Bahasa Inggeris: British Vs Amerika

57

Bahasa Inggeris ataupun nama asalnya English adalah bahasa Jermanik Barat di bawah cabang bahasa Indo-Eropah yang dituturkan oleh 600 hingga 700 juta orang penutur di seluruh dunia. Seperti mana bahasa-bahasa yang lain, Bahasa Inggeris juga mempunyai variasinya yang tersendiri.

Antara variasi yang terkenal dalam bahasa tersebut adalah Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika ataupun British English (BrE) dan American English (AmE) masing-masing. Artikel ini membincangkan tentang perbandingan antara duavariasi Bahasa Inggeris iaitu Received Pronunciation (RP) dan General American (GA).

Perbandingan antara Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika boleh dilihat daripada segi ejaannya. Bahasa Inggeris British menggunakan ejaan “-ise” manakala Bahasa Inggeris Amerika menggunakan ejaan “-ize”. Sebagai contoh: centralise, recognise dan apologise dalam Bahasa Inggeris British adalah sepadan dengan centralize, recognize dan apologize dalam Bahasa Inggeris Amerika. Justeru, perbandingan dalam variasi bahasatersebut boleh dilihat daripada segi ejaannya.

Perbandingan antara Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika boleh dilihat daripada segi tatabahasanya. Dalam Bahasa Inggeris British, kata nama boleh dianggap sama ada tunggal mahupun jamak manakala dalam Bahasa Inggeris Amerika, kata nama tetap dianggap sebagai tunggal. Contoh ayat dalam Bahasa Inggeris British adalah “The band are playing” manakala dalam Bahasa Inggeris Amerika adalah “The band is playing”.Perhatikan perkataan “is” dan “are” dalam kedua-dua variasi tersebut. Justeru, perbandingan antara kedua variasi bahasa tersebut boleh dilihat daripada segi tatabahasanya.

Perbandingan antara Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika boleh dilihat daripada segi sistem bunyi vokal mereka. Bahasa Inggeris British mempunyai dua belas bunyi vokal manakala Bahasa Inggeris Amerika mempunyai sebelas bunyi vokal. Bunyi yang terdapat dalam Bahasa Inggeris British adalah [iː], [ɪ], [e], [æ], [ɑː], [ɒ], [ɔː], [uː], [ʊ], [ʌ], [ɜː] dan [ə] manakala bunyi yang terdapat dalam Bahasa Inggeris Amerika adalah [i], [ɪ], [ɛ], [æ], [a], [ɔ], [u], [ʊ], [ʌ], [ɜr] dan [ə]. Kesemua bunyi vokal dalam kedua-dua variasi Bahasa Inggeris tersebut diwakili dengan menggunakan empat huruf vokal sahaja iaitu Aa, Ee, Ii, Oo dan Uu. Justeru, bilangan bunyi vokal dalam Bahasa Inggeris British lebih banyak daripada Bahasa Inggeris Amerika.

Perbandingan antara Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika boleh dilihat daripada segi sebutan bunyi “Rr”. Apabila berada di tengah dalam Bahasa Inggeris British, bunyi “Rr” tidak disebut (Non-rhotic) manakala dalam Bahasa Inggeris Amerika, bunyi “Rr” disebut. Sebagai contoh perkataan “born” disebut sebagai [bɔːn] dalam Bahasa Inggeris British manakala [bɔːrn] dalam Bahasa Inggeris Amerika. Begitu juga apabila berada di hujung, dalam perkataan “another”; Bahasa Inggeris British menyebut sebagai [əˈnʌðə] manakala Bahasa Inggeris Amerika menyebut sebagai [əˈnʌðər]. Walaubagaimanapun, mereka tetap menyebut bunyi “R” pada awal perkataan iaitu [r]. Justeru, perbandingan antara kedua-dua variasi bahasa tersebut boleh dilihat daripada segi sebutan bunyi “Rr”.

Perbandingan antara Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika boleh dilihat daripada segi perbendaharaan kata. Kadangkala, benda yang sama tetapi mempunyai perbendaharaan kata yang berbeza seperti “mobile phone” dalam Bahasa Inggeris British adalah sepadan dengan “cell phone” dalam Bahasa Inggeris Amerika. Begitu juga dengan holiday-vacation, jumper-sweater, braces-suspenders dan underground-subway dalam Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika. Justeru, perbandingan antara kedua-dua variasi bahasa tersebut boleh dilihat daripada segi perbendaharaan kata.

Akhir sekali, perbandingan antara Bahasa Inggeris British dan Bahasa Inggeris Amerika boleh dilihat daripada segi hitungan kedudukan tingkat. Untuk bangunan tinggi, Bahasa Inggeris British menggunakan hitungan “basement, ground floor, first floor, second floor, …” manakala Bahasa Inggeris Amerika menggunakan hitungan “basement, first floor, second floor, third floor, …”.Justeru, perbandingan antara kedua-dua variasi bahasa tersebutboleh dilihat daripada segi hitungan kedudukan tingkat.

Kesimpulannya, itu adalah antara perbandingan antara Bahasa Inggeris British dengan Bahasa Inggeris Amerika. Walaubagaimanapun, sebahagian perbandingan yang terdapat dalam satu variasi boleh ditemui di dalam variasi yang lain bergantung kepada pendedahan mereka yang berkenaan. Ramai mendakwa Bahasa Inggeris Amerika lebih mudah dipelajari berbanding Bahasa Inggeris British dan ramai juga yang menganggap Bahasa Inggeris British itu bahasa yang lebih agung daripada bahasa yang lain. Pada pendapat anda, variasi Bahasa Inggeris manakah yang anda gemari? Sila jelaskan di dalam ruangan komen di bawah.

Komen yang ditutup, tetapi jejak balik dan ping balik terbuka.