Bahasa Melayu: Kelantan, Terengganu dan Pahang

3,279

Bahasa Melayu adalah sebuah bahasa Austronesia yang dituturkan oleh 250 juta orang di seluruh dunia. Bahasa ini dituturkan di Malaysia, Indonesia, Brunei, Singapura, Australia dan Thailand.

Loghat Johor-Riau dan Riau masing-masing dijadikan asas dalam Bahasa Melayu Baku dan Bahasa Indonesia Baku. Selain itu, terdapat juga “loghat” seperti Kelantan, Terengganu dan Pahang ataupun nama asalnya “Kkecek Kelaté”, “Ccakak Tranung” dan “Cakak Pahang”.

APAKAH ITU LOGHAT KELANTAN, TERENGGANU DAN PAHANG?

Kkecek Kelaté dituturkan oleh dua juta orang di Kelantan, Merapoh, Setiu dan Besut. Ccakak Tranung pula dituturkan oleh 1.1 juta orang di Terengganu, Mersing, Tanjung Sedili dan Kuantan. Cakak Pahang pula di negeri Pahang.

Artikel ini membincangkan tentang perbandingan antara loghat Kelantan, Terengganu dan Pahang. Tumpuan penulis untuk artikel ini adalah variasi yang dituturkan di sekitar kawasan pesisir Kelantan, hilir Terengganu dan daerah Pekan, Pahang.

NAMA LOGHAT

Perhatikan perkataan “kkecek”, “ccakak” dan “cakak” dalam loghat Kelantan, Terengganu dan Pahang. Ketiga-tiganya adalah dipercayai sepadan dengan perkataan “cakap” dalam loghat Johor-Riau.

PERBANDINGAN AYAT SEHARIAN

Pertimbangkan ayat berikut yang membawa maksud “Emak suka dengan si Latifah itu, bersopan-santun budaknya”.

Loghat Kelantan
Mok brehi ko latipah tu, juruh sengoti.

Loghat Terengganu
Mok wahi nge si ttipoh or, beraluh budok tu.

Loghat Pahang
Mok suka benor ngan si Tipah itu, beraluih budaknya.

Berdasarkan ayat di atas:

Ketiga-tiga loghat itu telah memendekkan perkataan “emak” menjadi “mok”.
Kecuali Kelantan, loghat berkenaan telah memendekkan nama orang iaitu “Latifah”.
Ketiga-tiga loghat tersebut menggantikan bunyi Geseran Bibir Gigi Tidak Bersuara [f] kepada Hentian Dua Bibir Tidak Bersuara [p].
Perkataan “ttipoh” dalam loghat Terengganu mengandungi dwikonsonan “t” (TT). Tidak silap penulis, dwikonsonan tersebut melambangkan bunyi “t” yang tebal.
Perkataan “beraluh” dan “beraluih” yang masing-masing membawa maksud “bersopan-santun” dalam Terengganu dan Pahang adalah sepadan (Kognat).

Penulis cuba untuk membuat terjemahan langsung ke dalam loghat ibunda.

Loghat Kelantan:
Mak … … latifah tu, … … …

Loghat Terengganu:
Mak … dengan si latifah …, berhalus budak itu.

Loghat Pahang:
Mak suka benar dengan si latifah itu, berhalus budaknya.

Tiga titik tersebut bermaksud, penulis tidak dapat mencari padanan dalam bahasa ibunda. Sekurang-kurangnya dalam ayat tersebut, penulis lebih mudah memahami tulisan loghat Pahang berbanding Terengganu dan Kelantan.

PERALIHAN BUNYI DARI PROTO-MALAYIK

Proto-Malayik (PM) adalah kajian bahasa purba yang telah melahirkan bahasa moden iaitu Melayu, Iban, Minangkabau dan sebagainya. Untuk pengetahuan, PM adalah anak kepada Proto-Malayo-Polinesia (PMP) di mana PMP adalah anak kepada Proto-Austronesia (PAN).

Contoh perkataan yang terdapat dalam PM adalah *taŋan, *hidup dan *hiduŋ. Ketiga-tiga perkataan purba itu masing-masing membawa maksud “tangan”, “hidup” dan “hidung”.

