Benarkah Ertugul Bukanlah Beragama Islam?

2,709

https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Gara-gara meletvpnya siri televisyen bersejarah fiksyen dari Turki yang menjadi popular di seluruh dunia terutamanya di kalangan umat Islam, iaitu Dirilis Ertugrul, latar belakang tokoh yang jarang dibincangkan kerana kekurangan sumber sejarah itu menimbulkan beberapa perdebatan mengenai ketepatan fakta sejarah dalam drama itu. Penulis tidak mahu menyentuh soal tepat tidak tepat kerana penulis telah jelaskan melalui artikel Seberapa Tepatkah Sejarah Dalam Siri Ertugrul?

Sebaliknya kali ini penulis ingin menyentuh tentang sesetengah pihak yang mempersoalkan keturunan Ertugrul Gazi dan bahkan status keislaman beliau turut dipertikaikan. Beliau didakwa masih mengamalkan tradisi kepercayaan Turki dan Mongol yang lama iaitu Tengrisme (menyembah Tuhan Langit).

Pertama sekali, perlu difahami bahawa dengan sumber sejarah yang sangat terhad untuk menyediakan satu set sejarah yang lengkap tentang Ertugrul, bapanya, dan suku mereka, maka ini menimbulkan satu ruang kontroversi sangat besar dan berpotensi dimanipulasi oleh pihak tak bertanggungjawab.

Walau bagaimanapun, para turkologis, sejarawan dan pakar bidang numismatik (pengkaji artifak berbentuk syiling atau wang kuno) telah membuat kajian terperinci melalui tafsiran dari beberapa penemuan duit syiling yang mungkin boleh memberikan jawapan yang lebih tepat. Artikel kali ini mengambil kira fakta sejarah dan penyelidikan numismatik untuk meneroka status keturunan dan pegangan agama Ertugrul Bey.

Ahli sejarah Dr. Rasit Gundogdu, dalam bukunya The Sultans of the Ottoman Empire, telah memberikan pengenalan yang ringkas bahawa Ertugrul Gazi adalah bapa kepada pengasas Empayar Uthmaniyah, Osman Gazi. Menurut Dr. Rasit, “Bapa Osman, Ertugrul telah berkumpul bersama orang-orang yang bekerja keras untuk mengislamkan wilayah yang telah berpecah belah di sekitar Anatolia dan disukai serta dihormati oleh mereka.”

Dr. Rasit turut menyentuh tentang perhubungan rapat yang terjalin di antara Osman dengan seorang tokoh Sufi bertaraf ulama Sunni iaitu Sheikh Edebali yang juga merupakan bakal bapa mertuanya, semua ini berlaku ketika Ertugrul masih hidup, ini menunjukkan bahawa Ertugrul sangat mengetahui ajaran Islam dan mendorong anaknya mengikuti jalan yang sama, atau sekurang-kurangnya Ertugrul tidak pernah menghalang Osman dari mengamalkan ajaran Islam.

Osman kemudian mengahwini anak perempuan Sheikh Edebali yang bernama Bala Hatun. Turut disebut, adalah mengenai pertemuan yang dipercayai pernah berlangsung di antara Ertugrul Gazi sendiri dengan Sheikh Edebali.

Petikan dari buku The Sultan of Of The Ottoman Empire

Manakala menurut Ahmed Akgunduz dan Said Ozturk dalam buku mereka Ottoman History – Misperceptions and Truth juga menyatakan bahawa kepercayaan yang dipegang oleh Ertugrul adalah agama Islam sambil merujuk karya beberapa sejarawan seperti Faud Koprulu, H.A.Gibbons, dan Paul Wittek.

Dari sisi lain, semua sejarawan ini berbeza pendapat kerana fakta bahawasanya suku Kayi dari cabang Turki Oghuz hanya memeluk Islam ketika mereka bersama suku-suku cabang Oghuz yang lain tiba di Anatolia setelah melarikan diri dari Mongol, atau mungkin jika mereka telah beragama Islam sebelum berhijrah dari Isfahan, mereka sebulat suara menerima Islam sebagai agama mereka.

Menurut Akgunduz dan Ozturk, peristiwa yang membawa kepada pembentukan Empayar Uthmaniyah tidak akan boleh difahami sepenuhnya tanpa mengambil kira perintah Islam, Uthmaniyah atau bangsa Turki Oghuz yang menyusul, merujuk kepada siri penaklvkan dan per4ng yang dilancarkan. Peranan ajaran ahli falsafah kerohanian dan tradisi Sufi seperti yang dibawa oleh Sheikh Edabeli dan Ibn Arabi juga tidak boleh diabaikan.

