Tahun lepas, seorang menteri telah mencadangkan bahawa Bangsa Malaysia adalah harapan masyarakat muda sekaligus mencapainya pada TN50. Tahun ini, ia turut diutarakan sekali lagi oleh seorang menteri juga. Ia diutarakan sebagai cara untuk perpaduan dicapai tanpa sebarang bentuk diskriminasi bangsa berlaku. Ianya nampak begitu murni konsep ini. Seakan-akan ia mampu terbentuk dengan memejam mata dan membiarkan masa bergulir untuk ia terjadi. Namun adakah ia semudah yang disangkakan? Apakah sama makna bangsa dengan kebangsaan? Perpaduan kebangsaan manakah yang mampu membentuk bangsa tersebut?

Dasar yang membentuk kebangsaan itu yang penting dan perlu diperteguhkan supaya kebangsaan Malaysia bukannya bangsa Malaysia ini bukan satu angan-angan sahaja dan hanya seperti pelitur, sekali diumpil terus hilang semangat kebangsaan.

Syed Muhammad Naquib Al-Attas (SMNA)  menegaskan bahawa dalam membentuk satu negara-bangsa itu, sebenarnya memerlukan elemen-elemen perpaduan yang akan memastikan negara-bangsa ni teguh dan kekal bersatu menghadapi anasir-anasir dalaman mahupun luaran.

Perpaduan ini boleh datang dalam dua jenis iaitu sama ada perpaduan pepejal ataupun perpaduan cecair. Perpaduan pepejal ini seperti diikatnya beberapa batang pelbagai jenis logam dan seandainya ikatan itu longgar atau terputus pasti berderai perpaduan itu. Perpaduan cecair itu apabila kesemua batang pelbagai logam ini ditunu berkali-kali sehingga hilang bendasing dan membentuk satu logam baru. Tentunya dalam keadaan tekanan yang pelbagai tidak akan mengembalikan logam baru ini kepada yang asal. Perpaduan sebeginilah yang kita mahukan dalam membentuk kebangsaan Malaysia kita.

Oleh itu, elemen-elemen yang perlu dalam membentuk perpaduan cecair ini adalah; bangsa/kaum, pengalaman sejarah, agama, dan bahasa.

Bangsa

Negara-bangsa adalah produk abad-ke 19 dan menjadi ideologi yang menembusi setiap pelusuk muka bumi; dengan terbentuk negara-bangsa yang bermula di Eropah dan kemudian diikuti oleh jajahan-jajahannya. Negara-bangsa ini kebanyakannya mengikut nama bangsa majoriti yang berada di dalamnya. Oleh itu kesatuannya negara itu mengikut bangsa yang mendiaminya. Semakin rencam bangsa yang ada di dalamnya, semakin sukar untuk perpaduan ini dikukuhkan. Lalu ada negara yang mencipta satu kebangsaan baru yang tidak pernah ada sebelun ini seperti bangsa Amerika dan bangsa Indonesia.

Pengalaman Sejarah

Kesatuan sekumpulan manusia biasanya berlaku apabila mereka telah mengharungi susah-payah dan menderita bersama untuk jangka masa yang panjang. Apabila mengatakan panjang ianya perlulah selama beratus-ratus tahun dan mungkin mencecah ribuan tahun.

Agama

Agama dewasa ini sangat dimusuhi dan dianggap pemecah-belah sebarang kesatuan, sedangkan selama ribuan tahun agama adalah salah satu faktor kesatuan sesuatu bangsa.

Bahasa

Bahasa juga boleh menunjukkan satu kesatuan yang tinggi walaupun berbentuk abstrak. Ini kerana apabila berhubungan dengan bahasa sama, satu kesatuan perasaan, semangat, pemikiran, zahir dan batin akan terbentuk. Ia nampak ringan namun sangat berkuasa.

Mengambil contoh masa kini, sebagai sumber tauladan, berdasarkan empat elemen tersebut adalah; Bangsa Arab, walaupun bangsa Arab berbeza agama mereka (Islam, Kristian) namun mereka memenuhi elemen-elemen yang lain seperti berasal dari bangsa yang sama, bahasa yang sama, dan juga menempuh perjalanan sejarah yang sama;

Bangsa Switzerland pula, selalunya digunakan sebagai satu sandaran untuk negara Malaysia namun ianya tidak sesuai kerana walaupun mereka berbeza bahasa namun mereka mempunyai agama yang sama, etnik eropah yang sama dan perjalanan sejarah yang panjang juga.

Begitu juga dengan negara India dan negara China, walaupun berbeza bahasa, bangsa mereka adalah sama (bangsa India dan Cina), perjalanan sejarah mereka yang sangat panjang dan agama yang sama memainkan peranan dalam kesatuan mereka.

Bagaimana pula elemen-elemen ini boleh membantu Malaysia?

Malaysia secara amnya terdiri daripada bangsa Melayu, kaum Cina, kaum India, dan bumiputra yang pelbagai etnik. Makanya dari segi bangsa, menjadikan mereka sebagai satu bangsa baru Malaysia adalah terlalu melampaui batas dan untuk membiarkan sejarah bergulir adalah satu tindakan melampau yang lain. Ini kerana untuk penggabungan antara dua bangsa memerlukan perkahwinan campur yang meluas sehinggalah terbentuk bangsa campuran tersebut. Ini pastinya sukar kerana perkahwinan dikawal-selia oleh agama dan agama setiap bangsa dan kaum di Malaysia adalah berbeza.

