Dalam kalangan 25 orang para nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam, empat orang daripada mereka berbangsa Arab iaitu Nabi Hud AS, Nabi Soleh AS, Nabi Syu’aib AS dan Nabi Muhammad SAW. Perkara ini telah dibincangkan dalam artikel penulis sebelum ini yang bertajuk “Nabi-Nabi Berbangsa Arab Sahajakah?” siaran pada 2 Ogos 2017. Dalam artikel tersebut, ada dalam kalangan pembaca yang menanyakan soalan adakah Nabi Ibrahim AS dan anaknya, Nabi Ismail AS juga berketurunan bangsa Arab. Ini kerana Nabi Muhammad SAW yang berbangsa Arab bersusurgalur daripada kedua-dua orang nabi dua beranak tersebut.

Untuk menjawab persoalan tersebut, kita perlu membincangkan mengenai salasilah para nabi dan rasul serta bangsa Arab secara umumnya. Seperti yang kita tahu, umat manusia berkembang biak daripada sepasang suami isteri iaitu Nabi Adam AS dan Hawa AS. Dalam generasi kesepuluh cucu-cicit Nabi Adam AS, lahirnya Nabi Nuh AS. Selepas peristiwa banjir besar berlaku yang memusnahkan kaum Nabi Nuh AS yang kufur, seramai tiga orang anak Nabi Nuh AS yang beriman mengembangkan zuriat baginda iaitu Sam, Ham dan Yafith. Daripada generasi Sam, kesemua 25 orang para nabi dan rasul yang wajib diketahui oleh umat Islam dilahirkan. Daripada generasi Sam jugalah bangsa Arab lahir.

Keturunan Iram bin Sam yang melahirkan bangsa Arab Ba’idah. Dalam sejarah, bangsa Arab boleh dibahagikan kepada dua kelompok utama iaitu golongan Arab Ba’idah dan golongan Arab Baqiyyah. Golongan Arab Ba’idah merupakan golongan bangsa Arab purba yang telah pupus. Al-Qur’an ada menceritakan berkenaan tiga etnik bangsa Arab Ba’idah iaitu ‘Ad, Tsamud dan Madyan. Ketiga-tiga etnik bangsa Arab tersebut telah dimusnahkan dengan azab Allah SWT melalui bencana alam yang maha dahsyat sehingga menyebabkan kepupusan mereka dan peradaban mereka kecuali segelintir golongan yang beriman dalam kalangan mereka. Ini kerana mereka telah mendustakan tiga orang rasul yang diutuskan kepada mereka daripada kalangan mereka sendiri iaitu Nabi Hud AS yang diutuskan kepada kaum ‘Ad, Nabi Soleh AS yang diutuskan kepada kaumnya, Tsamud, dan Nabi Syu’aib AS yang diutuskan kepada kaumnya iaitu Madyan. Antara etnik Arab Ba’idah yang lain ialah seperti Tasm, Jadis, Umaym, ‘Amaliq, Hadhurun (Ashab al-Ras) dan Jurhum al-Ula.

Jika etnik Arab ‘Ad dan Tsamud bersusurgalur daripada Iram bin Sam bin Nabi Nuh AS, etnik Arab Madyan pula bersusurgalur daripada Nabi Ibrahim AS. Nabi Ibrahim AS juga berketurunan daripada Sam bin Nabi Nuh AS tetapi melalui anak Sam yang bernama Arfakhsyad. Nabi Ibrahim AS dilahirkan di Kota Ur atau Harran di lembangan Mesopotamia yang pada masa kini termasuk dalam wilayah Iraq. Penulis tidak dapat memastikan keturunan bangsa Nabi Ibrahim AS, tetapi jelas baginda bukanlah daripada keturunan bangsa Arab Ba’idah dan bahasa ibunda baginda bukanlah bahasa Arab.

Dalam ketiga-tiga agama samawi iaitu Yahudi, Kristian dan Islam, Nabi Ibrahim AS digelar bapa sekalian para nabi dan rasul. Ini kerana sebagaimana yang kita ketahui, daripada zuriat keturunan bagindalah lahirnya ramai para nabi dan rasul yang diketahui terutamanya melalui zuriat dua orang putera baginda iaitu Nabi Isma’il AS dan Nabi Ishak AS. Nabi Isma’il AS merupakan nenek moyang kepada Nabi Muhammad SAW, sementara Nabi Ishak AS melalui puteranya, Nabi Ya’akub AS yang melahirkan bangsa Bani Israel. Selain kedua-dua orang nabi yang mulia tersebut, Nabi Ibrahim AS mempunyai seorang anak lelaki yang bernama Madyan. Daripada zuriat keturunan Madyanlah lahirnya etnik Arab Ba’idah Madyan yang menetap di sekitar Teluk ‘Aqabah di utara Semenanjung Tanah Arab, termasuklah Nabi Syu’aib AS.

Berbalik kepada kelompok utama bangsa Arab, kelompok kedua bangsa Arab pula dipanggil golongan Arab Baqiyyah. Golongan Arab Baqiyyah pula terbahagi kepada dua iaitu golongan Arab ‘Aribah dan Arab Musta’ribah. Golongan Arab ‘Aribah merupakan golongan bangsa Arab yang tulen. Mereka semua berketurunan Qahtan, salah seorang zuriat Nabi Hud AS. Daripada Ya’rub bin Qahtan, lahirnya beberapa etnik dan kerajaan Arab ‘Aribah seperti Saba’, Himyar dan Kahlan yang berkembang biak menjadi pelbagai sub-etnik Arab yang lain seperti etnik Aus dan Khazraj di Madinah, etnik Azd atau Ghassan di Hirah, etnik Ta’ie di Taif dan banyak lagi termasuklah etnik Jurhum ath-Tsani (Jurhum Kedua) dan Bani Khuza’ah yang akan berpengaruh besar dalam salasilah Nabi Muhammad SAW dan sejarah penguasaan Kota Makkah.

Terdapat golongan Arab ‘Aribah yang disebut di dalam al-Qur’an, bahkan terdapat sebuah surah berdasarkan nama tamadun Arab tersebut iaitu Surah Saba’, surah yang 34. Berkenaan tamadun Saba’, al-Qur’an menceritakan kisah seorang ratu kerajaan Saba’ yang menyembah matahari, begitu juga rakyat jelatanya. Apabila Nabi Sulaiman AS menunjukkan kebesaran kerajaan baginda yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada baginda, akhirnya ratu tersebut bertaubat dan berserah diri kepada Allah SWT, diikuti oleh rakyat jelatanya. Al-Qur’an juga ada menyebutkan tentang kaum Tubba’ iaitu dalam Surah Qof, ayat 14. Tubba’ atau kata jamaknya adalah Taba’ibah merupakan suatu gelaran bagi raja-raja Arab yang pernah memerintah sebuah kerajaan Arab di Yaman sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW. Mereka termasuk dalam golongan Arab ‘Aribah. Peradaban kaum Tubba’ yang diceritakan di dalam al-Qur’an dimusnahkan oleh Allah SWT disebabkan kekufuran mereka menentang para rasul yang telah diutuskan kepada mereka.

