Bamian: Bukti Jasa ATM Tiada Sempadan

1160
views

Bamian terletak di tengah Afghanistan pada ketinggian sekitar 2,550 m daripada aras laut. Ia adalah pekan paling besar di daerah Afghanistan tengah ini – yang dipanggil Hazarajat, dan berjarak 240 kilometer ke arah barat daya Kabul. Lanskapnya cukup mengkagumkan dan sedikit sebanyak membuatkan kadang-kadang kita seolah berada di satu dunia lain. Antaranya adalah tasik Band’e Amer yang airnya cukup membiru dan memukau. Pada musim sejuk, airnya membeku dan kita boleh berjalan di atasnya. Malah di sini juga letaknya air terjun yang turut membeku di musim sejuk sebegitu.

Tasik Band’e Amer

Kepada masyarakat antarabangsa, bamian ini menjadi sangat terkenal kerana nilai sejarahnya yang sangat unik. Di daerah inilah letaknya antara patung Buddha terbesar yang telah berdiri selama lebih 1500 tahun – menyaksikan pertemuan laluan sutera yang satu ketika dulu merupakan lebuhraya ekonomi dunia yang sangat pesat, dan di sinilah bertembungnya pelbagai budaya Timur dan Barat, dibuktikanoleh  penemuan arkeologi yang telah menyerlahkan artifak-artifak budaya Greek, Turki, China dan India.

Malah di sini telah ditemui lukisan minyak paling tua di dunia. Ianya adalah tapak monasteri Hindu-Buddha awal dan nama bamian itu sendiri dalam bahasa Sanskrit varmayana bermakna “berwarna” – mungkin merujuk kepada lanskapnya yang jelas menunjukkan jalinan rona-rona coklat tanah, hijau tumbuhan dan biru tasik serta langit. Secara lebih tepat, ia diterjemahkan sebagai ‘The Place of Shining Light’.

Selain daripada patung Buddha besar tersebut, terdapat banyak lagi patung-patung Buddha yang diukir ke dalam kawasan kompleks tebing yang berdiri gagah memagari kawasan ini, dan di dalam tebing ini juga, jika kita masuk ke dalamnya, akan kelihatan bilik-bilik yang ditarah terus membentuk sistem terowong/ catacomb yang berselirat. Di sini juga terdapat sebuah bukit yang digelar sebagai “ Screaming Hill” – di mana terdapat sebuah istana yang pernah digunakan sebagai tempat penyiksaan semasa zaman Mongolia Genghis Khan dulu.

Antara laluan ke Screaming Hills

Kayanya ia dengan sejarah, daerah ini juga mempunyai keunikan tersendiri. Penduduknya rata-rata mempunyai rupa yang agak berbeza daripada rupa masyarakat Pashtun Afghanistan. Mereka yang dikenali sebagai Hazaras ini mempunyai ciri-ciri Asia – berkulit lebih cerah dan bermata sepet, legasi tinggalan sejarah mereka yang bercampur dengan genetik Mongol.

Berfahaman Syiah, masyarakat Hazara secara umumnya dipandang lebih rendah dibandingkan dengan masyarakat Afghanistan lain, dan menjadi sasaran serangan mereka yang memandang mereka sebagai kasta lebih rendah. Pengeboman bertahun-tahun oleh Taliban telah akhirnya memusnahkan patung Buddha yang sekian lama berdiri itu, serta memusnahkan sebahagian besar kawasan ini. Bertahun-tahun tersepit di tengah-tengah percaturan antara puak-puak bertelagah, akhirnya Bamian menikmati sedikit masa aman, sebelum ketegangan memuncak semula akibat kebangkitan semula Taliban.

Niche, atau lubang tinggalan, yang pernah menempatkan patung Buddha besar berusia lebih 1500 tahun
Antara wira Malaysia daripada pasukan GGK di bumi Bamian

Malaysia sendiri ramai yang tidak tahu. Ia adalah melalui Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa ke Afghanistan 2 (Malcon Isaf 2) yang berada di sana selama 6 bulan sepanjang tahun 2011. Antara yang terbabit adalah 4x anggota GGK dan 6x anggota 10 Briged PARA daripada keseluruhan 11 pegawai dan 29 anggota lain-lain pangkat yang diketuai oleh Leftenan Kolonel Rusman Sanip selaku komander pasukan– yang jelas menunjukkan ia bukanlah satu tanggungjawab yang dianggap enteng oleh pihak ATM.

Tanggungjawab itu berjaya dilaksanakan dengan cemerlang, sehingga pelbagai pihak, termasuk Amerika Syarikat (AS) memuji pasukan Malaysia  atas usaha meningkatkan taraf hidup penduduk sepanjang bertugas di negara itu. Malah, Pentagon sendiri mengakui usaha yang dijalankan pasukan ini amat cemerlang menerusi projek yang dijalankan termasuk menangani wabak brucellosis dan projek sistem penapisan air bersih untuk penduduk tempatan.

Langkah ATM menempatkan anggota wanita di negara bergolak itu bagi menarik penyertaan wanita tempatan dalam aktiviti kemanusiaan yang dijalankan ternyata berjaya mengangkat martabat kaum hawa di sebuah lokasi di mana wanitanya ramai yang tidak mendapat akses kepada pendidikan dan penjagaan kesihatan sempurna. Siapa sangka, antara yang terlibat adalah Pakar Kesihatan Awam Klinikal Epidemiologi , Mejar Dr. Mohd. Arshil Moideen – satu tred kepakaran yang ramai tidak tahu wujud dalam ATM.

