Penundukkan kaum Murtad adalah suatu gerakan yang dilakukan oleh Khalifah Abu Bakar as-Siddiq pada tahun pertama kekhalifahannya, atau kata lain, beliau menerima baiat sebagai Khalifah dalam keadaan kemurtadan sudah pun mula menunjukkan bibit-bibit pengganasannya, lebih-lebih lagi di kawasan Yaman, Samira dan Yamamah. Gerakan selama tidak sampai setahun, atau lebih tepatnya, 8 bulan (Rabiul Akhir – Dzul Hijjah 11 H) ini secara ringkasnya, melibatkan keramaian Murtadin yang menerpa ke atas kesikitan Muslimin.

Sebagai nota, kempen ini melibatkan Muslimin di Mekah dan Taif, Madinah dan sekitar serta beberapa individu di celah-celah masyarakat sesebuah kabilah Arab, memerangi:

Murtadin pimpinan Aswad al-‘Ansi (Yaman)
Murtadin pimpinan Tulayhah yang mencakupi Utara Tengah Tanah Arab
Murtadin pimpinan Abu Shajra (sebahagian Bani Sulaym; Naqra)
Murtadin pimpinan Salma Umm Ziml (Zhafar)
Murtadin pimpinan Sajah bint Harits (Bani Taghlib dan Bani Tamim)
Murtadin pimpinan Malik ibn Nuwayrah (Suku-kabilah Yarbu’i)
40 000 Murtadin pimpinan Musaylamah al-Kazzab (Bani Hanifah; Yamamah)
Murtadin pimpinan Mundzir ibn Nu’man (Bahrain)
Murtadin pimpinan Laqiet ibn Malik (Oman)
Murtadin pimpinan Musabbah (Mahrah)
Murtadin pimpinan Qays ibn Maksyuh dan ‘Amru az-Zubaydi (Yaman)
Murtadin pimpinan Harithah ibn Suraqah dan Ash’ats ibn Qays (Kindah)
Perbatasan Syam; Tabuk – Daumatul Jandal (Bani Quza’ah dan Kalb)

Buku-buku Sirah menotakan bahawa antara jasa Khalifah Abu Bakar semasa kekhalifahannya adalah menghapuskan kaum murtadin. Namun, sejauh mana signifikasi jasa ini, yang mana period ini menjadi titik-bukti kebijaksanaan Sayyidina Abu Bakar? Berbekalkan 36 Stratagems dan sedikit input dari Art of War, mari kita sama-sama telusuri beberapa buah strategi yang diaplikasikan oleh Khalifah as-Siddiq sepanjang kempen ini:

(rujuk artikel https://thepatriots.asia/pertempuran-sepanjang-kempen-rad-ar-riddah-penundukkan-golongan-murtad/ untuk menyemak kronologi pertempuran dan garis masa peristiwa)

1. Pamer kuat bila anda lemah, pamer lemah bila anda kuat

Semasa meneruskan perintah Rasulullah saw yang mana setiap perintah Rasulullah saw itu mengandungi hikmah terbaik, dengan Khalifah as-Siddiq tetap menghantar rejimen S. ‘Usamah ibn Zaid ke tanah Balqa’ (Syam), secara asasnya, beliau telah mendedahkan bukan setakat kota Madinah, malah seluruh umat Islam di al-Hijjaz kepada ancaman serangan golongan Murtadin yang umum maklum, bersiaga melancarkan serangan. Hal ini kerana, rejimen ‘Usamah itu terdiri dari hampir seluruh Mujahidin atau tenaga-manusia yang ada.

Melihat peluang yang terhidang ini, murtadin yang berpusat di hub Murtadin terdekat, iaitu Dzil Qashah yang berjarak 24 batu dari Madinah, melakukan mobilisasi dan berkem di Dzi Husan, sebelum mendekati Madinah, kerana menyangka bahawa pertahanan Madinah telah kosong. Sangkaan ini didorong oleh bawaan maklumat dari delegasi-delegasi yang mengunjungi Abu Bakar beberapa hari selepas rejimen ‘Usamah dihantar, yang mereka ini mengutarakan permintaan pengecualian zakat, yang terang-terang dibantah keras oleh Khalifah.