Golongan Arab Musta’ribah pula ialah segolongan bangsa yang “diarabkan.” Dalam erti kata lain, satu golongan bangsa yang telah menjadi sebahagian daripada bangsa Arab disebabkan perkahwinan campur antara mereka dengan golongan Arab tulen atau Arab ‘Aribah. Jika kita imbas kembali perjalanan sirah Nabi Ibrahim AS bersama isterinya, Hajar AS dan putera mereka, Nabi Isma’il AS, Nabi Ibrahim AS telah meninggalkan isteri dan puteranya itu di tengah-tengah lembah padang pasir di kawasan Hijaz yang pada masa kini ialah Makkah al-Mukarramah, atas perintah Allah SWT. Begitu besar nilai keimanan, pengorbanan dan kesabaran Hajar AS yang berlari-larian antara Bukit Sofa dan Marwah mencari air untuk puteranya yang masih kecil sehingga perbuatan tersebut disyariatkan oleh Allah SWT menjadi sebahagian perkara rukun haji yang perlu dilakukan dalam ibadat haji. Hentakan kaki kecil Nabi Ismail AS ke bumi dalam keadaan menangis kerana kehausan telah memancutkan mata air yang tidak berhenti mengalir sehingga kini atas izin dan kuasa Allah SWT.

Pancuran mata air yang berterusan tersebut menarik perhatian kawanan burung yang singgah minum. Kawanan burung tersebut pula menarik perhatian segerombolan etnik Arab Jurhum ath-Tsani dari selatan yang sedang merentasi padang pasir yang tandus tersebut. Akhirnya tempat tersebut dijadikan penempatan tetap dan Nabi Isma’il AS dikahwinkan dengan seorang anak gadis daripada etnik Jurhum tersebut. Nabi Isma’il AS bukan berketurunan bangsa Arab dan baginda tidak bertutur dalam bahasa Arab tetapi bahasa Siryani atau ‘Ibrani, sementara etnik Jurhum ath-Tsani pula merupakan antara etnik Arab yang tulen dan bertutur dalam bahasa Arab. Daripada situlah, darah mereka bercampur dan menghasilkan zuriat keturunan Arab Musta’ribah, iaitu nenek moyang Nabi Muhammad SAW.

Ka’abah didirikan oleh Nabi Ibrahim AS yang kerap datang menziarahi tempat tersebut bersama puteranya, Nabi Isma’il AS. Mereka hidup dalam keadaan beriman dan aman di lembah Makkah tersebut yang dipimpin oleh Nabi Isma’il AS dan zuriat keturunan baginda yang telah berasimilasi dengan etnik Arab Jurhum.

Seberapa lama selepas itu, datang pula segerombolan etnik Arab ‘Aribah yang lain yang juga dari selatan iaitu Bani Khuza’ah. Mereka menyerang, menawan, menduduki dan merampas kuasa Kota Makkah daripada tangan zuriat Nabi Isma’il AS. Etnik Arab Jurhum diusir keluar Kota Makkah tetapi zuriat-zuriat keturunan Nabi Isma’il AS terus menetap di situ. Ketika etnik Jurhum diusir keluar, dikatakan bahawa mereka telah menimbus telaga Zamzam yang menjadi punca mata air minuman bagi penduduk Kota Makkah.

Semasa era pemerintahan Bani Khuza’ah, Kota Makkah mula dicemari dengan amalan syirik penyembahan berhala-berhala yang dipopularkan oleh seorang bangsawan Bani Khuza’ah yang bernama ‘Amru bin Luhay al-Khuza’ie. Bani Khuza’ah memerintah Kota Makkah selama ratusan tahun sebelum seorang zuriat keturunan Nabi Isma’il AS bangkit merampas kembali tampuk pemerintahan.

Dalam kalangan zuriat keturunan Nabi Isma’il AS tersebut, adanya seorang yang bernama Fihir bin Malik atau gelarannya Quraisy. Daripada nama gelaran tersebutlah, dinisbahkan semua keturunannya sebagai suku kaum Quraisy termasuklah zuriat keturunannya yang kesebelas iaitu Nabi Muhammad SAW. Salasilah baginda yang sampai kepadanya ialah Muhammad bin ‘Abdullah bin Syaibah (‘Abdul Mutalib) bin ‘Amr (Hasyim) bin al-Mughirah (‘Abdul Manaf) bin Qusay bin Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihir bin Malik. Kebangkitan kaum Quraisy mula diketuai oleh zuriat keturunan Fihir yang bernama Qusay bin Kilab. Qusay merupakan cakawari (datuk kepada moyang) Nabi Muhammad SAW. Qusay berkahwin dengan gadis pemimpin Bani Khuza’ah dan mengetuai kaum kerabatnya, suku Quraisy, bangkit merampas kembali hak kepimpinan mereka ke atas Kota Makkah.

