Bahaya Penggunaan Cermin Mata Gelap Tanpa Penapis Ultraviolet

1,190

Sebelum ini, saya pernah menulis mengenai bahaya cahaya yang bernama high energy Violet di pautan ini: https://www.thepatriots.asia/bahaya-blue-light-hev-kepada-mata-manusia/

Dan kali ini, dalam topik yang berkaitan dengan mata, mari kita lihat terlebih dahulu bahaya yang mendatang sekiranya anda memakai cermin mata gelap tanpa penapis ultraviolet. Saya tidak mahu menggunakan terminologi cermin mata hitam, memandangkan kini di pasaran, tidak semua cermin mata gelap mempunyai lensa yang bewarna hitam, sebaliknya, terdapat banyak warna-warna lain mengikut kepada tint yang digunakan.

Dalam kebanjiran produk yang datang daripada negara China, Thailand dan Vietnam, muncul beberapa kedai-kedai besar dan terkenal yang menjual barangan pada harga yang amat murah. Kita tidak lari daripada berasa untuk membeli satu cermin mata gelap memandangkan harganya kadangkala serendah Rm2.10 sehinggalah ke RM5.00 sahaja, tetapi masih mempunyai rekabentuk seakan-akan cermin mata yang berjenama. Cermin mata gelap yang mempunyai harga serendah ini kebiasaannya tidak mempunyai penapis ultraviolet (UV).

Kita semua sudah maklum bahawa seseorang itu akan memakai kaca mata gelap semasa berada di kawasan yang panas terik, yang mana penggunaan cermin mata ni dapat membantu mengurangkan kepedihan mata akibat cahaya yang terlalu terang. Ya, untuk mereka yang memakai kaca mata gelap di dalam mall yang nyaman dan tidak panas terik itu, saya tiada komen mengenainya :-P. Dalam artikel ini juga, saya tidak ingin menyentuh mengenai ‘polarized sunglasses’, sebaliknya lebih kepada penapis UV sahaja pada cermin mata gelap sahaja.

Sebelum itu, kita perlu ada sedikit pemahaman yang asas dalam bidang perubatan yang asas, berkaitan dengan respon mata kita terhadap cahaya. Semasa memandang ke arah cahaya yang terang, berlakunya pengecutan otot yang mengawal pupil kita, menyebabkan sebahagian kecil sahaja cahaya berjaya masuk dan jatuh kepada bahagian retina mata kita, yang terletak di belakang bola mata kita.

Refleks ini adalah bagi melindungi mata kita daripada disinari cahaya yang mana boleh menyebabkan kerosakkan pada mata kita. Satu lagi refleks yang berlaku adalah ‘squinting’, yang mempunyai tujuan yang sama iaitu menghalang terlalu banyak cahaya yang masuk yang boleh menyebabkan kerosakkan pada mata manusia.

Sekarang, berdasarkan gambar di bawah, mari kita lihat kesan cahaya ultraviolet terhadap mata kita. Jika anda perhatikan, terdapat tiga jenis ultraviolet yang mempunyai gelombang yang berbeza, iaitu UV A, UV B dan UV C. UV C ditapis oleh lapisan ozon yang bumi kita, dan yang berjaya menembusi lapisan ozon adalah UV A dan UV B.

UV B mempunyai kecenderungan untuk merosakkan bahagian kornea dan lensa mata seseorang, manakala UV A, boleh merosakkan struktur mata daripada kornea, lensa dan juga retina kita. Jadi, daripada sini, kita boleh mengetahui apakah kesan-kesan cahaya ultraviolet ini dan bahagian manakah yang akan terjejas.

Sekiranya seseorang itu membeli dan memakai cermin mata gelap tanpa perlindungan UV, kesannya menjadi lebih teruk berbanding dengan mereka yang tidak memakai cermin mata gelap langsung. Tetapi, mengapa hal ini terjadi?

Balik kepada pemahaman asas di atas, pemakaian cermin mata gelap akan ‘menipu’ bahagian mata kita, kerana kegelapan yang disebabkan oleh cermin mata gelap ini membuatkan bahagian pupil kita tidak mengecut seperti biasa. Sekiranya seseorang itu tidak memakai cermin mata gelap ini, pengecutan pupil akan berlaku, sehinggakan bahagian pupil ini mencapai diameter sebanyak 0.5mm sahaja. Pemakaian cermin mata gelap akan menyebabkan bahagian pupl seseorang itu tidak mengecut, dan mencapai diameter sehingga 5-6 mm, iaitu jauh lagi besar daripada sepatutnya.