Murtadin itu tidak menyedari, bahawa masih terdapat pahlawan-pahlawan ulung Muslimin yang tinggal di Madinah, terutama dari Bani Hashim yang baru selesai menguruskan jenazah baginda Nabi. Natijahnya, mereka dihancurkan oleh panglima-panglima seperti Zubayr ibn al-‘Awwam, Talhah ibn ‘Ubaydillah, Nu’man ibn Muqarrin bersama 2 beradiknya, Sa’ad ibn Abi Waqqas, ‘Ali ibn Abi Talib dll.

Selain berhasil menundukkan murtadin di Dzil Qashah, penghantaran rejimen ‘Usamah ke Syam bukan hanya berjaya mencapai misinya iaitu mengamankan kawasan Tabuk dan Daumatul Jandal, serta menuntut-bela atas peristiwa di Mu’tah, malah terdapat beberapa kemungkinan manfaat yang diraih dari ekspedisi tersebut:

Dengan bergerak ke utara, rejimen ‘Usamah merintis atau memudahkan kerja Khalid al-Walid kelak yang bakal beraksi di Utara Tengah Tanah Arab, meliputi kawasan kabilah Ghatafan, Asad dan Tayy.

Mempamerkan kekuatan kepada Arab-Kristian di perbatasan Syam dan Kekaisaran Byzantine itu sendiri. Paling ringkas, untuk mencantas pelaksanaan Chèn huǒ dǎ jié  atau ‘merompak ketika terjadi kebakaran’ oleh dua pihak tersebut di Tanah Arab.
Menangguhkan mobilisasi Tulayhah ke atas Madinah. Sejurus selepas keberangkatan ‘Usamah, berlaku Pertempuran Dzil Qashah, di mana Tulayhah menghantar Hibal dan sejumlah tenteranya untuk membantu murtadin Dzil Qashah. Jika melihat sejarah Tulayhah, dia pernah beberapa kali menyerang Rasulullah saw.

Jadi, mengapa dia tidak memimpin sendiri seluruh ketumbukannya ke Madinah, sebaliknya hanya menghantar Hibal? Mungkin apa yang disebut oleh buku-buku sirah; “Arab-Arab Murtadin berasa takut dengan menyangka; “Jika Abu Bakar berani menghantar rejimen sebesar itu ke Syam (Rom), pastinya dia miliki pertahanan ampuh di Madinah.” berlaku dalam kes ini. Mungkin, dari situ lahir keraguan pada hati Tulayhah; pemimpin besar murtadin yang paling hampir dengan Madinah berbanding Musaylamah dan Aswad / Qays. Keraguan tersebut diambil peluang oleh Khalifah untuk mencapai misi ‘Usamah dan masa sama, menundukkan Dzil Qashah. Perlu dinotakan, pasukan ‘Usamah beraksi hanya selama ’40 hari’ atau tidak lebih 2 bulan.

Menerusi penerangan di atas, mungkin, prinsip Shùn shǒu qiān yang (顺手牵羊) Sambil lalu menuntun kambing turut dilaksanakan oleh Khalifah. Sementara tetap berpegang pada rencana, anda harus cukup fleksibel untuk mengambil keuntungan dari tiap kesempatan yang ada sekecil apapun (36 Stratagems). “Tumpukan butir pasir menghasilkan sebuah pagoda.” (Pepatah Cina)

2. Wéi Wèi jiù Zhào (围魏救赵) Mengepung Negara Wei untuk menolong Negara Zhao

Ketika musuh terlalu kuat untuk diserang, seranglah sesuatu yang berharga yang dimilikinya. Ketahui bahawa musuh tidak selalu kuat di semua hal. Entah di mana, pasti ada celah di antara senjatanya, kelemahan pasti dapat diserang. Dengan kata lain, anda dapat menyerang sesuatu yang berhubungan atau dianggap berharga oleh musuh untuk melemahkannya secara psikologis.

