktinya, The Sibylline Oracles, Buku 5 & 8 yang ditulis pada abad ke-2 Masihi mendakwa Nero ialah Dajal. Sementara angka 666 yang ditemui dalam Book of Revelation sebenarnya kod bagi Nero.

Waqaf Saham

Namun sebelum kita semua hendak mencerca Nero habis-habisan, kita kena ingat apa yang saya katakan sebelum ini. Maharaja Rom mempunyai ramai musuh dan mereka tidak teragak-agak memburuk-burukkan sesetengah maharaja yang dibenci. Selepas Nero mati akibat membunuh diri pada 9 Jun 68 Masihi, Suetonius dan Cassius Dio mendakwa ramai bergembira menyambut berita kematian Nero. Tetapi Tacitus pula menyifatkan sementara kelompok bangsawan dan orang kaya bergembira mendengar berita kematian baginda, rakyat biasa dan hamba-hamba menangisi kematian Nero. Ini kerana mereka melihat Nero banyak menjaga kepentingan mereka. Dan ironi berkenaan Nero ini sebenarnya dikongsi oleh bapa saudaranya yang juga Maharaja Rom yang dilabel gila dan kejam oleh Suetonius dan Cassius Dio, Caligula. Selain itu, taktik menconteng arang ke atas maruah Nero ini juga dibuat semata-mata untuk mendapat sokongan maharaja-maharaja berikutnya seperti Galba, Otho, Vithelius dan Vespassian. Justeru, imej negatif yang melekat pada Nero yang kita ketahui hari ini bukan semata-mata atas keperibadiannya tetapi juga atas sebab penulis dan sejarawan Rom menulis kisah-kisah jelik berkenaan baginda.

Kekejaman Rom dan maharajanya bukanlah satu perkara yang asing dan sudah direkodkan dalam sejarah terutama sejarah penindasan orang Kristian. Tetapi apakah cerita-cerita yang disebarkan ini memang berdasarkan fakta atau ianya dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu semata-mata untuk mendapatkan sokongan dan mengekalkan kuasa yang diraih? Sejarawan dan ahli arkeologi masih mengkaji tinggalan Rom hari ini terutama tinggalan istana Nero. Kajian-kajian inilah yang mendedahkan lebih banyak maklumat baru tentang apa sebenarnya yang berlaku dalam tempoh tersebut dan keadaan dunia yang diperintah baginda. Bagi Rom sendiri, Eternal City yang kita kenali hari ini bangkit dari abu kebakaran besar tersebut.

SUMBER

1. History. (2012). Did Nero really fiddle while Rome burned. http://www.history.com/news/ask-history/did-nero-really-fiddle-while-rome-burned

2. McNamee, Gregory. (2012). Britannica. Did Nero Fiddle As Rome Burned? http://blogs.britannica.com/2012/03/did-nero-fiddle-rome-burned/
3. DHWTY. (2014). Ancient-Origins. Did Nero Really Fiddle While Rome Burned? http://www.ancient-origins.net/history-famous-people/did-nero-really-fiddle-while-rome-burned-001919?nopaging=1

Previous articleBenarkah Ekuinoks Menyebabkan Suhu Melampau?
Next article10 Fakta Menarik Mengenai Alexander The Great
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE