Camazots, (yang bermaksud kelawar kematian dalam K’iche, bahasa kaum Maya dari Guatemala) telah berakar jauh dalam mitologi Mesoamerika sebagai suatu makhluk penghuni gua yang berbahaya. Pemujaan terhadap makhluk ini bermula dalam kalangan masyarakat Zapotec Indian dari Oaxaca, Mexico dan Camazotz kemudiannya diserap ke dalam panteon puak Maya Quiche. Setelah itu, legenda-legenda tentang dewa kelawar ini pun direkodkan di dalam literasi Maya.

Kelawar dianggap sebagai makhluk yang menggerunkan dalam pelbagai budaya. Mereka merupakan makhluk nokturnal dan dikaitkan dengan waktu malam, yang mana hal ini juga dihubungkan dengan kematian.

Terdapat banyak spesis biasa yang mempunyai bentuk rupa yang pelik yang mana hal ini membuatkan manusia tidak menyukai mereka. Tanggapan manusia terhadapnya bertambah lebih buruk apabila terdapat satu spesis kelawar yang menghisap darah iaitu kelawar pontianak, Desmodus Rotundus.

Dalam kebudayaan Maya, dewa kelawar Camazotz mempunyai kaitan dengan kematian. Camazotz juga merupakan nama bagi seekor makhluk gergasi yang mendiami sebuah gua bergelar ‘rumah kelawar’ dalam teks Popol Vuh.

Kebanyakan pengkaji mempercayai bahawa Camazotz diinspirasikan daripada spesis kelawar biasa. Namun, sebahagian yang lain berpendapat bahawa watak dewa ini diambil berdasarkan seekor kelawar gergasi yang mungkin telah pupus semasa zaman Plestocene ataupun zaman Holocene.

Dewa Kelawar, Camazotz.

KELAWAR RAKSASA

Di dalam Popol Vuh, iaitu sebuah teks purba mitologi Maya, Zotzilaha merupakan nama gua yang didiami Camazotz, seekor raksasa yang mempunyai tubuh badan manusia dan berkepala kelawar serta hidung yang menyerupai pengasah pisau. Makhluk ini dikatakan gemar menyerang mangsa di bahagian leher lalu memenggal kepala mereka.

Di Dalam Popol Vuh, direkodkan bahawa makhluk ini pernah memenggal kepala seorang pahlawan Maya yang bernama Hunahpu. Camazotz juga merupakan salah seekor daripada empat haiwan-syaitan yang bertanggungjawab menghapuskan manusia semasa zaman matahari yang pertama.

Hunahpu, hero Maya yang sedang diserang Camazotz

Syaitan-kelawar dan raksasa merupakan suatu kebiasaan dalam kepercayaan masyarakat Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Satu lagi contoh kisah yang serupa adalah Chonchon di Peru dan Chile, yang dipercayai wujud apabila seorang ahli sihir yang dikenali sebagai seorang kaku, melakukan satu ritual magik yang menyebabkan kepalanya yang terpenggal kembali menumbuhkan sepasang telinga gergasi dan kuku.

Telinga gergasi tersebut kemudiannya berubah menjadi sayap.
Kewujudan kelawar gergasi dalam pelbagai legenda dan mitos membuatkan ramai ahli arkeologi berpendapat bahawa makhluk tersebut mempunyai asas pertemuan dengan haiawan sebenar – seperti kelawar pontianak.

Kelawar pontianak mendapat perhatian kerana ia mempunyai kaitan sejarah dengan pertumpahan darah dan upacara korban.Namun begitu, terdapat juga kemungkinan bahawa legenda-legenda ini lahir daripada kewujudan kelawar gergasi semasa zaman Plesitocene atau permulaan zaman Holocene – makhluk yang mungkin masih wujud sehingga ke hari ini.

Ilustrasi artis tentang Chonchon

KELAWAR PONTIANAK GERGASI

Pada tahun 1988, sebuah fosil kelawar pontianak telah dijumpai di Mongas, sebuah daerah di Venezuela. Kelawar tersebut bersaiz 25% lebih besar berbanding kelawar moden dan diberi nama Desmodus Draculae. Ianya lebih dikenali dengan jolokan kelawar pontianak gergasi.

Tapak-tapak yang mempunyai fosil kelawar tersebut dijumpai di Yucatan, Belize, utara Brazil dan Venezuela. Pada tahun 2000, sebatang gigi daripada D. Draculae telah dijumpai di Argentina – terletak jauh lebih selatan daripada taburan moden genus Desmodus.

Sebenarnya, agak sukar untuk menentukan secara tepat pada waktu bila D. Draculae pupus, atau adakah ia benar-benar telah pupus. Setakat ini, kesemua tapak yang ditemui bertarikh antara akhir zaman Pleistocene dan akhir zaman Holocene.

