Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim telah dilaporkan oleh Sinar Harian [1] telah mengeluarkan kenyataan iaitu “Saya beranggapan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu sebagai satu pelanggaran terhadap prinsip Raja Berperlembagaan dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berparlimen.” Sejauh mana kebenaran pandangan yang diutarakan oleh YB Pasir Gudang ini?

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan, kita boleh menggariskan 3 isu utama telah dalam memahami hubungan antara Institusi Diraja dengan Institusi Demokrasi Berparlimen menurut lunas Perlembagaan.

  • Keanggotaan Parlimen dan Ahli Parlimen

YB Pasir Gudang telah merujuk Perlembagaan Persekutuan Perkara 47: Kelayakan menjadi ahli parlimen iaitu terdiri daripada ahli di Dewan Negara dan ahli di Dewan Rakyat. Maka beliau berhujah bahawa “kepercayaan wajar diberi kepada mereka untuk menimbang mana yang baik dan mana yang merosakkan negara.”

Sebelum kita menelusuri dengan lebih lanjut perihal Perkara 47 ini, ketiga-tiga cabang kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman ini memiliki hubungan antara satu sama lain dan juga hubunga dengan Institusi Beraja. Malaysia tidak mengamalkan doktrin pemisahan kuasa yang tulen.

Hubungan Cabang Eksekutif dengan Institusi diRaja khususnya YDPA boleh dilihat dalam banyak peruntukan Perlembagaan seperti YDPA memiliki budi bicara melantik Perdana Menteri. Manakala, asas kepada hubungan Raja dan Eksekutif terkandung dalam Perkara 39: “Kuasa eksekutif Persekutuan hendaklah terletak hak pada Yang di-Pertuan Agong…”

Seperti mana hubungan YDPA dengan badan eksekutif, Perlembagaan Persekutuan juga telah menggariskan hubungan YDPA dengan badan Perundangan di bawah Perkara 44: Keanggotaan Parlimen “Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat.”

Sehubungan itu, adalah tidak tepat untuk menganggap berlakunya pelanggaran prinsip Raja Berperlembagaan terhadap Demokrasi Berparlimen apabila institusi YDPA juga sebagai salah satu anggota Parlimen.

  • Kebebasan Ahli Parlimen Mengundi

Kenyataan Istana 28 Oktober [2] yang menyeru agar Belanjawan 2021 diluluskan telah difahami sebagai satu bentuk campur tangan terhadap kebebasan Ahli Parlimen mengundi sama ada untuk meluluskan atau membantah RUU tersebut.

Kenyataan tersebut perlu difahami secara cermat di mana titah baginda pada Perenggan 3 itu bertitik tolak daripada frasa ‘perbalahan politik’. Perbalahan tersebut boleh menyebabkan focus menjaga ‘kebajikan rakyat serta kesejahteraan negara’ itu diabaikan hingga mengakibatkan Belanjawan 2021 tergantung disebabkan perbalahan politik politik.

Kegagalan Belanjawan 2021 disebabkan perbalahan politik atau kegagalan disebabkan kandungan Belanjawan yang tidak mementingkan rakyat dan negara merupakan 2 punca kegagalan yang berbeza. Sehubungan itu, punca pertama tersebut merupakan peringatan yang diberikan oleh YDPA kepada semua Ahli Parlimen agar Belanjawan 2021 tidak terjejas disebabkan perbalahan politik.

Apabila YDPA bertitah juga dengan frasa “… supaya Belanjawan 2021 diluluskan tanpa sebarang gangguan” juga tidaklah bermaksud Hak Ahli Parlimen untuk membantah Belanjawan dinafikan. Secara proseduralnya, undian lulus boleh dilihat berdasarkan i. Undian Parlimen secara kolektif dan ii. Undian secara persendirian oleh individu Ahli Parlimen.

