Bahaya Blue Light (HEV) Kepada Mata Manusia

926

Sepertimana yang kita tahu, cahaya terbahagi kepada dua, iaitu cahaya yang boleh dilihat oleh mata manusia (visible light) dan juga cahaya yang tidak boleh dilihat oleh mata manusia yang dikenali sebagai ultraviolet dan inframerah.

Bagi spektrum warna yang terkandung dalam visible lights ini, yang juga kita sering hafal sebagai warna pelangi, spektrum warna ini disusun berdasarkan kepanjangan gelombangnya atau dikenali sebagai wavelength. Masihkah anda ingat sewaktu kita berada di bangku sekolah dahulu di mana kita perlu menghafal warna-warna pelangi, yang mana akhirnya muncul satu mnemonic yang amat popular iaitu Mat Jenin Ke Hutan, Bawa Ikan Ulam.

3 warna terakhir berdasarkan mnemonic tersebut iaitu biru (bawa), indigo (ikan) dan ungu (ulam) mempunyai gelombang terpendek. Walau bagaimanapun, kepanjangan gelombang cahaya ini adalah berkadar songsang dengan tenaga yang dibawa oleh cahaya ini, yang mana boleh merosakkan retina.

Pada tahun 2008, Essilor dan Paris Vision Institute telah menjalankan kajian mengenai gelombang cahaya, tenaga yang dibawa serta kadar kerosakkannya pada bahagian mata. Subjek yang digunakan adalah biji mata khinzir, yang mana mempunyai persamaan dengan biji mata manusia, yang mempunyai kornea, kanta dan retina.

Retina merupakan selapis tisu yang terdiri daripada saraf-saraf jenis photoreceptor, iaitu saraf istimewa yang mampu memproses cahaya. Cahaya yang jatuh ke atas saraf ini dihantar ke bahagian otak kita yang bernama occipital lobe, yang terletak di bahagian paling belakang pada otak manusia.

Berbalik kepada kajian asal, mereka mendapati bahawa cahaya yang mempunyai gelombang sepanjang 380 hingga 500 nanometer mempunyai kecenderungan untuk merosakkan bahagian retina mata khinzir tersebut. Disebabkan anatomi dan struktur mata serta susunan bahagian-bahagian dalam mata khinzir ini sama seperti mata manusia, maka mereka boleh membuat kesimpulan bahawa kesan kerosakkan ini akan berlaku sama seperti mata seorang manusia.

Tapi mengapa? Ini kerana tenaga yang dibawa oleh cahaya ini boleh menembusi bahagian mata dengan mudah ke belakang. Untuk cahaya-cahaya bergelombang dan mempunyai tenaga yang tinggi ini, mereka menggelarnya sebagai High Energy Visible Light (HEV Light) atau terminologi yang selalu kita dengar iaitu Blue Light. Adakah cahaya ini sahaja yang merbahaya? Bagaimana pula dengan gelombang ultraviolet?

Dalam kajian yang lebih terdahulu, para saintis mendapati bahawa cahaya-cahaya ultraviolet A, B dan C selalunya akan merosakkan bahagian depan biji mata kita, iaitu di bahagian kornea dan kanta. Pendedahan terlalu lama terhadap cahaya ultraviolet ini boleh menyebabkan penyakit yang kita gelar sebagai katarak dan pterygium.

Tetapi, HEV Light ini lebih berbahaya memandangkan cahaya ini boleh menembusi lapisan kanta mata terus ke retina, yang mana kesannya akan merosakkan saraf-saraf photoreceptor dan mengakibatkan bahagian macular mata rosak. Kerosakan bahagian macular ini dipanggil macular degeneration akan menyebabkan buta.

Masalah timbul apabila cahaya ini berada di mana-mana, daripada cahaya matahari, skrin television, telefon bimbit, skrin laptop, lampu kalimantang dan lain-lain. Jadi, apakah langkah-langkah untuk mencegahnya serta tips penjagaan mata?

1. Gunakan Blue Light Filter Apps

Kebanyakkan telefon pintar mahupun laptop sekarang mempunyai aplikasi seperti eye protection mahupun night shield yang akan menapis dan menghalang cahaya biru ini dipancarkan kearah mata anda. Anda akan perasan warna skrin anda bertukar sedikit kekuningan apabila aplikasi ini digunakan.

2. Kaca mata dengan penapis Blue Light

Walaupun kebanyakkan kaca mata gelap pada zaman sekarang boleh menapis cahaya ultraviolet, tidak banyak kaca mata mempunyai penapis blue light ini memandangkan keputusan kajian yang dikeluarkan agak lambat. Sekiranya anda bekerja atau mempunyai gaya hidup yang banyak mendedahkan mata anda terhadap cahaya matahari, adalah baik sekiranya anda mendapatkan kaca mata dengan penapis blue light ini.

3. Peraturan 20 – 20 – 20

Setiap 20 minit anda menghadap skrin komputer atau teleivisyen, anda perlu mengalihkan pandangan ke arah objek sejauh 20 kaki (lebih kurang 6 meter) untuk 20 saat. Ini akan membantu mata anda untuk menetapkan semula titik fokusnya

4. Letakkan lampu di belakang skrin anda 

Pada belakang skrin komputer mahupun television, letakkan lampu atau sesuatu yang bercahaya dan lebih terang daripada skrin komputer atau televisyen tersebut. Hal ini membolehkan mata anda tidak terlalu letih memandangkan otak anda memproses bahawa anda sedang memandang ke arah skrin yang kurang cerah berbanding lampu dibelakangnya.

5. Kurangkan aktiviti di luar antara jam 10 pagi hingga 2 petang

Kajian menunjukkan cahaya matahari memancar sinaran ultravioler dan blue light paling tinggi pada waktu ini. Sedikit malang buat kita kerana dahulunya, lapisan ozon kita masih tebal dan mampu menyerap hampir kesemua sinaran ultraviolet, tetapi kini lapisan tersebut semakin menipis dan pendedahan terhadap sinaran ini bukan sahaja menyebabkan masalah pada mata anda, malah boleh menyebabkan kanser kulit.

Harapnya artikel ini boleh membantu anda mengehadkan penumpuan anda ke skrin yang terlalu cerah, dan juga untuk mereka yang mempunyai sejarah keluarga ARMC (Age Related Macular Degeneration), artikel ini mungkin boleh membantu untuk melambatkan kesan penyakit ini untuk anda

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.