Bayangkan Dunia Tanpa Vaksin…

566

Dalam dunia yang serba canggih ini, menjadi keutamaan kepada kita untuk menjaga kesihatan diri dan keluarga. Dan ini termasuklah mengambil suntikan vaksin secara berkala bagi mengelakkan kita terhindar dari penyakit berjangkit seperti polio dan kancing gigi. Masalahnya, ada pula golongan yang skeptik dengan vaksin atas pelbagai sebab dari mempersoal soal kehalalannya sehinggalah bimbang ia akan mengakibatkan kesan jangka panjang seperti kanser dan lumpuh. Tetapi apakah dakwaan yang dibangkitkan kelompok anti-vaksin ini benar atau satu pembohongan?

Bukan satu rahsia sejak berpuluh-puluh tahun lalu, vaksin bertanggungjawab mengurangkan penyebaran penyakit berjangkit yang membawa kepada kematian seperti rubela dan difteria sehingga ia dilihat tidak lagi menjadi ancaman serius kepada kesihatan rakyat sesebuah negara. Bila situasi ini timbul, wujud golongan yang mempersoalkan mengapa mereka harus mengambil vaksin sedangkan penyakit yang memerlukan mereka divaksin sudah tiada. Jadi, usah terkejut jika ada membangunkan teori konspirasi seperti syarikat farmasi cuba mengawal kesihatan populasi manusia, vaksin yang diberi tidak berkesan, ada kesan toksik dan mencetuskan penyakit yang dilawan.

Bagi golongan anti-vaksin, vaksin merupakan sesuatu yang tidak diperlukan dan apa yang diperlukan anak-anak ialah kebebasan dari ‘bahan kimia’ durjana itu. Tetapi kelompok ini tidak sedar, penyakit-penyakit berjangkit dan merbahaya ini boleh kembali dengan izin Allah s.w.t lebih-lebih lagi jika manusia bersikap alpa dan mengambil mudah tentang isu kesihatan.

Nak tahu sangat dunia tanpa vaksinasi? Tanyalah penduduk Jepun terutama bagi generasi yang pernah merasai tahun 70-an. Menjelang tahun 1974, lebih 80% penduduk mengambil vaksin penyakit batuk kokol. Ini menyumbang kepada bilangan kes sebanyak 393 kes dan tiada sebarang kes kematian membabitkan batuk kokol sepanjang tahun berkenaan.

Tetapi lumrah manusia yang cepat alpa apabila diulit kesenangan terutama dalam soal kesihatan. Menjelang tahun 1979, hanya 10% populasi rakyat Jepun yang mengambil vaksin penyakit batuk kokol. Akibatnya, tahun tersebut menyaksikan peningkatan kes batuk kokol sebanyak 13,000 kes dan 41 kes kematian dicatatkan.

Berita sedih ini memberi kejutan kepada Tokyo dan mendorong mereka bertindak segera untuk mengelak lebih banyak kematian. Tokyo mengarahkan pengambilan vaksin secara rutin dilaksanakan di seluruh negara dan sejak itu, bilangan kes membabitkan penyakit batuk kokol kembali menurun.

Golongan anti-vaksin menganggap hak mengambil atau menolak vaksin ialah hak mereka sebagai individu. Ini kerana mereka menganggap diri mereka lebih berhak dan lebih arif dengan kesihatan tubuh badan mereka termasuk tubuh badan anak-anak mereka. Tetapi golongan ini tidak sedar apabila semakin ramai individu membuat keputusan sama seperti mereka, ia sebenarnya bakal memberi kesan buruk kepada kesihatan masyarakat dan berpotensi membahayakan kesihatan anak-anak mereka. Tanpa vaksinasi, bilangan individu yang menghidap penyakit berjangkit akan bertambah dan meningkatkan potensi penyebaran penyakit kepada orang lain, sekaligus menjadi sebahagian daripada gelombang epidemik penyakit yang melanda sesebuah negara.

