Seperti semua sedia maklum, Captain Marvel merupakan filem terbaru Marvel Cinematic Universe (MCU) sebelum munculnya sekuel yang dinantikan semua: Avengers: Endgame. Selepas Endgame, ramai menganggap Carol Danvers/Captain Marvel sebagai tunjang utama MCU menggantikan dua tunjang utama fasa Infinity Saga iaitu Tony Stark/Iron Man dan Steve Rogers/Captain America. Diharap apa jua hala tuju yang dibawa MCU berkenaan Captain Marvel, ianya masih ke arah heroisme dan kemanusiaan yang ditonjolkan Rogers. Ini kerana ada dua komik yang menunjukkan Danvers bukanlah seorang wira seperti yang didakwa.

Seperti yang didedahkan ketua Marvel Studios Kevin Feige, Captain Marvel dianggap antara individu paling kuat dalam dunia MCU sekaligus mengatasi watak MCU lain seperti Dr Bruce Banner/The Hulk, Thor dan Thanos. Ini kerana selain mempunyai fisiologi manusia-Kree, Danvers turut didedahkan kepada tenaga Space Stone selepas enjin eksperimen yang dibangunkan oleh mentornya Dr Wendy Lawson dimusnahkan beliau. Ini menjadikan Danvers mempunyai tenaga dan kekuatan kosmik yang luar biasa. Maka tidak hairanlah mengapa pengarah Endgame Joe dan Anthony Russo serta Feige melihat beliau sebagai antara pemain utama dalam Endgame selain Scott Lang/Ant-Man dan Avengers sendiri.

Tetapi dalam komik, ada dua kisah yang memperlihatkan sisi gelap Captain Marvel iaitu Civil War yang dinukil oleh Mark Millar dan Civil War II hasil karya Brian Michael Bendis. Dalam komik, Akta Pendaftaran Manusia Luar Biasa digubal sebagai respon kepada insiden di Stanford iaitu pertembungan antara kumpulan adiwira dengan penjenayah yang mengorbankan 200 orang awam. Dalam konteks MCU pula di mana Captain America: Civil War menggunakan ia sebagai asas, Perjanjian Sokovia (versi MCU untuk akta itu) digubal sebagai tindak balas kepada insiden seperti serangan makhluk asing di New York (The Avengers), amukan The Hulk di Afrika Selatan dan serangan robot-robot Ultron (Avengers: Age of Ultron) dan serangan pengganas di Lagos, Nigeria (Captain America: Civil War).

Semua sedia maklum, akta ini memerlukan mana-mana individu berkuasa luar biasa menandatangani akta berkenaan bagi membolehkan mereka kekal aktif sebagai adiwira. Jika mereka enggan berbuat demikian, mereka akan diburu seperti penjenayah dan ditahan dalam penjara khas seperti The Raft yang ditunjukkan dalam Civil War versi filem. Kita tahu idea akta ini bukan saja mengarut bahkan tidak berhasil seperti ditonjolkan dalam Avengers: Infinity War.

Tetapi dalam komik, pendukung utama gerakan pro-pendaftaran ialah Danvers dengan beliau turut berperanan sebagai penguatkuasa gerakan ini. Civil War ini hanya berakhir selepas Rogers memilih menyerah diri dengan harapan dapat menyelamatkan nyawa orang yang tidak berdosa termasuk adiwira yang tidak berdaftar. Tetapi ianya tidak berhasil dengan jatuhnya Asgard (The Siege), kehadiran Stark dan Norman Osborn sebagai pengarah SHIELD/HAMMER (Secret Invasion dan Dark Reign) dan kematian Rogers di tangan kekasihnya sendiri, Sharon Carter (The Death of Captain America).

Jika dalam komik Civil War, Captain Marvel hanya berperanan sebagai watak sokongan kepada kumpulan pro-pendaftaran. Tetapi Civil War II pula menjadikan Danvers sebagai watak utama dan dilema berkenaan caranya mengendalikan krisis. Selepas perlancaran semula All New, All Different Marvel, beliau merupakan ketua organisasi Alpha Flight yang bertanggungjawab melindungi bumi dari serangan makhluk asing. Benih Civil War II mula bercambah apabila seorang pelajar bernama Ulysses Cain mengalami proses perubahan untuk menjadi Inhuman dengan keupayaan melihat masa depan dengan salah satunya ialah makhluk asing menyerang bumi. Bagaimanapun, serangan tersebut berjaya dipatahkan hasil kerjasama semua hero Marvel Universe.

Semasa pertemuan pertama Danvers dengan Cain, Inhuman itu mendapat satu lagi visi iaitu Thanos menyerang bumi. Ini mendorong beliau mengeksploitasi apa saja maklumat yang diberi Cain untuk menangani mana-mana ancaman yang datang. Namun, rancangan ini kurang disenangi Stark dan mahu melihat sejauh mana kemampuan pelajar itu sebelum melakukan apa-apa perkara.

