Perang Dunia Kedua (WWII) dianggap tempoh paling getir dalam sejarah manusia. Tempoh ini menyaksikan lebih 80 juta orang awam dan tentera terbunuh sekaligus menjadikan ia sebagai konflik paling berdarah yang pernah disaksikan dunia. Disebabkan konflik ini juga, ia turut membawa kepada penemuan bangkai kapal perang paling dalam di dunia: USS Samuel B. Roberts.

Kapal Samuel B. Roberts sebelum ia ditenggelamkan oleh pihak Jepun di Samar pada Oktober 1944.

Kapal perang Amerika Syarikat (AS) ini ditemui sekitar perairan Filipina pada kedalaman 6,895 meter. Angka ini jauh mengatasi ketinggian gunung tertinggi di Tanzania, Gunung Kilimanjaro (5,895 meter). Atau dalam konteks bangunan, 18 kali ganda tinggi Menara Berkembar Petronas. Bangkai kapal ini ditemui pada 22 Jun lepas oleh sepasukan pakar dari dua buah syarikat, Caladan Oceanic Expeditions (COE) (AS) dan EYOS Expeditions (Britain).

USS Samul B. Roberts atau nama gelarannya Sammy B merupakan sebuah kapal pengiring pemusnah untuk Tentera Laut AS (US Navy). Semasa WWII, ia merupakan sebahagian daripada Armada Ketujuh US Navy yang diketuai oleh Laksamana Clifton Sprague. Kapal tersebut karam dalam satu pertempuran di luar Samar pada 25 Oktober 1944.

Advertisements
Laksamana Clifton Sprague

Pada tarikh tersebut, Armada Ketujuh US Navy atau lebih tepat, Pasukan Petugas Khas 77.4.3 (nama panggilan radio untuk unit berkenaan) diumpan keluar dari kedudukan mereka. Helah ini dimainkan oleh Laksamana-Madya Jepun Takeo Kurita dengan cara menggerakkan armadanya berlayar melepasi Selat San Bernardino. Menyangka tiga kapal Jepun yang dilihat itu sebagai sasaran mudah, Sprague mengarahkan tiga kapal itu dikejar.

Tanpa beliau sedar, tiga kapal Jepun itu sebenarnya sebahagian daripada armada laut Jepun yang terbesar pernah disaksikan dalam WWII. Armada laut yang diketuai Kurita itu terdiri daripada empat kapal perang termasuk Yamato, lapan kapal kruzer dan 11 kapal pemusnah. Di atas kertas, armada Jepun ini jauh lebih kuat berbanding pasukan khas 77.4.3 (enam kapal pengiring pengangkut, tiga kapal pemusnah dan empat kapal pengiring pemusnah termasuk Sammy B).

Sebaik melihat armada laut Jepun, normallah bagi mana-mana pegawai tentera laut cuak melihat bilangan lawan yang banyak. Fakta itu bagaimanapun tidak menggentarkan Sprague sama sekali. Malah, melihat keadaan cuaca dan angin yang memihak kepadanya, beliau mengarahkan pasukan 77.4.3 menggempur habis-habisan armada laut Kurita itu. Tatkala kapal-kapal ini menyerang, Sprague turut mengarahkan pesawat-pesawat pengebomnya untuk menyerang pihak musuh.

Sumber: Caladan Oceanic Expeditions dan EYOS Expeditions

Strategi serampang dua mata ini nampak berisiko dan boleh saja mengakibatkan kemusnahan pasukan 77.4.3. Strategi Sprague menyaksikan lima buah kapal karam termasuk Sammy B dengan lebih 1,100 orang tentera laut AS terbunuh. Namun begitu, mentaliti biar putih tulang, jangan putih mata 77.4.3 termasuk Sammy B menjadikan semua yang terbunuh pada hari itu sebagai legenda dalam sejarah US Navy.

Keberanian Sprague mengambil risiko turut mengakibatkan armada laut Kurita terpaksa berpatah balik selepas kehilangan tiga buah kapal kruzer berat. Dengan berundurnya Kurita dari medan Samar, Pulau Leyte, Filipina yang menjadi objektif mereka pada hari itu gagal dicapai.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Kekalahan di Samar juga dianggap penamat kepada usaha Jepun sebagai kuasa laut semasa WWII. Selepas kekalahan tersebut, tentera laut Jepun tidak lagi dianggap berguna dan hanya berperanan sebagai kapal pengangkut tentera bagi mempertahankan saki-baki wilayah yang dikawal Jepun semasa WWII. Yamato kemudiannya karam di Kyushu pada 7 April 1945 semasa dalam perjalanan ke Okinawa.

Berdasarkan imej yang disiarkan kepada media, Sammy B karam selepas terkena serangan oleh sebuah kapal perang Jepun. Ini berlaku selepas kapal berkenaan kehabisan peluru semasa membantu kapal-kapal 77.4.3 memerangi armada laut Kurita.

Nasib sama juga turut menimpa kapal yang kemudiannya memegang rekod terawal sebagai bangkai kapal paling dalam di dunia: USS Johnston. Bangkai kapal ini ditemui pada kedalaman 6,469 meter oleh COE di kawasan perairan sama. Mula ditemui pada 2019, ia hanya dikenalpasti sebagai USS Johnston pada tahun lepas.

COE dan EYOS Expeditions mula mengesan serpihan yang dipercayai berkait dengan Sammy B sejak beberapa minggu sebelumnya. Dari situ, mereka membuat selaman sebanyak enam kali dalam tempoh lapan hari dari 17 Jun hingga 24 Jun lepas bagi mengesan kedudukan bangkai kapal malang itu. Dan itu berjaya dicapai pada 22 Jun lepas – satu perkara yang memuaskan pengasas COE, Victor Vescovo. Ini disebabkan latar belakangnya sebagai bekas pegawai perisikan untuk US Navy.

COE sudah merancang untuk menyerahkan semua data yang berkait dengan aktiviti penyelaman mereka termasuk gambar dan video kepada US Navy. Semua data ini kemudiannya boleh digunakan untuk pelbagai tujuan termasuk untuk tujuan pameran dan pendidikan sejarah. Ketika ini, COE dalam perjalanan ke Guam bagi memulakan ekspedisi selaman di sebelah barat Lautan Pasifik.

3 buku terbaru kami untuk PBAKL dah pun mula dijual di Shopee, ayuh segera dapatkan di: https://shopee.com.my/thepatriotsasia

RUJUKAN

Suliman, A. (2022, 25 Jun). World’s deepest shipwreck, the Sammy B, is discovered by explorers. The Washington Post.

Hale, T. (2022, 25 Jun). Explorers Have Just Discovered The World’s Deepest Shipwreck. IFLScience.

Share.

Graduan Bachelor of Business Admin (Human Resource) dari UNITAR yang meminati sejarah sejak 11 tahun. Ketika ini merupakan saudagar simkad Tone Excel. Harapan terbesar ialah melihat saudara seagama dan sebangsa kembali bersatu di bawah satu panji dan terus maju bersama. Tanpa perpaduan, manusia tidak akan ke mana-mana, malah tidak akan dapat membina sebuah tamadun yang gemilang seperti mana yang dilakukan oleh nenek moyang kita yang lepas. Dan sejarah adalah saksi bahawasanya perpaduan kunci penting dalam membina sebuah tamadun yang gemilang.

Leave A Reply