Belajar Cara Negara Luar Menjaga Harimau Mereka

2,390

Sejarah pemburuan harimau di India bermula pada awal kurun ke-16 dengan wujudnya ‘safari hunting’ untuk golongan elit. Perkara  ini lahir daripada Maharaja Mughal: Jalaludin Muhammad Akbar yang ‘gilakan’ sukan memburu harimau.

Baginda mentradisikan ‘royal hunting’ atau shikar yang diteruskan hingga kejatuhan Empayar Mughal pada 1857. Disertakan disini lukisan yang menunjukkan bangsawan Turki, Afghan, Mongul dan Rajput memburu harimau di atas belakang gajah dan kuda.

Aktiviti ini dianggap sebagai eksotik dan ‘heroic’ dengan bangkai harimau dijadikan sebagai trofi. Sukan memburu ini diteruskan ketika era British Raj. British bersama-sama dengan pemerintah ‘berdaulat’ di India dan mereka membunuh harimau sewenang-sewenangnya.

Maharaja, tuan tanah, para jeneral keluar memburu dengan jumlah yang sangat besar – sehingga 40 ekor gajah pernah dibawa bersama. Hamba mereka akan terlebih dahulu menyumpit harimau dengan dadah atau mencederakan haiwan malang tersebut supaya Tuan-Tuan mereka dapat memburu dalam keadaan kurang bahaya. (Szczepanski, 2019)

Para pemburu menghalalkan aktiviti mereka dengan menyebarkan propaganda harimau sebagai haiwan ganas yang sentiasa dahagakan darah manusia.

Setelah menaiki takhta pada 1911, King George V bersama rombongannya tiba di utara Nepal. Mereka membunuh 39 ekor dalam masa 10 hari. Menurut rekod, Colonel Geoffey Nightingale telah menembak 300 ekor harimau. Sekitar tahun 1920, Umed Singh II – Maharaja Kotah telah mengubahsuai sebuah Rolls Royce Phantom untuk kegunaan menembak hariamau di Pergunungan Rajastani. Kereta ini dilengkapi dengan ‘machine-gun’ dan meriam Lantaka. (Sharon, 2014)

Raja-Raja Rewa di bahagian tengah India dilaporkan membunuh sejumlah 109 ekor harimau selepas istiadat pertabalan mereka. Membunuh harimau merupakan ritual ‘cukup umur’ bagi putera muda. Menurut seorang ahli sejarah India – Mahesh Rangarajan, “80,000 harimau dibunuh dalam tempoh 50 tahun, antara 1875-1925…..”

Penglibatan orang awam dalam pemburuan harimau meningkat pada 1947 dengan munculnya beratus ‘travel agency’ yang memasukkan pemburuan harimau dalam pakej mereka. Ada juga menawarkan pakej ‘sure kill’ dengan jaminan wang dikembalikan jika anda tidak dapat membunuh seekor harimau.

Supaya tidak tewas dengan golongan marhaen, Maharaja di India dirasuk kegilaan baru dengan cuba mencipta rekod sebagai yang terhebat dalam pemburuan. Maharaja Surguja dalam suratnya kepada seorang Biologis – George Schaller, memberitahu menjelang 1965, baginda telah berjaya membunuh sebanyak 1150 ekor harimau.

Disebabkan harimau terbesar memberikan pemburu ‘bragging right’, saiz harimau yang paling besar dan terkuat telah lenyap dari kolam gen (gene pool).

HARAPAN UNTUK HARIMAU

Kailash Sankhala adalah individu pertama yang menyuarakan perlunya usaha pemuliharaan seawal tahun 1956. Pada era pemburuan harimau adalah tradisi setempat, beliau tanpa jemu mendidik dan mengetuai usaha ini. Sankhala menjalankan kajian menyeluruh dibawah Jawaharlal Nehru Fellowship untuk mendapat gambaran populasi harimau yang masih tinggal.

Dapatan kajian ini amat membimbangkan – daripada 100,000 ekor harimau di India, kini hanya  tinggal 1800 ekor. Tanpa membuang masa, Sankhala mengutus surat kepada Perdana Menteri India, Indira Gandhi memohon bantuan. (Bindra, 2015)

Semasa Indira Ghandi mula memegang kuasa pada 1966, hidupan liar berada dalam krisis. Selepas merdeka, banyak hutan ditebang bagi membina empangan, lombong, infrastruktur industri dan kawasan hartanah untuk memenuhi wawasan India Baru.

1969,ketika India menjadi tuan rumah untuk persidangan International Conservation Union (ICUN), krisis harimau dibangkitkan untuk pertama kalinya. Tanpa membuang masa, beliau terus mengharamkan pemburuan harimau – walaupun mendapat penentangan dari pengusaha ‘shikar safari’. Mereka mendakwa India akan kerugian dari segi tukaran wang asing apabila industri pelancongan jatuh.

Indira Gandhi dengan tegas menjawab “India memang memerlukan keuntungan dalam tukaran wang asing – namun tidak pada harga kehidupan dan keamanan harimau yang hidup di benua ini.”

Pada 1972, Akta Perlindungan Hidupan Liar diluluskan di parlimen. Selain daripada pengharaman aktiviti memburu, penubuhan Taman Negara dan peraturan berkaitan hidupan liar turut dikuatkuasakan.

Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan pelancaran Project Tiger pada 1 April 1973 di Taman Negara Jim Corbett, Uttrakhand. Objektif utama Project Tiger adalah menyelamatkan Royal Bengal Tiger daripada pupus.

Punca utama menurunnya populasi harimau adalah manusia. Dengan itu, kawasan harimau dijadikan kawasan ‘bebas manusia’ bagi memastikan harimau hidup dengan aman. Sehingga kini, terdapat sekitar 50 buah Taman Negara telah diwujudkan. Usaha ini bukan sesuatu yang mudah namun bilangan harimau telah meningkat kepada 4000 ekor dalam lapan tahun terakhir.

India telah berjaya mencipta keajaiban dengan menukar ladang pemburuan kepada hutan simpan dan Taman Negara bagi memulihara alam.

Dikala negara diseluruh dunia masih memikirkan cara untuk menyelamatkan harimau, usah di India telah menunjukkan hasil. Adalah wajar negara kita Malaysia, belajar dan menuntut ilmu secara terus dengan kerajaan India dalam usaha kita untuk menyelamatkan Harimau Malaya supaya tidak lagi diancam kepupusan.

RUJUKAN:

1. Bindra, P. (19 November, 2015). Indira Gandhi’s lesser known legacy: How Iron Lady saved India’s wildlife. Retrieved 12 July, 2019, from Dailyo.in: https://www.dailyo.in/politics/indira-gandhi-birth-anniversary-wildlife-protection-conservation-bengal-tiger-india/story/1/7466.html

2. Sharon. (11 March, 2014). A Concise History of Tiger Hunting in India. Retrieved 13 July, 2019, from National Geograpjic: https://blog.nationalgeographic.org/2014/03/10/a-concise-history-of-tiger-hunting-in-india/

3. Szczepanski, K. (11 January, 2019). The British Raj in India. Retrieved 12 July, 2019, from Thought.Co: https://www.thoughtco.com/the-british-raj-in-india-195275

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.