Akhirnya Qusay berjaya mendapatkan semula hak kepimpinan nenek moyang mereka yang dahulunya dirampas oleh Bani Khuza’ah. Qusay memerintah Kota Makkah dengan penuh adil dan bijaksana. Darul Nadwah diasaskan oleh Qusay sebagai pusat pemerintahan dan dewan permesyuaratan Kota Makkah. Bahasa dan kesusasteraan Arab fus-hah berkembang dengan begitu cemerlang sekali ketika itu melalui pemidato-pemidato dan penyair-penyair mereka. Oleh sebab itu, ketika zaman pengutusan Nabi Muhammad SAW, Allah SWT mewahyukan kitab suci al-Qur’an secara beransur-ansur sebagai mukjizat bahasa kepada baginda sehingga menyebabkan para penyair terhebat mereka pun mengagumi keindahan gaya bahasa dan kesusasteraan bahasa Arab al-Qur’an. Mereka yang enggan menerima hakikat bahawa al-Qur’an bukanlah karya ciptaan manusia atau mana-mana makhluk akan menuduh bahawa al-Qur’an adalah satu bentuk sihir yang memukau hasil ciptaan Nabi Muhammad SAW.

Kepimpinan Kota Makkah diteruskan oleh pula oleh waris-waris Qusay setelah kematiannya terutamanya Bani Hasyim, moyang dan kaum keluarga terdekat Nabi Muhammad SAW. Keluarga Bani Hasyim semakin dihormati selepas datuk kepada Nabi Muhammad SAW yang bernama Syaibah (‘Abdul Mutalib) bin Hasyim, dikurniakan ilham oleh Allah SWT melalui mimpi untuk menggali dan menemui semula perigi mata air Zamzam yang telah lama terkambus.

Begitulah sejarah bagaimana suku kaum Quraisy yang berketurunan Nabi Ismail bin Nabi Ibrahim AS memegang tampuk pemerintahan Kota Makkah selama beberapa ratus tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW sehinggalah zaman pengutusan baginda sebagai rasul. Dalam al-Qur’an sendiri, terdapat sebuah surah yang berdasarkan nama dan kisah suku kaum tersebut iaitu Surah Quraisy, surah ke-106. Para sejarawan bersepakat mengenai senarai susurgalur nenek moyang sebelah bapa Nabi Muhammad SAW sehingga moyang baginda yang ke-22 yang bernama ‘Adnan, tetapi salasilah daripada ‘Adnan sehingga ke Nabi Ismail AS terdapat beberapa versi perbezaan dalam kalangan pakar nasab Arab tentang nama dan jumlah generasi mereka. Apa yang pasti, susurgalur baginda sampai kepada Nabi Ismail AS bin Nabi Ibrahim AS. Baginda juga berketurunan suku kaum Quraisy sama ada daripada nasab sebelah bapanya (Bani Hasyim) dan ibunya (Bani Zuhrah). Ini kerana Qusay (datuk kepada Hasyim) dan Zuhrah kedua-duanya merupakan putera kepada Kilab bin Murrah bin Ka’ab bin Lu’ay bin Ghalib bin Fihir (Quraisy).