Ketika ini, terdapat ratusan orang yang tidak berupaya mendapatkan vaksinasi kerana mendapatkan rawatan bagi penyakit teruk seperti kanser dan keselamatan mereka bergantung kepada keupayaan kita mendapatkan suntikan vaksinasi. Jika ada orang anti-vaksin masih rasakan dunia tanpa vaksin itu jauh lebih indah, mungkin mereka harus diketuk dengan catatan-catatan sejarah lampau. Sebelum adanya vaksin, zaman kanak-kanak pada ketika itu dianggap sukar dan peratusan kematian membabitkan mereka dianggap tinggi.

Di Amerika sahaja, 48,000 orang dibawa ke hospital akibat penyakit cacar dan 500 daripadanya mati akibat cacar. Sementara cacar air akan mengakibatkan 10,000 kanak-kanak masuk hospital dengan potensi 70-100 kes akan berakhir dengan kematian. Dan usah terkejut jika perkhidmatan kesihatan mengisytiharkan penyakit Hepatitis A dan Hepatitis B kembali sebagai epidemik senyap yang menghantui populasi sesebuah negara. Semua ini boleh berlaku jika kempen anti-vaksin terus digiatkan dan vaksinasi terus dipandang lewa kepentingannya.

Satu lagi ironi di sebalik kempen anti-vaksin ialah tiada satu pun kajian yang mengaitkan usaha vaksinasi dengan kesan jangka panjang terhadap kesihatan. Carilah seberapa banyak jurnal kesihatan di luar sana dan tiada satu pun yang menyebut kesan buruk vaksinasi terhadap kesihatan.

Jika geng anti-vaksin cuba mengatakan ada satu kertas penyelidikan yang menyokong hujah mereka, penulis beranggapan mereka merujuk kepada kertas kerja Andrew Wakefield yang mengaitkan vaksin cacar dan rubela dengan autisme. Tetapi kumpulan ini tidak pernah melakukan sebarang penyelidikan terhadap Wakefield dan kertas kerjanya yang dianggap memalukan dunia perubatan dan menjejaskan usaha vaksinasi di seluruh dunia.

Tidak ramai tahu, kertas kerja Wakefield yang dimasukkan dalam jurnal The Lancet dianggap sains sampah kerana pada dasarnya hanyalah laporan kes sahaja dan bukan kertas kajian yang menyeluruh berikutan hanya menggunakan kumpulan sampel yang kecil. Kedua, satu laporan yang dibuat oleh wartawan penyiasatan British, Brian Deer mendedahkan wujud elemen manipulasi data yang dibuat oleh Wakefield dan eksperimen yang dibuat bersifat bias dan ada konflik kepentingan kewangan yang serius. Ketiga, Wakefield juga tidak menunjukkan inisiatif untuk mereplika keputusan eksperimennya untuk memastikan penemuannya itu benar-benar tepat dan bukan bias.

Terima kasih kepada semua penemuan ini, kertas kerja sampah itu ditarik balik dan lesen perubatan Wakefield turut dibatalkan. Walaupun diberi pilihan untuk memfailkan semula kertas kajiannya dan mereplika keputusan eksperimen sebagai bukti, Wakefield enggan berbuat demikian. Hari ini, kelibat lelaki yang mencetuskan kegilaan anti-vaksin ini boleh dilihat di mana-mana program anti-vaksin di mana dia adakalanya dijemput sebagai speaker jemputan.

Dan sejak itu, lebih banyak kertas kajian berkenaan autisme dibentangkan dan membangkang teori sampah Wakefield termasuk terbaru tahun ini dari Institut Serum Statens, Denmark yang secara jelas menyatakan vaksin langsung tiada kaitan dengan peningkatan kes autisme dan mencetuskan autisme dalam kanak-kanak.

RUJUKAN:

1. Belluz, Julia. (2019). Research fraud catalyzed the anti-vaccination movement. Let’s not repeat history. Vox. https://www.vox.com/2018/2/27/17057990/andrew-wakefield-vaccines-autism-study

2. What If. (2019). S3:E55 What If We Stopped Vaccinations?. https://www.facebook.com/watch/?v=774832102880210

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.