Battle Of Ankara 1402 : Timurlane Hancurkan Turki Uthmaniyyah

1,158

Sultan Bayazid I menaiki takhta pada tahun 1389 setelah kemangkatan ayahandanya Sultan Murad I. Baginda digelar Yildirim yang bermaksud kilat – kerana kepantasan dan ketangkasannya dalam medan peperangan. Semasa baginda mewarisi takhta, Turki Uthmaniyyah berada dalam fasa pengembangan yang pantas kerana agresifnya baginda meneruskan dasar perluasan kuasa seperti mana datuk-datuknya dahulu.

Luas empayar Uthmaniyyah semakin hari semakin luas di bawah pemerintahan Bayazid. Oleh sebab itu, baginda mashyur dengan gelaran Yildirim kerana pergerakan ketenteraan baginda yang menyerang negeri lawan sepantas kilat.

Setelah Bayazid berjaya menewaskan pakatan ketenteraan Eropah (Tentera Salib) dalam Pertempuran Nicopolis pada 1396, seluruh Raja-Raja Eropah merasakan tiada siapa dapat menghalang nafsu besar Turki Uthmaniyyah untuk menjejakkan kaki mereka ke seluruh Eropah. Kekalahan Nicopolis telah menghancurkan semangat mereka untuk melawan ketumbukan Uthmaniyyah yang hebat.

Pada waktu itu, dunia memperlihatkan dua kuasa besar empayar Islam yang sedang meningkat naik. Turki uthmaniyyah di barat dan Empayar Timurid di timur. Empayar Timurid diasaskan oleh Timurlane, seorang berbangsa Mongol-Tartar dan mendakwa beliau merupakan keturunan penakluk terkenal, Gengkhis Khan. Timurlane menjadi ketua puaknya pada 1358, dan pada masa inilah dia mendapat gelaran ‘leng’ yang bermaksud tempang dalam bahasa parsi akibat dari kecederaan pada kaki kirinya.

Menjelang 1370, Timurlane telah menguasai hampir keseluruhan Asia Tengah dan seterusnya berjaya menakluk Iran pada 1386. Pada waktu yang sama, Bayazid yang sedang melakukan pengepungan ke atas Konstantinople mendapat khabar tentang kehebatan sebuah lagi empayar Islam di Timur. Baginda tahu bahawa lama-kelamaaan Empayar Timurid akan memberi ancaman terhadap kekuasaan Uthmaniyyah di barat, lebih-lebih lagi Timurlane berjaya menguasai Pergunungan Kaukasus.

Memikirkan ancaman Timurlane lebih berbahaya, Bayazid mengundurkan tenteranya dari Konstatinople dan bergerak ke Anatolia untuk berhadapan dengan Timurlane. Semestinya yang paling gembira dalam situasi ini tentunya Maharaja Byzantine kerana kedatangan tetamu yang tidak dijemput (Timurlane) telah menamatkan pengepungan Uthmaniyyah ke atas Kostantinople.

Bayazid menguasai hampir keseluruhan kawasan Beylik Anatolia (sebahagian besar Turki hari ini). Pemerintah yang telah dikalahkan semuanya lari dan berpihak kepada Timurlane. Begitu juga dengan pemerintah yang dikalahkan Timurlane, semuanya lari dan berpihak kepada Bayazid. Hubungan Uthmaniyyah-Timurid pada waktu ini sememangnya tegang namun tidak menampakkan cetusan api peperangan bakal berlaku. Sehinggalah Timurlane mengutus surat amaran kepada Bayazid yang berbunyi:

Jadi bijak dan sedar diri, elakkan dendam kami, anda tiada lebih daripada seekor semut, jangan bangkitkan kemarahan gajah atau anda akan ditindas”

Bayazid yang keras kepala itu pun membalas surat Timurlane, berbunyi:

“Jika saya lari dari tentera-tentera anda, semua isteri saya akan menceraikan saya, tetapi jika anda yang lari dari tentera-tentera saya, semua isteri anda akan menjadi kepunyaan lelaki lain.”

Ya, surat balas Bayazid seakan-akan mengejek Timurlane sebagai seorang pengecut untuk berhadapanya. Melalui surat inilah, peperangan antara dua superpower Muslim pada waktu itu tidak dapat dielakkan lagi. Bayazid dan Timurlane, kedua-duanya berpewatakan bengis dan kejam.

