Bangunan Berlian Malaysia – Teknologi Mesra Alam

0
658
views

Sumber tenaga merupakan sumber yang amat penting di dalam kehidupan kita. Tanpa sumber tenaga, maka tiadalah kemajuan material hari ini. Umum kita mengetahui terdapat dua jenis sumber tenaga iaitu tenaga yang boleh diperbaharui dan juga sumber tenaga yang tidak boleh diperbaharui. Justeru itu, penggunaan tenaga dalam kadar yang optimum dan cekap amatlah dititikberatkan supaya tidak berlaku pembaziran tenaga terutama tenaga yang tidak boleh diperbaharui.

Suruhanjaya Tenaga Malaysia yang ditubuhkan di bawah Akta Suruhanjaya Tenaga 2001 berperanan sebagai pengatur kepada industri tenaga elektrik dan bekalan gas di Malaysia. Ia ditubuhkan untuk memastikan bekalan elektrik dan gas dapat diurus dengan cekap selain turut berperanan untuk melindungi pengguna. Titik-tolak daripada itu, maka dibinalah sebuah Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga Malaysia di Putrajaya dan dikenali dengan ‘Bangunan Berlian’ (Diamond Building).

Bangunan Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga Malaysia atau dikenali sebagai ‘Bangunan Berlian’ (Diamond Building) mempunyai seni bina yang unik dan mencerminkan objektif utama Suruhanjaya Tenaga ditubuhkan. Bangunan ini terletak di Presint 2, Putrajaya bersebelahan dengan Bangunan Jabatan Imigresen. Ia telah mula dibina pada 13 September 2007 dan siap sepenuhnya pada 15 Mac 2010. Bangunan Berlian ini mempunyai 8 tingkat dan 14,230 meter persegi ruang lantai kasar (GFA). Kos untuk membina Bangunan Berlian ini ialah sebanyak RM64.6 juta. Bangunan ini telah direka oleh NR Architect yang berpangkalan di Kuala Lumpur dengan kerjasama Dr. Soontorn Boonyatikam, arkitek Thai.

Bangunan Berlian ini telah menerima banyak anugerah antaranya:
1. ASEAN Energy Award 2012
2. ASHRAE Energy Award 2013 (Second Place, Category I)
3. Green Mark Platinum 2010 (Singapore)
4. Green Building Index Platinum 2010 (Malaysia)

Ibu Pejabat Suruhanjaya Tenaga Malaysia ini dikenali dengan Bangunan Berlian adalah disebabkan bentuk seni bina dan konsep idea reka bentuk yang diambil daripada sebiji berlian. Bentuk berlian dipilih kerana mempunyai bentuk yang unik dan menyerlah. Selain itu, bentuk berlian ini memberikan simbolik nilai, kualiti, ketahanan dan ketelusan. Pemilihan bentuk berlian juga adalah disebabkan pendekatan reka bentuk pasif yang optimum untuk mencapai penggunaan tenaga yang lebih efisyen.

Kecondongan fasad bangunan sebanyak 25 darjah yang berbentuk seperti piramid terbalik itu dapat menghalang daripada cahaya matahari untuk menembusi ke dalam bangunan secara terus. Ini dapat mengurangkan kadar haba yang menembusi ke dalam bangunan dan dalam masa yang sama cahaya masih boleh diterima. Dengan penggunan dinding kaca ‘Low-e Glazing’ dapat membantu mengurangkan penerimaan haba secara terus terutama untuk fasad di sebelah barat dan timur bangunan. Ia telah memberikan penggunaan cahaya semula jadi oleh bangunan sebanyak 50%. Konsep piramid terbalik atau berlian ini juga akan memberikan ruang bumbung yang lebih besar untuk pemasangan solar panel dan ruang tanah yang lebih luas untuk ‘ruang hijau’ (greenery). Dengan memperbanyakkan ruang hijau, ia dapat mengurangkan pantulan haba ke dalam bangunan sekaligus dapat mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk menyejukkan bangunan tersebut. Bangunan ini juga telah menggunakan bahan-bahan kitar semula seperti pada ‘dry wall’, papan siling, karpet dan kemasan lantai.

