Suatu hari, seorang lelaki berkunjung ke sebuah kedai kebajikan yang terletak di Hertfordshire, England. Lelaki yang namanya enggan didedahkan itu sememangnya merupakan seorang yang mempunyai minat terhadap barang-barang seni. Dalam kesempatan itu, beliau membeli sebuah pasu berwarna kuning yang berbentuk seperti buah pear.

Pasu ini sememangnya unik dan cantik – dihiasi kaligrafi Cina dan warna kuning sebagai warna utama benar-benar menghadirkan aura ala-ala kerabat diraja Cina; dekorasi bunganya pula halus terperinci; dan ciri reka bentuknya agak menarik terutama pada bahagian belakangnya yang didapati rata, tidak melengkung sepenuhnya seperti kebanyakan pasu lain.

Mungkin disebabkan oleh faktor-faktor itu, lelaki tersebut mengambil keputusan untuk membeli pasu berkenaan. Sebut harga yang diberikan oleh kedai itu adalah £1 atau RM5.16. Setelah beberapa tempoh masa berlalu, lelaki tersebut meletakkan pasu yang dibelinya itu ke dalam senarai jualan di laman eBay.

Tanpa disangka-sangka, tawaran demi tawaran untuk mendapatkan pasu itu menderu masuk. Hal ini menghairankan lelaki tersebut. Justeru, beliau mengeluarkan semula pasu itu dari senarai jualan di eBay lalu membawanya ke Sworders Fine Art Auctioneers di Stansted Mountfitchet, Essex untuk dijalankan penelitian.

Hasil penelitian benar-benar mengejutkan rumah bidaan tersebut. Perasaan lelaki itu pula tak usah dicakap, kagetnya bukan kepalang. Boleh digambarkan juga betapa besarnya mulutnya terlopong apabila diberitahukan status dan harga sebenar pasu berkenaan.

Menurut Yexue Li, ketua jabatan barangan seni Asia di rumah bidaan Sworders pasu yang berukuran lapan inci itu adalah relik berusia 300 tahun milik Maharaja Qianlong dari Dinasti Qing. Hal tersebut dapat dilihat dan dibuktikan dengan jelas menerusi ciri-ciri yang ada pada pasu berkenaan.

Pertama sekali, dekorasi bunga yang menghiasi pasu tersebut merupakan tanda keluarga diraja. Dekorasi itu juga menandakan bahawa pasu ini bukan dihasilkan untuk tujuan jualan ataupun eksport, sebaliknya khusus untuk menjadi perhiasan di istana maharaja. Di samping itu, warna utamanya iaitu kuning mengukuhkan lagi bahawa ia merupakan relik milik Maharaja Cina.

Tidak cukup dengan itu, pada pasu itu juga terdapat tulisan syair diraja yang dikenali sebagai ‘kemenyan pujian’. Di samping itu, ada pula dua tanda mohor besi-merah yang berbunyi ‘Qianlong chen han’ atau ‘Tanda Peribadi Maharaja Qianlong’ yang juga boleh dibaca sebagai ‘Weijing weiyi’ yang bermaksud ‘yang tepat dan yang tidak goyah’. Menjelaskan tentang bentuk rata pada bahagian belakang pasu itu, Yexue Li memberitahu bahawa ia bertujuan untuk membolehkan pasu tersebut digantung pada dinding.

Setelah proses penelitian dilakukan, rumah bidaan Sworders memaklumkan bahawa nilai sebenar relik yang berusia 300 tahun itu mencecah £50 000 hingga £80 000 atau RM 258 115 hingga RM 412 984. Angka itu juga boleh meningkat jauh lebih banyak berbanding yang dinyatakan. Justeru, relik berkenaan diserahkan kepada rumah bidaan tersebut untuk dilelong pada acara jualan akan datang, yang dijangka berlangsung pada tanggal 8 November ini.

Pandangan jarak dekat. Bahagian belakang pasu ini berbentuk rata untuk membolehkannya digantung pada dinding

Keadaan sebegini mengingatkan kepada kejadian serupa yang berlaku pada tahun lalu, juga melibatkan sebuah pasu dari Cina. Sebelum dilelong pada Julai 2018, sebut harga bagi pasu tersebut adalah sekitar $590 000 – $825 000. Namun, rumah bidaan Sotheby dikejutkan apabila harga tersebut mencecah 20 kali ganda berbanding nilai asal, dan berjaya mengutip $19 juta!