Petikan dari buku Ottoman History – Misperceptions and Truth

Menurut ahli akademik Pakistan, Muhammad Ibrahim Qazi, Suleiman Shah, Ertugrul Ghazi, dan Osman Gazi berasal dari suku Oghuz dan kitab bersejarah mereka yang asli iaitu ‘Dede Korkut’ yang ditempatkan di Muzium Dresden, Jerman, telah menceritakan tentang peralihan bangsa Turki Oghuz dari segi agama dan tradisi nomad kepada satu kelompok Muslim Sunni. Bahkan, Ertugrul atau bapanya mungkin menjadi kaum nomad yang pertama mengasingkan diri dari kehidupan nomadik di padang rumput Eurasia.

Qazi mengukuhkan hujahnya dengan mengemukakan petikan dari History of the Ottoman Turks yang ditulis oleh sejarawan Inggeris, E.S Creasy dari King’s College London. Creasy, dalam penulisannya mendakwa bahawa Ertugrul dan para pengikutnya adalah penganut sebuah kepercayaan bernama ‘Mohamettan’ yang serupa dengan agama orang-orang Turki Seljuk ketika dibawah kekuasaan Sultan Alaedin, Sultan Seljuk Anatolia yang juga dikenali sebagai Kesultanan Rum dari pecahan Empayar Seljuk Agung.

Melalui ciapan di akaun Twitternya, Qazi memetik kenyataan dari sejarawan Libya, Dr. Muhammad Ali Al Sallabi, di mana ia menjelaskan bahawa ajaran Islam mula tersebar di kalangan suku-suku nomad Turki semasa era pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab pada tahun 625 M.

Dr Muhammad Ali Al Sallabi turut menyebut dalam buku The Ottoman Sultanate bahawa salah seorang leluhur dari rumpun Turkik iaitu Shahbaraz, Shahanshah dari Empayar Sasanid telah memeluk Islam pada tahun 652 Masihi semasa pemerintahan Khalifah Rashidun, Umar ibn Al-Khattab dan beliau menyertai pasukan Tenter4 Rashidun.

Sementara semua sejarawan ini menerima teori bahawa Islam adalah agama pegangan Ertugrul dan seluruh cabang Turki Oghuz. Kisah mengenai bapa Ertugrul adalah berbeza kerana terdapat pertikaian di kalangan para sejarawan yang cenderung menyokong pendapat bahawa Gunduz Alp adalah bapa kepada Ertugrul yang sebenar.

Namun, kebanyakan orang Turki lebih mempercayai Suleiman Shah sebagai bapa Ertugrul. Setelah Empayar Uthmaniyah runtuh pada abad ke-20 dan Republik Turki ditubuhkan, pemerintah Turki membuat perjanjian dengan Perancis yang sedang menduduki Syria ketika itu untuk melindungi kompleks pemakaman Suleiman Shah.

Sebagai hasil dari perjanjian ini, tanah di sekitar makam Suleiman Shah yang berada di dalam sempadan Syria diisytiharkan sebagai sebahagian daripada wilayah Republik Turki dan negara tersebut berhak untuk mengibarkan bendera dan menempatkan pasukan tenter4 pengawal di sana.

Nilai penghormatan yang sangat tinggi dinikmati oleh Suleiman Shah dari kalangan rakyat Turki dapat dilihat dengan jelas oleh hakikat bahawa pada tahun 2015, kerajaan Turki melancarkan operasi ketenter4an berskala besar untuk memindahkan jen4zah Suleiman Shah dari tapak pemakanannya setelah kumpulan pengg4nas ISlS mengancam akan meletvpkan makam itu. Operasi tersebut telah meng0rbankan nyawa seorang anggota tenter4 Turki. Maklumat penuh boleh dibaca di sini: https://www.thepatriots.asia/operasi-shah-eufrat-usaha-turki-melindungi-makam-bapa-kepada-pengasas-uthmaniyyah/

Makam Suleiman Shah di Syria sekarang yang kini telah dipindahkan

Namun, terdapat beberapa sejarawan yang percaya bahawa makam ini adalah makam milik Suleiman Shah yang lain dari anggota kerabat diraja Seljuk. Kemungkinan milik Suleiman ibn Qutulmish, pemerintah Seljuk. Manakala makam Gunduz Alp di Ankara, Turki dipercayai merupakan lokasi pengebvmian sebenar bapa Ertugrul.

Kalau begitu, apa maklumat yang pakar numismatik telah sediakan untuk menjelaskan kepada kita kebenaran tentang Ertugrul dan agamanya?

Sekiranya Osman Gazi, pengasas Empayar dan dinasti Uthmaniyah benar-benar telah mencetak duit syiling atau sebaliknya, telah menjadi topik kontroversi di kalangan sejarawan dan pakar numismatik. Ramai yang percaya bahawa syiling Uthmaniyah yang pertama sebenarnya dicetak oleh Orhan Gazi (cucu Ertugrul) pada tahun 1326-27 dan ia dikenali sebagai Aqcha atau Akce.