Tetapi kedegilan Danvers menyerang hendap Thanos sambil dibantu She-Hulk/Jennifer Walters dan War Machine/James Rhodes memakan diri dengan rakan baik Stark itu mati dan She-Hulk pula cedera parah semasa menahan Thanos. Ini mendorong Stark menculik Cain untuk mengkaji kuasanya yang sebenar dan mendapati masa depan yang digambarkan Cain bukanlah sudah tertulis tetapi pelbagai kemungkinan masa depan yang terhasil daripada pengiraan semua faktor.

Ini yang mendorong Stark mengemukakan soalan ini kepada Danvers, “Kalau Ulysses kata kau ialah ancaman kepada masa depan kami, apakah kami harus menghentikan kau sebelum kau melakukan sesuatu yang kau mungkin lakukan, walaupun kau sendiri tak tahu apa yang kau lakukan?” Respon Danvers seterusnya dilihat menyakitkan hati Stark, “Bergantung.” Beliau seterusnya menyelar sikap jutawan yang menggelar dirinya futurist tetapi enggan melakukan apa-apa untuk mengubah masa depan. Di sinilah masalah sebenar Captain Danvers yang sentiasa yakin bahawa dirinya sentiasa benar dalam semua perkara walaupun wujud bukti yang menyatakan sebaliknya dan tidak mengendahkan proses undang-undang yang wujud.

Kerana terlalu percayakan keupayaan meramal masa depan Cain, lebih ramai mati atau berpecah akibat ‘ramalan’ itu dari Banner dibunuh (di tangan Clint Barton/Hawkeye), komuniti adiwira berbelah-bahagi tentang peramal dan akhir sekali, ramalan Spiderman (Miles Morales dan bukan Peter Parker) membunuh Rogers. Tetapi ramalan terakhir berkenaan pembunuhan Rogers ini yang mendorong Danvers mahu menahan Morales atas jenayah yang tidak dilakukannya walaupun dia hanyalah seorang remaja. Sekali lagi, beliau tidak mempedulikan proses undang-undang dan prinsip ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya’ atas nama keselamatan dan keamanan. Namun, kekecohan ini dihentikan oleh Rogers yang memilih melepaskan Morales walaupun dibantah Danvers kerana berpotensi mengancam nyawa Cap.

Danvers memerlukan keyakinan bahawasanya keselamatan semua orang dapat dijamin tanpa mengira akibat dari segi moral dan kehilangan nyawa. Beliau tidak sedar proses undang-undang dalam masyarakat yang bebas hari ini wujud kerana kita tidak tahu semuanya. Walaupun kita cuba berlagak dengan menganggap kita tahu semuanya hakikatnya tiada siapa yang tahu kemungkinan masa depan kerana kita tidak tahu faktor-faktor yang mempengaruhi manusia untuk bertindak.

Sejarah menyaksikan banyak serangan awal ini bukanlah mencegah kemungkinan berlaku insiden keganasan/jenayah tetapi memarakkan lagi api permusuhan. Satu serangan awal yang dianggap ikonik ialah serangan Jepun ke atas Pearl Harbor pada tahun 1941. Serangan yang dirancang Laksamana Isoroku Yamamoto bertujuan untuk melumpuhkan armada laut Amerika Syarikat dan menjejaskan sebarang usaha penyertaan AS dalam Perang Dunia Kedua. Tetapi itu tidak berlaku dan memarakkan lagi keinginan Washington menyertai perang berkenaan. Dan sebagai respon kepada serangan itu juga, Franklin Roosevelt menandatangani Perintah Eksekutif 9066 yang menyaksikan 120,000 orang Jepun-Amerika ditahan tanpa sebarang perbicaraan atas sebab mereka merupakan perisik asing dan berdarah Jepun.

Oleh sebab itu, melihat kepada kecenderungan Danvers ini, tidak hairanlah jika ada yang berpandangan beliau bukanlah seorang wira seperti yang didakwa dalam komik. Tetapi perlu diingat, filem membenarkan watak sepertinya berevolusi menjadi individu yang lebih matang, proses sama yang diharungi Rogers dan Stark sepanjang tempoh Infinity Saga. Di sinilah, penulis-penulis boleh saja mencorak perwatakannya menjadi kompas moral MCU dan sekaligus mengisi ruang yang ditinggalkan Rogers pasca-Infinity Saga.

Siapa tahu, ia bukan saja menjadikan Danvers tunjang utama MCU tetapi juga sebagai kompas kemanusiaan dengan menggunakan sisi manusiawinya. Bagi orang biasa seperti kita pula, kita mungkin tiada sut perisai canggih, perisai yang diperbuat daripada vibranium atau tukul yang boleh kembali bila dipanggil. Tetapi kita juga ada kuasa yang dipanggil sikap berhemah dan hormat kepada orang lain. Kuasa sebegini yang seharusnya digunakan sebaik-baiknya untuk menjadikan dunia lebih indah.

SUMBER

W. Malone, Sean. (2019). YouTube. Foundation for Economic Education. Is Captain Marvel Actually a Hero? https://www.youtube.com/watch?v=LJO-PkPk4W4


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Comments are closed.