Jika situasi yang sama berlaku pada bidaan relik tahun ini di mana pembida memberikan harga bidaan sebanyak 20 kali ganda berbanding sebut harga yang diberikan oleh rumah bidaan, maka secara matematiknya pasu yang pada asalnya didapatkan dengan harga £1 ini boleh mencapai harga bidaan sehingga £1.6 juta atau RM 8 259 688!

Berbicara tentang situasi sedemikian, Ashley Cowie daripada Ancient Origins menyelitkan pada artikelnya dengan tulisan berunsur humor ini: “Dan akhir sekali, mari kita bertafakur sejenak untuk mengenangkan nasib pekerja di kedai kebajikan yang menjual pasu berkenaan kepada lelaki tidak dikenali itu dengan harga £1. Sudah tentu setelah pasu Maharaja Qianlong ini mendapat liputan yang meluas, pekerja tersebut termangu sendirian di kamarnya sambil memeluk tubuh, mengenangkan betapa kejamnya kehidupan ini.”

Sebelum mengakhiri perkongsian kali ini, mari kita menyingkap sedikit pengetahuan sejarah berkenaan Maharaja Qianlong. Beliau merupakan maharaja keenam dinasti Qin yang lahir pada tahun 1711 dan mangkat pada tahun 1799M. Tempoh pemerintahannya berlangsung selama 63 tahun, bermula dari tahun 1733M sehingga 1796M, antara yang paling lama dalam kalangan maharaja-maharaja Cina yang lain. Sebelum mangkat pada usia 88 tahun, Maharaja Qianlong sempat menyerahkan takhta kepada puteranya yang memakai gelaran Maharaja Jiaqing.

Beliau yang hidup sezaman dengan George Washington (1732-1799) merupakan salah seorang maharaja Cina yang paling kaya. Bahkan dicatatkan bahawa makam maharaja Qing yang paling besar adalah kepunyaan beliau. Makamnya sahaja berkeluasan setengah kilometer persegi dan dihiasi dengan begitu banyak perhiasan dan patung. Dicatatkan bahawa pembinaan makam  ini telah pun dimulakan sejak beliau berusia 30 tahun dan dianggarkan sehingga 90 tan perak dibelanjakan untuk tujuan tersebut.

Beliau juga dianggap sebagai maharaja hebat yang terakhir dalam sejarah Cina, lebih-lebih lagi dengan kemahirannya dalam hal ketenteraan di samping kecintaannya terhadap kesenian. Antara ucapannya yang paling masyhur adalah, “Pasukan tentera boleh dibiarkan tanpa tugas selama seratus tahun, akan tetapi ia sama sekali tidak boleh dibiarkan tidak bersiaga walau untuk sehari.”

Maharaja Qianlong

RUJUKAN

Ashley Cowie. (31 Ogos 2019). Man Buys Vase for £1, Finds Out it is £80,000 Treasure Belonging to Chinese Emperor. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/news-history-archaeology/chinese-vase-0012515

Chris Ciaccia. (3 September 2019). Chinese vase bought for $1 could be worth $100G. Fox News.
https://www.foxnews.com/science/chinese-vase-could-be-worth-100g

Facts and Details. (November 2016). Qianlong Emperor.
http://factsanddetails.com/china/cat2/sub4/entry-5502.html

Ross Ibbetson. (31 Ogos 2019). Chinese vase sold for just £1 in a charity shop is revealed to be a rare £80,000 treasure that was made for 18th century Emperor Qianlong. Dailymail.co.uk.
https://www.dailymail.co.uk/news/article-7413773/Chinese-vase-sold-just-1-charity-shop-revealed-rare-80-000-Emperors-treasure.html

Tim Green. (31 Ogos 2019). Vase bought for £1 belonged to 18th century Chinese emperor. Metro.co.uk.
https://metro.co.uk/2019/08/31/vase-bought-for-1-belonged-to-18th-century-chinese-emperor-10662406/


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.