Bahasa Inggeris, Bahasa Ilmu Dan Generasi Muda Vietnam

0
1009
views

Tadi, sebelum solat Jumaat aku dihubungi oleh seorang pemuda Vietnam yang aku kenal ketika menaiki sleeper bus dari Ha Giang ke Hanoi lebih setahun yang lalu.

Dac Kien (bukan nama sebenar) menegurku ketika aku sedang jauh mengelamun dan termenung, mengenang nasib sahabatku yang mengalami serangan angin ahmar awal pagi itu. Kononnya, aku mahu ke Hanoi dan dari sana aku terus ke KLIA dan kemudiannya ke Johor Baharu. Pendek kata, malam itu sepatutnya menjadi malam terakhirku di Vietnam.

Dac Kien menegurku,

“Hello, I’m Dac Kien. Can you speak English with me?”

Sejak itu, hingga kini kami masih berhubung. Mujur ada FB, mudah sedikit kami bertegur sapa.

Seperti juga Cau Be yang aku kenal di Dien Bien Phu, ada beberapa lagi pemuda dan pemudi Vietnam yang menegurku untuk melayan mereka bertutur dalam bahasa Inggeris. Sekali dua tak mengapa, ini hampir setiap kota dan desa yang aku redah, ada sahaja yang mengajak berbual dalam bahasa Inggeris. Mereka ini semuanya jujur, bukan penipu.

Dac Kien, seorang kadet polis memang bercita-cita tinggi, periang dan peramah. Budi bahasanya pun amat sopan, sesuailah buat menantu senang cakap. Seperti juga yang lain, menguasai bahasa Inggeris di negara komunis ini bagaikan tiket untuk kehidupan yang lebih selesa. Selesa kerana industri pelancongan, pembinaan, perkilangan dan lain-lain yang semakin maju memerlukan generasi penerus yang mampu berbahasa Inggeris, Jepun, Perancis dan sebagainya.

Tetapi hari ini nadanya lain sedikit. Ada kesugulan, ada keraguan dan nampaknya dia buntu.

Dac Kien bertanyakan sama ada perlukah dia lupakan sahaja impiannya untuk mendapatkan sijil TOEIC (Test of English for International Communication). Mungkin TOEIC agak asing di Malaysia kerana di negara kita IELTS (International English Language Testing System) lebih popular.

Bagi Dac Kien, agak sukar untuk beliau meneruskan perjuangan kerana beliau baru sedar bahawa bahasa Inggeris pertuturan yang rasmi dan teratur amat berbeza jika hendak dibandingkan dengan bahasa Inggeris pasar.

Serba salah juga aku nak menasihati Dac Kien. Ayat pertama aku,

Waqaf Saham

“I’m not your father to decide this kind of thing…”

Aku nasihatkan beliau untuk teruskan, selesaikan apa yang sudah beliau mulakan dan fikirkan peluang yang terhidang 3 ke 5 tahun dari sekarang. Bincanglah dengan orang yang tersayang. Namun, keputusan akhir itu di tangan beliau.

Akhirnya, beliau memberitahuku,

“I will finish it. No need to discuss more.”

“That save everybody time… right? Good for you.” Balasku, lega.

Di Vietnam, terutama di desa dan pekan kecil seperti Dien Bien Phu (DBP), Lai Cau, Dong Van dan lain-lainnya, peluang untuk belajar bahasa Inggeris dan bertemu dengan mereka yang mampu berkomunikasi amat sedikit. Cau Be memberitahuku yang beliau belajar bahasa Inggeris dan Perancis melalui internet dan juga orang asing yang menetap di DBP (adalah dua orang yang beliau kenal).

Ada kelas bahasa Inggeris di sekolah namun tidak mencukupi. Menurutnya, tiada tuisyen, tiada kelas tambahan, amat sedikit bahan pembelajaran dan tidak ramai warga Vietnam dewasa yang mampu bertutur juga. Di Selatan Vietnam senarionya agak berbeza, namun bagiku hanya Ho Chi Minh yang agak berlainan, bahagian lain masih kekurangan penutur tegar.

Aku pernah ditegur oleh seorang kanak-kanak lelaki, mungkin berusia 9 tahun di hadapan Imperial City (Hoàng Thành). Aku melayan beliau dengan sabar dan setelah selesai, beliau memberi aku penanda buku sebagai cenderahati kerana sanggup melayan kerenahnya. Selepas itu aku berlalu pergi, namun sempat juga aku menoleh.

Rupa-rupanya beliau ke kawasan tumpuan pelancong ini bersama ayahnya dan mereka sedang berbincang tentang apa yang telah disembangkan denganku sebentar tadi. Aku berpatah balik lalu berjabat tangan dengan ayahnya sambil melemparkan senyuman tanda hormat.

Begitulah semangatnya generasi muda Vietnam mempelajari bahasa Inggeris. Aku tidak jumpa sikap (attitude) seperti ini di Laos dan Cambodia. Tidak sekerap di Vietnam maksudku.

Kejadian di Imperial City ini membuatkan aku beranggapan bahawa aku hanya menunggu masa apabila Vietnam akan menjadi negara kompetensi tinggi yang setanding malah mungkin lebih bagus daripada negara-negara lain di Asia Tenggara bukan sahaja daripada segi industrinya malah daripada segi pendidikan dan lain-lain lagi.

Mungkin jika kau dapat menyelusuri perdesaan di Utara Vietnam dan juga bandar-bandar pesisir pantainya, lihatlah projek mega yang sedang dijalankan. Kiralah berapa banyak stesen hidroelektrik dan janakuasa lainnya yang sedang dibangunkan. Stesen-stesen mega ini dibangunkan bukan hanya untuk kegunaan domestik, ia juga untuk menampung keperluan industri.

Vietnam memerlukan ribuan malah jutaan generasi yang celik ilmu pada tahun-tahun mendatang, dan mereka menuju ke arah itu sekarang. Tunggulah 10 tahun lagi, Vietnam pada masa itu bukan Vietnam yang sekarang.

Kita di Malaysia agak bertuah dengan sistem pembelajaran bahasa Inggeris yang agak baik dari umur 7 tahun hinggalah 17 tahun. Namun, masih ramai graduan kita yang gagal menguasai bahasa ilmu ini. Di manakah silapnya?

Aku tak mahu bersyarah, kau fikir-fikirkanlah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.