Bahasa Jiwa Bangsa: Sejarah Evolusi Bahasa Melayu

1152
views
35113798 - malaysia: geographical view

Bangsa secara amnya difahami sebagai satu kumpulan manusia yang mempunyai ciri-ciri yang sama. Dewasa ini, ada sesetengah pihak yang secara semberono telah menyamakannya dengan kosa kata kaum sedangkan mengikut takrif Dewan Bahasa dan Pustaka, bangsa ini boleh ditakrif sebagai jenis manusia daripada satu asal keturunan; kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan; bermacam jenis; jantina; dan darjat.

Di sini dapat dilihat bahawa kosa kata bangsa boleh mengalir di dalamnya pelbagai makna mengikut konteks penuturnya tanpa ada perubahan bentuk. Oleh itu, kadang-kadang sukar untuk difahami atau mudah disalah-ertikan oleh pendengar apabila penutur menuturkan perkataan bangsa ini sebenarnya merujuk kepada makna yang mana satu. Kesannya perbincangan yang bersifat besar dan luas telah disamakan dengan bersifat perkauman.

Bahasa pula merujuk kepada satu sistem perhubungan di antara sesama manusia yang mana ianya adalah salah satu ciri yang membezakan manusia dengan haiwan. Pemikir Barat mentakrifkan manusia sebagai haiwan rasional manakala pemikir Muslim mentakrifkan manusia sebagai al-haywan al-natiq yang juga secara terjemahan kasar memberi makna yang sama. Malah, salah satu daripada fakulti pemikiran manusia memiliki keupayaan untuk memberikan makna dan ini dinamakan dhu nutq.

Kedua-dua kosa kata ini, natiq dan nutq, berasal daripada kata akar yang sama yang memberi makna percakapan atau pertuturan, dan di dalam erti ini ia menzahirkan kebolehan dan keupayaan manusia untuk menuturkan kata-kata yang mempunyai makna. Keistimewaan ini malah dizahirkan dengan kepelbagaian bahasa yang dituturkan malah kepelbagaian ini boleh dipelajari untuk lebih kenal dan dikenali antara sesama sendiri. Kepelbagaian bahasa ini menunjukkan bahasa bukanlah milik perseorangan namun merupakan penzahiran konsep bermasyarakat.

Pengasingan sebahagian masyarakat ekoran muka bumi ataupun perpindahan besar-besaran justeru akan mewujudkan jurang perbezaan di dalam kebahasaan mereka. Jika jurang ini dibiarkan berabad-abad lamanya akan melahirkan baik bahasa baru mahupun suku bahasa baru. Oleh itu sesuatu bahasa masa kini dapat ditelusuri salasilah bahasanya dan hubungkait kekeluargaan dengan bahasa yang lain. Kebolehan manusia menghasilkan bahasa dan sub bahasa yang berbagai ini membezakan manusia dengan haiwan kerana perbezaan ini boleh di fahami oleh kelompok yang berbeza sedangkan haiwan tidak mampu berbuat sedemikian. Keluarga bahasa yang dihasilkan ini bukan sahaja menunjukan interaksi manusia dengan alam malah memperihalkan juga keadaan muka bumi, sosio-politik semasa, agama dan kebudayaan juga nilai keilmuan.

Jiwa adalah unsur batin seseorang manusia yang secara tidak langsung menggambarkan unsur batin sesuatu masyarakat dan juga sesebuah tamadun juga. Sebagai contoh mudah, Tamadun Barat walaupun terdiri daripada pelbagai bangsa/kaum/etnik, mereka secara sepakat seia sekata menggambarkan jiwa Barat yang tersendiri. Jiwa Tamadun Barat in telah ditakrifkan oleh Prof Naquib sebagai sebuah amalgam dan gabungan budaya, falsafah, nilai dan semangat daripada Yunani Kuno dan Rom beserta dengan agama Yahudi dan Nasrani di mana diperkembangkan lagi melalui penambahan unsur-unsur Latin dan Germanik, Celt dan Nordik. Yunani Kuno telah menyumbang kepada unsur falsafah dan epistemologi dan asas pendidikan dan juga etika dan nilai seni estetika. Rom pula menyumbang kepada unsur perundangan, ketatanegaraan dan kerajaan. Manakala agama Yahudi dan Nasrani memberikan unsur keberagamaan.

