Bahasa Melayu merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Malaysia. Hal ini jelas dapat kita lihat sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 152(1) Perlembagaan Persekutuan yang secara jelas menetapkan bahasa Melayu itu sebagai bahasa kebangsaan. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 juga melantunkan nada yang sama dalam mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang mana hendaklah bahasa ini digunakan dalam segala maksud rasmi dan urusan rasmi kerajaan.

Apa yang kita lihat ini merupakan pengiktirafan secara rasmi melalui lunas undang-undang negara, ke atas bahasa Melayu sebagai bahasa nombor satu dan secara tidak langsung ini menandakan perlunya suatu usaha bersepadu yang berterusan untuk menjulang, memuliakan dan memartabatkan bahasa Melayu dalam semua bidang-bidang profesional termasuklah dalam bidang kehakiman dan perundangan. Memetik Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Disemak – 1973), usaha pemartabatan bahasa kebangsaan ini selaras dengan tujuan asal mengapa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dibentuk dan diasaskan yakni antara lainnya, untuk menggalakkan pengunaan bahasa kebangsaan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa (Awang Sariyan, 2020).

Dalam konteks perbicaraan di mahkamah, walaupun bahasa Inggeris merupakan bahasa utama yang sebenarnya paling kerap digunakan selepas negara ini mencapai kemerdekaaan, namun bahasa Inggeris sebenarnya tidak boleh lagi kekal digunakan apabila tamat tempoh sepuluh tahun selepas Hari Merdeka seperti yang termaktub dalam Perkara 152(4) Perlembagaan Persekutuan. Yang demikian itu dapat kita perhatikan dalam Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang berbunyi, “Segala prosiding (selain pemberian pemberian keterangan saksi) dalam Mahkamah Persekutuan, Mahakamah Rayuan, Mahkamah Tinggi atau mana-mana Mahkamah Rendah hendaklah dalam bahasa kebangsaan.”

Seksyen yang sama juga menyebut sambungannya, “Dengan syarat bahawa Mahkamah boleh, sama ada atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan mana-mana pihak dalam mana-mana prosiding dan selepas menimbangkan kepentingan keadilan dalam prosiding itu, memerintahkan supaya prosiding itu dijalankan sebahagiannya dalam bahasa kebangsaan dan sebahagiannya dalam bahasa Inggeris.”

Dengan sekali pandang sahaja, kita dapat mentafsirkan daripada ayat yang disusun itu, bahawa bahasa Melayulah satu-satunya bahasa yang boleh digunakan dalam perbicaraan di mahkamah, dan sekiranya tidak boleh digunakan kerana barangkali atas permintaan pihak yang terlibat dalam perbicaraan itu, tetap juga bahasa Melayu mesti diguna pakai sebahagiannya ketika berlangsungnya prosiding tersebut. Tidak boleh dinafikan terus penggunaannya seratus peratus.

Ramai memperlekeh kenapa Bekas Peguam Negara ditegur. Tapi ada sebabnya.
Sumber: Malaysia Dateline.

Jika dinafikan, maka itu akan menyebabkan berlakunya pelanggaran undang-undang bahasa kebangsaan ini. Dan sekalipun peruntukan Seksyen 8 ini memberikan wewenang kepada mahkamah untuk menjalankan prosiding itu dalam mod campuran bahasa Melayu-bahasa Inggeris, namun pihak mahkamah tidak sepatutnya sesuka hati mengambil kesempatan atas pengecualian ini untuk tidak menggunakan bahasa Melayu dalam menjalankan perbicaraannya itu.

Perlulah pengecualian yang disediakan ini, digunakan hanya jika mahkamah betul-betul telah mempertimbang keperluan itu dengan sesungguh cermat dan hanya jika mahkamah mempunyai sebab yang munasabah dan masuk akal. Hal ini penting agar pengecualian ini tidak disalahgunakan pihak mahkamah, atau mana-mana pihak yang terlibat dalam prosiding itu. Jika mahkamah merasakan mereka terpaksa menggunakan mod campuran bahasa ini, tetapi keadaan “terpaksanya” itu berpunca daripada kelemahan tuan hakim sendiri atau peguam, yang ada antaranya tidak mampu menguasai bahasa Melayu, maka itu bukan mahkamah yang terpaksa, tetapi sengaja cari penyakit. Ini sekadar contoh.

Adakah wujud pengamal undang-undang yang teramat lemah penguasaan bahasa kebangsaannya, yang mungkin setaraf gred D, E atau lebih teruk lagi, F kalaulah disoroti dari pemarkahan peringkat SPM? Memang saja ada dan bukan sedikit pula bilangannya. Mereka ini rata-ratanya mendapat pendidikan asing dan lebih selesa menggunakan bahasa Inggeris yang disalahanggapnya sebagai lebih akademik dan tinggi nilai kesarjanaannya berbanding bahasa Melayu yang kononnya kekampungan. Pengamal undang-undang yang memegang IC biru seperti mereka ini sepatutnya berasa malu kerana tak guna jika betul berhasrat mahu mengamalkan undang-undang Malaysia, namun tidak reti bahasa kebangsaan negara sendiri.

Ironinya, salah satu syarat yang dikenakan Perlembagaan Persekutuan ke atas mana-mana orang yang berminat untuk memohon kewarganegaraan Malaysia (melalui naturalisasi) ialah si pemohon hendaklah “mempunyai pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu”.

Keratan daripada Perlembagaan Malaysia
Sumber: JPA PENCEN

Bagi maksud ini, boleh rujuk Perkara 19(1). Bagi kewarganegaraan Malaysia yang dipohon melalui pendaftaran pula, salah satu syarat yang dikenakan juga kepada pemohon ialah “mempunyai pengetahuan asas dalam bahasa Melayu”, menurut Perkara 16 Perlembagaan Persekutuan. Jika pengamal undang-undang tempatan sendiri tidak mempunyai “pengetahuan yang memadai dalam bahasa Melayu” atau “pengetahuan asas dalam bahasa Melayu”, maka eloklah kita fikir-fikirkan semula di mana silapnya.

Jadi, mengapa perlu mahkamah terus bertegas dan malahan berdegil menggunakan bahasa Melayu dalam semua keadaan? Kerana jika kita ke luar negara, ke mana-mana negara pun atas muka bumi ini, ke negara Jerman misalnya, sudah tentulah bahasa yang digunakan bagi tujuan urusan di mahkamah mereka itu, ialah bahasa Jerman. Begitu juga jika kita ke Jepun, hakim yang bijaksana akan tetap menggunakan bahasa Jepun dalam menulis alasan penghakimannya yang panjang menjela-jela itu, walaupun pihak-pihak yang terlibat dalam perbicaraan itu, tidak semestinya semua berbangsa Jepun dan meneguk sake.

Tambahan pula, hanya disebabkan hakim atau peguam itu seorang yang tidak faham bahasa Melayu, terpaksa dilaksanakan mod campuran yang janggal itu, maka yang demikian itu adalah tidak adil dan bersifat diskriminasi kepada parti-parti dalam prosiding yang sudah pun sedia ada menguasai bahasa Melayu. Jika si fulan yang tidak dapat menguasai bahasa kebangsaan, lalu itu masalah si fulan, bukan masalah mahkamah atau undang-undang pula. Undang-undang tidak perlu dilenturkan semata-mata untuk menutup kelemahan si fulan dan memuaskan kehendaknya.

Bahasa Inggeris hanya dan sepatutnya hanya boleh digunakan dalam tempoh sepuluh tahun selepas merdeka itu iaitu sehingga tahun 1967 sahaja. Hal ini juga melibatkan segala naskhah sahih undang-undang, Rang Undang-Undang (RUU), Akta Parlimen, undang-undang subsidiari dan pindaan seperti yang dapat dilihat dalam Perkara 152(3) Perlembagaan Persekutuan.

