Belanda Untuk Noobies

0
2852
views
Rata-rata orang kita kenal akan Belanda tetapi jika disebut The Netherlands pasti ramai keliru tentang satu nama negara di Eropah Barat ini. Sebenarnya yang kita sebut Belanda itu adalah merujuk kepada negara yang bernama The Netherlands. Bagaimanapun, Holland itu berbeza dengan The Netherlands.

Jelas, pasti ramai yang terkeliru tentang nama Belanda ini kan.
Di Asia Tenggara, Belanda ini lebih sinonim dengan Indonesia kerana mereka lebih berperanan di negara jiran itu, perkataan Belanda ini sebenarnya dipinjam daripada kosakata Portugis iaitu holanda, olanda, wolanda, bolanda dan akhirnya ia disebut sebagai belanda.

The Netherlands pula adalah sebuah persekutuan yang merangkumi 12 Negeri, dengan Holland termasuk dalam persekutuan ini.

Groningen : Ibu Negeri = Groningen
Friesland : Ibu Negeri = Leeuwarden
Drenthe : Ibu Negeri = Assen
Utrecht : Ibu Negeri = Utrecht
Zeeland : Ibu Negeri = Middelburg
Limburg : Ibu Negeri = Maastricht
Overijssel : Ibu Negeri = Zwolle (Enschede bandar paling besar)
Flevoland : Ibu Negeri = Lelystad (Almere bandar paling besar)
Gelderland : Ibu Negeri = Arnhem (Nijmagen bandar paling besar)
Noord Holland (Holland Utara) : Ibu Negeri = Haarlem (Amsterdam* bandar paling besar)
Zuid Holland (Holland Selatan) : Ibu Negeri = Den Haag (Rotterdam bandar paling besar)
Noord Brabant (Brabant Utara) : Ibu Negeri = Den Bosch (Eindoven bandar paling besar)

*Amsterdam juga merupakan Ibu Negara The Netherlands

Struktur persekutuan ini sama seperti Malaysia, tetapi mereka hanya mempunyai seorang Raja dan ini agak kontra dengan Malaysia. Bagaimanapun rakyat Belanda lebih gemar merujuk kepada bandar-bandar yang ada dalam provinsi dan nama provinsi ini hanya disebut dalam urusan rasmi sahaja. Jadi, jelas sudah akan istilah Belanda dan Netherlands ini.

Belanda secara kasarnya merupakan sebuah negara yang mendatar dengan sebahagian daratannya hanya setinggi 1 meter dari aras laut dan ada antaranya berada dibawah paras laut, kerana itu rakyatnya menyebut nama negara mereka sebagai Nederland yang bermaksud “negeri-negeri yang berdaratan rendah”. Semenjak kurun ke-16 hingga kini, kerajaan Belanda telah menebus semula laut untuk dibina penempatan seperti yang kita dapat lihat pada masa sekarang.

Bahasa

Dutch adalah bahasa Rasmi di Belanda ia juga digunakan secara rasmi di Aruba, Brussels, Curacao, Flanders, Saint Maarten dan Suriname. Bahasa ini sebenarnya berasal dari West Germanic dan mula dipertuturkan semenjak tahun 470M dan bahasa ini mula dipertuturkan secara standard pada kurun ke-16. Ia mempunyai lebih 20 juta penutur di seluruh dunia dan digunakan dengan dominan di Belanda dan Belgium.

Seperti Bahasa Melayu, Bahasa Dutch juga mempunyai beberapa dialek yang dipertuturkan mengikut negeri dan lokasi penuturnya memandangkan Belanda merupakan sebuah negara Imperialis sewaktu zaman kolonialisme. Antara dialek bahasa Dutch;

– Frisian yang juga menjadi bahasa rasmi di provinsi (negeri) Friesland selain dari bahasa Dutch, penuturnya berjumlah 453,000 orang.

– Dutch-English yang dipertuturkan bekas negara kolonial Belanda di Kepulauan Carribean, Bahasa Inggeris juga menjadi bahasa rasmi kedua yang diguna pakai di Belanda.

– Papiamento yang digunakan di Bonaire, sebuah bandar di Aruba
Dutch Low Saxon yang dipertuturkan secara minoriti di seluruh eropah yang berjiran dengan negara penutur dengan jumlah mereka seramai 1.78 juta orang.

– Limburgish yang dituturkan oleh penduduk Belanda di provinsi Limbur dengan penuturnya berjumlah 853000 orang.

