Bangsa Malaysia: ‘Nationality’ & ‘Ethnicity’ Adalah 2 Perkara Berbeza

0
1788
views

1. Sudah lebih kurang 3 minggu Pilihanraya Umum 2018 berlalu. Sepanjang tempoh tersebut, penulis hanya memerhatikan sahaja perkara-perkara yang menjadi topik perbualan netizen. Dan kini baru artikel ini sesuai untuk dicoretkan.

2. Antara gimik pelik yang ghairah dipaparkan terutamanya oleh anak-anak muda di media sosial adalah pernyataan “I am not Malay/Chinese/Indian, I am Malaysian”.

Jetpack Langkawi

3. Persoalannya adalah, sejak bila pula untuk menjadi seorang rakyat Malaysia bermaksud kita perlu menghapuskan identiti kaum masing-masing? Selain itu, negara kita bukan hanya dibentuk oleh tiga kaum sahaja. Selain tiga kaum utama, Malaysia juga terdiri dari kaum-kaum Orang Asli (Semang, Senoi dan Melayu Asli), kaum-kaum dari Sarawak (Iban, Bidayuh, Melayu, Melanau, Kayan, Kenyah, Kelabit, Lun Bawang dll) serta kaum-kaum dari Sabah (Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Bisaya, Bajau, Bugis, Suluk dll).

4. Di dalam Perlembagaan Persekutuan, nama ‘Melayu’ dan ‘Orang Asli’ tercatat di dalamnya yang merangkumi perkara-perkara yang berkaitan dengan hak mereka. Begitu juga dengan kedudukan istimewa kaum-kaum Anak Negeri Sabah dan Sarawak di dalam Perlembagaan Persekutuan.

5. Ini bermaksud Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak dan kewujudan pelbagai kaum bumiputera di negara kita. Jadi tidak perlu apologetik pun untuk mengakui identiti kaum masing-masing bagi menunjukkan kita adalah rakyat Malaysia.

6. Adakah anak-anak muda yang ghairah menyatakan “I am not Malay/Chinese/Indian, I am Malaysian” boleh menjelaskan apakah makna, bentuk dan konsep orang ‘Malaysian’ yang mereka maksudkan? Atau hanya sekadar ikut-ikutan sahaja?

7. Mungkin anak-anak muda ini tidak mengetahui bahawa konsep bangsa Malaysia bukanlah baru. Menurut Mohamed Mustafa Ishak (2014), tokoh pertama yang melontarkan idea mengenai pembentukan bangsa Malaysia adalah YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri, Perdana Menteri kita. YAB Tun telah menyatakan “Bangsa Malaysia means people who are able to identify themselves with the country, speak Bahasa Malaysia and accept the constitution” (The Star, 1995).

8. Jauh sebelum itu, ucapan beliau pada 1988 “… when we attained independence, we made agreement to accept Malaysia as the official name of the country, a Malaysian nation as our nation, and Bahasa Malaysia as our national language. All this term originated from the name of the largest indigenous community in the country namely the Malays. To accept Malaysia, to be called Malaysians and to be used Bahasa Malaysia, does not make us Malay. We ethnically remain as Chinese, or Indians, or Ibans, or Kadazans and so fourth. We are only Malaysian nation in the sense of a political identity based on a spesific country. There is therefore no reason why we should be apprehensive about losing our ethnic identity.”

9. Jika benar pembentukan ‘Malaysian’ menurut anak-anak muda ini bermaksud perlu melepaskan identiti etnik masing-masing, apa komen mereka berkenaan dengan cadangan sebuah Pertubuhan agar jawatan Timbalan Perdana Menteri diberikan kepada kaum mereka? Di Pulau Pinang sendiri, pemegang jawatan Ketua Menteri yang baru masih kekal disandang oleh kaum majoriti di negeri tersebut walaupun senioriti dimiliki oleh Timbalan Ketua Menteri dari kaum minoriti yang sudah 2 penggal memegang jawatan tersebut. Beribu alasan diberikan untuk menjustifikasikan tindakan itu.

10. Jika benar konsep ‘Malaysian’ mengikut pemahaman anak-anak muda ini menekankan kepada aspek meritokrasi, bagaimana seorang wakil rakyat bumiputera yang memiliki ijazah di peringkat Doktor Falsafah pun masih boleh dipertikaikan kelayakannya untuk dilantik sebagai Menteri Pendidikan?

11. Kenyataan “I am not Malay/Chinese/Indian, I am Malaysian” ini sebenarnya hanya boleh dilihat dan dibuktikan kejujurannya sewaktu perbincangan mengenai pengiktirafan peperiksaan persendirian oleh Sekolah Vernakular yang terpisah dari sistem pendidikan kebangsaan diadakan nanti.

Artikel ini adalah artikel Ibn Rusydi untuk The Patriots.