Rasionalnya tempoh sepuluh tahun ini adalah kerana kerajaan mengambil kira faktor dan realiti bahawa pengamal undang-undang pascamerdeka ketika itu tidak mahir menggunakan bahasa Melayu kerana majoriti mereka mendapat pendidikan undang-undang hampir sepenuhnya dari institut pendidikan Inggeris dan istilah undang-undang dalam bahasa Melayu zaman itu masih terlalu sedikit, tidak lengkap dan banyak kelemahan (Badan Peguam Malaysia, 2008). Namun begitu, peruntukan yang nampak kemas dan cantik di atas kertas ini, diakui masih mempunyai beberapa isu dari segi pelaksanaannya dalam realiti kehidupan sebenar.

Sekarang kita cuba lihat pula sejarah ringkas dan letak duduknya bahasa Melayu ini. Secara umumnya, bahasa merupakan alat komunikasi dan interaksi yang berfungsi sebagai alat pencatat, perakam, penimbun, penyebar dan pewaris ketamadunan dan keilmuan sesebuah bangsa (Rozita Che Rodi, & Hashim Musa, 2014). Bahasa melambangkan kebijaksanaan, kesarjanaan dan keintektualan sesebuah peradaban kerana sifatnya yang bukan sahaja sebagai alat interaksi di antara anggota masyarakat, tetapi juga sebagai medium utama mencipta dan memindahkan ilmu pengetahuan.

Menurut Amat Juhari Moain (1994), bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa nombor satu yang menjadi bahasa rasmi mahupun bahasa kebangsaan di empat buah negara di Asia Tenggara seperti Malaysia dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan, Indonesia dalam Pasal 36, Undang-Undang Dasar 1945, Singapura dalam Perkara 153A, Perlembagaan Republik Singapura dan Negara Brunei Darussalam dalam Perlembagaan 1959. Selain negara-negara yang dinyatakan ini, bahasa Melayu juga masih dipertuturkan dengan dominan di bahagian negeri-negeri Melayu Utara khususnya di daerah Pattani, Yala, Narathiwat dan Songkhla (Adlinahani Khalil, 2020) serta kawasan-kawasan lain seperti selatan Vietnam dan Filipina.

Menurut Asmah Omar (2008), bahasa serumpun di Alam Melayu ialah bahasa Melayu yang berkait rapat dengan etnik peribumi yang berdiam di kawasan ini. Alam Melayu di sini merujuk kepada kawasan dari Madagaskar ke Tanah Melayu, Papua New Guinea, Australia, New Zealand, Kepulauan Pasifik dan Taiwan (Nik Hassan Shuhaimi, 2016). Secara ringkasnya, bahasa Melayu merupakan salah satu bahasa yang tergolong dalam keluarga besar bahasa-bahasa Austronesia atau Melayu-Polinesia. Bahasa Melayu lama banyak dikatakan banyak dipengaruhi oleh bahasa Sanskrit, salah satu bahasa yang tertua di dunia. Contoh perkataan dalam bahasa Melayu lama ialah dosa, pahala, raja dan syurga. Dalam keluarga bahasa Austronesia, bahasa Melayu ialah bahasa yang paling banyak diteliti dan dikaji. Prasasti menggunakan bahasa Melayu yang tertua setakat ini ialah di Kedukan Bukit yang bertarikh 683 Masihi (Ahmad Juhari Moain, 1994). Prasasti ini dipahat ketika zaman Empayar Maritim Sriwijaya.

Perhatian. The Patriots sedang mencari manuskrip untuk diterbitkan. Jika berminat, anda boleh kirimkan ke alamat emel seperti dalam gambar.

Di semenanjung Tanah Melayu, bahasa Melayu digunakan dalam hampir semua perkara termasuklah dalam urusan jual beli dan perdagangan, perundangan, bahasa istana, bahasa ilmu dan sebagainya. Kemasyhurannya terlalu ketara sehinggakan bahasa Melayu digelar sebagai lingua franca Kesultanan Melayu Melaka iaitu bahasa penghubung dan pengantarabangsaan yang mempermudah segala urusan. Para pedagang asing contohnya, menguasai bahasa Melayu untuk menjalankan transaksi jual beli di antara satu sama lain. Hal ini sangat signifikan kerana Melaka merupakan pusat perdagangan dunia yang terkenal dan pengiktirafan bahasa Melayu oleh masyarakat dunia menunjukkan prestijnya yang luar biasa. Kehebatan Melaka ditulis oleh seorang Portugis bernama Tome Pires dalam Suma Oriental yang menyatakan “di pelabuhan Melaka biasanya terdapat 84 bahasa digunakan” untuk melambangkan kerancakan aktiviti perdagangan dan kehidupan yang berlaku di Melaka ketika itu.