Ditambah pula dengan unsur-unsur kebangsaan dan bangsa Latin, Germanik, Celt, Nordik serta pembangunan dan kemajuan sains kemanusian dan fizikal dan teknologi. Bahasa yang digunakan bagi menggambarkan jiwa Tamadun Barat ini sering berubah-berubah, daripada Latin kepada Perancis dan kini Inggeris, namun jiwa yang sama masih dipaparkan. Malah era globalisasi memperlihatkan, kesan penjajahan, jiwa Tamadun Barat bukan lagi hanya dijiwai oleh bangsa Barat sahaja namun ianya juga telah meresap ke setiap tamadun-tamadun lain. Kini, bangsa-bangsa bukan Barat mungkin sahaja hanya tahu berbahasa ibunda namun jiwa yang terkandung adalah jiwa Tamadun Barat.

Bahasa sebenarnya tidak bersifat statik. Ia mampu berkembang, menyusut, terlupus atau menjadi beku. Perkembangan sesuatu bahasa boleh sahaja berlaku ekoran peningkatan jumlah penutur ibundanya, penyebaran bahasa tersebut daripada asal kawasan bahasanya, atau perkembangan fungsi dan korpus bahasa, dan perkembangan dari segi penyampaian ilmu termasuk gayanya.

Contohnya bahasa Inggeris, di mana bahasa ini di zaman sekarang telah meningkat jumlah penuturnya.  Bahasa ini juga telah menyebar jauh daripada kawasan asalnya England hingga tersebar di seluruh dunia dan menjadi bahasa utama di Amerika, Australia, New Zealand dan beberapa tempat lain. Malah bahasa Inggeris kini telah mengambil alih obor bahasa ilmu daripada bahasa Perancis lantas menjadikan bahasa Inggeris digunakan dengan lebih meluas sehingga dijadikan bahasa kedua di seluruh negara bukan berbahasa Inggeris.

Melihat pula kepada bahasa Melayu, jika hendak dikira mengikut penutur ibundanya, bahasa Melayu sendiri telah mengalami penyusutan di beberapa kawasan seperti di selatan Thai dan di Singapura. Namun begitu bahasa Melayu sebenarnya mengalami perkembangan yang sangat mendadak dalam masa yang singkat, di mana Asmah Haji Omar menganggap tiada yang setara di dalam dunia ini, iaitu dengan penambahan penutur bahasa kedua berkali-kali ganda.

Ini berlaku di Indonesia apabila penutur asalnya yang tidak berbahasa Melayu telah diajar dengan baik di peringkat pendidikan dan akhirnya berupaya berbahasa dengan baik. Malah Malaysia turut melihat penambahan yang sama dengan penguatkuasaan bahasa kebangsaan. Paling penting, bahasa Melayu yang sebelum ini telah dinafikan penggunaannya di pelbagai bidang dan lapisan semasa zaman penjajahan telah diberikan peluang kedua melalui penubuhan negara-bangsa seperti Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura.

Sebenarnya bahasa juga boleh terlupus samaada di kawasan asal ataupun di kawasan sebarannya. Ini boleh berlaku akibat penindasan yang dilakukan oleh pihak kerajaan seperti yang berlaku pada bahasa Hawai dan Guam. Selain itu bahasa boleh sahaja lupus dengan terlupusnya penuturnya seperti mana orang Asli Amerika yang terhapus ekoran polisi penajajah pada masa itu. Selain itu, bahasa juga boleh mengalami pembekuan. Pembekuan bermaksud ianya tidak berkembang namun ia hanya dikenali oleh kumpulan-kumpulan tertentu sahaja. Contohnya bahasa Sanskrit dan Latin.

