Bahasa Sejagat: Takdir Buat Bahasa Inggeris?

389

Bahasa sejagat adalah kesempurnaan yang dicari-cari oleh manusia dengan sebuah pengharapan akan kesatuan bangsa di bawah bahasa sejagat tersebut. Mereka merasakan ia merupakan salah satu cara mencipta dunia yang aman.

Namun sebelum kita berbincang dengan lebih khusus, kita harus kembali ke peringkat yang lebih awal dengan berbicara mengenai epistemologi bahasa sejagat dahulu. Mengikut takrif di dalam kamus, sejagat itu bermaksud sesuatu yang boleh diguna-pakai, boleh memberikan kesan, yang melibatkan atau digunakan oleh semua orang.

Sementara itu, bahasa bermaksud sesuatu bentuk perhubungan. Ia juga adalah sebuah sistem yang berkaitan dengan simbol atau linguistik yang diguna-pakai oleh kebanyakan orang di mana melaluinya, kita akan memahami satu sama lain dengan lebih baik. Ini dengan sendirinya bersifat sejagat dalam erti kata lain ketika mana ia melibatkan sesetengah masyarakat tersebut.

Justeru itu kita boleh melihat di sini, apabila kita menghimpunkan dua perkataan ini, kita sebenarnya memperluaskan makna masyarakat kita daripada sesetengah kepada semua orang yang ada di muka Bumi ini. Saat ini belum ada sebarang bahasa yang pernah menjadi bahasa sejagat.

Bahasa yang menghampiri status bahasa sejagat ialah Bahasa Inggeris di mana ia telah diiktiraf sebagai bahasa lingua franca yang bertaraf global. Seterusnya, kita akan menelusuri kesan Bahasa Inggeris sebagai bahasa global dan membuat kesimpulan mengenai kemungkinan akan Bahasa Inggeris menjadi bahasa sejagat dan samada wujudnya keperluan untuk mempunyai bahasa sejagat.

Sejarah Bahasa Inggeris: Laluan Menjadi Bahasa Sejagat

Pada mulanya, bahasa ini terhasil di dalam bentuk bersuku-suku. Ketika sebuah masyarakat itu dipisahkan oleh permukaan Bumi seperti lautan, hutan belantara yang tebal, atau bukit-bukau, ia akan menghasilkan bahasa baru yang berbeza apabila dibiarkan terpisah untuk jangka masa yang lama. Seterusnya, penghasilan bahasa-bahasa baru ini akan bertambah dan setiap bahasa-bahasa ini mempunyai peluang yang sama untuk menjadi bahasa lingua franca.

Apa itu Lingua Franca? Ia diambil daripada istilah Arab iaitu “Lisan al-Farang” yang bermaksud bahasa perantaraan yang digunakan oleh penutur Arab dengan pedagang Eropah. Banyak bahasa yang telah mencapai status sebagai bahasa lingua franca seperti bahasa Aramaic, Yunani Klasik, Latin, Arab Klasik, Sepanyol, Perancis, Quechua, Melayu, dan Rusia. Lalu bagaimanakah bahasa-bahasa ini menjadi lingua franca? Ia bukan disebabkan oleh bahasa itu sendiri atau struktur bahasa tersebut tetapi ia disebabkan oleh 6 sebab berikut:

  1. Jumlah penutur ibunda
  2. Kuasa politik
  3. Kepentingan ekonomi
  4. Ideologi
  5. Kemegahan kebudayaan
  6. dan keilmuan

Kehadiran keenam-enam sebab di atas akan membawa bahasa tersebut untuk menjadi lingua franca.

Sejarah Bahasa Inggeris, pada awalnya, bermula saat Rom meninggalkan Kepulauan British pada abad ke-5 dan kemudiannya ditakluk oleh Suku-suku Jerman yang dikenali sebagai Anglo, Saxon Dan Jutes. Sejak itu Bahasa Inggeris mempunyai keunikan yang hebat di dalam keupayaannya untuk menyerap, berevolusi, dan menakluk pengaruh luar.