Tambahnya lagi, sesiapa yang menguasai Melaka, maka dia akan dapat menguasai Venice. Pelabuhan Venice bolehlah dikatakan sebagai antara pelabuhan yang paling terkenal dan tersibuk di Eropah. Kenyataan Pires ini menunjukkan pelabuhan Melaka tidak kurang kualitinya jika dibandingkan dengan pelabuhan terhebat Eropah. Seterusnya, penulis Portugis bernama Duarte Barbosa pula mencatatkan bahawa Melaka ialah pelabuhan yang amat kaya dengan jumlah perdagangan dan aktiviti perkapalan yang sangat banyak (Zainal Abidin Wahid, 1990). Sebelum kedatangan tulisan Rumi yang berabjad Roman, tulisan Jawi yang dipengaruhi tulisan Arab merupakan tulisan utama bagi bahasa Melayu. Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (2005), Jawi bermaksud bahasa Melayu. Proses perumian bahasa Melayu secara besar-besaran bermula pada tahun 1904 oleh Richard James Wilkinson sebelum direformasi oleh pendeta Za’ba pada tahun 1924. Disebabkan masalah kekeliruan yang timbul, reformasi ejaan sekali lagi dilaksanakan pada tahun 1972 yang dinamakan Ejaan Rumi Baharu (Asmah Omar, 1989).

Selain masalah yang disebutkan awal-awal tadi, terdapat beberapa isu lain yang menghantui bahasa Melayu dan pengunaannya. Isu tersebut antara lainnya adalah status bahasa Melayu yang seakan-akan rendah tarafnya dalam sistem pendidikan negara (Awang Sariyan, 2020). Hal ini dapat dibuktikan tatkala pengajaran dalam kuliah di banyak institusi pengajian awam adalah menggunakan bahasa Inggeris dan bukannya bahasa Melayu. Sebagaimana yang dipetik oleh Awang Sariyan (2020), pemakaian bahasa Inggeris ini pula melibatkan kursus-kursus kritikal seperti perubatan, sains, undang-undang dan kejuruteraan. Misalnya, dalam kursus undang-undang prasarjana yang ditawarkan universiti awam, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menawarkan kursus ini dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu perundangan juga dikatakan terlalu jauh ketinggalan dari aspek perkembangan linguistik dan kosa katanya (Teo Kok Seong, 2016).

Malang sekali, inilah realiti bagaimana bahasa Melayu seolah-olah dianaktirikan sesetengah universiti awam atas dasar kononnya bahasa Inggeris itu lebih moden, terkedepan dan ilmiah. Alasan pembelajaran dalam bahasa Melayu membuatkan pelajar lebih sukar berjaya adalah alasan yang selalu kedengaran namun alasannya itu ternyata amat dangkal dan tidak masuk akal. Manakan tidak, hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Hakikatnya, banyak negara dunia pertama yang tidak pula mengetepikan bahasa ibunda mereka, namun tetap berjaya untuk terus mengecapi kemajuan dalam pelbagai bidang. Malah, rakyat mereka amat berbangga dan tidak segan dengan bahasa sendiri sehinggakan pelancong asing dan ekspatriat mesti sekurang-sekurangnya memahirkan diri dengan asas bahasa mereka itu dan tidaklah boleh bergantung hanya kepada bahasa Inggeris untuk berkomunikasi dan berinteraksi. Malaysia sepatutnya menjadikan bahasa Melayu sebagai keutamaan dalam segala hal kerana dengan cara itu, jati diri, maruah dan rasa kebanggaan akan dapat dipupuk dan diperkuat (Rozita Che Rodi & Hashim Musa, 2014).