Bagi bangsa Melayu, bahasa Melayu sudah wujud lama dahulu, diturunkan melalui bahasa Austronesia Purba dan yang terawal direkodkan adalah bahasa Melayu Kuno tercatat di prasasti-prasasti di seluruh Asia Tenggara pada kurun 7 Masihi. Pengaruhnya yang luas dan melebar sehinggakan meliputi sepertiga dunia adalah hasil perluasan dan hegemoni kuasa Empayar Melayu Sriwijaya.

Selat Melaka yang merupakan laluan sutera tersohor zaman berzaman telah menjadi lubuk kekayaan dan kekuatan Empayar Sriwijaya telah meningkatkan pengaruh Bahasa Melayu Kuno mempengaruhi bahasa sekelilingnya. Kemudian, era bahasa Melayu bergerak ke arah bahasa Melayu Klasik sebelum bahasa Melayu moden menerjah alam Melayu ini. Era bahasa Melayu Klasik menyaksikan pengaruh bahasa itu dan perluasan adalah melalui jalan ilmu bukan sahaja penguasaan ekonomi dan tanah jajahan. Bahasa Melayu Klasik ini sangat unik kerana menurut Asmah haji Omar ianya bukanlah satu bahasa lanjutan daripada bahasa Melayu Kuno.

Ia terasing daripada bahasa Melayu Kuno malah lanjutan kepada bahasa Melayu Kuno telah hilang ditelan zaman. Pendapat ini seiring dengan pendapat Prof Naquib Al-Attas bahawa bahasa Melayu Klasik terbentuk ekoran pengIslaman orang-orang Melayu dan hasil daya-usaha pendakwah zaman itu yang telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa perantara untuk agama Islam. Malah bahasa Melayu moden kini adalah lanjutan bahasa Melayu Klasik bukannya bahasa Melayu Kuno. Uniknya di sini, Islamisasi bahasa Melayu telah secara tidak langsung menerbitkan konsep bangsa Melayu yang baru sehingga munculnya kefahaman Melayu itu Islam dan sebaliknya dan Masuk Islam itu Masuk Melayu. Di sini dapat dilihat bahasa baru telah memainkan peranan membentuk bangsa baru.

Bagaimana ini berlaku?

Prof Naquib menjelaskan di dalam bukunya Islam dan Sekularisme, satu takrif kata kunci penting iaitu Islamisasi. Menurut beliau Islamisasi bukan sekadar menukar atau merubah bentuk zahir sahaja tetapi perubahan batin itu lebih penting walaupun bentuk zahirnya masih dikekalkan. Islamisasi itu ialah

. . . pembebasan manusia pertamanya sekali daripada sihir, tahyul, animisme, tradisi bersifat bangsa dan kebangsaan, dan akhirnya daripada kawalan sekular ke atas akal (reason) dan bahasanya.

Takrif ini memperlihatkan Islamisasi berkait rapat dengan bahasa dan akal, di mana terdapat hubung-kait di antara kedua-duanya. Malah Prof Naquib turut menyatakan bahawa Islam ketika bersentuhan dengan bahasa-bahasa dunia telah mengubah-suai bahasa-bahasa tempatan supaya bersifat Islami namun masih mencirikan aspek tempatan dan ini telah menghasilkan rumpun bahasa Islam yang tersendiri. Bahasa Islam lain yang wujud adalah bahasa Urdu, Farsi, Uthmani (Turki), Swahili dan bahasa-bahasa kecil yang lain.

Sepertimana bahasa Arab berubah secara semantik dan makna kata kunci penting melalui penurunan Al-Quran yang terpelihara maknanya, Al-Quran juga telah memasukkan kata kunci yang menayangkan pandangan alam Islam ke dalam bahasa-bahasa tersebut sehinggakan ianya sebati di dalam bahasa tersebut dan maknanya tidak akan berubah kerana berpandukan Al-Quran. Selain itu, kosa kata pemikiran pra-Islam pula telah disesuaikan dan maknanya telah diganti mengikut Islam sehinggakan penuturnya kini tidak mengetahui makna selain apa yang Islam berikan. Contoh yang mudah di dalam bahasa Melayu ialah perkataan puasa, syurga, dosa dan pahala.

