“Apa? Kau bilang aku perompak? Aku Director Ahmad Nisfu!” – Ahmad Nisfu (Seniman Bujang Lapok, 1961)

Siapa yang tidak kenal dengan Ahmad Nisfu? Beliau adalah antara pelakon filem Melayu klasik era 1950-an hingga awal 1970-an yang sangat popular di kalangan masyarakat Melayu khususnya. Populariti Ahmad Nisfu masih kekal hingga ke hari ini malah tidak mustahil nama beliau akan terus dikenang sampai bila-bila.

Namun begitu, terdapat berita yang kurang enak tentang pengakhiran hidup seniman Ahmad Nisfu. Kononnya beliau dikatakan hidup sebatang kara dalam kedaifan di sebuah kubu peninggalan tentera Jepun dan meninggal dunia tanpa saudara mara serta anak dan isteri. Kisah itu pernah tular di media sosial sekitar dua atau tiga tahun yang lalu.

Yang menjadi persoalannya, sejauh manakah kebenaran cerita itu? Benarkah kisah hidupnya begitu teruk sekali sehingga terpaksa menumpang tinggal di kubu peninggalan tentera Jepun? Benarkah Ahmad Nisfu langsung tiada saudara mara serta ahli keluarga? Jika benar, dari manakah sumber yang penulis cerita itu dapat sehingga beliau dapat membongkar kisah yang amat sedih itu?

Saya, Mohd Danial Abd Aziz mewakili Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik merasa terpanggil untuk menulis artikel ini sejak sekian lama untuk membidas segala kepalsuan kisah Ahmad Nisfu yang tersebar luas di internet.

Kehidupan Awal Di Pentas Bangsawan

Ramai yang tidak mengetahui bahawa Ahmad Nisfu sebenarnya dilahirkan di Medan pada tahun 1902 dengan nama Mohamed bin Nisfu. Ahmad Nisfu merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau kemudiannya berpindah bersama-sama keluarganya ke Pulau Pinang ketika masih kecil. Ahmad Nisfu menetap dan membesar di Kampung Makam, Tanjung Tokong, George Town, Pulau Pinang.

Ahmad Nisfu terdedah dengan dunia pentas bangsawan sejak kecil lagi. Bapanya merupakan tokoh utama dalam Wayang Kassim, sebuah syarikat wayang bangsawan di Pulau Pinang. Semasa di Pulau Pinang, Ahmad Nisfu mendapat pendidikan agama di madrasah. Beliau hanya boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi.

Semasa di Pulau Pinang, Ahmad Nisfu mula berlakon bersama Grand Opera pada tahun 1912. Mereka sering mengadakan persembahan di utara semenanjung Tanah Melayu. Dari situlah Ahmad Nisfu mengasah bakat lakonannya sedikit demi sedikit. Beliau kemudiannya menyertai Star Opera yang beroperasi di Perak bersama-sama bapanya.

Ketika berusia 18 tahun, beliau telah berhijrah ke Singapura pada tahun 1920 dengan mengikuti kumpulan Indera Bangsawan yang dimiliki oleh Siti Hawa yang sangat terkenal dengan panggilan Seri Panggung Mak Lebai. Semasa berada si Singapura, Ahmad Nisfu bertambah aktif dalam dunia lakonan di pentas-pentas bangsawan sehingga namanya menjulang naik. Menurut satu temubual, Ahmad Nisfu menerangkan bahawa persembahan kumpulan Indera Bangsawan lebih cenderung kepada kisah-kisah Hikayat 1001 Malam dan corak persembahan Wayang Parsi yang dipengaruhi unsur-unsur Hindi.

Ketika bersama Indera Bangsawan, Ahmad Nisfu hanya menerima gaji sebanyak 25 sen untuk satu malam. Setelah tiga tahun bersama kumpulan itu, beliau kemudiannya berpindah pula ke Malay Grand Opera dengan mendapat gaji sebanyak $45 sebulan sebagai permulaan. Oleh kerana beliau mempunyai bakat serba boleh iaitu berlakon, menyanyi dan berlawak, gajinya dinaikkan sedikit kepada $66 sebulan.

Pada tahun 1932, Ahmad Nisfu menyertai Noran Opera yang dimiliki oleh Abdul Rahman bin Mat. Kumpulan ini banyak mendapat undangan daripada keluarga Di-Raja Perak. Bersama-sama kumpulan ini jugalah Ahmad Nisfu telah banyak menjelajah ke seluruh Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia sehingga ke tahun 1950-an. Ketika itu nama Ahmad Nisfu sangat besar di dalam pentas bangsawan sebaris dengan tokoh-tokoh lain seperti Shariff Medan, Yem, Khairuddin, Udo Omar, Malek Sutan Muda, Puteh Lawak, Mak Dara, Habsah dan Siti Tanjong Perak.