Selain itu, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa bahasa Melayu dilayan sebagai bahasa kelas kedua di mahkamah-mahkamah Malaysia. Walaupun bahasa ini digunakan secara kerap oleh mahkamah rendah, namun di mahkamah atasan yakni Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, bahasa Melayu masih kelihatan agak terpencil penggunaannya (Zainul Rijal Abu Bakar, 2021). Walaupun berdekad-dekad lamanya teks rasmi undang-undang telah dirangka, disunting, ditulis dan dicetak dalam bahasa Melayu, namun bahasa kebangsaan seakan-akan semakin diketepikan apabila peguam dan hakim nampaknya lebih gemar merujuk kepada naskhah sahih terjemahan bahasa Inggeris dalam kamar prosiding. Hanya disebabkan bahasa Inggeris telah terlalu lama digunakan dalam arena perundangan, maka dalam diri mereka ini timbul rasa terlebih selesa dan lantaran itu mereka tidak berkeinginan untuk keluar dari zon ini.

Di samping itu, ramai hakim mahkamah atasan yang menulis teks alasan penghakiman penuh dalam bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu dan peguam pula, bertindak berhujah dalam bahasa Inggeris. Penyisihan bahasa Melayu ini sebenarnya berpunca dari sikap hakim dan peguam itu sendiri (Zainul Rijal Abu Bakar, 2021). Tidak kurang juga polemik ini disumbang oleh mereka yang terlalu bergantung kepada rujukan undang-undang yang ditulis dalam bahasa Inggeris (Izzati Rozman, 2018). Jelas, cabang kehakiman perlulah bangkit dari kelalaian dalam memperjuangkan bahasa kebangsaan selari dengan apa-apa peruntukan berkaitan yang telah sedia ada termaktub dalam naskhah undang-undang tertinggi di negara ini.

Akhir sekali, isu yang turut berbangkit berkaitan bahasa Melayu adalah betapa lemahnya penghayatan rakyat Malaysia secara umumnya untuk terus konsisten menggunakannya dalam kehidupan seharian. Ungkapan “bahasa Malaysia” yang acap kali kita dengari itu sebenarnya hanyalah ungkapan rekaan yang dicipta pihak pemerintah (atau pemimpin politik) untuk menghasilkan rasa kebersamaan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ke atas bahasa Melayu selain menguatkan semangat perpaduan (Noresah Baharom, 2005). Ungkapan ini tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan yang sehingga ke hari ini, masih mengekalkan pengunaan ungkapan “bahasa Melayu”.

Ironinya, walaupun ungkapan bahasa Malaysia terus digunakan, namun sejauh mana tindakan tersebut mampu menanamkan sifat cinta dan sayang terhadap bahasa ini masih kabur dan terlalu samar keberkesanannya. Sebaliknya bahasa Melayu pula yang dikorbankan namanya atas nama ‘perpaduan’, kononnya. Janganlah jadi seperti hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Berdekah juga kerana Amerika Syarikat tidak pula memadamkan nama bahasa mereka itu daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Amerika semata-mata untuk perpaduan rakyatnya. Begitu juga dengan Kanada, Australia dan negara-negara lain yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan rasmi kerajaan mereka.

Selain itu yang menariknya juga, sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan menurut Seksyen 17(1) Akta Pendidikan 1996 diberikan pengecualian khas oleh Menteri Pendidikan untuk kekal dipakai bahasa selain bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar pendidikan (Jaafar Jambi, 2008). Jika diperhatikan semula, keistimewaan ini terang-terangan merosotkan lagi pengunaan bahasa kebangsaan dengan keistimewaan pengecualian yang tiada asas kewajaran. Sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang majoritinya bukan berbangsa Melayu ini pula masih berkeras untuk tidak menggunakan bahasa Melayu atau bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Sebelum ini, terdapat portal berita yang melaporkan bahawa 98 peratus Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina di Semenanjung tidak bersetuju dengan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu darjah empat (MalaysiaGazette, 2021) padahal tulisan Jawi itu amat sinonim dengan bahasa kebangsaan.

