Baku: Makhluk Pemakan Mimpi Dalam Mitologi Jepun

411

Baku, atau turut dikenali sebagai ‘pemakan mimpi’ merupakan suatu makhluk mitologi masyarakat Cina dan Jepun yang dipercayai memakan mimpi ngeri. Walau bagaimanapun, Baku tidak boleh diseru secara bersahaja. Hal ini kerana legenda-legenda purba menyebutkan bahawa jika Baku tidak berasa puas (kenyang) walaupun setelah memakan mimpi ngeri orang yang menyerunya, maka ia akan turut memakan harapan dan impian si penyeru itu.

Hikayat berkenaan Baku si pemakan mimpi ngeri ini berasal dari mitologi Cina dan kemudian muncul dalam kisah rakyat Jepun pada tempoh waktu antara abad ke-14 hingga abad ke-15 Masihi, iaitu pada era Muromachi. Walaupun Baku merupakan suatu makhluk yang berupa lembaga, namun ia memiliki rupa bentuk yang jelas dan tampak.

Baku muncul dalam bentuk seekor chimera – iaitu suatu makhluk mitologi yang terdiri dari pelbagai anggota badan haiwan yang berbeza-beza. Baku lazimnya digambarkan memiliki tubuh beruang, berhidung gajah, berkaki harimau, berekor kerbau dan bermata badak sumbu. Menurut legenda, Baku ini dicipta dari baki lebihan yang tinggal selepas para dewa selesai menciptakan seluruh haiwan lain.

Patung Baku, di Kuil Konnoh Hachimangu, Tokyo, Jepun

Perincian dan kepercayaan mengenai Baku ini berubah seiring peredaran zaman. Dalam legenda-legenda purba Cina, Baku merupakan sejenis haiwan yang diburu – terutama sekali kulitnya. Katanya, sesiapa sahaja yang membunuh Baku lazimnya akan menjadikan kulit makhluk itu sebagai selimut yang berfungsi sebagai tangkal atau pemberi kuasa magis yang mampu melindungi pemakainya daripada roh jahat.

Kepercayaan terhadap hal  ini semakin berkembang dan kemudiannya muncul pula satu kepercayaan di mana kulit berbulu milik Baku tidak lagi diperlukan. Sebaliknya, memadai dengan hanya mempamerkan imej Baku di tempat tidur untuk menghalau roh jahat. Baku tidak dipandang sebagai makhluk pemakan mimpi ngeri melainkan setelah ia memasuki kebudayaan Jepun. Selepas pandangan terhadap Baku ini mengalami perubahan, Baku terus-menerus dipercayai sebagai makhluk pemakan mimpi ngeri sehingga ke hari ini.

Legenda menceritakan bahawa seseorang yang terjaga dari mimpi buruk boleh memanggil atau menyeru Baku dengan menyebut namanya sebanyak tiga kali, “Baku-san, datanglah makan mimpi saya. Baku-san, datanglah makan mimpi saya. Baku-san, datanglah makan mimpi saya.”

Lantas, legenda menyebutkan bahawa Baku akan memasuki bilik si penyeru tersebut dan memakan mimpi buruknya sehingga si penyeru itu dapat kembali tidur dengan aman.

Namun, penyeruan Baku juga perlu dilakukan dengan penuh berwaspada kerana jika ia masih lapar walaupun sesudah memakan mimpi ngeri seseorang, maka Baku akan turut memakan harapan dan kehendak orang tersebut sekaligus membuatkan kehidupannya menjadi kosong. Selain diseru kerana terjaga daripada mimpi ngeri, Baku juga boleh diseru dengan tujuan memohon perlindungan dari mimpi buruk sebelum seseorang itu masuk tidur pada waktu malam. Sehingga ke hari ini, masih menjadi satu kebiasaan buat kanak-kanak Jepun untuk mempunyai tangkal Baku berhampiran tempat tidurnya.

Patung Baku dan singa, di Kuil Konnoh Hachimangu, Shibuya, Tokyo, Jepun

Pada hari ini, kita dapat menemukan beberapa gambaran moden terhadap Baku. Dalam gambaran-gambaran tersebut, Baku ditunjukkan sebagai seekor tapir, tidak sebagai bentuk tradisionalnya iaitu chimera. Pada tahun 1984, filem animasi Oshii Mamoru, ‘Pemimpi Indah’ menggambarkan Baku sebagai seekor tapir. Dalam Pokemon pula, Baku hadir sebagai seekor tapir dalam karakter Drowzee/Hypno dan Munna/Musharna sambil Digimon juga mempunyai karakter yang bernama Bakumon atau Tapirmon yang memiliki kemiripan dengan Baku.

Jika dilihat dari pelbagai budaya dan zaman, menyeru makhluk pelindung dari mimpi ngeri merupakan suatu kepercayaan lazim – sama seperti penyeruan Baku. Begitu juga dengan penggunaan tangkal atau simbol perlindungan semasa tidur. Baku sendiri kekal diingati sebagai suatu figura pelindung dari mimpi ngeri dan mungkin akan terus diingati sedemikian di masa hadapan, baik dalam bentuk chimera mahupun tapir,

TERJEMAHAN:

M R Reese. (1 Disember 2014). Baku – The Legend of the Dream Eater. Ancient Origins. https://www.ancient-origins.net/myths-legends-asia/baku-legend-dream-eater-002383

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.