Moving Forward As One

Bahasa Melayu Terlalu Korup – Dakwa Ultra-Kiasu Pencinta Bangsa Inggeris

632

Sebuah bahasa akan berevolusi sesuai mengikut peredaran zaman. Bahasa Melayu Kuno ketika masih kuat menerima pengaruh agama Hindu-Buddha di rantau ini sangat pekat dengan kata-kata pinjaman daripada Bahasa Sanskrit, menunjukkan pengaruh agama dari benua kecil India ini kepada ketamadunan Melayu.

Apabila pengaruh Islam datang, penerimaan banyak kosa kata Arab dan Parsi mula memasuki ke dalam bahasa ini kerana mustahaknya kosa kata baru untuk gambarkan pandangan baru umat Melayu yang baru sahaja dipengaruhi cahaya hidayah.

Tambahan pula ketika ini pelabuhan Melaka berada di zaman kemuncaknya, lantas menjemput pedagang-pedagang dari pelbagai wilayah asing seperti India, China, Eropah, Jepun dan pelbagai wilayah pelusuk dunia, sekaligus menyebabkan Bahasa Melayu menyerap pelbagai kosa kata baru dari pelbagai bangsa dan bahasa di dunia.

Kemudian, ketika tuan orang putih yang dibanggakan oleh pengguna FB di bawah datang menjajah kita, maka kita mula menerima banyak pinjaman kata dari Bahasa Inggeris. Setiap fasa-fasa sejarah Bahasa Melayu dibahagikan oleh para ahli bahasa dalam beberapa fasa iaitu Bahasa Melayu Kuno, Bahasa Melayu Klasik dan Bahasa Melayu Moden.

Adapun janganlah bersorak Bahasa Inggeris yang kalian puja sebagai “tuan” itu sebagai punya “prestij” yang didabikkan. Bahasa Inggeris juga juga tidak lepas dari fasa pinjaman yang saya percakapkan. Bahasa Inggeris merupakan sebuah bahasa dari cabang Bahasa Germanic.

Dalam Bahasa Inggeris, Bahasa dari cabang keluarga Bahasa Romance (Latin, Perancis etc) menguasai sekurang-kurangnya 56 peratus Bahasa Inggeris berdasarkan kajian daripada University of New England, Australia pada tahun 2006, manakala Bahasa Germanic itu sendiri hanya merangkumi sekadar 15% sahaja dalam Bahasa Inggeris menunjukkan bahawa betapa sikitnya kosa kata asal dari keluarga Germanic yang masih tinggal. Perlu tahu bahawa Bahasa Inggeris ialah keluarga bahasa Germanic, jadi apa-apa kosa kata yang asli harus dalam keluarga bahasa ini.

Dalam kajian lain yang dibuat oleh Joseph M. Williams yang merupakan professor bahasa di University Chicago menyatakan bahawa kira-kira 58 peratus dalam 10, 000 patah perkataan Bahasa Inggeris yang selalu digunakan dalam kehidupan seharian kita datang dari Bahasa Romance, di mana 29 peratus daripadanya ialah Bahasa Latin, dan 29 peratus lagi datang daripada Bahasa Perancis. Selebihnya 6 peratus pula datang dari Bahasa Greek manakala bakinya adalah dari Bahasa Germanic sendiri dan bahasa asing termasuk Bahasa Melayu. Gambaran lebih jelas diungkapkan dalam infografik yang disertakan dalam artikel.

Kenapa perkara sebegini boleh terjadi pada Bahasa Inggeris? Antara faktor yang dibahaskan ialah pengaruh Bahasa Latin ketika ia masih sebuah lingua franca di Benua Eropah dan proses translasi kebanyakan manuskrip ilmu dari Latin menyumbang kepada pengaruh Bahasa Romance ke dalam Bahasa Inggeris.

Namun, faktor yang paling besar ialah apabila Penaklukan Norman ke atas England pada tahun 1066 telah membawa pengaruh Bahasa Perancis ke dalam England, bahkan Bahasa Perancis juga pernah menjadi Bahasa Pentadbiran pada ketika ini. Jadi, bukanlah sesuatu yang menghairankan kalau anda dapat melihat akar kepada kebanyakan kosa kata dalam Bahasa Inggeris datang daripada bahasa asing, yang bukanlah serumpun dengan mereka.