Situasi untuk membolehkan sesebuah Belanjawan diluluskan, hanya memerlukan majoriti mudah Parlimen sahaja. Situasi ini adalah maksud yang lebih hampir untuk frasa tersebut di mana tiada sebuah perintah yang dikeluarkan untuk Bajet ini mendapat sokongan undi oleh 222 ahli dewan.

  • Mewartakan Undang-undang

Di samping kita melihat kenyataan Istana dari kedudukan sebagai Ahli Parlimen, kenyataan tersebut juga perlu mengambil kira juga kapasiti YDPA sebagai salah seorang anggota Parlimen yang diberikan hak perundangan. Berdasarkan tatacara perundangan bagi membolehkan sesebuah Rang Undang-Undang diwartakan sebagai sebuah Akta Parlimen, Perkara 66(4) menyatakan RUU tersebut hendaklah mendapat perkenan diraja dalam tempoh 30 hari permohonan dikemukakan.

Walaupun YB Pasir Gudang merujuk Perkara 102 berkaitan kuasa Parlimen terhadap mana-mana tahun kewangan – Perkataan ‘Parlimen’ itu haruslah merujuk kepada Perkara 44: Keanggotaan Parlimen yang mana YDPA juga sebahagian daripadanya. Maka, peranan YDPA dalam Parlimen tidak boleh diketepikan.

Perkara 102 hanya menyebut ‘sebelum’ RUU Perbekalan diluluskan. Sebelum sesebuah Belanjawan diluluskan, Belanjawan ini dinamakan sebagai ‘RUU Perbekalan’ / ‘Supply Bill’ dan RUU ini merujuk pada Perlembagaan Persekutuan Perkara 100. Akan tetapi, Perkara 100 tidak menceritakan bagaimana proses RUU Perbekalan ini diluluskan.

Namun, sekiranya kita merujuk Perkara 67(1)(d) iaitu RUU Wang, peruntukannya adalah bersamaan dengan RUU Perbekalan. Maka boleh dinisbahkan bahawa RUU Perbekalan (Supply Bill) juga merupakan RUU Wang (Money Bill). Maka, bagi memahami bagaimana Money Bill ini diluluskan, Perkara 68(1) memperuntukkan RUU Wang hendaklah diperkenankan oleh YDPA, jika diarahkan selainnya oleh Dewan Rakyat.

Sekiranya kita memahami bahawa YDPA juga akan terlibat dengan proses memperkenan Belanjawan 2021 ini, sudah tentu YDPA masih berada dalam kuasa baginda untuk menitahkan Belanjawan 2021 ini diluluskan demi kebajikan rakyat dan kesejahteraan negara.

Penutup

Kefahaman bahawa bahawa YDPA bukan sebahagian daripada Institusi Demokrasi Berparlimen merupakan pandangan yang tidak tepat kerana Perlembagaan telah mengiktiraf keanggotaan YDPA dalam Parlimen.

Pembaca perlu merenung kembali catatan oleh Sultan Azlan Shah, 1986 “A King is a King, whether he is an absolute or a constitutional monarch … It is a mistake to think that the role of a King … is confined to what is laid down by the Constitution. His role far exceeds those constitutional provisions.”

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu dan Perlembagaan Persekutuan tidak menjadikan 3 doktrin pengasingan kuasa antara Parlimen, Eksekutif dan Kehakiman itu berdiri secara bebas dan sendiri. Bahkan kuasa tersebut adalah milik Kuasa Yang di-Pertuan Agong itu sendiri dan kemudiannya diperturunkan oleh Perlembagaan menerusi Perkara 39 dan Perkara 44 agar cabang kerajaan ini menjalankan amanah tersebut.

#DaulatTuanku

RUJUKAN:

[1] https://tinyurl.com/Belanjawan-Hormati-Parlimen

[2] https://tinyurl.com/Kenyataan-Istana

[3] Perlembagaan Persekutuan


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Graduan Sarjana Sains Politik, UKM (2015 - 2018). Berkerja sebagai Penganalisis Penyelidikan di sebuah badan penyelidikan.

Comments are closed.