Balai Bomba Pertama Di Sarawak 1917

268

BANTUAN mereka sentiasa dituntut di dalam apa jua keadaan kita baik semasa kemalangan di jalanraya, kes orang hilang di hutan, baik semasa adanya yang mati lemas telahan lagi ketika berlaku kebakaran.  Boleh dikatakan apa jua yang berlaku di darat, laut, sungai malah udara semuanya menuntut pengorbanan mereka.  Itulah anggota bomba dan penyelamat yang menjadi antara pasukan penyelamat yang begitu dekat di hati masyarakat kerana tugasan mereka yang pelbagai. 

Berbicara tentang anggota bomba dan penyelamat mungkin ramai warga Sarawak tertanya-tanya bilakah sebenarnya Sarawak sudahpun mempunyai anggota bomba dan balai bombanya tersendiri.  Di dalam sejarah Sarawak sebenarnya, tugasan bomba malah balai bomba yang teratur telahpun ada ketika zaman Brooke lagi atau untuk lebih mengkhusus ketika Tuan Rajah Charles Brooke memerintah Sarawak dari tahun 1868 hingga 1917. 

Dan di dalam sejarah berdirinya Sarawak juga menyaksikan ketika zaman pemerintahan Tuan Rajah Charles Brooke inilah Sarawak khususnya ibukota Kuching telah bertukar daripada hanya satu perkampungan biasa menjadi bandar yang besar yakni dengan terbina banyak bangunan-bangunan binaan zaman Renaissance di Kuching pada waktu itu.  Akibat daripada itu juga, beliau sendiri memahami mengapa satu balai bomba bersama anggotanya harus ada di Kuching pada waktu itu.  Lebih-lebih lagi tragedi Kuching terbakar pada tahun 1885 yang menyaksikan hampir separuh daripada pusat komersial Kuching hangus musnah dek kerana ketiadaan anggota bomba yang terlatih di Kuching pada masa itu.

Belajar daripada kesilapan yang lepas itu menyaksikan Tuan Rajah Charles Brooke telah bersetuju untuk membina satu balai bomba di Kuching pada tahun 1917.  Sekaligus balai bomba yang terletak di Jalan Gartak, Kuching itu merupakan balai bomba yang pertama di dalam sejarah Sarawak. 

Mungkin ramai yang tertanya-tanya dimanakah Jalan Gartak di Kuching kerana buat masa sekarang ianya sudah tiada lagi di dalam peta Kuching itu sendiri.  Untuk pengetahuan semua, Jalan Gartak yang dimaksudkan adalah yang kita gelar “Open Air Market” atau berhadapan dengan pusat membeli belah Electra House yang kita kenali sekarang.  Dinamakan Jalan Gartak kerana suatu waktu dahulu ada satu aliran sungai di kawasan tersebut sebelum ianya ditimbus pada tahun 1907 untuk pembangunan.  “Gartak” pula adalah merujuk kepada titi kayu di dalam bahasa Melayu Sarawak kerana di sungai tersebut pernah ada satu titi kayu yang merentagi sungai bagi memudahkan orang kampung mengambil air bersih untuk kegunaan harian mereka. 

Serentak dengan pembinaan balai bomba di Jalan Gartak itu juga menyaksikan Brooke membeli sebuah kenderaan bomba yang menggunakan kuasa arang batu dari England sekitar tahun 1917. Turut dinyatakan balai bomba tersebut hanya mempunyai sekitar lapan ke 10 orang petugas bomba untuk menjaga Kuching daripada sebarang kebakaran pada waktu itu.  Kebanyakan daripada petugas bomba adalah anak-anak tempatan Kuching yang dilatih sendiri mengenal dunia bomba daripada penjawat awam Eropah yang bekerja dengan Kerajaan Sarawak dibawah Brooke pada waktu itu. 

Perlulah diingatkan pada zaman dahulu sudah tentu komunikasi tidaklah semaju sekarang.  Tiada nama-nama jalan yang mengkhusus untuk ke lokasi kebakaran dan hanya berpandukan nama-nama kampung sahaja.  Jadi disamping membina balai bomba untuk kegunaan ahli bomba tinggal dan pejabat serta menempatkan peralatan kebakaran, di sebelah balai bomba turut didirikan satu bangunan tinggi atau “look up tower”.  Bangunan tinggi ini akan dipanjat oleh anggota bomba untuk melihat sendiri lokasi kebakaran sekiranya berlaku kecemasan.  Pada waktu itu sudah tentu tidaklah banyak bangunan-bangunan tinggi yang dibina di Kuching seperti sekarang. 

Dari tahun 1917, balai bomba Jalan Gartak telah menabur bakti untuk kesejahteraan rakyat Sarawak sehinggalah Sarawak dibawah Koloni Mahkota Sarawak British.  Sekitar tahun 1950an, balai bomba Jalan Gartak dirobohkan setelah Balai Bomba Jalan Padungan siap. Sebagai mengenang sejarahnya “look up tower” sengaja  ditinggalkan bagi menjadi saksi bisu sejarah balai bomba pertama di Sarawak.  Sehingga sekarang ianya masih wujud di kawasan Open Air Market. 

-HB-

#KamekSayangSarawakBah!

RUJUKAN:

  • Kuching Heritage Trails – Brooke Legacy
  • The Star, 19 March 2007 – Enlivening Brooke Legacy
  • Borneo Oracle – Tower Market & Open Air Market

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.