Basikal Lajak: Terlajak Bahaya

423

18 Februari 2017, kita disentap dengan berita kematian lapan orang remaja yang maut akibat dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang wanita. Kata orang andai ajal itu sudah tiba, sembunyi di dalam peti pun tidak berguna.

Namun agak menjadi satu penyesalan jika kematian itu berpunca daripada kecuaian dan kesilapan yang sangat ketara. Kematian kelapan-lapan orang remaja tersebut selain akibat dilanggar oleh sebuah kereta, perlu juga kita “pandang” pada punca mereka bertembung dengan kemalangan tersebut. Pada ketika itu, sekumpulan remaja yang berusia antara 14 tahun hingga 16 tahun berlumba basikal dengan menggunakan basikal lajak sebelum dirempuh oleh sebuah kereta dari arah belakang.

Selepas itu, kemalangan demi kemalangan berkaitan basikal lajak berlaku. Akan tetapi, nampaknya tragedi-tragedi tersebut masih tidak mampu mewujudkan kegerunan dalam kalangan remaja yang sudah menggilai basikal lajak ini.

Baru-baru ini, penulis juga hampir bertembung dengan sekumpulan remaja (12 tahun hingga 14 tahun) yang ghairah berbasikal lajak dengan aksi “fly” di sebatang jalan yang lurus dan panjang. Mujur penulis sempat mengelakkan remaja tersebut.

Penggila basikal lajak ini kelihatannya tidak lagi takut akan kenderaan yang lebih besar daripada basikalnya, sebaliknya mereka seolah-olah mahu pemandu kenderaan seperti kereta yang takut kepada mereka. Buktinya, mereka tidak akan ke tepi jalan walaupun sudah nampak ada kereta dari arah hadapan.

Harga sebuah basikal lajak adalah bermula daripada RM300.00 sebuah. Kos untuk mengubah suai basikal tersebut pula boleh mencecah sehingga RM700.00 hingga RM800.00. Untuk hal ini, penulis bertanya kepada pemilik sebuah kedai basikal yang bukan sahaja menjual basikal tetapi juga membaiki dan mengubah suai basikal.

Pemilik tersebut mengatakan bahawa dia akan mengubah suai basikal lajak mengikut permintaan pelanggan. Ada juga yang datang bertanyakan harga atau kos terlebih dahulu. Selepas satu tempoh, dia akan datang semula menghantar basikal untuk diubah suai.

Menurutnya lagi, remaja memperoleh wang untuk membeli basikal lajak atau mengubah suai basikal adalah melalui wang saku harian yang diberikan oleh ibu bapa. Mereka sanggup tidak makan di sekolah demi mengumpul wang untuk mengubah suai basikal mereka. Begitulah yang diceritakan oleh pelanggan kepadanya jika dia bertanyakan sumber kewangan remaja tersebut.

Penulis juga pernah menyoal beberapa orang remaja tentang basikal lajak. Perkara yang ditanyakan adalah tentang sebab mereka mahu memiliki basikal lajak dan perasaan mereka ketika menunggang basikal lajak dengan pelbagai aksi berbahaya.

Rata-ratanya jawapan remaja tersebut menyebutkan keseronokan. Menurut mereka, keseronokan menunggang basikal lajak sukar untuk digambarkan. Terlalu seronok sehingga lupa semua hal yang lain. “Boleh hilangkan tension tau, cik”.

Begitulah antara jawapan yang diberikan oleh remaja yang disoal. Mereka menganggap basikal lajak itu merupakan satu benda yang unik. Lain daripada yang lain. Kalau dapat memiliki dan menunggang basikal lajak, diri terasa hebat. “Kawan-kawan pun respek.”

Begitulah selapis minda nipis anak-anak ini. Apabila ditanya sama ada mereka takut atau tidak kerana boleh berdepan dengan maut. Dengan nada selamba, salah seorang daripada mereka menjawab, “Barulah hero, cik”. Kata-katanya disambut dengan gelak daripada rakan-rakannya.

Isu basikal lajak ini tidak boleh diletakkan pada bahu satu pihak sahaja. Kebanyakan pihak meletakkan kesalahan remaja berkenaan hal ini pada bahu ibu bapa. Secara rasional, tidak ada seorang pun ibu bapa yang akan mengangguk atau mengeyakan kemahuan anak-anak yang mahu berbasikal lajak.

Semua tahu akan bahayanya jika menggunakan basikal tersebut. Kalau hendak melihat juga peranan ibu bapa, mungkin faktor tahap ketegasan ibu bapa dalam menangani masalah ini. Dengan sikap remaja kini yang kebanyakannya gemar memberontak, pastinya menyebabkan ibu bapa seakan-akan tewas terhadap kekerasan hati anak-anak.

Ditambah pula denga stres yang diperoleh di tempat kerja, terdapat juga ibu bapa yang beranggapan bahawa tidak mahu menambah stres apabila berada di rumah. Rumah untuk merehatkan fizikal dan mental. Atas sebab ini, maka segelintir ibu bapa seolah-olah tidak nampak basikal lajak yang terletak elok di hadapan rumah.     

Berkenaan hal ini, seharusnya ibu bapa harus sedar bahawa segala permasalahan yang ditimbulkan oleh anak-anak terutama mereka yang masih di bawah umur, kesannya akan ditanggung oleh ibu bapa. Walaupun ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak berbasikal lajak tetapi jika timbul masalah maka ibu bapa akan dikenakan tindakan mengikut Akta Perlindungan Kanak-kanak 2001.

Jika remaja berbasikal lajak ini tertangkap sama ada semasa operasi polis atau bukan waktu operasi, basikal mereka akan disita mengikut Peraturan 42 (1)(a) Kaedah-kaedah Lalu Lintas 1959. Jika disita sia-sialah duit beratus-ratus yang mereka laburkan untuk basikal lajak itu.

Namun bukan itu yang menjadi kerugian sebenarnya. Nyawa mereka. Bukan boleh diganti dengan apa-apa benda sekali pun. Tindakan mereka juga boleh menarik orang lain mengalami kesusahan jika kemalangan berlaku antara mereka dengan orang lain. Sampai bilakan hal ini berlaku?

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.