Selama 78 tahun, kita sentiasa diberitahu bom atom punca Jepun serah kalah sekaligus tamatkan Perang Dunia Kedua. Tapi pada aku, punca sebenar ialah The Red Army, bukan wunderwaffe (senjata ajaib) Presiden Harry Truman.
Ringkasnya, seperti kita tahu, dua bom atom pertama di dunia digunakan di Hiroshima dan Nagasaki pada 6 dan 9 Ogos 1945. Jumlah yang terbunuh di kedua-dua bandar itu ialah lebih 200,000 orang termasuk puluhan tahanan perang Bersekutu.
Jadi, kenapa Truman beri lampu hijau kepada penggunaan wunderwaffe tersebut? Sebabnya mudah, beliau tak mahu korbankan tentera AS jika perlu lancarkan operasi ketenteraan ke atas pulau-pulau utama Jepun.
Ikut kajian Joint War Plans Committee, kalau AS lancarkan penaklukan yang diberi kod Operation Olympic, jumlah kematian akan meningkat. Lebih tepat, anggaran 130,000 hingga 220,000 tentera AS mati kalau mendarat di pulau-pulau utama Jepun. Lepas dengar, terus Truman batalkan dan arah semua pegawai cari alternatif.
Dari situ, semua alternatif dibentangkan untuk dipertimbang Presiden dan barisan kabinet beliau. Dari penggunaan senjata beracun era Perang Dunia Pertama hinggalah bentuk unit perang biologi macam unit 731 Jepun. Punyalah nak elak berapa ramai mati sebab kalau itu berlaku, Truman boleh ucap selamat tinggal kepada jawatan presiden dia.
Akhirnya, bom atom jadi pilihan. Lepas itu, pilih pula sasaran. Ada berhujah minta Tokyo dan Kyoto jadi sasaran tapi kena pangkah awal-awal. Kononnya, itu sasaran awam dan bukan sasaran ketenteraan. Jadi, Hiroshima dan Nagasaki jadi pilihan atas sebab ia pusat logistik ketenteraan (Hiroshima) dan pelabuhan penting tentera Jepun (Nagasaki).
Dan seperti kita ketahui, Enola Gay dan Bockscar masing-masing jatuhkan Little Boy dan Fat Joe sekaligus mengubah sejarah untuk selama-lamanya. Tapi betulkah Jepun terkencing-kencing sampai nak serah diri sebab serangan bom atom? Jawapan ringkasnya, tidak.
Sebabnya, Jepun anggap AS ada bilangan bom yang terhad. Gugurlah sebanyak mana bom ke atas negara itu, memang takkan serah kalah macam samurai. Malah, diorang dah sedia untuk teruskan perang sampai ke titisan darah yang terakhir.
But all bets are off bila Rusia atau nama lainnya, Kesatuan Soviet masuk. Jepun dan Rusia sebelum ini ada perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Berkecuali Jepun-Rusia. Ringkasnya, perjanjian ini pastikan dua-dua negara takkan bermusuhan antara satu sama lain.
Jepun ada sebab muktamadkan perjanjian ini pada April 1941. Jepun dah rasa penangan lawan Soviet terutama selepas Khalkhin Gol. Boleh rujuk artikel ini: https://www.thepatriots.asia/bagaimana-campur-tangan…/
Jepun ingat dengan sign agreement, Soviet takkan kacau dia kat Manchuria dan Semenanjung Korea. Sebab mereka ingat seorang lelaki bernama Misai Curut akan susahkan diorang atas nama Jerman. Jadi, meterailah perjanjian dengan sangkaan Soviet takkan serang.
Malangnya, sangkaan Jepun meleset. Sebabnya mudah, Jerman dah kalah pada Mei 1945 dan AS perlukan sekutu untuk kerjakan Jepun. Truman dan sebelumnya, Franklin Roosevelt dah minta bantuan Stalin untuk kerjakan Jepun dekat berapa tahun. Jadi, sebagai tanda hormati permintaan sekutu, Moscow setuju dan batalkan terus perjanjian.
Jadi, Rusia terus serang Pulau Sakhalin dan Kuril, Manchuria dan utara Semenanjung Korea pada Ogos 1945. Tak payah ajak rasmi, Soviet pun ada agenda juga. Sakhalin dan Kuril dulunya milik diorang sebelum Jepun dapat belah selatan Sakhalin.
Jepun ingat dengan askar dan unit mekanikal berjumlah sejuta orang, dah cukup dah untuk ajar Soviet. Sekali Stalin hantar 1.5 juta orang untuk bantai semua sasaran. Tak terkejut beruk komander-komander Jepun kat situ.
Untuk Manchuria saja, daripada semua askar yang dihantar lawan ke situ, Soviet hanya hilang 36,000 tentera. Jepun, hilang 83,000 tentera dan lebih 500,000 jadi tawanan. Kalau di Manchuria saja, Jepun kena kitai. Tak boleh bayang kalau Soviet mendarat di pulau-pulau utama Jepun.
Jadi, yang kata nak lawan, bila dapat tahu Soviet dah ada di Manchuria pada 9 Ogos, terus menikus. Bom atom AS, pada diorang masih boleh tahan. Tapi serangan bertubi-tubi Soviet dengan kemungkinan jumlah korban yang tinggi? Akur jelah dengan titah Maharaja Hirohito untuk menyerah kalah.
Benda ini sebenarnya dah jadi perdebatan orang akademik selama bertahun-tahun. Tapi pada aku, ketakutan orang Jepun kepada Rusia ada benarnya. Ingat Jepun tak terima ke laporan perisikan Soviet berlaku kejam kepada rakan sekutu mereka, Jerman di Eastern Front? Perkara terakhir diorang nak ialah lihat maharaja diorang diperlakukan macam Mussolini di Itali pada akhir perang.