Kedua-duanya mempunyai metod yang sama untuk melahirkan rasa takut terhadap musuh, pembunuhan secara beramai-ramai, tiada pengampunan. Timurlane pernah membina sebuah bukit yang penuh dengan tengkorak manusia untuk melahirkan rasa takut bagi sesipa yang berani melawannya. Tidak pelik kerana perangainya itu diwarisi oleh nenek moyangnya.

Strategi Timurlane Bermula

Timurlane kemudiannya bergerak ke barat, menguasai Aleppo dan Damsyik bagi menyekat bantuan Kesultanan Mamluk di Syria dan Mesir daripada sampai kepada Uthmaniyyah. Pada mulanya Timurlane tidak mahu berperang dengan Uthmaniyyah walaupun sesi perutusan surat Bayazid telah memperlekehkannya.

Namun, dia mempunyai casus belli (alasan perang) apabila pemerintah Iraq, Ahmad Jalayar berlindung kepada Bayazid sewaktu Timurlane menjarah Iraq. Timurlane meminta Bayazid menyerahkan tawanannya itu namun ditolak mentah-mentah oleh Bayazid.

Atas alasan ini Timurlane telah menakluk Sivas yang berada di bawah penguasaan Uthmaniyyah (1401), tidak jauh dari Ankara. Setelah menjadikan Sivas sebagai markas ketenteraan, Timurlane bergerak ke barat menuju terus ke Ankara. Pada waktu itu, Bayazid sedang ‘seronok’ mengusai Armenia dan Georgia. Mendengar khabar Ankara sedang dikepung, lekaslah Bayazid pulang ke Ankara bagi menghalau Timurlane yang telah mencabuli kedaulatan wilayahnya. Bayazid tiba di Ankara pada Jun 1402.

Setelah tiba di Ankara, angkatan tentera Timurlane telah kembali ke Sivas dengan sengaja meninggalkan jejak untuk mengajak Bayazid keluar dari posisi bertahan. Penasihat Bayazid menasihati sultan agar tidak berganjak dari posisi asal mengenangkan tentera yang lelah dan musim yang panas akan merugikan mereka. Bayazid yang sememangnya murka dengan Timurlane hilang pertimbangan strategi perang apabila mahu mengejar musuhnya hingga ke Sivas.

Perangkap Timurlane sudah terkena, setelah tenteranya yang dikejar Bayazid tiba ke Sivas, dia melakukan turn around. Dia berpatah balik ke Ankara dengan memilih jalan yang agak jauh supaya tidak bertembung dengan Bayazid. Bayazid tidak dapat mengesan pergerakan Timurlane yang lansung tidak meninggalkan jejak. Timurlane seterusnya kembali melakukan pengepungan ke atas Ankara.

Mengetahui Ankara dikepung buat kali keduanya, tahulah Bayazid akan strategi licik musuhnya itu yang mahu melelahkan tentera-tenteranya. Bayazid tiada pilihan selain harus berpatah balik ke Ankara untuk menamatkan pengepungan Timurlane. Namun, keadaan cuaca yang panas dan kebanyakan tentera berada dalam keadaan yang sangat letih akibat ekspidisi tentera yang berpanjangan. Sejarawan ada mengatakan Bayazid kehilangan 20,000 tenteranya dalam perjalanan dari Sivas ke Ankara.

Akhirnya, kedua-dua angkatan tentera bertemu di Ankara. Bayazid yang sememangnya kalah dari segi jumlah tentera tetap bersemangat mahu mengalahkan Timurlane. Bagi Timurlane pula, kemenangan ke atas Bayazid pasti mengangkat dirinya sebagai pemerintah terulung dalam dunia Islam seluruhnya.

Unit Ketenteraan Bayazid

Tentera Bayazid terdiri daripada tentera Saljuk, tentera upahan Tartar, elit Janissari dan satu ketumbukan tentera Serbia yang diketuai oleh Stefan Lazareich. Bayazid membahagikan pasukannya kepada tiga bahagian utama – bahagian tengah, sayap kiri dan kanan.

  • Bahagian tengah dipimpin sendiri oleh Bayazid – pemanah berada pada barisan paling hadapan, barisan kedua elit Janissary dan ketiga tentera berkuda Sipahi sebagai simpanan.
  • Bahagian kiri – tentera Serbia yang diketuai Stefan Lazareich
  • Bahagian kanan – tentera upahan Tartar dan Anatolia dipimpin oleh putera Sulaiman

Unit Ketenteraan Timurlane

Tentera Timurlane terdiri daripada bangsa Mongol-Tartar yang terkenal dengan semangat kepahlawanan dan ketangkasannya di medan perang. Timurlane memiliki pemanah berkuda yang sangat ramai serta gajah berperisai yang dibawa dari India sewaktu Timurlane menakluk  Kesultahan Delhi.