“Siapa yang mengetahui seni pendekatan langsung dan tidak langsung akan menang. Itulah seni bermaneuver.” (Sun Tzu, Art of War)

Antara kekuatan Murtadin yang paling mengancam Muslimin adalah murtadin pimpinan Musaylamah al-Kazzab di Yamamah, yang berjumlah 40 000 orang. Khalifah melancarkan kempen penundukkan murtadin dengan menghantar rejimen Khalid al-Walid ke Utara Tengah Tanah Arab, meliputi kawasan Bani Ghatafan, Asad dan Tayy. Matlamatnya adalah menewaskan Tulayhah ibn Khuwaylid di Buzakha.

Situasi akan buruk buat Muslimin jika Tulayhah membuat persepakatan dengan Musaylamah di Yamamah, sepertimana Musaylamah membuat persepakatan dengan Sajah pada bulan Rejab. Namun sebagai nota, Tulayhah ini di’kerja’kan pada Jamadil Akhir. Apapun, Musaylamah perlu dirantai dari membuat sebarang mobilisasi. Untuk memastikan hal ini, Abu Bakar menghantar Ikrimah ibn Abi Jahal ke Yamamah, dengan arahan mengunci pergerakan Musaylamah di Yamamah dan menanti ketibaan rejimen Syurahbil ibn Hasanah dan Khalid al-Walid.

Hasilnya, walaupun memimpin 40 000 Murtadin Yamamah, berita yang kita dengar mengenai Musaylamah sepanjang tempoh kempen hanyalah dia menewaskan Ikrimah, yang hanya berlaku pada akhir Rejab, iaitu ketika Khalid sudah pun berada di Buthah. Itu pun akibat ketergesa-gesaan bertuntaskan dari keterujaan Ikrimah.

Pergerakan Musaylamah mungkin semakin dirantai dengan adanya gerakan penentangan dari dalam oleh ahli-ahli kabilah Hanifah yang masih Islam, terutama dari salah seorang pembesarnya, iaitu Tsumamah ibn Utsal.

Dengan pergerakan Musaylamah dirantai, dengan bantuan Turaifah ibn Hajiz yang mengawasi bahagian belakangnya (rear-guard), dengan perbatasan Syam dikawal oleh Khalid ibn Sa’id dan ‘Amru al-‘As, dengan Yaman di selatan pula dikawal oleh Fairuz ad-Dailami, Tahir ibn Abi Halah, Masruq al-Akki dll, Khalid al-Walid dapat beraksi dengan cemerlang di Utara Tengah Tanah Arab; menewaskan Tulayhah di Buzakha, menghambat Uyainah ibn Hishn di Ghamrah, mengalahkan Abu Shajra di Naqra, menundukkan Salma Umm Ziml di Zhafar dan membungkamkan Malik ibn Nuwayrah di Buthah, sebelum beliau mara ke Yamamah. Dengan jayanya, Khalifah ‘mengepung Yamamah serta menyekat bahagian lain untuk menolong Khalid al-Walid’.

3. Jiè dāo shā rén ( 借刀杀人) Membunuh orang dengan pisau pinjaman

Serang dengan menggunakan kekuatan pihak lain (kerana kekuatan yang minima atau tidak ingin menggunakan kekuatan sendiri). Perdaya sekutu untuk menyerang musuh, sogok pegawai musuh untuk menjadi pengkhianat, atau gunakan kekuatan musuh untuk melawan dirinya sendiri.

“Bila anda ingin melakukan sesuatu, usahakan agar lawan anda melakukan untuk anda.”

