Bahasa Melayu Di Satun, Thailand

0
678
views

Sehingga tahun 1813, Satun atau Setui masih merupakan sebuah mukim dalam negeri Kedah. Akibat perjanjian British denngan Siam pada tahun 1909, British menyerahkan Setui kepada Siam. Bertitik tolak daripada peristiwa bersejarah itu, terpisahlah wilayah-wilayah Melayu di Thailand Selatan dengan negeri-negeri serumpunnya iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu. Setui yang berasal daripada nama sejenis buah, ditukar  kepada Satun. Sama seperti Singgora yang ditukar menjadi Songkhla, Terang menjadi Trang, Jala menjadi Yala, dan Menara menjadi Narathiwat.

Wilayah-wilayah tersebut kemudiannya didatangi oleh orang-orang Siam yang agak ramai untuk menyeimbangkan populasi Melayu-Muslim dengan Siam-Buddha. Pada awal kurun ke-19, Satun mempunyai populasi Melayu-Muslim melebihi 90 peratus tetapi kini telah berkurangan kepada 65 peratus. Kerajaan Melayu Setui pernah diperintah oleh kerabat diraja Kedah. Namun demikian, perubahan sistem pemerintahan akhirnya memadamkan sejarah Kesultanan Melayu Setui.

Jetpack Langkawi

Namun begitu, walaupun sejarah Kesultanan Setui telah padam tetapi masyarakat Melayu di sana masih wujud hari ini. Selain bahasa Thai, mereka masih bertutur dalam  bahasa Melayu, dengan menggunakan dialek Kedah. Bahasa Melayu telah diajarkan di kebanyakan sekolah di Thailand Selatan. Sebanyak 200 jam setahun telah diperuntukkan untuk pelajaran Bahasa Melayu. Bahasa Melayu yang diajarkan di sana mempunyai dua bentuk tulisan iaitu tulisan Rumi dan tulisan Jawi. Dalam buku yang digunakan di sekolah, kedua-dua  jenis tulisan ini digunakan secara berselang-seli. Alangkah baiknya jika buku-buku teks subjek Bahasa   Melayu di negara kita juga dicetak dengan dua jenis tulisan iaitu tulisan Rumi dan tulisan Jawi.

Bahasa Melayu juga digunakan dalam pengajaran agama Islam. Kitab-kitab bahasa Arab yang digunakan  akan diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu  terlebih dahulu sebelum diterjemahkan sekali lagi dalam bahasa Thai. Penggunaan bahasa Melayu dalam pengajaran agama sama ada di masjid atau di sekolah adalah lebih selesa kerana  sifat bahasa Melayu yang lebih mudah difahami dan mesra. Penerangan dalam bahasa Melayu tentang sesuatu istilah yang berkaitan dengan agama dapat dibuat dengan lebih jelas dan lebih tepat  berbanding dengan bahasa Thai yang agak terhad padanan katanya.

Pada awal tadi, telah dinyatakan bahawa masyarakat Melayu-Muslim berkurangan. Keadaan ini dilihat semakin bahaya kerana generasi muda kini yang berpendidikan Thai menguasai bahasa Thai dengan lancar dan baik.  Mereka lebih suka menggunakan bahasa Thai.  Hal ini menyebabkan sesetengah daripada mereka berasa kekok apabila bertutur dalam bahasa Melayu. Senario tersebut adalah kesan daripada polisi kerajaan Thailand yang hendak masyarakat Islam di Thailand Selatan dapat bertutur dalam bahasa Thai walaupun secara beransur-ansur.

Seperti ucapan Raja Phumiphon atau Rama IX ketika melawat wilayah Yala pada 23 Mac 1959.

“Pendidikan adalah menjadi perkara yang sangat penting. Diharapkan supaya kerajaan dapat menguruskannya dengan baik dan mampu menjadikan rakyat di sini dapat berbahasa Thai. Walaupun tidak ramai dapat bercakap tetapi setakat boleh memahaminya adalah dianggap satu kejayaan. Kerana sebelum ini, bagi yang tidak memahami bahasa Thai terpaksa digunakan penterjemah. Dengan itu, perlu diusahakan supaya rakyat di sini dapat bercakap dan memahami bahasa Thai.”

Ucapan tersebut jelas menunjukkan bahawa  kerajaan Thailand  menghendaki masyarakat Islam di Selatan Thailand  menguasai bahasa Thai atau lebih  kurang  dapat memahaminya. Cara yang telah diterapkan oleh kerajaan adalah melalui pendidikan. Oleh sebab itulah, golongan generasi muda khususnya lebih terpengaruh dengan bahasa Thai sehingga kekok bertutur bahasa Melayu.  Hal ini merupakan cabaran  atau ancaman terhadap Bahasa Melayu di Satun.

Rujukan:

  1. Zaidi Ismail, Obor Bahasa Melayu Masih Menyala di Satun, Dewan  Bahasa, 3, 2015
  2. Sidi, N. (2010) Bab 3: Ismail Lufti Japakiya Dan Pedekatan Dakwahnya. Unpublished thesis. University of Malaya: Jabatan Dakwah Dan Pembangunan Insan Akademi Pengajian Islam. available from <http://studentsrepo.um.edu.my/5372/6/BAB_TIGA.pdf> [7 August 2018]