Bayangkan Salji Turun Di Malaysia…

3239
views

Berikutan kejatuhan suhu di beberapa tempat, timbul kembali perbualan antara rakyat Malaysia mengenai kebarangkalian jika salji menimpa Malaysia. Begitu indah dan syurgawi perbahasan mereka, menyentuh tentang sukan ski dan juga permainan baling salji. Ada juga membayangkan sebuah rumah papan di tengah hutan yang ditimbus salji. Di dalam mereka duduk di atas sofa bulu sambil menghirup minuman coklat panas yang pekat, segar dan bersusu. Sememangnya ini adalah gula-gula buat mata. Sebidang tanah diputihkan empingan-empingan ais kristal adalah idaman setiap penduduk musim panas. Terdapat juga beberapa kerat yang fikir bahawa salji boleh memaksa wanita tutup aurat.

Ketepikan fantasi seketika. Hakikat sebenar-benarnya, jika negara khatulistiwa seperti Malaysia bersalji, agaknya aurat tidak akan lagi menjadi isu kerana rakyat akan berdepan dengan taring-taring ajal. Salah satu contoh yang boleh dibawa ke muka perbincangan adalah kejatuhan matawang Ringgit. Rakyat Malaysia telah lama selesa dengan paras RM3.00-RM3.30 kepada setiap tukaran dolar. Namun pada Februari, 2015, nilai Ringgit telah teruk menyusut kepada RM3.65. Dengan hari bertukar menjadi bulan, matawang negara kita merudum lagi buat pertama kali selepas lebih 20 tahun ke angka RM4.00+-. Berdasarkan keputusan ekonomi tahunan, perkara ini benar-benar mengganggu kapasiti keuntungan dalam sektor perdagangan.

Jika dilihat senarai pengeksportan negara, minyak sawit mewakili bahagian yang besar berbanding petroliam, bahan kimia, dan produk-produk lain. Malaysia merupakan antara gergasi yang bersaing dalam dominasi kelapa sawit. Sebanyak 19 juta tan minyak kelapa sawit dihasilkan pada tahun 2013 [1]. Dan setelah beribu tahun serasi dengan iklim tempatan, pokok ini tidak mampu bertahan dengan perubahan yang radikal. Dari segi sejarah pun, pokok kelapa sawit tidak pernah menjelajah jauh daripada iklim Khatulistiwa. Penemuan tertua pokok ini menongkah sejauh 5,000 tahun lepas iaitu di sebuah makam Mesir yang ditemui sisa-sisanya [2].

Dijangka sebanyak 14 juta hektar penanaman pokok kelapa sawit dibariskan di iklim ini. Ini bermakna, tiada satu negara Barat pun membuat perusahaan sektor ini kerana kelapa sawit memerlukan hujan dan iklim panas. Perubahan cuaca secara mengejut akan meranapkan penghasilan sawit, lalu mendatangkan impak kepada pengeksportan negara lagi. Matawang negara akan terbeku (bukan pembekuan fiskal). Apabila ekonomi mula merudum, lagi teruklah kerut di dahi Perdana Menteri yang akan berdepan dengan kemarahan rakyat. Kehilangan bekalan sumber akan melonjakkan harga pasaran minyak masak sawit, akibat beberapa faktor seperti eksploitasi pun.

Demikian hari apabila kerajaan menarikbalik subsidi minyak masak, ramai dalam kalangan rakyat tidak berpuas hati. Ternyata, minyak Vesawit 5 kg pada hari ini mencecah RM22.80 [3]. Namun, sebelum penarikbalikan ini, harga minyak ini hanya berada pada paras RM13-RM14 sahaja. Kenaikan harga yang sedang dibincangkan berikutan musim salji akan melonjakkan ke paras RM50 pun, satu kebarangkalian yang berasaskan imbangan bekalan-keperluan.

Pencarian alternatif pula perlu mengharapkan pengimportan. Namun kejatuhan harga ringgit akan memberikan hentaman yang padu. Birokrasi dan tinggalan aristokrasi juga akan menyaksikan jurang antara miskin dan kaya. Bagi yang terikat di negara, mereka akan merana. Malaysia kini merupakan pengeluar jagung ke-93 di dunia, jauh ketinggalan belakang Amerika Syarikat, China dan Brazil [4]. Permintaan minyak yang bersesuaian akan menyebabkan harga minyak tersebut pula akan naik secara mendadak.

Selain penghasilan minyak sawit, makanan ruji Malaysia pun akan diserang. Padi tidak mampu lari daripada ancaman persekitaran ini. Tetapi impaknya tidak akan menjadi sebesar sawit jika musim salji hanya berlaku di Malaysia, satu kemustahilan yang nyata. Jika seluruh Asia Tenggara mengalami musim salji, maka krisis besar akan menimpa. Setiap seorang akan berebut butiran beras yang terakhir, sehingga boleh menitiskan darah pun. Dusun-dusun tempatan semestinya akan mengalami kerosakan yang merosakkan pendapatan kecil-kecilan. Banyak lagi boleh dibincangkan: kemampuan haiwan-haiwan tenusu, seperti lembu dan kambing domestik untuk mengharungi suhu bawah sifar.

Kesengsaraan rakyat akan dicerminkan melalui landskap politik negara. Tidak mustahil jika rampasan kuasa akan berlaku dengan kerap. Satu demi satu kerajaan akan digulingkan sebaik sahaja para pemimpin gagal memerangi masalah alam semulajadi. Peristiwa yang berlaku di Eropah sekitar 1090-an boleh dijadikan contoh. Ketika Maharaja Byzantium mengharungi kemelut politik dan ekonomi, baginda menerima cemuhan daripada banyak pihak. Antaranya adalah John the Oxite, selaku Ayahanda Antioch yang mengecam baginda sebagai liabiliti dan laknat.