Islamisasi bahasa Melayu yang telah melahirkan bahasa Melayu Klasik telah melonjakkan lagi pengaruh dan kekuatan bahasa Melayu. Bahasa Melayu Klasik mula membincangkan hal-hal teologi dan falsafah di mana kemuncaknya pada abad ke 17 seperti mana yang boleh dilihat pada tulisan Syeikh Nuruddin Ar-Raniri, Syeikh Hamzah Fansuri dan lain-lain.

Bahasa Melayu juga telah direvolusikan dengan pengambilan tulisan Arab yang disesuaikan dengan penambahan huruf-huruf baru yang dipanggil tulisan Jawi. Bahasa Melayu baru ini juga menandakan bahasa Melayu bukan lagi sekadar bahasa elit dan kini menjadi bahasa untuk setiap lapisan masyarakat sesuai dengan peranan barunya sebagai bahasa pembelajaran ilmu agama. Ini boleh dilihat melalui perbezaan di antara batu bersurat Terengganu dengan Aqaid Al-Nasafi di mana kata kunci bahasa Arab Islam telah melalui pemeribumian di dalam Aqaid An Nasafi berbanding Batu Bersurat Terengganu.

Namun dewasa ini, kelihatan generasi terkini mengalami kecelaruan identiti bangsa yang mahadahsyat. Za’ba menyedari bahawa istimewanya orang Melayu  ini sepertimana bahasanya juga adalah kelenturan yang dimiliki mereka yang Za’ba ibaratkan seperti getah yang mampu ditarik-lenturkan namun boleh kembali kepada bentuk asal. Itulah orang Melayu, itulah bahasa Melayu. Akan tetapi, sifat ini tidak kelihatan di dalam masyarakat Melayu kini. Malahan masyarakat Melayu kini digambarkan dengan bahasa yang kesat dan murahan beserta akhlak yang merudum. Selain itu, tahap bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang Melayu sudah mula merosot dan kini tersangatlah rendah mutunya.

Di mana silapnya?

Md Asham Ahmad menulis bahawa bangsa Melayu ini sebenarnya menderita penyakit ‘Krisis Makna Diri’. Semenjak dua ratus tahun dahulu hingga kini, bangsa Melayu ini telah dihimpit oleh dua golongan yang satunya dengan sengaja dan satu lagi pula dengan cuainya. Pihak yang sengaja itu adalah pihak penjajah yang dengan sengaja telah meninggalkan kesan pemahaman sejarah bangsa Melayu yang telah diubah-suai mengikut kefahaman mereka sendiri iaitu dengan menidakkan kepentingan pengaruh Islam di dalam tamadun Melayu dan malah dengan sengaja meninggikan kehebatan bangsa Melayu dengan berlebih-lebihan pada zaman pra-Islam. Kesannya, orang Melayu terasa kelompongan yang besar di dalam sejarah bangsa mereka, seakan-akan mereka ini hina berabad-abad lamanya sehinggalah mereka dijajah dan diberikan nafas baru.

Malah penjajah telah mendidik pribumi agar mereka juga memandang saudara mereka melalui kaca mata penjajah justeru meneruskan polisi, pemikiran dan pandangan alam penjajah. Golongan kedua ini pula dipanggil golongan modernis dan reformis yang mungkin memandang sejarah mengikut kaca mata Barat telah menuduh keIslaman alam Melayu sebagai tidak tulen di mana masih berbaur dengan agama Hindu-Buddha dan anismisme. Oleh itu mereka dengan cuainya telah cuba memutuskan tradisi Islam yang dimiliki oleh bangsa Melayu ini sejak Islam sampai seawal abad ke 7 Masihi. Pemutusan daripada tradisi keilmuan agama ini mengikut Asham Ahmad telah menimbulkan krisis kewibawaan di mana pemilik kewibawaan sebenar telah disisihkan dan diganti oleh pemilik palsu.