Sikap antikebangsaan inilah yang perlu dicantas dan mendapat perhatian pihak berkuasa untuk dicarikan jalan penyelesaiannya. Tuntaslah bahawa apapun perubahan yang dibuat ke atas ungkapan “bahasa Melayu”, jika sekolah yang dibiayai kerajaan seperti sekolah jenis kebangsaan ini pun masih degil tidak mahu menggunakan bahasa kebangsaan, maka tidak gunalah diubah ungkapan yang asal seperti yang tercatat dalam perlembagaan negara.

Kesimpulannya, semua pihak tidak kira pihak kerajaan, badan bukan kerajaan mahupun anggota masyarakat haruslah bersinergi dan menggembleng tenaga dalam usahama yang jitu agar bahasa Melayu terus dibudaya dan diagungkan sesuai dengan tarafnya sebagai bahasa kebangsaan bagi setiap rakyat di tanah air yang tercinta ini. Semua pihak hendaklah mempunyai sifat prihatin dan cakna dengan penggunaan bahasa Melayu supaya penggunaannya tepat dan mengikut laras bahasa yang betul.

Pihak berkuasa pula khususnya perlulah terus menzahirkan keberkesanan yang meyakinkan melalui inisiatif-inisiatif mereka untuk menyebarluaskan pemakaian bahasa Melayu selaras dengan undang-undang yang telah memberikan mereka kuasa untuk melaksanakannya.

Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sewenang-wenangnya membiarkan kawasan perumahan baru atau nama jalan baru, yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai namanya, ini seribu kali mendukacitakan. Harapkan pagar, pagar makan padi. Perangai sesetengah PBT yang mengarut-ngarut ini pernah ditegur keras oleh Paduka Seri Sultan Perak pada bulan Oktober 2016.

Titah baginda, “Pada hari ini, perkara yang terbalik sudah berlaku (baginda merujuk kepada bagaimana dulu banyak nama-nama jalan ditukarkan daripada nama penjajah kepada nama pemimpin tempatan). Semakin banyak kawasan perumahan, taman, gedung niaga dan pusat pelancongan yang diluluskan pihak berkuasa tempatan, dinamakan dengan menggunakan bahasa Inggeris. Pada hari ini pihak berkuasa tempatan bagaikan mangli melihat papan tanda yang meminggirkan bahasa kebangsaan” (Abdul Aziz Deraman, 2017).

Para peguam dan hakim juga mestilah berasa bangga dengan bahasa kebangsaan dan senantiasa menggunakannya dalam apa jua keadaan selagimana mungkin bagi mereka. Usah malu dan teruskan berusaha membanyakkan istilah-istilah perundangan dalam bahasa Melayu. Sekiranya tidak yakin ataupun berasa mahukan kepastian mengenai ketepatan terjemahan sesuatu istilah itu, maka boleh saja rujuk badan-badan yang berkenaan ataupun mana-mana pakar bahasa di negara ini.

Dan yang paling penting untuk direalisasikan, suatu anjakan paradigma hendaklah dilaksanakan dengan kadar yang segera supaya pemikiran yang Eurosentrik dan penyakit pro-Barat kronik yang malangnya dihidapi sesetengah pengamal undang-undang kita itu, dapat ditalkin dan dilianglahadkan selama-lamanya memandangkan persekutuan ini sudahpun merdeka sejak 57 tahun yang lalu. Penjajah sudah lama berlayar pulang, jangan pula kita sibuk mahu gantikan tempat mereka.

Artikel Kiriman Mohamad Fariz Fadzilah.

