Ben Shapiro: Gladiator Konservatif Amerika Syarikat

0
225
views

Di Amerika Syarikat, kelibat individu seperti Steve Bannon dan Andrew Breitbart sentiasa memeriahkan arena politik sana dengan pandangan yang bersifat radikal dan adakalanya, kontroversi. Tetapi orang sebeginilah yang akhirnya membantu Donald Trump sampai ke Rumah Putih dan dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat baru menggantikan Barrack Obama. Tetapi ada sesetengah suara konservatif tidak bersetuju dengan kelompok ini dan membentuk suara mereka sendiri dalam arena politik Amerika. Antara individu yang membentuk suara berkenaan ialah Ben Shapiro.

Anak jati Los Angeles, California ini dilahirkan pada 15 Januari 1984 dan berpegang kepada fahaman Yahudi Ortodoks. Sejak dari kecil, beliau sudah menunjukkan kebijaksanaannya dengan menamatkan pengajian sekolah tinggi pada usia 16 tahun. Pada usia 20 tahun, Shapiro mendapat ijazah summa cum laude Bachelor of Arts dalam bidang sains politik dari Universiti California dan mendapat ijazah cum laude dari Sekolah Perundangan Harvard pada tahun 2007. Minatnya dalam bidang politik sudah bermula dari kecil lagi dan ini turut dipengaruhi oleh minat ibu bapanya mengadakan perbincangan politik di meja makan. Dan semasa Hari Halloween, Shapiro gemar memakai kostum salah seorang bapa kemerdekaan Amerika Syarikat, John Adams.

Jetpack Langkawi

Minatnya dalam bidang politik diterjemahkan lagi dalam bentuk penulisan di mana pada usia 21 tahun, beliau sudah menghasilkan dua buah buku. Pada tahun 2004, Shapiro menghasilkan buku Brainwashed yang berhujah pelajar universiti tidak didedahkan pelbagai jenis pandangan dunia dan sesiapa yang tidak mempunyai pegangan teguh akan tenggelam dalam atmosfera didominasi oleh agenda liberal. Pada tahun 2011 pula, beliau menghasilkan buku Primetime Propaganda: The True Hollywood Story of How the Left Took Over Your TV terbitan HarperCollins. Dalam buku berkenaan, Shapiro berhujah Hollywood mempromosikan agenda berhaluan kiri melalui rancangan-rancangan hiburan waktu perdana. Dan ini diakui sendiri penerbit-penerbit Happy Days dan M*A*S*H di mana mereka melaksanakan agenda pro-keamanan dan anti-Vietnam dalam dua siri berkenaan.

Di sebalik imejnya sebagai seorang konservatif, itu tidak bermakna beliau bersetuju dengan ramai tokoh konservatif lain. Shapiro sama sekali tidak menyukai Trump sebelum dan selepas menjadi presiden. Malah, beliau juga banyak berselisih faham dengan bekas ketua propaganda kempen Trump merangkap bos lamanya di Breitbart News, Steve Bannon. Shapiro menganggap kenyataan Bannon bahawa agenda Trumpisme ialah masa hadapan bagi Parti Republikan satu kenyataan mengarut. Ini kerana menurutnya, ramai memilih Trump bukan kerana mereka menyukai jutawan kelahiran bandaraya New York itu tetapi mereka menolak calon Parti Demokrat merangkap bekas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Rodham Clinton.

Figure 1: Menurut Shapiro, Trump dipilih bukan kerana orang sukakannya tetapi kerana orang benci Hillary Clinton.

Tetapi itu juga tidak menjadikannya sebahagian daripada kelompok sederhana. Kebanyakan pandangannya bersifat terlalu konservatif dan tidak enak didengari kelompok liberal. Kelompok dan penyokong lesbian, gay, transgender dan queer (LGBTQ) misalnya mengecam Shapiro kerana menganggap transgender satu masalah mental walaupun ia telah diubah selepas tahun 2013. Shapiro juga tidak segan menyatakan orang kaya dikenakan terlalu banyak cukai, pengguguran seharusnya ditentang dan Akta Penjagaan Berpatutan (Affordable Care Act/Obamacare) seharusnya dimansuhkan. Dan ada juga menganggapnya individu yang akan menambah lagi perpecahan dalam kalangan warga Amerika Syarikat terutama orang muda untuk tahun-tahun mendatang.

Walaupun dianggap konservatif totok, itu tidak bermakna Shapiro tiada prinsip seperti Trump dan kelompok pelampau berhaluan kanan. Beliau merupakan antara orang pertama yang mengecam gerakan berkenaan sebagai bersifat perkauman dan anti-Semitik. Akibatnya, 38% daripada twit anti-Semitik dihalakan kepada beliau semasa kempen menolak wartawan dan penulis yang sefahaman dengannya pada tahun 2016 menurut Liga Anti-Fitnah (Anti-Defamation League). Seorang kolumnis bagi National Review, David French menggelar Shapiro sebagai pahlawan berprinsip kerana walaupun menyerang agenda liberal dengan agresif, beliau tidaklah menyerang secara tidak adil, menjadi batu api atau merosakkan karakter individu yang ditentangnya. Atas sebab itu, Shapiro tidak teragak-agak menyelar Sean Hannity dan Bannon kerana menyokong anggota Republikan dari Alabama yang dilanda skandal, Roy S. Moore.