Kebanyakan pengaruh luar yang boleh dikesan di dalam Bahasa Inggeris adalah seperti pengaruh Viking, Perancis, Latin, dan Kelt. Apabila Bahasa Inggeris menerjah abad ke-15, ia telah matang sepenuhnya dan ditambah pula dengan semangat penjajahan (kolonialisme), pengaruh Bahasa Inggeris mula bertapak di luar negara. Penjajahan yang dilakukan bangsa Inggeris telah membawa begitu banyak istilah asing ke dalam alam bahasa Inggeris.

Selain itu bahasa Inggeris telah melangkah setapak lagi apabila ahli-ahli Fizik British di England telah meninggalkan bahasa Latin sebagai bahasa ilmu lalu menggantikannya dengan bahasa Inggeris yang merupakan bahasa vernakular zaman itu. Penjajahan British merupakan suatu kejayaan yang hebat buat Empayar British. Ia berjaya bertapak di setiap benua dan ceruk dunia sehinggalah ia digelar sebagai empayar yang tidak pernah dapat menyaksikan matahari terbenam.

Kejayaan ini telah berjaya meletakkan bahasa Inggeris sebagai lingua Franca yang baru sebaris dengan lingua franca yang lain seperti Perancis dan Sepanyol. Sejak itu, bahasa Inggeris berentap dengan bahasa Perancis untuk kedudukan lingua franca yang lebih tinggi darjatnya sehinggalah abad ke 20. Abad ke 20 telah menyaksikan sebuah negara muda bernama Amerika Syarikat bangkit dan mengambil alih British sebagai pemegang utama bahasa Inggeris ekoran kejayaannya menjadi sebuah kuasa dunia lalu menempatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa lingua franca bertaraf global.

Bahasa Inggeris: Lingua Franca Global Yang Pertama

Apa yang dimaksudkan dengan lingua Franca global? Ia bermaksud apabila bahasa itu diiktiraf di dalam setiap negara. Ini boleh terjadi melalui dua cara: pertama, sebuah bahasa itu haruslah dijadikan bahasa rasmi negara tersebut sama ada sebagai bahasa pertama mahupun bahasa kedua; kedua, bahasa itu harus diajar sebagai bahasa asing utama walaupun tiada status rasmi. Lalu bagaimana bahasa Inggeris, melalui Amerika Syarikat, berjaya menggapai status tersebut?

Semuanya berkaitan dengan enam sebab di atas namun bagi bahasa Inggeris, wujud satu lagi sebab iaitu teknologi. Ekoran kemajuan teknologi milik Amerika Syarikat berbanding negara-negara lain, pengaruh Amerika Syarikat sebagai kuasa dunia telah bertambah terutamanya selepas Perang Dunia Kedua lalu memberikan kuasa pengaruh yang sama kepada bahasa Inggeris. Sejak itu, Amerika Syarikat menunjukkan kekuasaannya melalui keunggulannya di dalam hal ehwal kebudayaan, media, akademik, dan teknologinya. Ini semuanya disampaikan menggunakan bahasa Inggeris sebagai perantaranya.

Kesan Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Lingua Franca Global

Ia sebuah perjalanan selama 500 tahun sebelum bahasa Inggeris mencapai status sebagai satu-satunya bahasa yang menjadi bahasa lingua franca global dan akhirnya tidak mempunyai bahasa lain sebagai saingan selepas  kejatuhan Kesatuan Soviet. Selama dua puluh tahun Bahasa Inggeris menjadi bahasa lingua franca global, ia telah memberikan pelbagai kebaikan kepada seluruh dunia.

Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa utama diplomasi seperti di Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan juga sebagai bahasa utama buat pelancong. Ketika ini Bahasa Inggeris turut menjadi bahasa utama perdagangan, hubungan antarabangsa dan kawalan lalulintas udara. Seperti yang diterangkan di perenggan sebelum ini, Bahasa Inggeris merupakan bahasa kebanyakan penerbitan akademik dan justeru itu, ia membenarkan ‘pendemokrasian’ ilmu di mana pengetahuan dan ilmu baru dapat disebarkan dengan lebih pantas.

Tambahan pula, penciptaan internet dan penyebaran maklumat melalui internet menggunakan bahasa Inggeris telah menganjak bahasa Inggeris terus ke hadapan dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai bahasa global. Selain daripada memudahkan perhubungan di antara kerajaan atau orang awam, bahasa global ini boleh menjimatkan kos pentadbiran melalui pemotongan kos penterjemahan sebanyak 50%.

Walaupun kebaikannya tegar dirasakan zaman ini, kemunculan bahasa lingua franca global turut mempunyai kesan buruk ke atas dunia. Dunia masa kini menyaksikan pelbagai bahasa melemah malah pupus terutamanya bahasa yang bersaiz kecil pada kadar yang tidak disangkakan iaitu kepupusan satu bahasa setiap empat belas hari.

Apabila bahasa Inggeris dilihat sebagai bahasa yang berprestij tinggi dan kefasihan seseorang diukur sebagai peluang ekonomi dan pendidikan, ia secara semulajadinya menjadikan penutur bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua berasa terancam dan memandang penutur ibunda bahasa Inggeris mempunyai kelebihan yang tidak adil berbanding penutur kedua atau ketiga.

Kelebihan yang tidak adil ini disuarakan oleh seorang guru bahasa Inggeris, Patricia Ryan, di dalam pembentangan di TED-ed. Beliau menyatakan bahawa universiti terkemuka masakini di negara-negara penutur bahasa Inggeris menolak kemasukan pelajar bukan kerana tidak cerdik atau kurang berdaya-cipta tetapi disebabkan kefasihan bahasa Inggeris yang kurang ketika pelajar itu diperiksa melalui peperiksaan antarabangsa seperti IELTS.

Manakala Felicity Meakins Pula menegaskan keadaan sebenar orang Asli di Australia yang bergelut untuk berjaya di dalam kelas ekoran penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar pembelajaran. Beliau juga mengingatkan bahawa prestasi mereka di dalam Matematik melonjak jika subjek itu diajar menggunakan bahasa ibunda mereka.

Terdapat lebih kurang 200 negara bangsa yang berada di dalam PBB dan pertelingkahan pasti berlaku di antara pro-lingua franca global dengan pro-bahasa ibunda. Golongan kedua itu berasa gentar dengan desakan satu bahasa ini akan terpaksa dibayar dengan kepupusan bahasa mereka sendiri dan desakan ini juga dipandang sebagai satu ancaman kepada kebebasan bersuara dan faham pelbagai budaya.

Kita mungkin hanya terfikirkan kesan ini menimpa penutur bukan ibunda sahaja tetapi ia juga memberikan kesan buruk kepada penutur ibunda.  Penutur Bahasa Inggeris, seperti yang ditunjukkan oleh orang British dan Amerika, sering menunjukkan sikap sombong terhadap penutur lain ekoran rasa bangga mempunyai bahasa yang berjaya menempa prestij sedemikian.

Saat dunia ini berpusat kepada bahasa Inggeris, semacam sejenis kemalasan telah menimpa penutur bahasa Inggeris daripada mempelajari bahasa lain. Ini mungkin disebabkan mereka boleh menggapai apa-apa kemahuan mereka menggunakan bahasa Inggeris sebagai medan perantara.

Kesimpulan – Bahasa Inggeris itu Bahasa Sejagat?