Bangsa Arab sememangnya terkenal sebagai bangsa yang amat memelihara salasilah nasab keturunan bangsa mereka sama ada melalui lisan mahupun catatan bertulis. Mereka mempunyai sistem keluarga yang begitu kompleks. Pembahagian ras suku kaum mereka terbahagi kepada beberapa peringkat utama iaitu asy-Sya’bu (الشعب), al-Qabilah(القبيلة) , al-‘Imarah (العمارة) , al-Batnu ((البطن, al-Fakhzu  (الفخذ)dan al-Fasilah(الفصيلة) . Sya’bu boleh diertikan sebagai etnik utama seperti Sya’bu Qahtaniyyah dan Sya’bu ‘Adnaniyyah. Qabilah pula adalah pecahan utama daripada Sya’bu seperti Qabilah Rabi’ah dan Mudhar. Rabi’ah dan Mudhar merupakan antara putera kepada Nizar bin Ma’ad bin ‘Adnan. Daripada kedua-dua mereka, lahir pula beberapa pecahan kecil ‘Imarah seperti Kinanah dan Fihir (Quraisy) daripada keturunan Mudhar. Batnu pula merupakan cabang daripada ‘Imarah seperti Bani ‘Adi, Bani Makhzum, Bani Taym, Bani Zuhrah dan Bani Qusay. Mereka semua adalah daripada keturunan Fihir. Cabang kecil daripada Batnu adalah Fakhzu seperti Bani ‘Abdu Syams, Bani Naufal dan Bani Hasyim. Mereka semua adalah putera kepada ‘Abdul Manaf bin Qusay. Cabang paling kecil ialah Fasilah atau Fasa’il. Fakhzu adalah induk kepada pelbagai Fasilah atau Fasa’il. Contoh Fasilah ialah seperti Bani ‘Umayyah dan Bani ‘Abdul Mutalib.

Oleh itu, Nabi Muhammad SAW berasal daripada Fasilah Bani ‘Abdul Mutalib, Fakhzu Bani Hasyim, Batnu Bani Qusay, ‘Imarah Bani Fihir (Quraisy), Qabilah Bani Mudhar dan Sya’bu ‘Adnaniyyah. Walau bagaimanapun, baginda lebih dikenali dengan gelaran nisbah al-Hasyimi sempena nama moyang baginda tersebut. Baginda pernah bersabda dalam sepotong hadith riwayat Imam Muslim: “Sesungguhnya Allah SWT telah memilih Kinanah daripada zuriat (Nabi) Isma’il, memilih Quraisy (Fihir) daripada (zuriat) Kinanah, memilih daripada (zuriat) Quraisy, Bani Hasyim, dan memilih aku (sebagai rasul) daripada (zuriat) Bani Hasyim.”

Susunan di atas merupakan susunan penulis sendiri untuk menggambarkan tingkat-tingkat keluarga besar bangsa Arab, daripada Sya’bu yang paling umum sehinggalah kepada Fasilah yang paling khusus. Selain enam peringkat tersebut, terdapat juga beberapa istilah lain yang mengkhususkan lagi peringkat-peringkat tersebut seperti jizm, jumhur, dan jayl. Boleh dikatakan, hampir semua para sahabat yang berbangsa Arab daripada golongan Muhajirin adalah suku kaum Quraisy. Kempat-empat orang Khulafa’ ar-Rasyidin, semua khalifah Bani Umayyah (Damsyik dan Andalus), ‘Abbasiyyah (Baghdad dan Kaherah), Amir-Amir dinasti Idrisiyyah di Maghribi adalah antara kerajaan umat Islam yang dipimpin oleh para pemerintah yang berketurunan suku kaum Quraisy. Bahkan, Amir ‘Abdul Rahman ad-Dakhil, seorang pewaris kerajaan Bani Umayyah yang meneruskan pemerintahan kerajaan Bani Umayyah fasa kedua di bumi Andalus (Sepanyol) digelar “Saqar Quraisy” (Sang Helang Quraisy) kerana ketahanannya meneruskan kelangsungan hidup dalam keadaan ekstrim dan berjaya meneruskan legasi sebuah dinasti di tempat lain.

Istilah seperti asy-Sya’bu (Syu’ub) dan al-Qabilah (Qaba’il) ada disebutkan di dalam al-Qur’an, Surah al-Hujurat, ayat 13, ketika Allah SWT menjelaskan bahawa hakikat penciptaan umat manusia bersuku bangsa adalah supaya mereka saling mengenali antara satu sama lain. Bangsa Arab pada zaman Jahiliyyah adalah bangsa yang mempunyai semangat kesukuan yang fanatik (As-So’biyyah) dan sering berbangga dengan keturunan dan kedudukan mereka dengan merendah-rendahkan bangsa dan suku lain. Peperangan sering berlaku antara kabilah. Selepas pengutusan Nabi Muhammad SAW sebagai rasul, al-Qur’an menegaskan dalam ayat di atas bahawa sesungguhnya mereka yang dimuliakan di sisi Allah SWT adalah berdasarkan tahap keimanan dan ketakwaan mereka, bukan berdasarkan sifat lahiriah dan bangsa keturunan.

Walau bagaimanapun, ayat al-Qur’an tersebut juga tidak menafikan hakikat bahawa umat manusia dilahirkan bersuku bangsa. Tidak salah mempelajari, mengkaji dan mengagumi kehebatan dan pencapaian silam bangsa sendiri bertujuan untuk motivasi dan pengajaran untuk diri sendiri, masyarakat dan generasi akan datang, tanpa memandang rendah kepada bangsa lain dengan menafikan hak mereka sebagai manusia biasa. Islam amat menggalakkan penyatuan umat Islam sebagaimana Nabi Muhammad SAW mempersaudarakan para sahabat golongan Muhajirin dengan Ansar, tanpa perlu menghilangkan identiti bangsa, keturunan dan asal-usul diri.

Allah SWT telah memuliakan bangsa Arab dengan mengutuskan penutup yang juga ketua bagi sekalian para nabi dan rasul yang diutuskan sebagai pembawa rahmat bagi seluruh alam. Itu adalah fakta yang tidak boleh dinafikan. Walau bagaimanapun, di sisi Allah SWT, seseorang Arab itu tiada sebarang kelebihan berbanding bangsa A’jam (bangsa bukan Arab) yang lain, melainkan perbezaan tahap keimanan dan ketakwaan seseorang yang akan dinilai oleh Allah SWT.

Untuk maklumat yang lebih lanjut dan mendalam mengenai bangsa Arab dan suku kaum Quraisy, para pembaca bolehlah merujuk sumber-sumber rujukan di bawah:

Sumber Rujukan:

Sirah Ibnu Hisham (diringkaskan oleh Abdus Salam M. Harun), Kaherah, Mesir: al-Falah Foundation for Translation, Publication dan Distribution, 2000.

As-Solabi, ‘Ali Muhammad, as-Sirah an-Nabawiyyah ‘Ardhu Waqo’i’ wa Tahlil Ahdath, Beirut, Lubnan: Dar al-Makrifah, 2008.

As-Solabi, ‘Ali Muhammad (terj. Faisal Shafeeq), The Noble Life of The Prophet PBUH, Vol. 1.

Hamka, Sejarah Umat Islam, Singapura: Pustaka Nasional Pte. Ltd., 2006.

Nasaruddin Awang al-Hafiz, Catatan Sejarah Rasulullah SAW, terbitan Dr. Aziz Hashim, Februari 2013.

Shawqi Abu Khalil (ed.), Atlas of The Qur’an; Places, Nations, Landmarks, Riyadh: Darussalam

“Sejarah Bangsa Arab,” pembentangan kuliah subjek Ilmu Qira’at di Institut Ilmu al-Qur’an, Jakarta oleh Dr. KH Ahsin Sakho Muhammad dalam laman web Buah Pikir, pautan: https://yusnighazali.wordpress.com/2012/12/27/sejarah-bangsa-arab/, dirujuk pada bulan Disember 2017.


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

MA. (Malaya), BUs. (IsHis&Civ)(Malaya)

Leave A Reply