Sejarah

Belanda merupakan salah sebuah daerah Sepanyol semasa ia diperintah oleh Raja Charles V di mana ianya meliputi Belanda, Belgium. Luxembourg dan Utara Perancis. Ia memperoleh kemerdekaan ketika Sepanyol diperintah oleh Raja Philip II pada 1648. Setelah itu, Belanda telah menjadi satu Republik yang dikenali sebagai Republik Belanda 7 Daerah Bersatu. Ketika inilah Belanda muncul sebuah negara penakluk dan kuasa ekonomi serta mahir dalam pelayan. Kurun ke-17 merupakan Zaman Emas bagi Belanda, Syarikat Hindia Timur Belanda atau VOC ditubuhkan pada zaman ini.

Ketika Napoleon meluaskan kuasanya, Belanda telah menjadi sebahagian daripada Empayar Perancis, dan pentadbiran VOC mulai lemah dengan peranannya telah diambil alih orang-orang Perancis. Setelah Napoleon berjaya ditumpaskan, Belanda telah merdeka dan membentuk semula kerajaannya pada 1815 yang pada waktu itu meliputi Beligum dan Luxembourg. Belgium telah mendapat kemerdekaannya pada 1830, manakala Luxembourg diberi kebebasan setelah Raja William III mangkat.

Pada abad ke-19, Belanda sudah menjadi negara perindustrian berbanding negara-negara disekitarnya. Ketika Perang Dunia I Belanda bersifat neutral dan tidak memihak kepada mana-mana kuasa besar, tetapi ia telah ditakluk oleh Jerman (Nazi) ketika Perang Dunia ke-2 pada Mei 1940. Selepas perang dunia tamat, Belanda semakin maju dengan Belanda menjadi ahli anggota Ekonomi Benelux dan Komuniti Ekonomi Eropah serta salah satu negara anggota NATO.

Kesatuan Ekonomi Eropah (EU) telah dirintis oleh pemimpin Belanda pada 1992 dan ia telah terbentuk seperti mana yang kita ketahui pada hari ini.

Tarikan Belanda

Agen Pelancongan terutama di Malaysia akan memasukkan Belanda antara negara yang wajib dilawati berikutan lapangan terbang Schiphol antara yang menerima kemasukkan secara terus penerbangan dari Asia selain dari Heathrow di London.
Paling diketahui bakal pelancong dari Malaysia tentang Belanda adalah:

– Bunga Tulip
– Kincir Angin
– Basikal

Benar, Belanda merupakan sebuah negara industri yang berasaskan kepada pertanian, bunga tulip merupakan satu usaha komersial di Belanda yang mendapat perhatian seluruh masyarakat dunia. Pastinya anda akan dibawa melawat ke Kuekenhoff iaitu sebuah Taman Bunga diRaja yang menempatkan pelbagai spesis bunga seluruh dunia.

Sekitar Taman Bunga itu juga terdapat ladang tulip. Pemandangan diladang tulip ini sungguh mengkagumkan dan lebih menakjubkan jika anda memandangnya dari udara. Terdapat pakej udara disediakan di taman tersebut untuk anda menikmati pemandangan dari udara.

Kincir Angin, ia telah menjadi ikon kepada Belanda, dan benar teknologi kincir ini digunakan secara meluas di negara ini. Fungsi utama kincir ini adalah untuk mengoptimumkan penggunaan kuasa angin dalam menjana elektrik dan menggerakkan mesin-mesin. Di Rotterdam misalnya, terdapat satu kampung yang menjadi tarikan pelancong iaitu Kinderdijk. Yang menariknya dikampung ini terdapat puluhan Kincir Angin dan ia adalah antara kincir angin yang paling awal dibangunkan. Fungsinya adalah untuk mengawal paras air dan mengelak banjir di kampung tersebut.

Fietsen perkataan Dutch untuk basikal yang menjadi kenderaan peribadi utama di Belanda. Orang-orang Belanda yang lengkap dengan suite ala-ala model juga tanpa kekok berbasikal di mana-mana. Basikal menjadi pilihan rakyat Belanda kerana ia satu pengangkutan yang murah dan senang dikendalikan, selain sebagai salah satu cara beriadah.

Kerajaan Belanda telah menyediakan laluan khusus untuk berbasikal sepanjang jalan di seluruh Belanda menjadikan ia selamat untuk penunggang basikal. Anda akan melihat satu pemandangan yang menakjubkan dengan ratusan basikal diletakkan secara tersusun di stesen keretapi sebagaimana kita melihat deretan kereta di kawasan parkir kereta di Stesen Komuter. Tapi awas, anda akan disaman jika tidak memasang lampu basikal di waktu malam!

Sehingga bertemu lagi di artikel yang akan datang… Tot Ziens!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.