Perjalanan sejarah Malaysia masih lagi muda iaitu 60 tahun sahaja dan ini menyukarkan lagi kesatuan tersebut. Ada yang mengatakan bahawa kaum Cina dan India telah hadir di alam Melayu ini semenjak zaman Melaka lagi namun ianya disanggah oleh SMNA yang mengatakan bahawa walaupun terdapat hubungan pada masa itu namun mereka tidak terlibat di dalam pembinaan bangsa dan kebangsaan bersama. Kehadiran mereka hanya dalam lingkungan perdagangan sahaja.

Jadi bagamana mahu menyelesaikan perkara ini? Jawapannya telah lama termaktub di dalam Dasar Kebudayaan Malaysia 1971 di mana penetapan satu bahasa dijalankan dengan mengambil bahasa Melayu sebagai bahasa yang akan digunakan di dalam setiap lapangan. Bahasa adalah jalan terakhir kerana hanya melalui bahasa, ia boleh di’paksa’kan melalui jalan undang-undang tanpa melanggar hak asasi bangsa dan agama.

Dengan melahirkan masyarakat berbilang kaum/bangsa yang fasih dalam satu bahasa, kita telah dengan sengaja menyelaraskan pemikiran, sikap, kefahaman, dan gaya cakap di antara kita. Ini penting kerana bahasa melambangkan pemikiran kita dan secara tidak langsung mengurangkan pergeseran yang berlaku apabila berhubung melalui bahasa ini sama ada ketidakfahaman istilah yang digunakan atau kekurangan laras bahasa yang digunakan atau peristilahan yang berbeza.

Mengapa bahasa Melayu dipilih bukannya bahasa Mandarin ataupun tamil? Ini kerana bahasa Melayu sudah diketahui bersifat alami di alam Melayu ini dan dikenalpasti sebagai bahasa kebangsaan di alam ini paling kurang sejak 600 Masihi. Ini berbeza dengan kaum Cina dan kaum India yang ada di dalam Malaysia kerana mereka bukanlah mewakili kebudayaan tinggi daripada negara masing-masing dan bukannya mencerminkan kebudayaan negara asal mereka. Berbanding dengan orang Melayu di mana bukti abstrak dan fizikal boleh dijumpai di daerah ini.

Ini bukan bermaksud dasar ini akan menindas kebudayaan kaum lain namun ini penting untuk melahirkan rakyat yang bersatu padu secara batin. Kaum-kaum boleh sahaja menyumbang kepada peristilahan baru ke dalam bahasa Melayu supaya kefahaman mereka juga dapat difahami oleh pengguna bahasa Melayu. Jadinya kemantapan bahasa ibunda masing-masing perlu ada untuk menyumbang ke dalam pemerkasaan bahasa Melayu.

Toleransi tiada dalam kosa kata Melayu kerana toleransi merujuk kepada sikat menahan marah ke atas perkara berbeza. Orang Melayu mempunyai kosa kata yang lebih baik daripada kosa kata ‘toleransi’ itu iaitu muhibbah yang membawa maksud meraikan dengan kegembiraan. Ini membawa makna yang lebih positif. Di sini dapat saya tunjukkan bahawa penggunaan istilah yang betul akan membawa pemikiran yang lebih murni dan ini yang kita mahukan.

Saranannya lebih baiklah diperkukuhkan Dasar Kebudayaan itu dahulu dengan memastikan bahasa Melayu menjadi wadah di semua lapangan terutamanya lapangan ilmu. Perkasakan DBP menjadi badan yang lebih bertauliah dan berkesan. Perkasakan ITBM supaya penciptaan istilah dan penggunaan di dalam karya-karya dapat dijalankan dengan lebih laju dan tersusun. Perkasa pengajaran bahasa Melayu supaya seusai habis Sijil Pelajaran Malaysia, kefasihan penuntut sudah mencapai tahap tinggi.

Banyak perkara yang boleh dilakukan daripada ingin menggapai angan-angan yang palsu dan mitos itu. Usahlah dicabut tulang belakang; Perlembagaan, Rukun Negara, dan Dasar Kebudayan Malaysia; yang kukuh dan selama ini menjadi benteng negara-bangsa Malaysia ini. Perlaksanaannya yang perlu dikemaskinikan bukannya dasar yang perlu dirombak-rombak konon-kononnya mengikut zaman.

RUJUKAN:-

1) Kuliyah SMNA di CASIS

2) Unsur-unsur Utama Pemupukan Bangsa, Kebangsaan dan Patriotisme – Muhammad Zainy Uthman

3) http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/04/17/bangsa-malaysia-kj/

Artikel disumbangkan oleh Khairul Asraf Shah Nizamuddin untuk The Patriots. 


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Dilahirkan di Kuala Lumpur dan mendapat pendidikan di dalam bidang perubatan di RCSI, Ireland, dan PMC(RUMC), Pulau Pinang. Kini, sedang melanjutkan pelajaran di peringkat Sarjana (Master) dalam bidang Kesihatan Awam. Seorang yang meminati hal-ehwal sejarah, falsafah, geopolitik dan bahasa. Cenderung kepada Gagasan Islamisasi Ilmu oleh Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Mempunyai pengalaman dalam menerjemah buku dan sedang mempelajari bahasa Rusia dan Mandarin. Bercita-cita untuk menjadi seorang polymath dan polyglot.

Comments are closed.