Kerana hakikat bahawa hampir hanya Mekah dan Taif, Madinah dan sekitar sahaja yang masih kekal dalam Islam, di samping beberapa individu di celah-celah keramaian murtadin dalam kabilah masing-masing, Khalifah menyedari bahawa beliau kekurangan tenaga Mujahidin.

Maka, sebagaimana Cao Cao memenuhkan Sungai Yangtze dengan buluh yang berisi pengisytiharan perangnya terhadap Sun Quan dan Liu Bei hingga membawa kepada perpecahan di kalangan pegawai Wu; kelompok mahu menyerah dan kelompok mahu berperang, Khalifah as-Siddiq melakukan hal yang hampir serupa.

Antara perkara pertama yang beliau lakukan selepas dilantik sebagai khalifah adalah mengutus surat kepada wazir-wazir lantikan Rasulullah secara khusus dan masyarakat seluruh kabilah Arab secara umum dengan beberapa kandungan, antaranya:

1) Mengesahkan kewaziran mereka seperti yang dilantik oleh Rasulullah.
2) Peringatan untuk kekal dalam Islam dan menghalang masyarakat dari berpaling dari Islam (murtad).
3) Memberi nota-nota ancaman jika berpaling daripada Islam (murtad).

Secara ringkas, Khalifah me’rally’ seluruh Muslimin untuk bersatu dalam Islam dan bersedia untuk menghadapi atau memberikan tentangan kepada golongan murtad. Sambil pada masa sama, Khalifah memasukkan rasa ragu-ragu dan gerun ke dalam hati orang-orang yang mahu murtad menerusi ancaman-ancaman yang diberikan.

Kepada setiap 11 komander rejimen yang dihantar pula, Khalifah memberi amanat utama:

1) Menyeru Islam apabila tiba di destinasi yang ditetapkan.
2) Melihat kalau-kalau azan dikumandangkan oleh kabilah itu sebelum melakukan serangan.
3) Amanat militari yang dilazimi Rasulullah saw (jangan bunuh kanak-kanak, orang tua, wanita,jangan tebang pokok dll

Hasil dari langkah Khalifah ini yang paling sesuai untuk dinotakan adalah kemenangan di Buzakha dan di Mahrah.

Di Buzakha ketika melawan Tulayhah yang memimpin murtadin dari Ghatafan, Asad dan Tayy, Khalifah terlebih dahulu mengutus ‘Adi ibn Hatim at-Ta’i untuk memujuk ahli kabilahnya kembali kepada Islam. Hasil dari usaha ini, perkampungan Tayy di Pergunungan Aja memberikan 500 pejuang sementara di Jadilah pula memberikan 1000 pejuang kepada Khalid al-Walid, menambahkan jumlah tentera dari 4000 kepada 5500 orang. Malah, pujukan ‘Adi ibn Hatim turut berjaya membuatkan ahli-ahli kabilah Tayy yang berada di kem Buzakha menarik diri dari ikut bertempur bersama Tulayhah. Kesannya, Tulayhah tewas.

Sementara di Mahrah pula, selain memanfaatkan pertelagahan merebut tampuk hierarki yang berlaku di antara dua pemimpin murtadin Mahrah iaitu Musabbah dan Syikhrit, amanat yang disematkan oleh Khalifah kepada para komandernya, atau bagi kes ini, Ikrimah ibn Abi Jahal untuk menyeru Islam terlebih dahulu apabila tiba di satu-satu destinasi membuatkan Syikhrit membawa para pengikutnya untuk menyebelahi Ikrimah dalam memerangi Musabbah. Mujahidin memenangi pertempuran di Mahrah ini.

Khalifah as-Siddiq berhasil menewaskan Musabbah dengan pisau pinjaman dari Syikhrit, dan menewaskan Tulayhah dengan pemalingan tadah tenteranya Tulayhah sendiri.