Adakah kita berada di sana untuk berperang? Antara aktiviti yang dijalankan adalah program kesedaran berkenaan kesihatan, pengawalan wabak penyakit dan program air bersih – jelas menunjukkan komitmen kita terhadap misi kemanusiaan lebih daripada fungsi-fungsi lain, meski sepanjang kita berada di sana, pelbagai insiden berlaku – termasuk kes anggota polis Afghanistan yang cedera ditembak Taliban, diselamatkan oleh anggota kita.

Apa yang kita lihat di sini?

Kita dapat lihat dgn jelas betapa pentingnya misi kemanusiaan kepada pihak ATM kita. Mereka berada ribuan batu dari tanahair, namun jasa yang mereka taburkan harum mewangi di pentas antarabangsa.

Eleh ..diorang syiah kot..nak bantu-bantu buat apa?

Pergilah ke sana. Lihatlah betapa luasnya ladang ganja yang melatari lanskapnya. Namun Bamian masih kaya dengan kehijauan, dan masih bebas daripada tanaman ganja tersebut. Golongan Hazara tinggal dalam dunia mereka sendiri – kebanyakannya terasing daripada dunia luar dan malah, daripada masyarakat Afghanistan itu sendiri. Mereka tidak mengganggu sesiapa, tidak melancarkan peperangan terhadap sesiapa. Maka apakah hak kita melancarkan perang ke atas mereka? Sedangkan di zaman Nabi sendiri, golongan kafir yang tidak mengganggu umat Islam menerima perlindungan di bumi Madinah. Yang ada di Bamian adalah golongan mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk meneruskan kehidupan.Saya bukan orang arif yang mampu berhujah tentang agama, tapi jasa yang ditaburkan anggota kita, adakah patut dipersoalkan?

Kenapa pasukan Malaysia yang menjadi pilihan?

Kerana rata-rata anggota kita beragama Islam, dan mahu menerima atau tidak, dalam senario operasi antarabangsa, meski rakyat sendiri tidak mengakui, pasukan kita sebenarnya sering mendapat pandangan tinggi daripada pasukan asing dan malah musuh. Dalam banyak keadaan, kita sebenarnya yang menjadi buffer atau penahan – mengasingkan antara pihak yang bersengketa. Semuanya akibat daripada pendirian kita yang neutral. Hadirnya kita di medan bukan untuk menyebelahi sesiapa – mengatakan pihak mana betul dan pihak mana salah.

Hadirnya kita adalah sebagai pengaman – di mana kita membantu semua yang terlibatt bagi mengekang kerosakan agar ia terkawal dan memastikan mereka yang tidak berdosa, tidak terperangkap di tengah-tengah kancah itu. Bagaimana rasanya kalau anda berada di sini, tetapi saudara kesayangan anda berada di tengah-tengah peperangan sebegitu. Apakah perasaan anda? Tidakkah anda gusar mengenangkan siapa yang akan menyelamatkan mereka? Sentimen itulah yang dibawa oleh pasukan kita, sehingga mereka disegani semua pihak. Kalau tidak, masakan sosok seperti General Aboo Samah mampu memberikan kata putus kepada askar Farrah Aided yang dikenali sebagai ganas dan zalim itu, semasa beberapa insiden di Somalia. Kita membawa panji-panji negara yang neutral, serta fahaman Islam yang tidak ekstrem sehingga dalam banyak keadaan, kita diberikan laluan di tengah-tengah medan yang berkocak. Tidak percaya? Pergi dan rasai sendiri pengalaman itu.

Habis tu? Pergi perang tapi tak perang..buat mendanya? Membazir je..

Seperti yang saya katakan, hadirnya kita dalam banyak konflik adalah sebagai pengaman dan penyelamat. Tidak ada pihak mampu memaksa kita terlibat di dalam kancah tersebut. Memetik kata seorang otai pasukan “ Nobody can make us do anything we are not commanded to do”. Berbezanya pasukan kita dengan pasukan lain adalah kerana kita tidak melepaskan tembakan pertama. Sebarang tembakan adalah demi memberi perlindungan – samada nyawa sendiri, nyawa rakan atau pihak yang dilindungi. Itu sahaja, kerana bagi setiap tembakan, kita harus menyediakan laporan.

Dan apakah yang diperolehi oleh mereka yang menaburkan jasa itu? Tidak lain, hanya pingat yang dianugerahkan kepada setiap anggota yang berkhidmat dalam sesuatu misi NATO selama 30 hari, serta patch yang ada di dalam  gambar yang anda lihat di bawah – diberikan kepada salah seorang anggota kita yang terlibat semasa operasi escort bersama anggota Green beret US. Tidak ada emas berkoyan, tidak ada tanah berelung. Yang ada hanya doa insan kesayangan mereka agar mereka sentiasa selamat daripada sebarang peluru sesat.

Maka, jika di tanah asing yang bukan seagama dengan kita pun ATM masih mampu memberikan khidmat cemerlang, tanpa dapat diperkotak-katik sesiapa, apatah lagi jika kita berada di tanah yang seagama dengan kita. Fikir logiklah. Jangan diikutukan sangat sentimen yang sengaja mengucar-ngacir jiwa kita agar hilang kepercayaan kepada barisan yang berdiri bukan saja untuk kita, tetapi juga unttuk insan-insan lain atas nama kemanusiaan. Saat anda senang enak lena sedap berendoi di sini, mereka menaburkan jasa tanpa sempadan..dan sudahnya, saat jasa mereka mewangi di jiwa insan-insan lain, anda yang seagama, sebangsa dgn mereka mempertikaikan? Apakah anda yang berbuat begini, terlalu benak atau buta perut?

=WRA=

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here