Baru-baru ini, sekumpulan pakar arkeologi Turki menemui empat batu bersurat era Bani Umayyah di bekas kota pelabuhan Knidos di Caria, Turki. Ukiran inskripsi yang diukir pada blok batu marmar dan batu kapur ini dibuat dari 685 hingga 711 (dari era Marwan bin al-Hakam hinggalah al-Walid bin Abdul Malik).

Kolaj empat batu bersurat Bani Umayyah yang ditemui pakar-pakar dari Universiti Selcuk. Sumber: Busra Ozturk/DHA

Kerja-kerja ekskavasi ini dijalankan oleh Universiti Selcuk bagi pihak Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turki, Persatuan Sejarah Turki dan Ketua Pengarah Muzium dan Warisan Kebudayaan Turki. Ekskavasi ini melibatkan 40 orang individu dari pelbagai latar belakang seperti arkeologi, geologi, sejarah, antropologi dan biologi. Ekskavasi diketuai Professor Ertekin Doksanalti dari Jabatan Arkeologi Universiti Selcuk.

Pelabuhan Knidos merupakan sebuah pelabuhan Yunani yang menjadi nadi perdagangan tamadun tersebut. Menjelang abad kelima SM, ia menjadi pusat politik dan kebudayaan Yunani yang terkenal.

Advertisements
Tapak arkeologi Pelabuhan Knidos.

Ini dibuktikan menerusi ukiran patung Aphrodite yang dihasilkan Praxiteles of Athens sekitar abad keempat SM. Ia merupakan ukiran Yunani pertama yang menonjolkan figura wanita tanpa seurat benang. Ia kemudiannya menjadi inspirasi kepada pengukir-pengukir era Rom untuk menghasilkan figura Aphrodite yang sama. Selain Aphrodite, sebuah sekolah perubatan juga pernah wujud di Knidos.

Kerja ekskavasi yang dijalankan Doksanalti dan pasukannya telah berjalan sejak 2016. Selain batu-batu bersurat Bani Umayyah, pasukan pengkaji turut menemui gudang-gudang lama, dok-dok kapal dan struktur pelabuhan lama. Ini sekaligus memperlihatkan kekayaan warisan sejarah di Knidos – menanti masa untuk dibongkar oleh pasukan pengkaji.

Struktur pelabuhan lama Knidos. Sumber: DHA

Menariknya, penemuan empat batu bersurat ini dibuat pada 1 Ramadan lalu. Menurut Doksanalti, berdasarkan pengamatan mereka, ukiran pada empat batu bersurat ini mengandungi nama kabilah-kabilah, komander-komander pasukan dan pemerintah-pemerintah yang terlibat dalam dua daripada tiga ekspedisi Bani Umayyah ke Constantinople. Tambah beliau lagi, ia akan menambah lebih banyak data tentang sejarah Islam di Anatolia termasuk semasa era Bani Umayyah.

Semasa era Bani Umayyah, terdapat tiga ekspedisi ketenteraan ke Constantinople yang digerakkan. Pertama, ekspedisi tahun 668-69 dan 674-78 yang digerakkan oleh pengasas kerajaan dan sahabat Nabi s.a.w, Muawiyah bin Abi Sufian r.a. Ini disusuli dengan ekspedisi kedua pada tahun 717-718 oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik.

Dua ekspedisi awal yang turut disertai beberapa sahabat Nabi s.a.w termasuk Abu Ayub al-Ansari r.a berakhir dengan kegagalan. Tetapi bagi ekspedisi ketiga, ia membawa kepada penaklukan beberapa kawasan di Constantinople termasuk kawasan kejiranan Galata.

Bukti kawasan tersebut pernah diduduki Bani Umayyah selama tujuh tahun itu ialah kewujudan Masjid Arap. Sejarawan Turki Uthmaniyah mengaitkan masjid ini dengan kempen 717-718 yang diketuai oleh saudara tiri al-Walid, Maslamah bin Abdul Malik. Bagaimanapun, hakikatnya, masjid ini didirikan selepas hasil usaha kedutaan Arab (berkemungkinan Bani Abbasiyah) pada tahun 860.

Masjid Arap

Masjid Arap terus wujud semasa era Rom Timur dan terselamat daripada semua musibah termasuk penjarahan pihak Salibi pada abad ke-13. Masjid ini kemudiannya ditukar peranan sebagai gereja selama 200 tahun sebelum dikembalikan fungsi asalnya oleh Mehmed II susulan kejatuhan Constantinople pada 1453. Ia kemudiannya didedikasikan kepada warga Muslim Andalusia yang lari dari tanah air mereka semasa era Sultan Bayezid II.

RUJUKAN

Pandey, S. (2022, 6 April). Four Umayyad Inscriptions Unearthed in Turkey’s Ancient City of Knidos. Ancient-Origins.

Sumber gambar: DHA

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply