Moving Forward As One

Bandar di Australia ini Sangat Sukakan Laksa Sampai Adakan Festival Laksa Sendiri!

1,177

PayLater by Grab

Makanan Malaysia meruapakan antara aspek unik yang sering mendapat tumpuan dunia. Ia juga menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat kerana setiap negeri di Malaysia mempunyai makanan istimewanya tersendiri. Secara tidak langsung, makanan juga boleh dilihat sebagai penghubung kita dengan dunia luar. Salah satu makanan yang paling popular dan sering diburu oleh para pelancong tentunya laksa. Kita sendiri pun kadang-kadang teringin juga nak makan laksa.

Kredit Foto : ntnews.com.au

Membayangkan rasa kuah laksa saja sudah boleh membuatkan kita terliur. Gabungan rasa pedas, masam dan manis serta penggunaan ramuan segar dalam pembuatan kuah laksa boleh membuat sesiapa saja jatuh cinta padanya. Kadang-kadang ada yang sanggup merantau jauh semata-mata nak merasa laksa khas di negeri tersebut. Antara negeri yang popular dengan laksanya sendiri ialah Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak. Semuanya mempunyai rasa kuah yang berbeza walaupun menggunakan ramuan yang hampir sama. Begitulah uniknya laksa-laksa yang ada di Malaysia.

Laksa juga pernah diiktiraf sebagai makanan ke-7 terbaik di dunia melalui laman web CNN! Ini menunjukkan laksa kita turut diminati orang-orang  dari luar negara yang cukup ‘adventurous’ untuk mencuba pelbagai hidangan di Malaysia.

Secara ringkasnya, penciptaan hidangan laksa datang dari pedagang-pedang China yang berlabuh di Melaka sekitar abad ke-15. Isteri pedagang-pedagang China pula menambahkan rempah ratus sendiri ke dalam sup tradisional China sehingga terciptalah laksa.

Kalau nak tahu, ada satu bandar di Australia yang cukup suka menikmati laksa sehingga digelar sebagai ‘Australia’s capital of laksa’! Laksa sudah menjadi hidangan yang sangat popular di Darwin sehingga sudah menjadi sebahagian daripada diet orang-orang di sana. Dari warung hingga ke restoran, laksa sangat mudah untuk dicari di sana! Kalau anda google ‘Darwin Laksa’, anda boleh lihat sendiri betapa banyaknya restoran laksa yang sudah beroperasi di Darwin! Boleh tengok video di bawah yang membawa anda ke restoran laksa popular di Darwin.

Bagaimana Darwin boleh jadi ‘port’ laksa di Australia? Sejak tahun 1900, Darwin sudah menjadi ‘pekan Asia’ kerana populasi orang China yang jauh lebih ramai dari orang Australia dengan nisbah 6:1. Oleh itu, generasi yang lahir di Darwin juga sudah terbiasa dengan hidangan Asia berbanding hidangan Australia. Darwin juga merupakan bandar yang paling kaya dengan penduduk pelbagai budaya (multicultural) di Australia. Jadi tidak hairanlah mereka sudah terbiasa dengan rasa laksa yang cukup kompleks.

Penduduk Darwin juga sangat menghargai laksa sehingga mewujudkan Festival Laksa sendiri! Ia pertama kali diadakan pada 29 November tahun lepas. Di sinilah pengunjung dapat rasa pelbagai jenis laksa. Bukan sahaja laksa Asia Tenggara sahaja yang disajikan, malah orang Darwin juga mencipta laksa dengan rasa tempatan contohnya  laksa buaya (ya, buaya!) dan laksa kekapis.

Poster Rasmi Festival Laksa Darwin (Kredit Foto : darwinlaksafestival.com.au)

Tak cukup dengan laksa buaya, ada macam-macam lagi menu laksa yang pelik-pelik disajikan di Festival Darwin seperti aiskrim laksa, burger laksa, coklat laksa, sosej laksa dan macam-macam lagilah!

Nampak sedap ke tak aiskrim laksa ni?  (Kredit Foto :img.delicious.com.au)

Antara aktiviti yang dilangsungkan ialah demonstrasi masakan laksa dan jualan pelbagai jenis laksa untuk santapan pengunjung.

Demonstrasi masakan laksa oleh chef berpengalaman turut diadakan di Festival Laksa Darwin.

(Kredit Foto : campaignedgesprout.com.au)

Aktiviti ‘highlight’ yang ditunggu-tunggu dalam festival ini ialah pertandingan memasak laksa yang terbuka kepada semua pengusaha makanan. Penganjur festival siap buat ‘app’ bagi pengunjung mengundi rasa laksa terbaik untuk dinobatkan sebagai pemenang. , laksa Pemenang dengan rasa laksa terbaik akan dianugerahkan ‘Golden Bowl’.

Pemenang Laksa Terbaik di Festival Laksa menjulang Piala Golden Bowl
(Kredit Foto : ntnews.com.au)

Rata-rata orang Darwin mungkin pernah rasa lebih banyak jenis laksa berbanding kita sendiri. Bila saya layari laman web rasmi Festival Laksa Darwin, penganjur siap ‘listkan’ jenis laksa lengkap dengan ‘description’ terperinci tentang rasa dan ramuan yang digunakan. Saya pula rasa malu bila orang Australia lebih berpengetahuan tentang makanan yang sinonim dengan Malaysia. Antara laksa yang pertama kali saya tahu menerusi laman web ini ialah laksa Kuala Kangsar, Laksa Perlis dan  laksa-laksa dari Indonesia seperti Laksa Bogor dan Laksa Medan.  Ini bermakna, masih ada lagi laksa Malaysia yang saya tak pernah rasa! Anda pernah rasa laksa apa yang paling ‘rare’ setakat ni?

Kredit Foto : darwinlaksafestival.com.au

Begitulah sedikit sebanyak tentang bagaimana laksa sudah sampai ke benua Australia sehingga disanjung tinggi oleh bandar Darwin. Kalau rakyat Australia pun boleh promosikan laksa sebagai makanan ‘signature’ bandar Darwin, Malaysia lagilah boleh! Walaupun kita sudah ada laksa ‘famous’ macam laksa Penang dan laksa Johor, laksa-laksa lain juga perlu diketengahkan sebagai laksa warisan daerah atau negeri masing-masing.

Negara kita juga selalu adakan festival makanan. Namun, mungkin disebabkan negara kita terlalu banyak jenis makanan yang sedap, maka susah untuk promosikan laksa sahaja dalam satu acara. Apapun, semoga makanan Malaysia tetap berada di hati orang kita walau di mana pun kita berada.

RUJUKAN:

darwinlaksafestival.com.au

cnalifestyle.channelnewsasia.com/travel/first-laksa-festival-darwin-12040096

sbs.com.au/food/article/2019/04/04/why-darwin-laksa-capital-australia

Ruangan komen telah ditutup.