https://shopee.com.my/thepatriotsasia

Bangunan Pencakar Langit Pertama Di Singapura

1,260

Apabila berpeluang untuk menjejakkan kaki buat kali pertamanya di Singapura, hajat saya ialah ingin melihat sendiri sebuah bangunan lama yang masih teguh berdiri di tengah-tengah kesibukan kota itu. Bangunan tersebut merupakan salah satu daripada bangunan tertua di republik itu dan sering muncul dalam montaj credit title filem-filem terbitan Cathay-Keris sekitar tahun 1950-an sehingga awal 1970-an. 

Terinspirasi dengan usaha SG Film Locations Archives – komuniti yang menjejaki lokasi penggambaran filem-filem Melayu di Singapura sejak awal abad ke-20, saya ingin merasai sendiri pengalaman menjejaki semula tempat-tempat yang pernah muncul di dalam filem-filem Melayu era studio lewat tahun 1950-an dan 1960-an. Saya memilih untuk bermula dengan bangunan Cathay kerana saya lebih menggemari filem-filem terbitan studio itu.

Montaj pembukaan filem-filem terbitan Cathay-Keris

Bangunan Cathay (kini dikenali sebagai The Cathay) yang terletak di Handy Road, Singapura adalah bangunan pencakar langit yang pertama di republik itu dan Asia Tenggara. Ia mula dibina pada tahun 1937 dan siap sepenuhnya pada tahun 1941. Arkitek yang diberi tanggungjawab untuk mereka bentuk bangunan Cathay ini ialah Frank W. Brewer.

Pembinaan bangunan Cathay ini telah dibiayai sepenuhnya oleh pengasas Cathay Organisation iaitu Mrs. Loke Yew (nama sebenar Loke Cheng Kim), seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya bersama anak lelakinya, Loke Wan Tho. Bangunan Cathay ini pada awalnya mempunyai kemudahan panggung wayang berhawa dingin pertama di Singapura. Panggung wayang Cathay yang mempunyai 1200 tempat duduk ini telah memulakan operasinya pada 3 Oktober 1939 dengan menayangkan filem The Four Feathers (1939) arahan Zoltan Korda yang dilakonkan oleh John Clements, June Duorez dan Ralph Richardson.

Apabila bangunan setinggi 16 tingkat ini siap sepenuhnya pada tahun 1941, ia menjadi bangunan pencakar langit pertama yang berdiri megah di tengah-tengah Kota Singa. Ia bolehlah dikatakan sebagai bangunan paling mewah sekali ketika itu.

Pada zaman P3rang Dunia Kedua, bangunan Cathay ini telah digunakan oleh pihak tentera Jepun untuk menyebarkan propaganda mereka. Bendera Jepun mula berkibar di bangunan ini pada 15 Februari 1942 selepas pihak British berundur. Pihak tentera Jepun telah menggunakan panggung wayang Cathay untuk menayangkan filem-filem propaganda mereka dengan menggunakan nama Daitoa Gejiko (Greater East Asian Theatre). 

Selepas P3rang Dunia Kedua tamat, pihak British kembali mengambil alih bangunan ini. Ia kemudiannya menjadi ibu pejabat kepada Lord Louis Mountbatten, Pemerintah Tinggi Asia Tenggara. Bangunan ini diserahkan kembali kepada Loke Wan Tho selepas itu dan beliau juga turut menjadikan ia sebagai hotel selain panggung wayang.

Pada tahun 1953, Loke Wan Tho, pemilik Cathay Organisation telah mengambil inisiatif bergabung dengan Ho Ah Loke, pemilik Keris Film Productions untuk mewujudkan Cathay-Keris Film Production. Studio Cathay-Keris terletak di East Coast Road dan bertindak untuk membuat filem-filem dalam Bahasa Melayu.

Antara filem yang telah diterbitkan oleh studio Cathay-Keris Film pada tahun 1953 ialah Berbahagia Di Singapura arahan B.S Rajhans, Untok Sesuap Nasi arahan L. Krishnan, Kampong Nelayan arahan Jaffar Wiryo dan filem berwarna pertama dalam sejarah perfileman Melayu iaitu Buloh Perindu arahan B.S Rajhans.

Bangunan Cathay ini juga sering menjadi lokasi penggambaran filem-filem Cathay-Keris. Ia adalah salah satu cara syarikat ini mempromosikan perniagaan mereka. Sebagai contoh, di dalam filem Chinta Kaseh Sayang (1965) arahan Hussain Haniff, watak Normah lakonan mantap Latifah Omar keluar berfoya-foya dengan kekasihnya di bangunan ini. Mereka berdua digambarkan sedang menaiki eskalator untuk menonton wayang yang berada di tingkat atas. 

Menerusi filem Bayangan Di-Waktu Fajar (1963) pula, watak Omar lakonan S. Roomai Noor sedang memandu kereta dengan menelusuri jalan di hadapan bangunan Cathay. Beliau kemudiannya bersuka ria dengan rakan-rakannya di restoran Cathay. Satu fakta yang menarik mengenai filem ini, ia merupakan sebuah filem usahasama antara Cathay-Keris dengan syarikat Perusahaan Filem Indonesia (Perfini).

Walau bagaimanapun, filem ini tidak mendapat sambutan ekoran peristiwa Konfrontasi yang dilancarkan oleh Presiden Sukarno. Ironinya, kini terdapat sebuah tugu memperingati peristiwa Konfrontasi yang terletak di seberang jalan berhampiran dengan bangunan Cathay itu.

Tugu peringatan peristiwa Konfrontasi yang terletak berhampiran dengan The Cathay.

Selepas 20 tahun beroperasi, Cathay-Keris Film telah menamatkan operasinya selepas menerbitkan filem terakhirnya iaitu Hati Batu arahan M. Amin pada tahun 1973. 

Bangunan Cathay masih wujud hingga ke hari ini. Ia beroperasi sebagai pusat membeli belah, restoran, pusat hiburan dan apartmen mewah. Terdapat juga sebuah galeri yang menyimpan khazanah milik keluarga Loke di dalam bangunan itu.

Sebagai peminat filem-filem Melayu hitam putih, saya berpuas hati kerana dapat melihat sendiri salah sebuah bangunan yang sangat ikonik dalam sejarah perfileman Melayu. Usaha kerajaan Singapura dalam melestarikan khazanah warisan negara wajar dicontohi. Walaupun Singapura telah lama terpisah daripada Malaysia, namun kedua-dua negara ini berkongsi sejarah dan budaya penontonan sinema yang sama.

RUJUKAN:

  • Hamzah Hussin, 2004. Memoir Hamzah Hussin: Dari Keris Film ke Studio Merdeka. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
  • Raphael Millet, 2006. Singapore Cinema. Singapore: Editions Didier Millet.
Anda mungkin juga berminat

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.