Sentimen ultra-fundamentalisme sebegini akan mengimarahkan murka Allah yang masyarakatan akan cuba menuduh percambahan rasuah, fitnah, zina, minum arak dan khusunya pemakaian wanita. Sedangkan banjir di Kedah dan Pulau Pinang pada bulan November 2017 pun dikaitkan dengan bala, apatah lagi sebuah bencana sebesar musim salji. Kelaparan yang menggigit perut rakyat akan membantutkan negara. Bekalan elektrik dan air akan tergugat. Internet juga akan terbantut, sekaligus mendidihkan perasaan jutaan orang.

Tanpa elektrik, rakyat yang berjaya mendapatkan alat pemanasan tidak boleh menyesuaikan diri. Kayu api akan terlalu basah oleh kerana situasi yang berlaku secara mendadak. Nelayan-nelayan tempatan pula tidak mampu mengharungi suhu sejuk untuk mencari nafkah perikanan. Belum dikira jika berlaku migrasi besar-besaran dalam alam lautan, apabila rantaian makanan terpecah dengan penghijrahan kehidupan marin.

Salji juga boleh mengganggu sistem pengangkutan awam. Tayar yang digunakan kenderaan terpaksa ditukarkan secara mendadak. Berjuta-juta kereta perlu diubahsuai untuk menepati piawaian keselamatan ketika jalan terlalu licin. Tuntutan getah sememangnya akan memuncak, seketika bekalan pula mengecut akibat suasana yang mengancamkan pokok getah. Dan tayar yang dikatakan boleh menempuhi suasana sejuk pun tidak akan menjaminkan sifr kemalangan. Di Kazakhstan, sebuah lori digilis dua kereta api kerana tidak dapat berhenti akibat jalan licin [5]. Pemandu maut di tempat kejadian.

Disini jelas yang kos sara hidup akan melonjak. Industri penerbangan pula perlu berjaga-jaga dengan keadaan cuaca semasa musim salji. Malaysia pula akan memerlukan kenderaan snowplow yang banyak. Lebuhraya mesti diselenggara tanpa henti. Sektor akademik pula akan terjejas apabila sekolah-sekolah tidak dapat dibekalkan alat-alat pemanas. Jika ada, pada hari cuaca buruk terpaksa diberikan pelepasan. Di Amerika Syarikat, sektor akademik membekalkan quota cuti “hari salji”.

Jika cuti ini melebihi quota, ia perlu diganti melalui penundaan cuti umum atau pertambahan masa sekolah [6]. Ini akan mendatangkan impak kepada sektor perguruan pula. Sepertimana yang diketahui, banyak guru sedang menyuarakan rintihan tekanan kerja.

Perhubungan persekitaran bersama persekitaran pula boleh mendatangkan “salji runtuh” (avalanche) apabila berlakunya impak haba kepada salji yang terkumpul di kawasan pergunungan. Salji runtuh pula akan diiringi sejenis angin yang menambahkan lagi potensi bahaya. Bumbung-bumbung perumahan negara pula boleh runtuh kerana salji yang terlalu berat.

Suhu paling rendah di Grodno, Belarus, dicatatkan sebanyak -36.1°C, pada purata 3.2°C. Tashkent pernah merasai suhu serendah -29.5°C semasa musim salji dan 44.6°C ketika musim panas, membuatkan Uzbekistan negara sesuai untuk dijadikan contoh jika senario ngeri ini berlaku di Malaysia.

Di Yakutsk pula, suhu paling rendah menyentuh paras -64.4°C, pada perkadaran purata -14.1°C. Pada tahun lepas, suhu Yakutsk dicatatkan berada pada paras -48°C.

Mampukah Malaysia bertahan suhu sebegini? Keindahan Aspen tidak akan menjejaki negara. Antara api dan ais, belum kira White Walker lagi, apa yang akan datang ialah bala begitu dahsyat yang tidak pernah dilihat sejak perpecahan Benua Utama Paleozoic-Mesozoic Pangaea.

Rujukan

[1] http://bepi.mpob.gov.my/index.php/en/statistics/production/118-production-2013/603-production-of-crude-oil-palm-2013.html

[2] http://greenpalm.org/about-palm-oil/what-is-palm-oil/palm-oil-history

[3] https://eshop.tesco.com.my/groceries/en-GB/search/?query=palm%20oil&searchQuery=palm%20oil&Search=Search

[4] https://www.indexmundi.com/agriculture/?commodity=corn

[5] https://www.youtube.com/watch?v=22mplQnkS_Q

[6] http://www.enquirer.com/editions/1999/03/10/loc_snow_may_stretch_out.html

 

Previous articleMenyingkap Penglibatan Masyarakat Tempatan Dalam Pentadbiran Dutch-melaka Pada Abad Ke-18
Next articleZaman Ais Kecil
Meskipun sibuk dengan perniagaan restoran, Ahmad Faezal tetap merupakan pengikut setia astronomi, geologi dan sejarah yang telah menjadi sebahagian daripada minat bervariasi beliau. Beliau juga mengimpikan bahawa dalam masa seratus tahun, bangsa Melayu mampu melibatkan diri dalam bidang aeroangkasa, seiringan dengan bangsa-bangsa lain. Namun, asas kepada kejayaan ini terletak kepada empat huruf utama iaitu ILMU.
SHARE