Desmodus Draculae

Pentarikhan terkini yang direkodkan untuk tapak D. Draculae adalah 300 BP (sekitar 1650M). Pentarikhan terkini bagi tapak di Amerika Tengah agak sukar untuk dipastikan namun ianya berkemungkinan sama ada bertarikh pada zaman akhir Pleistocene atau Holocene.

Pentarikhan ini memungkinkan pendapat bahawa D. Draculae pernah hidup bersama dengan manusia di Amerika Selatan dan Amerika Tengah. Malahan, manusia mungkin pernah berinteraksi dengan D. Draculae, walaupun pada akhir zaman Holocene makhluk tersebut mungkin telah pupus.

PENAMPAKAN KELIBAT D.DRACULAE


Sebagai tambahan kepada bukti ini, terdapat beberapa penampakan misteri kelibat kelawar gergasi ataupun makhluk yang berupa seakan-akan kelawar. Antara penampakan terawarl berlaku pada tahun 1947 apabila J. Harrison mendakwa ternampak beberapa makhluk gergasi berterbangan, yang mana ia digambarkan sebagai kelawar gergasi (walaupun ada sebahagian yang mendakwa bahawa makhluk tersebut adalah pterosaurs).

Pada awal tahun 1950-an, pasangan dari Brazil medakwa mereka telah berjumpa dengan seekor makhluk berupa seperti kelawar di lembah yang sama di mana fosil D. Draculae ditemui di Brazil. Sebuah lagi kejadian berlaku pada tahun 1975 apabila tercetus satu pembunuhan haiwan ternakan di Puerto Rico.

Seorang petani berkata bahawa mereka diserang secara berulang kali oleh dua ekor makhluk yang berupa seperti burung berwarna kelabu. Makhluk ini turut dilihat oleh beberapa saksi lain sepanjang berlakunya pembunuhan haiwan tersebut.

Satu lagi penampakan terjadi pada pertengahan tahun 1970-an di Texas, apabila seorang petani menyatakan bahawa beliau telah terserempak dengan kelawar yang berkepala botak atau makhluk seakan pterosaurs dengan paruh pendek dan berwajah seperti gorilla. Bekas tapak kaki berjari tiga makhluk ini juga dikatakan turut ditemui.

Dewa Kelawar semasa zaman Zapotec

ADAKAH D.DRACULAE MENJADI INSPIRASI KEPADA LEGENDA CAMAZOTZ?

Kelawar pontianak biasa, iaitu D. Rotundus mempunyai depa sayap sepanjang 8 inci (20.32cm). Memandangkan D.Draculae bersaiz 25% lebih besar, maka mereka berkemungkinan memerlukan lebih banyak darah (berbanding kelawar biasa) dan perlu menyerang haiwan yang lebih besar – dan bahkan juga manusia. Tidak dapat dinafikan bahawa sebuah serangan dari seekor kelawar gergasi tidak dikenali akan membawa kepada lahirnya legenda tentang makhluk mistik.

Perbandingan antara fosil tulang tengkorak Desmodus draculae (kiri) dengan kelawar pontianak biasa, Desmodus rotundus. (Illustrasi oleh Jan Freedman, berdasarkan Figures in Morgan et al. 1988)

Meskipun terdapat bukti fosil yang mengagumkan dan kisah-kisah aneh berkenaan beberapa pertemuan manusia dengan kelawar gergasi, setakat ini tiada bukti yang dapat menyangkal kenyataan bahawa D.Draculae cukup sering ditemui oleh masyarakat purba yang hidup di Amerika Selatan dan Amerika Tengah dalam kehidupan sehari-hari mereka.

Begitu juga dengan kenyataan sama ada kelawar pontianak gergasi masih wujud ataupun tidak pada hari ini sekaligus memungkinkan ianya merupakan makhluk yang dilaporkan dalam penampakan-penampakan tersebut.

Walaupun begitu, kewujudan fosil yang menunjukkan bahawa D.Draculae berkemungkinan pernah hidup bersama manusia selama ribuan tahun di Amerika dan wujudnya legenda tentang kelawar gergasi yang meliputi Amerika Selatan dan Amerika Tengah membuatkan perkaitan di antara keduanya agak munasabah dan boleh diterima.

*Kapsyen gambar tajuk: Sut Batman versi Camazotz Maya yang direka oleh seorang pereka fesyen Mexico, Kimbal, Pameran Batman, 2015

Artikel diterjemahkan daripada:

Caleb Storm. (23 Mei 2019). Batman Existed in Mesoamerican Mythology ang His Name Was Camazotz. Ancient Origins.
https://www.ancient-origins.net/history/was-mythical-mesoamerican-death-bat-camazotz-inspired-real-giant-vampire-bats-007573


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Pencinta bahasa ibunda dan sejarah dunia. Amir Zayyanid merupakan seorang penulis dan penterjemah bebas yang menyimpan impian mahu menabur bakti kepada anak pertiwi menerusi pendokumentasian sebanyak mungkin bahan bacaan, sama ada fiksi mahupun bukan-fiksi.

Comments are closed.