Ahmad Nisfu sebagai Tengku Karim dalam filem Antara Dua Darjat
(Sumber Foto: Mohd Danial Abd Aziz)

Dari Pentas Bangsawan Ke Layar Perak

Pada tahun 1950-an, ramai tokoh-tokoh bangsawan telah beralih angin untuk menceburkan diri dalam dunia perfileman termasuklah Ahmad Nisfu. Filem pertama yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu ialah Anak Pontianak (1958) arahan Ramon A. Estella, diikuti dengan filem Gergasi (1958) yang diarahkan oleh Dhiresh Gosh. Filem ini telah diterbitkan oleh Malay Film Productions (MFP) yang dimiliki oleh Shaw Brothers. Nama Ahmad Nisfu semakin menjulang naik apabila P. Ramlee mengambilnya berlakon di dalam Pendekar Bujang Lapok pada tahun 1959. Beliau berjaya menghidupkan watak tauke sampan dan kepala samseng di dalam filem itu walaupun ia bercorak komedi. Hal ini tidak menjadi masalah kepada Ahmad Nisfu kerana pengalamannya berlawak semasa di pentas bangsawan dahulu sangat luas.

Beliau sering diberi watak yang penting di dalam filem-filem arahan P. Ramlee di MFP. Lakonan Ahmad Nisfu dalam filem-filem dibawah arahan P. Ramlee sering meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton, hingga ke hari ini. Filem-filem yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di bawah arahan P. Ramlee ialah Musang Berjanggut (1959), Nujum Pa’ Blalang (1959), Antara Dua Darjat (1960), Seniman Bujang Lapok (1961), Ibu Mertua Ku (1962), Nasib Si Labu Labi (1963), Madu Tiga (1964) dan 3 Abdul (1964). Beliau banyak melakonkan watak-watak komedi dan sesekali membawa watak berat sepanjang penglibatannya di dalam dunia perfileman.

Dalam satu kenyataan, P. Ramlee pernah mengatakan bahawa pelakon-pelakon yang dikaguminya ialah bintang Hollywood Stewart Granger, Marlon Brando, dan seniman tanah air iaitu Ahmad Nisfu. P. Ramlee sering memanggil Ahmad Nisfu dengan gelaran “Pak Besar” kerana lubang hidung beliau sangat besar! Hubungan mereka juga boleh dikatakan erat seperti bapa dan anak. P. Ramlee sangat menghormati ketokohan Ahmad Nisfu. Ini dapat dilihat sekiranya kita menonton filem-filem arahan P. Ramlee, Ahmad Nisfu sering diberi watak-watak terhormat seperti sultan, bapa mertua, pengarah filem, hakim dan sebagainya.

Penulis cerita filem Ibu Mertua Ku (1962) yang sebenarnya ialah Ahmad Nisfu
dan jalan cerita dan bahasanya oleh P. Ramlee. Fakta ini tercatat pada credit title
filem tersebut. Gandingan antara Ahmad Nesfu-P. Ramlee ini menghasilkan salah satu filem yang sentiasa dikenang sepanjang zaman dalam sejarah perfileman Melayu. Filem Ibu Mertua Ku juga telah memenangi Anugerah Fotografi Hitam & Putih Terbaik dan P. Ramlee menerima Anugerah Bakat Serba Boleh (Most Versatile Talent) Festival Filem Asia Pasifik ke-10 pada tahun 1963 di Tokyo, Jepun. Filem ini juga menerima Anugerah Khas (Special Mention) Festival Filem Antarabangsa 1965 di Paris, Perancis.

Filem-filem lain yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di MFP ialah Doctor (1958), Saudagar Minyak Urat (1959), Siti Muslihat (1962), Gerhana (1962), Korban (1963), Pileh Menantu (1963), Siapa Besar! (1964), Pusaka Pontianak (1965), Sayang Si Buta (1965), Dayang Senandong (1965), Sri Andalas (1966), Lampong Karam (1967) dan A Go Go 67 (1967).