Makam Gunduz Alp di Ankara, Turki

Walau bagaimanapun, Ismail Gahlib, bapa numismatik moden di Turki, mengaitkan sekeping syiling dengan Osman Gazi dalam karyanya yang berjudul “Takvîm-I Meskükât-i Osmaniyye” (Katalog Syiling Uthmaniyah).

Seorang lagi ahli numismatik, Ibrahim Artuk juga turut menyokong dan memberi kredit pencetakan duit syiling yang pertama era Uthmaniyah adalah bermula dari pengasas Dinasti Uthmaniyah itu sendiri, iaitu Osman Gazi. Selepas beberapa perenggan di bawah adalah gambar syiling Uthmaniyah pertama yang dicetak oleh Osman Gazi, syiling itu kini berada di Ottoman Coins Cabinet of the Archaeological Museum of Istanbul.

Akgunduz dan Ozturk percaya bahawa ukiran pada duit syiling tersebut merujuk kepada susur galur keturunan Osman Gazi. Mereka merujuk ukiran tulisan yang ada pada duit syiling itu diterjemahkan sebagai “dicetak oleh Osman anak kepada Ertugrul anak kepada Gunduz Alp” – untuk membuktikan bahawa teori yang lebih popular iaitu Ertugrul sebagai anak lelaki Suleiman Shah adalah sebagai tidak tepat.

Namun, dalam penyelidikan terhadap bukti-bukti yang lain, status Suleiman Shah sebagai bapa sebenar kepada Ertugrul masih lagi kukuh. Kerana itu, tidak ada sebarang halangan sekiranya mana-mana pihak atau penerbitan mahu menulis dan menyiarkan sebarang karya tentang Ertugrul dengan memperkenalkan dia samada sebagai anaj Suleiman Shah mahu pun anak Gunduz Alp.

Ditambah lagi, berdasarkan penerangan dari laman web rasmi yang dijadikan enjin pencarian bagi pengkaji bidang numismatik menyebut bahawa ukiran pada syiling itu hanya menyebut nama Osman anak Ertugrul dan tidak menyebut tentang ayah Ertugrul. Dalam katalog mereka, ia telah ditafsirkan mengikut terjemahan seperti berikut:“Duriba Osman bin Ertugrul, khallada mulkahu”

(Dicetak oleh Osman bin Ertugrul, semoga kerajaannya kekal selama-lamanya).

Usaha menterjemahkan teks-teks kuno agak sukar memandangkan bahasa Turki moden hari ini jauh berbeza dengan bahasa Uthmaniyah kuno. Walaubagaimanapun, petunjuk-petunjuk lain yang ditemui tentang status keagamaan Ertugrul lebih cenderung kepada Islam.

Selain daripada syiling ini, makam Ertugrul di Sogut merupakan satu lagi bukti fizikal yang ada, selain dari itu tiada lagi sebarang bukti yang boleh dikemukakan samada mengenai kewujudannya mahupun agama pegangannya.

Namun begitu, sebenarnya terdapat sedikit maklumat dan fakta sejarah tentang dirinya yang disimpan di dalam arkib sejarah kerajaan Turki, dicatat melalui kronologi yang dikarang oleh Ibn Arabi.

Disebut penglibatannya dalam arkib sejarah barat mengenai Knights Templar, melalui kronikel dari Byzantine dan beberapa lagi kisah-kisah lagenda yang bukan lisan, tetapi, jika semua maklumat ini diasingkan dari setiap sumber induknya dan dikumpulkan menjadi senaskah buku, jumlah halaman mukasuratnya hanyalah memerlukan tujuh halaman sahaja.

Oleh itu, isu ini tidak mungkin akan menemui jawapannya sekiranya tidak ada sebarang penemuan terbaru yang berkaitan dengan Ertugrul. Walaubagaimanapun, segalanya berbalik kepada diri kita sendiri, jika difikir secara logik, Osman Gaxi yang kita semua kenali melalui sumber sejarah yang sahih, adalah seorang Muslim yang sering bergaul dengan para ulama’ dan tokoh-tokoh Sufi ketika bapanya Ertugrul Gazi masih hidup.

Maka, apa alasan yang anda ada untuk menafikan keIslaman bapa kepada pengasas dinasti yang bakal menjadi sebuah Khilafah itu? Jika hujah ajaran pluralisme dikemukakan, itu adalah perkara biasa bagi mana-mana budaya yang baru sahaja memeluk Islam kerana mereka tidak mungkin mampu meninggalkan tradisi Tengrisme kuno secara mengejut.

Bahkan kehadiran mereka ke Anatolia telah menyebarkan Islam ke Eropah secara tidak langsung dan para pengkritik harus memandang usaha itu dengan memberi sedikit penghargaan kepada Ertugrul walau apa jua pegangan agamanya.

RUJUKAN:

Humphreys, R. S. (1977). From Saladin to the Mongols: The Ayyubids of Damascus 1193-1260. SUNY Press 1977.

Kafadar, Cemal. (1995). Between two worlds : the construction of the Ottoman state. Berkeley. University of California Press.

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.