Seperti yang kita tunjukkan di atas, wujud hubung-kait antara pro-bahasa lingua franca global dengan pro-bahasa pribumi. Ketika mana penguatkuasaan terhadap suatu bahasa itu meningkat, tentangan ke atas usaha itu akan meningkat juga. Walau bagaimanapun, kedudukan bahasa Inggeris akan tetap bertahan dan mungkin meneguh di masa hadapan ekoran rentetan perubahan di semua negara yang mula mengiktiraf bahasa Inggeris di dalam dasar-dasar negara tersebut.

Oleh itu, kebarangkalian untuk bahasa Inggeris menjadi bahasa sejagat agak tipis disebabkan tentangan yang masih kuat dan telah wujud sebuah gerakan untuk menjadikan dunia sebuah masyarakat yang dwi-bahasa, terutamanya buat penutur bahasa Inggeris. Adakah terdapat ruang untuk sebarang bahasa lain mengambilalih kedudukan bahasa Inggeris?

Saya berpendapat tidak ada buat masa ini kerana akar bahasa Inggeris sudah kukuh mencengkam dan selagi mana negara-negara Inggeris masih lagi mendominasi ekonomi, akademik dan diplomasi, selagi itulah ianya suatu jalan yang panjang untuk bahasa-bahasa lain untuk mengambilalih.

RUJUKAN:

Bhattacharjee, Y 2012, Why bilinguals are smarter. Retrieved March 31, 2019 from https://www.nytimes.com/2012/03/18/opinion/sunday/the-benefits-of-bilingualism.html?src=me&ref=general

Crystal D, 2003, English as a global language, Cambridge University Press, United States of America.

Diamond J, 2010, ‘The benefits of multilingual’, Science, vol. 330, pp. 332-33

Guido M, 2010, The importance of language diversity. Retrieved March 25, 2019 from https://www.munplanet.com/articles/languages/the-importance-of-language-diversity

Högskolan Dalarna, 2011, The universal language. Retrieved April 10, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=8FD-z3JCCzM

Högskolan Dalarna, 2011, The universal language part 2. Retrieved from April 10, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=eFQlNNgZc8o

Högskolan Dalarna, 2011, The universal language part 3. Retrieved from April 10, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=7NVOrNfnaU8

Högskolan Dalarna, 2011, The universal language part 4. Retrieved from April 10, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=cLx0hbGiZwc&t=1s

House, J 2003, ‘English as a lingua franca: A threat to multilingualism’, Journal of Sociolinguistic vol 7/4, pp. 556-578

Langfocus, 2017, Why did English becomes international language? Retrieved April 27, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=iqDFPU9YeQM

Language, The American Heritage® Science Dictionary 2014. Retrieved from March 28, 2019 from https://www.dictionary.com/browse/language?s=t

Mastin L, 2011, Timeline. Retrieved from April 25, 2019 from https://www.thehistoryofenglish.com/timeline.html Mastin L, 2011

Language Issues – English As A Global Language. Retrieved from April 25, 2019 from https://www.thehistoryofenglish.com/issues_global.html

OpenLearn From The Open University, 2011, History of English (Combined). Retrieved April 27, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=H3r9bOkYW9s

Seidlhofer B 2005, ‘English as a lingua franca’, ELT Journal vol. 59/4, pp. 339-40

Shute, N 2012, Speaking multiple languages may help delay dementia symptoms. Retrieved from April 1, 2019 from https://www.npr.org/sections/health-shots/2012/04/04/149995850/speaking-multiple-languages-may-help-delay-dementia-symptoms

TED-ed 2013, Patricia Ryan: don’t insist on english. Retrieved from April 5, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=sCTI5tcnEok

Tedx Talks 2014, The Monolingual mindset: Felicity Meakins at TedxSouthBankWomen. Retrieved from April 27, 2019 from https://www.youtube.com/watch?v=ISpQasr4He0&t=1s

Universal, The American Heritage® Science Dictionary 2014. Retrieved from March 28, 2019 from https://www.dictionary.com/browse/universal

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.