Satu yang menarik mengenai Ahmad Nisfu, beliau tidak terikat dengan mana-mana studio. Beliau lebih selesa menjadi pelakon bebas. Oleh sebab itu kita dapat melihat beliau juga turut berlakon di dalam filem-filem yang diterbitkan oleh Cathay-Keris Film (CKF) seperti Dang Anom (1962), Tun Fatimah (1962), Jula Juli Bintang Tujoh (1962), Laila Majnun (1962), Lanchang Kuning (1962), Darah-Ku (1963), Bayangan Di-Waktu Fajar (1963), Bunga Tanjong (1963), Tajul Ashikin (1963), Pontianak Kembali (1963), Ayer Mata Duyong (1964), Wan Perkasa (1964), Istana Berdarah (1964), Dua Kali Lima (1966), Playboy (1967), Mat Raja Kapor (1967), Si-Murai (1968), Nafsu Belia (1969), Puaka (1970), Lobang Nuraka (1970), Mat Karung Guni (1970) dan yang terakhir Jahanam (1971).

Mencungkil Kebenaran

Pada tahun 2014, kisah sebenar Ahmad Nisfu telah dibongkar oleh seorang wartawan dari Berita Harian Singapura iaitu Nurmaya Alias. Beliau dapat mencari serta menemubual waris Ahmad Nisfu dan warisnya membidas semua kenyataan palsu yang mengatakan bahawa Ahmad Nisfu hidup sebatang kara di penghujung hayatnya.


Ahmad Nisfu bersama ahli keluarganya
(Sumber Foto: Osman Mohamed)

Menurut anak kandungnya iaitu Osman Mohamed, Ahmad Nisfu meninggal dunia pada 25 Jun 1972 sekitar jam 9 pagi akibat penyakit kencing berdarah di rumah anak lelakinya di Kampung Kuchai, Lorong 3, Geylang. Beliau meninggalkan seorang balu yang bernama Chik binti Osman, tiga orang anak dan 14 orang cucu. Menurut anaknya lagi, Ahmad Nisfu dikelilingi ahli keluarganya semasa meninggal dunia. Ramai rakan-rakan seniman dan seniwati dari studio MFP dan CKF melawat jenazahnya untuk memberi penghormatan terakhir.

Ahmad Nisfu yang pernah menjadi seorang bilal di Masjid Khalid, Joo Chiat Road itu disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari. Pusara beliau kemudiannya telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Chua Chu Kang oleh kerajaan Singapura.

Di luar bidang lakonan, Ahmad Nisfu pernah menjadi seorang bilal di Masjid Khalid, Joo Chiat Road, Singapura. Selain itu, beliau juga pernah menjadi bilal di Masjid Onan Road. Beliau seringkali memberi tazkirah serta nasihat agama kepada orang awam di masjid. Beliau juga sering membaca al-Quran di masjid ketika tiada penggambaran filem. Jikalau beliau dikehendaki untuk menjalani penggambaran filem, sebuah kereta akan datang menjemputnya di rumah.


Berita yang tersiar pada 26 Jun 1972 ini menjadi bukti konkrit bahawa Ahmad Nisfu meninggal dunia dalam keadaan baik serta dikelilingi oleh alhi keluarganya.

Pada awal tahun 1970-an, Ahmad Nisfu berhajat untuk menulis riwayat hidupnya serta pengalaman beliau sepanjang melibatkan diri di dalam seni lakonan bermula daripada pentas bangsawan sehinggalah ke layar perak. Menurutnya, adalah penting bagi seseorang yang terlibat dalam dunia seni itu menulis segala pengalaman serta pahit getir semasa bergelar seniman untuk tatapan keluarga dan para peminat. Malangnya, hajat beliau untuk menulis dan membukukan riwayat hidupnya itu tidak kesampaian kerana ajal telah menjemputnya terlebih dahulu. Segala pengalaman, pahit getir serta kenangan manis semasa hidupnya dibawa bersama ke alam berzakh.

Sumber:

• Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik

• Dato’ Ahmad Fauzee Samad

• Allahyarham Ahmad Idris (ABI)

• Allahyarhamah Bahyah Mahmood (BAM)

• Sulaiman Jeem

• A. Rani Mustaffa

• Mustafar A.R.

• Berita Harian Singapura

• Blog Wadah Seniku kelolaan Ukhti Aminah

• Daftar Filem Melayu (1933-1993) oleh Jamil Sulong, Hamzah Hussin dan Abdul Malik Mokhtar (FINAS, 1993)

• Filem-Filem P. Ramlee oleh Mustafar A.R. dan Aziz Sattar (MZA Terbit, 2008)

• P. Ramlee Erti Yang Sakti oleh Ahmad Sarji (MPH Publishing, 2011)

• Filem Melayu Citra Budaya dan Rakaman Sejarah oleh Jins Shamsudin (Penerbit UUM, 2014)

 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Seorang peminat sejarah filem tanah air. Suka menonton filem-filem Melayu hitam putih, terutama sekali arahan Hussain Haniff dan M. Amin.

Leave A Reply