Kesannya ia telah merebak ke setiap lapangan dan ini menganggu-gugat lapangan pendidikan, politk, keagamaan dan lain-lain seterusnya menimbulkan keputusan-keputusan yang menjauh daripada kebenaran. Keputusan yang menyimpang jauh daripada proses Islamisasi adalah penukaran aksara bahasa Melayu daripada Jawi kepada tulisan rumi di mana ia telah memutuskan bahasa Melayu daripada  hubungan asal, keilmuan, konsep bahasa, leksikal, dengan sumber-sumber Islam, sumber Islam tempatan dan dengan bahasa Muslim yang lain. Ia menyebabkan kekaburan kata kunci Islam dan pandangan alam Islam yang selama ini jernih justeru melahirkan segelintir masyarakat Melayu Islam yang asing kepada masyarakat umum.

Seperti Za’ba nukilkan, bahasa Melayu ketika saat merdeka tidak mempunyai kekuatan setanding bahasa-bahasa dunia yang lain namun begitu kekuatan bilangan penuturnya mampu untuk mengembalikan kekuatan bahasa tersebut. Seperti juga yang kita jelaskan melalui takrif Islamisasi, bahasa ini ada hubungkait dengan akal dan ini menunjukkan kekuatan akal bangsa Melayu ketika merdeka adalah lemah juga sesuai dengan bahasa yang lemah. Oleh itu, disarankan oleh Za’ba agar bahasa Melayu digunakan dengan meluas di setiap lapangan ilmu.

Pendapat ini disokong oleh Asmah Haji Omar dengan mengatakan bahawa pada awalnya sememang bahasa Inggeris seakan-akan mewarnai bidang keilmuan di negara kita namun lama-kelamaan apabila bahasa Melayu sudah mula berbicara di laras yang tinggi, sudah pastinya bahasa Melayu akan menjadi kuat semula. Apa yang boleh dilakukan agar setiap pakar dalam sesuatu bidang itu mestilah pakar dalam ilmu penterjemahan agar mampu beliau menerjemahkan ilmu-ilmu baru ke dalam bahasa Melayu. Malah kosa kata ilmu baru mampu diterjemahkan tanpa meniru bulat-bulat bahasa asal ilmu itu.

Sehubungan itu dalam memastikan kemandirian bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan Malaysia yang berwibawa, bulan bahasa kebangsaan telah diwujudkan pada bulan Oktober sebagai upacara tahunan. Bulan bahasa kebangsaan ini pada hemat saya adalah kesinambungan daya-usaha memartabatkan bahasa kebangsaan selepas wujudnya Dasar Kebudayaan Kebangsaan 1971. Usaha ini jika diteliti memerlukan apek perundangan dan inilah yang ditekankan oleh Prof Naquib Al Attas dalam mewujudkan perpaduan di dalam negara yang berbilang kaum ini. Perpaduan yang ingin dicapai dalam membentuk bangsa Malaysia dalam erti ketamadunan memerlukan perpaduan yang kukuh dan utuh.

Prof Naquib telah menjelaskan bahawa adanya dua jenis perpaduan yakni perpaduan pepejal dan cecair. Perpaduan pepejal ini merujuk kepada beberapa batang besi diikat bersama manakala perpaduan cecair merujuk kepada kesemua batang besi itu dileburkan, ditempa dan disejukkan menjadi batang besi baru. Di sini perpaduan pepejal lebih mudah dirungkai berbanding perpaduan cecair. Oleh itu diajukan oleh Prof Naquib empat unsur yang boleh digunakan bagi membentuk perpaduan tersebut. Empat unsur tersebut ialah bangsa, bahasa, agama dan sejarah panjang. Sebangsa, sebahasa, seagama dan menjalani perjalanan sejarah yang sama seperti negara Jepun tentulah mampu menghasilkan perpaduan yang kukuh.