4. àn dù chén cāng (暗渡陈仓) Diam-diam melewati jalur tersembunyi Chen Cang

Serang musuh dengan dua kekuatan ketumbukan. Yang pertama adalah serangan langsung, sesuatu yang sangat jelas dan membuat musuh mempersiapkan pertahanannya. Yang kedua adalah serangan secara tidak langsung, sebuah serangan yang menakutkan, musuh tidak mengira dan membagi kekuatannya sehingga pada saat-saat terakhir mengalami kebingungan dan kemalangan.

“Di tempat musuh mengabaikan pertahanan, serangan akan berhasil.” (Sun Tzu, Art of War)

Kita boleh melihat sedikit pengaplikasian secara bertahap atas strategi ini menerusi gerakan-gerakan Khalifah dalam menangani krisis di Yaman, yang dihuru-harakan oleh Qays ibn Maksyuh al-Muradi dan ‘Amru ibn Ma’dikarab az-Zubaydi.

Ketika Aswad al-‘Asi memulakan kempennya di Yaman, Qays dan ‘Amru memberikan khidmat kepadanya. Namun, kezaliman Aswad mencecah tahap hingga berlaku pertelingkahan antara dirinya dengan Qays. Aswad kemuncaknya dibunuh oleh Fairuz ad-Dailami, atas bantuan Azad al-Farisiyyah, isteri Aswad sendiri, yang asalnya adalah balu Shahr ibn Baizan, wazir Sana’a yang dibunuh oleh Aswad. Dalam beberapa buku sirah, disebutkan bahawa Qays turut membantu dalam pembunuhan tersebut.

Dengan kematian Aswad, Sana’a dipimpin oleh Fairuz ad-Dailami, Dadzawaih dan Qays. Akibat tamakkan kuasa yang diatasnamakan semangat perkauman (eh, perbangsaan), Qays membunuh Dadzawaih, memaksa Fairuz melarikan diri ke Khawlan dan melancarkan usaha menghapuskan Abna’. Abn’a adalah istilah yang merujuk kepada orang-orang Parsi yang menetap di Tanah Arab dan berkahwin dengan orang Arab. Iya, Fairuz dan Dadzawaih adalah orang Parsi. Ramai Abna’ jadi mangsa Qays.

Qays berleluasa di Sana’a dan Najran, dengan dibantu oleh ‘Amru. Penguasa Muslimin di Yaman digasak; Fairuz berkem di Khawlan, Farwah ibn Missik di al-Ahsiyyah, Tahir ibn Abi Halah dan Masruq al-Akki pula sibuk bergiat di Akk dan Ash’ariyyun, sementara Suwayd ibn Muqarrin digerakkan ke pesisiran utara Yaman. Sambil itu, secara bertahap, Ikrimah bergerak dari Yamamah ke Oman antara bulan Sya’ban – Ramadhan, kemudian menuju Mahrah, dan berada di Abyan pada Syawal. Pada Syawal juga, Khalifah menggerakkan rejimen terakhirnya yang dipimpin oleh Muhajir ibn Abi Umayyah ke Sana’a. Masa yang sama juga, Fairuz ad-Dailami di Khawlan yang dilantik oleh Khalifah untuk memimpin seluruh Muslimin di Yaman, bergerak untuk merebut semula Sana’a, setelah lebih kurang 8 bulan berada di Khawlan.

Dengan mudah, Qays dan ‘Amru diusir, masing-masing membawa diri ke Abyan dan Lahj. Pastinya, mereka diserang hanya oleh Fairuz ad-Dailami, kerana kelak, mereka terkejut melihat ketibaan Muhajir, dan Ikrimah kekal berada di Abyan.

Di Lahj dan Abyan, Amru dan Qays berpakat untuk menyerang Ikrimah yang berada di Abyan, namun menjelang ketibaan Muhajir ibn Abi Umayyah yang mara dari Sana’a, mengejutkan mereka lantas serta-merta mereka menyerah diri.

Jadi, secara ringkas, secara bertahap, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq menggerakkan rejimennya untuk checkmate Qays dan ‘Amru. Dengan diam-diam Ikrimah melewati Mahrah dan berkem di Abyan, dengan diam-diam Fairuz mara dari Khawlan menuju Sana’a, dengan diam-diam Muhajir ibn Abi ‘Umayyah memeranjatkan Qays dan ‘Amru.