Proto-Malayik
Loghat Kelantan
Loghat Terengganu
Loghat Pahang

*taŋan
tange
tangang
tangæ̃

*hidup
idok
idok
idɔʔ

*hiduŋ
idong
idong
idɔ̃ᵊ

Daripada contoh di atas:

Ketiga-tiga loghat tersebut tidak membunyikan Geseran Glotis Tidak Bersuara [h] yang berada di awal perkataan.

Ketiga-tiga loghat masih mengekalkan bunyi Velar Dengung Bersuara [ŋ] yang berada di tengah perkataan.

Kecuali Pahang, kesemua loghat masih mengekalkan sebutan Velar Dengung Bersuara [ŋ] yang berada di akhir perkataan.

Perkataan yang berakhir dengan Hentian Dua Bibir Tidak Bersuara [p] menjadi Hentian Glotis [ʔ] dalam ketiga-tiga loghat itu.

Perkataan yang berakhir dengan bunyi [an] telah menjadi Vokal Hadapan Buka-Tengah Dengung Tidak Dibulatkan [ɛ̃], Velar Dengung Bersuara [ŋ] dan Vokal Hadapan Dekat-Buka Dengung Tidak Dibulatkan [æ̃] dalam loghat Kelantan, Terengganu dan Pahang masing-masing.

Berdasarkan pendengaran penulis, bunyi [ʔ] seperti huruf “h” pertama dalam “uh-oh”. Sebutan tersebut mesti disebut dengan menggunakan Bahasa Inggeris British.

Berdasarkan pendengaran penulis juga, bunyi [ɛ̃] dan [æ̃] masing-masing seperti huruf “e” dalam “bed” dan “a” dalam “have” beserta dengan pengeluaran sedikit angin di hidung. Sebutan tersebut mesti disebut dengan menggunakan Bahasa Inggeris British.

KEBOLEHFAHAMAN BERSAMA

Kebolehfahaman Bersama ataupun dalam bahasa Inggeris “Mutual Intelligibility” secara ringkasnya adalah situasi di mana penutur dapat memahami antara satu sama lain tanpa perlu pelajarinya.

Persoalannya, apakah penutur Kelantan, Terengganu dan Pahang dapat faham satu sama lain? Dengan keadaan, mereka tidak mengenali Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia Baku, tidak pernah bertemu dan mereka perlu berbual dengan menggunakan loghat masing-masing.

Sejujurnya, penulis tiada jawapan untuk soalan tersebut. Harap mereka yang berkenaan dapat memberikan ulasan di dalam ruangan ulasan di bawah.

AKHIR KATA

Kesimpulannya, itu adalah artikel tentang perbandingan antara loghat Kelantan, Terengganu dan Pahang. Perlu diingatkan, ketiga-tiga loghat tersebut bukanlah berasal daripada Johor-Riau. Malah, mereka adalah adik-beradik dengan Johor-Riau yang beribu-bapakan Proto-Malayik.

Pada hakikatnya, penulis hendak mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada mereka yang membantu dalan menyiapkan artikel ini. Jasa mereka tidak terhitung banyaknya.

Apakah yang penulis terlupa tentang loghat trio pantai timur semenanjung Malaysia itu? Harap berikan ulasan anda di dlaam ruangan ulasan di bawah.

RUJUKAN:

Temubual penulis dengan penutur jati Cakak Pahang (Pekan).

Temubual penulis dengan penutur jati Ccakak Tranung.

Temubual penulis dengan penutur jati Kkecek Kelate.

How many people speak Indonesian? Dicapai pada 15hb Jun 2020 dari http://ipll.manoa.hawaii.edu/indonesian/2012/03/10/how-many-people-speak-indonesian/

Bahasa Melayu. Dicapai pada 15hb Jun 2020 dari https://www.mustgo.com/worldlanguages/bahasa-melayu-malay/

Omniglot: Malay. Dicapai pada 15hb Jun 2020 dari https://www.mustgo.com/worldlanguages/bahasa-melayu-malay/

Dewan Bahasa Dan Pustaka. Dicapai pada 15hb Jun 2020 dari http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=johor+riau&d=175768&

Anda mungkin juga berminat

Ruangan komen telah ditutup.