Beckham Kena Baling Kasut But Dengan Tun Alex Ferguson

1,657

Bila pemain bertelagah dengan pengurus atau pemilik, ia selalunya membawa kepada p3rang besar yang mengakibatkan si pemain meninggalkan kelab atau dipecat. Dan ada satu pertelagahan yang paling terkenal pada awal abad ke-21 iaitu sepakan ‘percuma’ but Sir Alex Ferguson ke kening David Beckham pada tahun 2003.

Kisah ini bermula lama sebelum insiden sepakan but berlaku pada Februari 2003. Sepanjang musim 2002-2003, Beckham sentiasa dikaitkan dengan perpindahan ke kelab-kelab ternama lain seperti Real Madrid dan Barcelona.

Bagi Ferguson dan staf kejurulatihan United seperti Carlos Queiroz dan Tony Coton, mereka perasan Beckham tidak lagi mempunyai kesungguhan untuk berjaya berbanding pada tahun-tahun beliau mencipta nama sebagai pemain terkenal.

Letusan perasaan antara kedua-duanya akhirnya meletus pada Februari 2003 selepas tamat perlawanan Piala FA menentang Arsenal. Manchester United tewas dalam perlawanan tersebut dan lumrah bagi mana-mana pengurus, Ferguson merasa tidak gembira dengan apa yang berlaku.

Bila pemain-pemain masuk ke bilik persalinan, Ferguson menyalahkan Beckham sebagai punca kekalahan pasukan. Beckham yang juga dikenali sebagai Goldenballs enggan melayan tuduhan tersebut dan membalas ada lagi beberapa pemain yang sepatutnya dipersalahkan atas kekalahan tersebut.

Namun, Ferguson enggan berganjak dan meminta Beckham mengakui kesilapan yang dilakukannya. Ini menyebabkan kapten England ketika itu mengeluarkan perkataan-perkataan kesat terhadap pengurus legenda Scotland itu.

Berang dengan kenyataan Beckham, tanpa semena-mena, but yang berada di lantai disepak Ferguson tepat mengenai dahinya. Apabila itu berlaku, ia hampir-hampir mencetuskan pergaduhan besar dalam bilik persalinan jika tidak kerana campur tangan pemain-pemain senior seperti Ryan Giggs, Ruud van Nistelrooy dan Gary Neville.

Selepas mendapatkan rawatan di bilik rawatan, Beckham hendak beredar apabila Ferguson muncul di pintu dan memohon maaf atas apa yang berlaku. Tetapi nasi sudah jadi bubur.

Apabila berita itu diketahui isterinya Victoria Beckham, bekas anggota kumpulan Spice Girls itu mahu bersemuka dengan Ferguson tetapi dihalang Beckham. Sebaliknya, pasangan selebriti itu memilih meninggalkan Old Trafford.

Rajah 1: Imej Beckham beberapa hari selepas insiden serangan but oleh Ferguson. Sumber: https://www.irishmirror.ie/sport/soccer/soccer-news/david-beckhams-reaction-sir-alex-20173026

Tetapi bila imej luka di kening Beckham dikesan oleh pihak media dan peminat, ramai sudah menjangka berlaku pergaduhan besar antara kapten England dengan Ferguson.

Beberapa hari selepas itu, pengurus legenda yang pernah menguruskan Aberdeen dan Scotland memberitahu lembaga pengarah untuk menjual Beckham pada musim panas 2003.

Alasannya ialah Ferguson enggan membenarkan seorang pemain merasakan dirinya lebih penting daripada kelab. Jika dibiarkan, ia berpotensi mengancam kedudukannya sebagai pengurus kelab bersejarah berkenaan.

Kisah pergaduhan panas ini direkodkan dalam autobiografi Ferguson dan Beckham iaitu My Sides (2003) dan Alex Ferguson: My Autobiography (2013).

Promosi Buku DTT

Pada musim panas 2003, hasrat Beckham untuk berhijrah menjadi kenyataan dengan menyertai Los Blancos dengan yuran perpindahan 25 juta paun. Dan pengganti Beckham ialah seorang pemain remaja dari Sporting Lisbon dengan yuran perpindahan 12.24 juta paun.

Rajah 2: Beckham berhijrah ke Real Madrid dengan yuran perpindahan 25 juta paun pada musim panas 2003.

Ya, dialah Cristiano Ronaldo dan sejak itu, semua menjadi sejarah. Ronaldo mula membina namanya bersama United dan membantu mereka memenangi beberapa kejuaraan termasuk Liga Juara-Juara Eropah 2007-2008 sebelum berhijrah ke Real Madrid dan Juventus.

Sementara Beckham pula kekal di Real sehingga musim panas 2007 sebelum menyertai LA Galaxy dan akhir sekali Paris St Germain. Beliau menggantung but pada akhir musim Ligue 1 2012-2013.

Manakala Ferguson terus cemerlang mengemudi United untuk tahun-tahun berikutnya walaupun dicabar oleh pengurus-pengurus lawan baru seperti Rafa Benitez, Jose Mourinho, Carlo Ancelotti dan Roberto Mancini. Akhirnya, beliau menamatkan karier sebagai pengurus pada akhir musim 2012-2013.

Hubungan kedua-duanya terus kekal baik walaupun dicemari dengan insiden sepakan but ini. Malah, bila Ferguson menjalani pembedahan kecemasan bagi menangani masalah pendarahan otak pada Mei 2018, Beckham menghantar mesej ini:

Beckham sendiri mengakui selepas beberapa tahun, barulah beliau merasakan apa yang berlaku pada Februari 2003 itu merupakan satu kesilapan membabitkan kedua-dua pihak.

Dan sebagai testimoni hubungan kedua-duanya pulih, boleh lihat hantaran Instagram Beckham berkenaan ulangtahun  perlawanan final Liga Juara-Juara Eropah menentang Bayern Munich yang diadakan pada Mei 2019:

RUJUKAN:

Fifield, Dominic. (2003). Beckham went for boss in boot brawl. The Guardian. https://www.theguardian.com/football/2003/sep/01/newsstory.sport3

de Menezes, Jack. (2013). Sir Alex Ferguson autobiography: What really happened in the dressing room between me, a flying boot, and David Beckham. The Independent. https://www.independent.co.uk/sport/football/news-and-comment/sir-alex-ferguson-autobiography-what-really-happened-in-the-dressing-room-between-me-a-flying-boot-8897245.html

Ruangan komen telah ditutup.

PROMO

LAWATI LAMAN SESAWANG UNTUK MELIHAT HARGA PROMOSI JUALAN KECEMASAN COVID-19.

 

https://www.thepatriots.store

16108