Namun begitu, ia tidak akan berlaku semudah itu di dalam negara-bangsa Malaysia. Bangsa Malaysia yang diimpikan tidak mungkin akan tercapai dalam masa terdekat. Malahan untuk jangka masa yang panjang mungkin agak sukar. Ini kerana untuk menghasil bangsa Malaysia, ia memerlukan perkahwinan silang di antara setiap kaum sehingga terlebur garis pemisah kaum-kaum asal tersebut. Namun begitu, ia menjadi sukar kerana perkahwinan dipengaruhi oleh agama dan di dalam Malaysia, terdapat pelbagai agama di mana ia telah merencatkan perkahwinan campur tersebut.

Keberadaan sejarah bersama yang panjang walaupun berjaya dibuktikan kependudukan orang bukan Melayu seawal zaman Kerajaan Melayu Melaka namun mereka tidak terlibat di dalam pembentukan dan penerusan ketamadunan di rantau ini. Oleh itu pemilihan bahasa sebagai agen penyatuan telah ditentukan dan bahasa Melayu telah dipilih bukannya bahasa Mandarin dan bahasa Tamil. Ini disebabkan bahasa Melayu adalah asas ketamadunan daerah ini dan mereka yang hadir di Tanah Melayu ini bukanlah daripada mereka yang mewakili kebudayaan tinggi masing-masing. Bukti-bukti fizikal ketamadunan Melayu boleh dikesan merata di alam ini.

Bulan bahasa kebangsaan ini sepatutnya menjadi medan utama dalam memastikan perkembangan bahasa Melayu bukan sahaja meningkat di dalam bilangan penuturnya sahaja tetapi juga di dalam mutu dan ketinggian ilmu kebahasaan penuturnya. Ini kerana setelah alam Melayu ini yang meliputi Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei dijajah dan semenjak 200 tahun lalu, bahasa Melayu telah merosot dengan dahsyatnya dengan ketiadaan golongan pedagang yang telah disisihkan oleh penjajah tersebut, di mana bahasa ini mula digunakan di daerah masing-masing. Malahan pengekalan raja/sultan yang hanya bertanggungjawab kepada hal ehwal orang Melayu dan agama sahaja juga telah menyesarkan bahasa Melayu daripada bahasa pentadbiran.

Apabila golongan pedagang ini telah disisihkan, hubungan luar terpaksa melalui orang tengah dan ini merencatkan pertukaran ilmu-ilmu luar ke dalam bahasa Melayu. Yang tinggal hanyalah pengekalan mutu bahasa Melayu di dalam bidang agama yang masih dipertahankan melalui institusi pondok. Malah di dalam bidang ilmu juga, pihak penjajah telah menggantikan sistem pendidikan tradisional dengan sistem pendidikan mereka. Hasilnya lahir bahasa Melayu rumi yang terputus dengan khazanah ilmu mereka dan anak bangsa yang lebih Inggeris daripada orang Inggeris sendiri.

Za’ba sendiri menyatakan bahawa bahasa Melayu ketika itu sememangnya tidak kuat dan melemah ekoran penindasan yang berlaku dan beliau begitu bersyukur dengan penubuhan negara-bangsa Malaysia dan Indonesia telah mengembalikan kekuatan dan kedudukan bahasa Melayu ke tempat asalnya. Akhirnya bahasa Melayu akan diajar di segenap bidang keilmuan. Malah, Prof Naquib turut mencadangkan agar penumpuan yang lebih dijalankan terhadap ilmu persuratan berbanding kesusasteraan kerana bidang persuratan mengandungi mutu ilmu yang tinggi tanpa sebarang bentuk khayalan di dalamnya.

Ketika sambutan bulan sebegini, seharusnya kekeliruan dan kecelaruan makna diri serta krisis kewibawaan ini yang telah membawa kepada pemutusan bahasa Melayu daripada khazanah Jawinya seharuslah ditampung dengan melakukan lebih banyak proses transliterasi agar nilai ilmu bahasa Jawi itu yang mengikut cara-gaya bahasa Arab dapat dikekalkan.