Di tingkat 8, terdapat beberapa elemen bumbung hijau yang diaplikasikan ke dalam bangunan ini iaitu pemasangan panel PV (panel solar) yang menjadikan cahaya matahari sebagai sumber alternatif di dalam penjanaan tenaga elektrik sebanyak 10%. Selain itu, pembinaan kubah kaca di atrium bangunan dapat memaksimumkan penggunaan cahaya semula jadi menembusi bangunan dan dapat mengelakkan penggunaan lampu ketika waktu siang. Seterusnya, mengimplementasikan sistem pengumpulan air hujan untuk kegunaan lain dapat menjimatkan sebanyak 70% hingga 80% penggunaan air. Terdapat juga laman hijau yang direka di atas bumbung untuk mengelakkan penerimaan haba dari matahari secara terus ke atas bangunan. Mengintegrasikan sistem penyejukan bangunan dengan menanam saluran air di dalam pembuatan konkrit dapat mengekalkan suhu siling dan lantai di antara 19 darjah celcius dan 20 darjah celcius. Ini dapat mengurangkan penggunaan penghawa dingin untuk menyejukkan bangunan.

Selain itu juga, tujuan reka bentuk Bangunan Berlian adalah untuk mewujudkan suasana bekerja yang menyenangkan, sihat dan selesa kepada pengguna. Maka, penggunaan cat dinding dan karpet yang mempunyai ‘Volatile Organic Compound’ (VOC) yang rendah digunakan dan dipasang di dalam seluruh bangunan. Sistem pengudaraan bangunan dikawal oleh ‘Air-Handling Unit’ (AHU) terletak di atas bumbung yang menyejukkan udara sehingga 20 darjah celcius. Sistem ‘dehumidified’ pengudaraan juga turut dipasang untuk mengekalkan udara kering di dalam bangunan dan mengelakkan berlaku proses kondensasi di atas lantai konkrit yang mempunyai saluran paip air untuk menyejukkan bangunan. Mewujudkan sebuah bangunan yang mempunyai ‘Indoor Air Quality’ (IAQ) yang optimum dapat meningkatkan produktiviti pekerja.

Dengan menggunakan pendekatan rekabentuk mesra alam pasif dan aktif di dalam pembinaan bangunan ini sama ada dari segi perancangan seni bina, pengurusan, sistem bangunan, bahan yang digunakan, kaedah pembinaan dan juga mengambil kira keperluan penyelenggaraan, telah dapat mengurangkan penggunaan tenaga 4 kali ganda dengan nilai BEI (Building Energy Intensity) sebanyak 20.6kBtu/ft² (85kWh/m² setahun) berbanding bangunan tipikal pejabat lain di Malaysia yang mempunyai nilai BEI sebanyak 79kBtu/ft² setahun (249kWh/m² setahun). Ia juga telah dapat mengurangkan pelepasan gas karbon dioksida (CO2) sebanyak 1,673 metrik tan setahun yang menyamai 900 buah kereta di atas jalan.

Kesimpulannya, mengaplikasikan rekabentuk pasif dan aktif yang mesra alam dapat memberikan impak positif yang besar terhadap sesebuah bangunan. Ia bukan sahaja dapat menjimatkan kos dan tenaga, malah dapat mewujudkan sebuah kelestarian alam yang memberikan hubungan baik di antara manusia dan alam sekitar. Kepentingan rekabentuk bangunan hari ini yang dapat mengurangkan kesan terhadap alam sekitar adalah amat penting kerana manusia amat memerlukan alam di dalam meneruskan kehidupan di atas muka bumi ini.

BACAAN LANJUT:
1. Malaysia’s Green Diamond by T.L. Chen and Ahmad Izdihar. http://www.hpbmagazine.org/attachments/article/11746/13F-Malaysia-Energy-Commission-Headquarters-Putrajaya-Malaysia.pdf
2. Malaysia’s Stunning Green Diamond Building Wins Southeast Asia Energy Prize by Al Bredenberg. https://inhabitat.com/malaysias-green-diamond-building-wins-southeast-asia-energy-prize/
3. Putrajaya’s Magnificent Green Diamond by Chad Merchant. http://www.expatgo.com/my/2013/01/10/the-diamond-building-in-putrajaya/