Timurlane membahagikan pasukan pemanah berkudanya kepada empat pasukan – tiga diletakkan pada bahagian tengah, kiri dan kanan serta satu pasukan sebagai simpanan. Barisan tentera gajah berperisai diletakkan pada barisan paling hadapan.

Pertempuran Ankara Bermula

Serangan dimulakan oleh Timurlane dengan menyasarkan tentera Serbia di sayap kiri. Serangan pertama berjaya dipatahkan dengan mudah oleh tentera Serbia yang diketuai oleh Stefan. Namun pada serangan kedua, Timurlane telah menghantar pasukan simpanannya untuk menggasak tentera Serbia yang kekurangan bilangan itu dan ini menyebabkan pertahanan kiri Bayazid menjadi lemah. Pada masa yang sama, Timurlane masih dengan mood attacking dengan mengarahkan serangan ke atas bahagian kanan Bayazid.

18 Ribu Tartar Mengkhianat

Namun, sesuatu yang tak terduga berlaku. Seramai 18,000 tentera Tartar yang berada dalam sayap kanan telah berpaling tadah dengan menyertai pasukan Timurlane untuk menyerang pasukan Turki Uthmaniyyah. Hal ini menyebabkan situasi perang berubah serta Putera Sulaiman dikepung dari segenap sudut.

Bayazid yang bingung dengan situasi tersebut segera mengarahkan Putera Sulaiman agar lari menyelamatkan diri, dan mengarahkan Stefan mengambil tempat Sulaiman di bahagian sayap kanan.

Akibat daripada perbezaan jumlah bilangan tentera yang cukup besar, Bayazid terpaksa berundur ke sebuah bukit bernama Cataltepe. Baginda beserta sisa tentera yang ada telah dikepung oleh ketumbukan tentera Timurlane yang sangat besar. Namun, dalam pengepungan yang hebat itu, Bayazid berjaya meloloskan diri namun belum sempat kudanya berlari jauh meninggalkan medan perang, kudanya telah dipanah oleh pasukan tentara Timurlane. HAMKA mengatakan sewaktu pengepungan, terdapat 800,000 tentera Timurlane  manakala tentera Bayazid hanya berjumlah kurang daripada 120,000.

Bayazid telah ditawan dan dikurung dalam keranda besi. Selepas beberapa bulan, baginda telah mangkat dalam tawanan dan merupakan satu-satunya pemerintah Uthmaniyyah yang mati dalam tawanan musuh.

Ottoman Interregnum

Setelah kemangkatan Bayazid I, kerajaan Turki Uthmaniyyah boleh dikatakan hancur kerana putera-putera Bayazid gagal untuk menyatukan kerajaan kerana masing-masing mahu memerintah sendiri. Putera Sulaiman berundur ke Edirne dan mengangkat dirinya sebagai Sultan. Isa pula pergi ke Brossa dan putera bongsu, Muhammad bertolak ke Armenia.

Keadaan ini menyebabkan perang saudara antara putera Bayazid yang berlansung selama 10 tahun. Ketidakstabilan Uthamaniyyah pastinya menggembirakan kerajaan-kerajaan Eropah yang berasakan selamat dan tenteram dari ancaman keluarga Bani Osman. Raja-raja Eropah mengutus surat tahniah dan melahirkan rasa gembira kepada Timurlane yang berjaya membuatkan Uthmaniyyah tersungkur menyembah bumi. Dengan kemenangan di Ankara, Timurlane menjadi penguasa Muslim paling berkuasa di dunia pada masa itu.

Umat Islam harus mengambil pengajaran dari peristiwa ini bahawa perseteruan antara kita hanya akan menguntungkan musuh-musuh yang dari berzaman menyimpan dendam terhadap kita. Ingatlah, jika mereka tidak mampu mengalahkan kita, maka mereka akan menggunakan saudara kita sendiri untuk menjatuhkan kita.

Biz Bir Ummatiz !!

RUJUKAN:

Hamka. Sejarah umat islam (edisi 2016). Bahagian 6: daulat osmaniah. Fasal I: timbulnya daulat osmaniah

Battle of Ankara 1402 Ottoman – Timurid War DOCUMENTARY. https://www.youtube.com/watch?v=Nc4MCFrPiUg

Artikel dikirimkan oleh Haikal Hazwan untuk The Patriots.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.