Selain itu, penterjemahan buku-buku berkualiti tinggi dan penting perlu dilakukan kepada bahasa Melayu dan ini meliputi semua bahasa bukannya bahasa Inggeris sahaja. Dengan tersedianya kepustakaan bahasa Melayu, diharapkan bahasa Melayu akhirnya menjadi kuat semula dan dengan sendirinya kebergantungan kepada bahasa asing terutamanya bahasa Inggeris dapat dikurangkan. Nilai sejarah Islam perlu dipersambungkan semula dan nilai keilmuan tulisan Jawi berjaya dikutip semula melalui proses transliterasi ini. Penyambungan ini menjadi bangsa Melayu kembali mendakap makna dirinya yang sebenar.

Malah, bulan kebangsaan ini haruslah juga menggalakkan kaum-kaum dan etnik-etnik lain di dalam negara-bangsa Malaysia ini menyumbang korpus keilmuan masing-masing ke dalam bahasa Melayu agar sebarang kekurangan yang dihadapi oleh bahasa Melayu boleh ditampung oleh korpus baru ini. Sejajar dengan ini, bahasa Melayu akan mula mengukuh dan apabila ia mampu bertindak sebagai bahasa yang berwibawa, kita juga telah selangkah mengikat rakyat kita dengan bahasa yang satu dengan harapan akan zahir warganegara yang seia dan sekata dalam hati, pertuturan dan perbuatan.

Kesimpulannya, Bangsa Malaysia yang terdiri daripada warganegara pelbagai kaum dan etnik yang bertunjangkan ketamadunan Melayu ditambah pula dengan sumbangan nilai-nilai dan ilmu tambah daripada ketamadunan kaum Tionghua dan Tamil akan membawa ketamadunan Bangsa Malaysia ke tahap yang lebih global dan berdaya saing. Dengan syarat bahasa dan jiwa bangsa Melayu perlu dipulihkan dan dikekalkan agar mampu muncul di persada dunia. Sesungguhnya! Bahasa yang kuat membentuk jiwa yang kuat seterusnya menjadikan bangsa itu kuat. Sesuailah dengan perumpamaan “Bahasa Jiwa Bangsa”.

Artikel disumbangkan oleh Khairul Ashraf Shah Nizamuddin kepada The Patriots

Rujukan

  1. Dewan Bahasa & Pustaka http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=bangsa&d=112592&#LIHATSINI
  2. Nationalism – Nenad Miscevic https://plato.stanford.edu/entries/nationalism/
  3. Susur Galur Bahasa Melayu Edisi Kedua – Asmah Haji Omar
  4. Teori dan Kaedah Nahu : Sejarah Pertumbuhan Aliran Pemikiran – Asmah Haji Omar
  5. Oktober Bulan Bahasa Kebangsaan oleh Norazlinda Misran http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=8242
  6. The Concept of Education In Islam – Syed Muhammad Naquib Al Attas
  7. Unsur-unsur Utama Pemupukan Bangsa, Kebangsaan dan Patriotisme – Muhammad Zainy Uthman
  8. Islam & Secularism – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
  9. Historical Fact & Fiction – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
  10. Risalah Untuk Kaum Muslimin – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
  11. Tinjauan Ringkas Peri Ilmu dan Pandangan Alam – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
  12. Bahasa Melayu Kelebihan dan Kekurangannya – Za’ba
  13. Peradaban Melayu – Mohd Koharuddin Mohd Balwi
  14. Kajian dan Perkembangan Bahasa Melayu – Asmah Haji Omar
  15. Pembudayaan Bahasa dan Pembentukan Rupa Bangsa – Awang Sariyan
  16. Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu – Syed Muhammad Naquib Al-Attas
  17. Introduction to Islamic Calligraphy – Abd Rahman Hamzah
  18. God and Man In The Qur’an – Toshihiko Izutsu
  19. Pengantar Ilmu Jawi – Kang Kyoung Seok, Muhammad Syukri Rosli