Namanya mungkin tidak segah Hannity atau Rush Limbaugh tetapi beliau sentiasa menarik perhatian penonton dari kalangan belia. Dan tidak seperti penganalisis atau pengkritik politik lain yang berada di studio televisyen atau konti radio, Shapiro mengembara ke seluruh negara dan berucap di kolej dan universiti sebagai speaker atau panel diskusi bersama pelajar. Salah seorang pengkritik tegar Trump merangkap penganalisis konservatif Charlie Sykes berkata, “Setiap kali saya menonton Fox, ia membuatkan saya jadi lagi bodoh tetapi bila mendengar ucapan Ben Shapiro, anda akan rasa terhibur dan mendapat kesedaran. Beliau bertenaga, banyak membaca buku dan mindanya bekerja dalam kadar yang amat pantas. Beliau suka buat orang tidak selesa. Amat jelas Shapiro sebahagian daripada generasi muda. Saya boleh bayangkan Bill Buckley (penulis dan pengulas konservatif) memandang ke bawah dan tersenyum.”

Sesiapa yang menonton klip video diskusi atau mendengar ucapan podcastnya pasti akan memikirkan logik bagi setiap hujah yang disampaikannya. Misalnya, satu klip video yang memaparkan perdebatan Shapiro dengan seorang pelajar wanita di Michigan berkenaan isu transgender. Selepas saling berbalas hujah, beliau bertanya berapa usia wanita berkenaan dan dia menjawab baru berusia 22 tahun. Mendengar jawapan itu, Shapiro bertanya, “Mengapa anda bukan berumur 60 tahun? Apa masalah memperkenalkan diri dengan usia 60 tahun?” Pelajar tersebut memandangnya dan teragak-agak mencari jawapan sesuai kepada soalannya sebelum menjawab, “Itu tidak sama dengan jantina. Anda tidak boleh…” Ini mendorong Shapiro berkata, “Anda benar. Anda tidak boleh mengubah secara ajaib jantina anda. Anda tidak boleh mengubah secara drastik orientasi seksual anda. Anda tidak boleh mengubah secara ajaib usia anda.” Klip video berkenaan mendapat tontonan sebanyak 47 juta di Facebook.

French sendiri berpandangan, kelompok konservatif alaf baru merasa kosong dan mahukan suara berbeza untuk menyuarakan nilai konservatif. Beliau menambah, “Mereka mahukan seseorang yang tidak segan mempertahankan nilai-nilai konservatif tetapi pada sama, fasih berbicara berkenaan pergerakan di mana mereka merasa bangga menjadi sebahagian daripadanya.” Ada yang menyamakan Shapiro dengan seorang lagi bekas rakan sekerjanya di Breitbart, Milo Yiannopoulos. Kedua-duanya berucap di kampus universiti, ucapan atau coretan mereka menarik perhatian dan protes ramai, pernah bekerja bersama Bannon di Breitbart dan mereka juga merupakan orang muda. Tetapi Yiannopoulos dianggap tin kosong dan bukan seorang konservatif tulen seperti Shapiro.

Dan ini mendedahkan motivasinya berkenaan aspek konservatif. Dalam era di mana politik semakin mencabar, beliau menganggap sesiapa yang menyertai arena berkenaan perlu berlawan habis-habisan untuk mempertahankan pegangan mereka dan tidak membiarkan orang lain membuli dan menentukan agenda mereka ke atas orang lain. Atas sebab itu, Shapiro bersedia mempertahankan nilai konservatif sama ada dari sebelah kiri mahupun dari sebelah kanan. Beliau menambah, “Saya akan cuba mempertahankan idea-idea konservatif habis-habisan. Saya tidak akan menjadi anti-haluan kiri hanya untuk menjadi anti kepada kelompok berkenaan.” Walaupun ramai tidak bersetuju dengan pandangan beliau, sekurang-kurangnya Shapiro bersikap jujur dan enggan menggadai nilai konservatif yang membentuk siapa dirinya, tidak seperti Trump yang dianggap anti-haluan kiri dan bukan kerana pendirian politiknya.

SUMBER

Tavernise, Sabrina. (2017). New York Times. Ben Shapiro, a Provocative ‘Gladiator’, Battles to Win Young Conservatives. https://www.nytimes.com/2017/11/23/us/ben-shapiro-conservative.html

 

Previous articleDerbi Nusantara: Malaysia Vs Indonesia
Next articleMeneladani “Dakwah” Gandhi
Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.
SHARE