5. Shàng wū chōu tī (上屋抽梯) Memindahkan tangga setelah musuh memanjat

Dengan umpan dan tipu muslihat, giring musuh anda ke dalam daerah berbahaya. Kemudian, putuskan jalur komunikasi dan jalan untuk melarikan diri. Untuk menyelamatkan dirinya, dia harus bertarung melawan kekuatan anda dan sekaligus elemen alam.

“Berhadapan dengan maut, dia yang bersedia untuk mati akan selamat sedangkan dia yang bertekad untuk hidup akan mati.” (Wu Zheng, Ahli Strategi Dinasti Qing)

Selepas serangan-malamnya ke atas kem murtadin ahli Kindah di Riyaz meraih kejayaan, Ziyad ibn Lubaid sendiri memimpin rejimennya untuk membawa harta rampasan dan tawanan untuk diberikan ke Madinah. Dalam perjalanan, Ash’ats ibn Qays memintas Muslimin, meletakkan Ziyad dalam keadaan bahaya-mendesak. Selepas menerima maklumat mengenai Ziyad, Muhajir ibn Abi Umayyah yang ketika itu sedang dalam perjalanan dari Abyan menuju Ziyad di Hadhramawt pantas memimpin unit kavalri Muslimin, membiarkan Ikrimah memimpin hanya unit infantri, dan bergegas mendapatkan Ziyad. Gerakan pantas Muhajir itu berjaya menyelamatkan Ziyad, dan mengundurkan Ash’ats ke benteng Nujair.

Bergabung dengan rejimen Ziyad, Muhajir mengepung benteng tersebut, mencantas 2 dari 3 gerbangnya. Tidak lama kemudian, Ikrimah pula tiba, mencantas habis ketiga-tiga gerbang keluar-masuk Nujair. Dalam tempoh pengepungan pula, Muhajir menghantar skuadron demi skuadron tentera untuk menundukkan seluruh murtadin kabilah Kindah yang berada di luar benteng Nujair. Ash’ats yang awalnya menentang, kini putus harapan. Dia terpaksa memeterai perjanjian menyerah diri, pada akhir Dzul Qaedah 11 H, sekaligus menutup tirai kempen penundukkan kaum murtad.

Demikian antara yang dapat saya kongsikan. Secara ringkas untuk dinyatakan, selepas kita meneliti sudut-sudut strategi yang dimainkan oleh Khalifah Abu Bakar dengan berbekalkan buku-buku militari seperti Art of War dan 36 Stratagems, nilai kekaguman kita terhadap Khalifah tidak hanya bertuntaskan dari sudut nilai keagamaan sahaja, malah, kita turut tabik hormat kepada beliau dari sudut nilai kebijaksanaan mencatur strategi, sambil sudut sejarah pula membantu kita membuat perbandingan bagaimana Khalifah as-Siddiq menangani ‘pemberontakan dalam negara’ dan bagaimana contoh-contoh sepanjang sejarah menanganinya.

Mencintai para as-Sahabah adalah bahagian dari mencintai Rasulullah saw. Tidak kenal maka tidak cinta. Semoga dengan keluasan pengenalan kita terhadap sisi-sisi hebat as-Sahabah, mencenderungkan kita untuk menghormati, mencintai, mengambil inspirasi dan meletakkan mereka dekat di hati kita.

Rujukan:

Bidayah wa Nihayah: Khulafa’ ar-Rasyidin karangan Imam Ibn Kathir.
The Biography of Abu Bakar as-Siddiq karangan Dr. Ali Muhammad Sallabe.
Khalid al-Waleed Sword of Allah karangan General Akram.
Art of War
36 Stratagems

Artikel oleh Amirzayyanid untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Moving forward as one.

Comments are closed.