Masalah yang timbul adalah apabila pupil gagal mengecut, lebih banyak cahaya ultraviolet dapat menembusi bahagian bola mata seseorang itu kerana cermin mata gelap yang murah itu tidak mempunyai penapis ultraviolet. Bahagian pupil yang ‘tertipu’ itu menyangkakan seseorang itu berada di tempat gelap, namun sebenarnya tidak. Hal ini akan menyebabkan masalah yang amat besar kepada seseorang yang memakai cermin mata sedemikian.

Jadi, apakah kesannya terhadap kesihatan mata seseorang itu? Berikut adalah beberapa kesan dan penyakit yang berkait rapat dengan kerosakkan mata seseorang akibat cahaya ultraviolet ini, iaitu:

  • Macular degeneration – Macula merupakan satu bahagian retina yang mempunyai kepadatan photoreceptor yang amat tinggi, dan bertanggungjawab untuk membolehkan seseorang itu berjaya melihat pada tengah-tengah medan penglihatannya (central vision). Kerosakkan ini biasanya tidak akan dapat dibaiki, dan seseorang boleh menjadi buta apabila bahagian ini rosak.
  • Pterygium – iaitu sejenis penyakit di mana bahagian hadapan mata yang lutsinar mulai menjadi putih sebagai respons badan kita untuk memperbaiki kerosakkan akibat cahaya ultraviolet ini.
  • Katarak – Katarak ialah satu keadaan di mana bahagian lensa di dalam mata mulai menjadi pudar dan keputihan, mengaburi mata seseorang itu. Keadaan ini selalu berlaku pada mereka yang sudah berusia. Akan tetapi, terdapat banyak kes yang berlaku kepada orang muda, yang dipanggil sebagai premature cataract. Penyakit ini memerlukan pembedahan untuk menggantikan lensa di dalam mata seseorang pesakit itu.
  • Kanser retina – Satu jenis kanser di bahagian retina, yang dipanggil sebagai retinal/ choroidal melanoma merupakan salah satu kesan jangka masa panjang (chronic) pendedahan seseorang itu terhadap cahaya ultraviolet. Bukan sahaja bahagian mata yang terlibat, bahkan, bahagian kulit seseorang itu juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser jenis melanoma ini. Retinal melanoma mempunyai risiko dan prognosis yang agak tidak baik, dan bergantung kepada tahap kanser tersebut.
  • Keradangan pada bahagian kornea dan konjunktiva – keradangan bahagian ini akan menyebabkan pesakit berasa sakit pada bahagian mata, dan selain daripada itu, mata pesakit juga mulai berair walaupun tiada orang yang sedang potong bawang di sebelah mereka. Keadaan ini boleh disifatkan sebagai sunburn, yang mana berlaku bukan pada kulit, sebaliknya pada bahagian kornea dan konjunktiva dan kesannya tidak berlaku serta merta, sebaliknya berlaku lebih kurang 3 – 4 jam selepas terdedah kepada cahaya tanpa perlindungan secukupnya.

Kini, kita sudah memahami dan mengetahui akan kesan-kesan yang terjadi akibat pemakaian kaca mata gelap yang tidak sesuai ini. Lebih menyedihkan, kebanyakkan cermin mata gelap ini yang dijual di beberapa kedai barangan murah menjadikan kanak-kanak sebagai salah satu sasaran jualan mereka. Jika kita lihat, dengan mudah dan murah sahaja harga cermin mata gelap yang dibuat dan direka untuk pemakaian pada kanak-kanak.

Masalah-masalah ini akan timbul akibat kurang pemahaman dan kurang menyedari akan risiko yang timbul kesan daripada cermin mata sebegini. Jadi, sebagai langkah yang bijak, ada baiknya untuk anda betul-betul membuat pilihan yang bijak dalam membeli sesuatu yang mana dikhaskan untuk melindungi salah satu bahagian yang amat penting dalam tubuh badan kita. Kini, terdapat juga beberapa jenis cermin mata gelap yang tidak mahal, dan mempunyai penapis ultraviolet.

Notakaki Penulis tidak mempunyai apa-apa perniagaan berkait rapat dengan cermin mata gelap serta agenda iluminati dan bukan darah daging Rothschild. Harap maklum

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.