RUJUKAN:

Badan Peguam Malaysia. (8 Disember 2008). Bahasa Melayu dalam Mahkamah. https://www.malaysianbar.org.my/article/news/bar-news/news/bahasa-melayu-dalam-mahkamah

Awang Sariyan. (12 Jun 2020). Isu bahasa, kuasa DBP jangan hanya tegur, nasihat. https://www.bharian.com.my/rencana/muka10/2020/06/699435/isu-bahasa-kuasa-dbp-jangan-hanya-tegur-nasihat

Rozita Che Rodi & Hashim Musa. (2014). Bahasa Melayu Bahasa Negara Bangsa Malaysia. Jurnal PERTANIKA MAHAWANGSA (Jurnal Bahasa, Budaya dan Warisan Melayu). 1. 257-272.

Ahmat Juhari Moain. (1994). Sejarah Keagungan Bahasa Melayu. Universiti Pertanian Malaysia.

Adlinahani Khalil. (15 September 2020). Bahasa Melayu bahasa selatan Thai. https://www.utusan.com.my/luar-negara/2020/09/bahasa-melayu-bahasa-selatan-thai/

Asmah Omar. (2008). Ensiklopedia Bahasa Melayu/ Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman et. Al. (2016). Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, Tanjung Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dewan Bahasa dan Pustaka. (2005). Kamus Dewan (Edisi Keempat). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Asmah Omar. (1989). “The Malay Spelling Reform”.

Zainul Rijal Abu Bakar. (14 Mac 2021). Martabat bahasa kita di mahkamah. https://www.sinarharian.com.my/article/128315/KOLUMNIS/Martabat-bahasa-kita-di-mahkamah

Izzati Rozman. (2018). Isu Kedudukan Bahasa Melayu Dalam Bidang Perundangan Semasa Negara Dari Perspektif Sosiolinguistik. https://www.academia.edu/38027691/ISU_KEDUDUKAN_BAHASA_MELAYU_DALAM_BIDANG_PERUNDANGAN_SEMASA_NEGARA_DARI_PERSPEKTIF_SOSIOLINGUISTIK

Jaafar Jambi. (2008). Cabaran dan Proses Pemantapan Bahasa Melayu. Jurnal Pengajian Melayu, Jilid 19.

MalaysiaGazette. (15 Mac 2021). Jawi: 98 peratus SRJKC Semenanjung tidak setuju. https://malaysiagazette.com/2021/03/15/jawi-98-peratus-srjkc-semenanjung-tidak-setuju/

Noresah Baharom. (2005). Antara “Bahasa Malaysia” dengan “Bahasa Melayu”. http://www.dbp.gov.my/klikdbp/klik2ogos5.pdf

Teo Kok Seong. (2016). Martabat bahasa Melayu dalam Perundangan. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2016/01/116508/martabat-bahasa-melayu-dalam-perundangan

Abdul Aziz Deraman. (2017). Muzarakah Sultan Nazrin Muizzuddin Shah: Kertas Kerja Pemerkasaan Bahasa Melayu di Negara Bangsa Malaysia Merdeka. http://mufti.perak.gov.my/images/perkhidmatan/koleksi_umum/kertas_kerja/muzakarah2017/PP-BM.pdf


Perhatian sebentar…

Sejak 2012, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memandaikan anak bangsa.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, The Patriots tidak dimiliki oleh jutawan mahupun politikus, maka kandungan yang dihasilkan sentiasa bebas dari pengaruh politik dan komersial. Ini mendorong kami untuk terus mencari kebenaran tanpa rasa takut supaya nikmat ilmu dapat dikongsi bersama.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk tahun 2024 ini dan seterusnya. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong The Patriots dari serendah RM2.00, dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang disediakan. Terima kasih. Moving forward as one.

Pilih jumlah sumbangan yang ingin diberikan di bawah.

RM2 / RM5 / RM10 / RM50

Terima kasih


Share.

Fariz Fujiwara merupakan seorang Feudalis Nasionalis Konservatif yang menggemari perihal tawarikh, bahasa dan politik. Penulisannya acap kali tertumpu kepada sejarah Jepun khususnya zaman keagungan feudalisme. Hobinya seperti menonton anime, menelaah manga, manhua serta novel fantasi wuxia China banyak mempengaruhi hasil tulisannya. Kini merupakan mahasiswa UiTM yang sedang menyambung pelajaran dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang.

Leave A Reply