Fenomena yang sama dapat dilihat pada Bahasa Sepanyol. Ya, Bahasa Sepanyol merupakan sebuah Bahasa Romance seperti mana Bahasa Latin dan Perancis. Apabila Tariq bin Ziyad menakluk Sepanyol ke dalam sfera pengaruh empayar Umaiyyah, ia menandakan detiknya kemasukan pengaruh kebudayaan Arab ke dalam Sepanyol bermula dari senibina sehinggalah ke bahasanya.

Dikatakan bahawa pada hari ini, terdapat 4000 akar kosa kata dalam Bahasa Sepanyol dapat dijejak sejarahnya kepada perkataan Bahasa Arab padahal Bahasa Arab ialah sebuah keluarga bahasa Semitic.

Bukti lain untuk menguatkan hujah ini adalah pada wujudnya 60 peratus kosa-kosa kata Sino-Korea dalam Bahasa Korea moden pada hari ini. Pengaruh Bahasa Cina dalam Bahasa Korea ini dapat dijejak seawal abad ke-2 Masihi apabila Korea mula mengadaptasikan tulisan Cina ke dalam tamadun mereka.

Pengaruh Bahasa Cina di dalam Bahasa Jepun juga mempunyai sejarah yang lebih kurang sama dengan Bahasa Korea. Bahasa Sino-Jepun atau dipanggil sebagai kango ini diperkirakan wujud dan menjadi asas kosa kata Bahasa Jepun sehingga 60 peratus pada hari ini! Dipercayai pengaruh Bahasa Cina mula memasuki Bahasa Jepun pada sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-9 Masihi, lagi-lagi pada zaman Dinasti Tang.

Sebagai contoh, pengaruh Bahasa Cina pada dua bahasa ini ialah pada kosa kata sejarah dalam Bahasa Cina ialah “lishi” (sebutan Mandarin), dalam Jepun jadi “rekishi”, dalam Korea jadi “yeoksa”. Selain itu: Telefon – Cina: “dianhua”, Jepun: “denwa”, Korea: “jeonhwa”. Matahari – Cina: “taiyang”, Jepun: “taiyou”, Korea: “taeyang”. Kiranya pengaruh Bahasa Cina ke atas Bahasa Jepun dan Bahasa Korea adalah persis seperti pengaruh Bahasa Romance ke atas Bahasa Inggeris di Eropah.

Dari tiga bukti yang saya persembahkan di atas, maka kita dapat simpulkan bahawa proses pinjaman kosa kata dari bahasa atau tamadun lain adalah sebuah kebiasaan yang dapat dijejak dalam pelbagai bahasa di dunia. Hanya mereka yang jahil, perkauman, sanggup bermain dengan kad yang menjijikkan sanggup melacurkan bahasa kebangsaan kita dengan melontar seribu tuduhan seperti ini.

Tidak ada apa yang perlu dimalukan dan diketawakan pada Bahasa Melayu kita. Yang penting, Bahasa Melayu pernah mencapai zaman kegemilangannya, mencatat ribuan manuksrip ilmu dan menjadi lingua franca. Daripada kita bermain dengan falasi merendahkan bahasa agung ini, adalah moleknya kita sama-sama menaikkan bahasa ini mencapai kegemilangan silam mereka!

Kepada wahai rasis anglophile sekalian, berhentilah daripada mencurah api ke dalam hubungan perpaduan Malaysia, pada saat segenting ini… dan jangan lupa tatap dengan mata kepala sendiri bagaimana bahasa “tuan orang putih” anda meminjam kosa kata Bahasa Melayu di bawah. Ini ialah senarai bahasa Melayu yang dipinjamkan ke Bahasa Inggeris.

agar
amok
attap
bamboo
compound
durian
dammar
ikat
junk
kampong
kapur
kris
launch (ambil dari lancar)
paddy
proa (dari perahu)
ketchup

Maksudnya, tidak ada apa-apa bahasa di dunia ini berdiri superior ke atas bahasa yang lain. Hargailah bahasa ibunda masing-masing beserta kejayaan-kejayaan peradaban yang dicapai oleh mereka.

Ruangan komen telah ditutup.